Jom Kita Jadi Geng

Tuesday, July 23, 2013

SATU UNDI KUALA BESUT RM19,000?


Saya dapat rasa pentingnya Kuala Besut pada hari ini di mata Barisan Nasional dan Pas. Sebuah daerah yang tidak begitu pesat membangun jika dibandingkan dengan daerah yang berdekatan dengan Kuala Terengganu. Namun hari ini, pemergian Allahyarham Dr . A.Rahman Mokhtar telah memberi rahmat kepada penduduk Kuala Besut. Bukanlah maksud saya ia satu doa tetapi rahmat ini bermaksud, bagaimana pemergian Allahyarham telah menarik perhatian semua pemimpin di Malaysia ke Kuala Besut. Sehinggakan A.Kadir Jasin di dalam blognya, mengulas pilihanraya kecil Kuala Besut adalah PRK yang tidak menjanjikan keselesaan buat BN. Apatah lagi Datuk Sri Najib yang tergugat kesan daripada kekurangan majoriti di parlimen. Jadi, Kuala Besut betul-betul harus dimenangi oleh BN, ini kerana kerusi Kuala Besut juga adalah penentu kepada kedudukan BN di Terengganu.

PRK Kuala Besut yang akan berlangsung pada Rabu ini (24 Julai 2013) bersamaan 16 Ramadhan, akan menjadi medan pertandingan yang terbaik antara PAS dan UMNO. Dua parti Melayu Islam. Pada hari itulah yang akan melihat pengaruh siapakah yang paling kuat. Khabarnya jentera pilihanraya PAS bukan sahaja dibantu oleh ahli-ahli PAS seluruh negara bahkan, turut disokong oleh Pakatan Rakyat. Ini pun soal untuk menakluk satu lagi negeri di bawah Pakatan. Calon PAS yang lebih dikenali sebagai Che Long, atau nama sebenarnya Hj Azlan Endut yang merupakan ahli perniagaan perkayuan kontraktor kelas A.. Beliau akan dicabar oleh calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, seorang jurutera lulusan Universiti Sains Malaysia yang berusia 37 tahun, juga merupakan bekas Ketua Pengarah bahagian Korporat Jabatan Pengairan dan Saliran. Kedua-dua calon ini adalah anak jati Kuala Besut.

Tengok berapa besar orang yang turun


Oleh kerana Kuala Besut menjadi tumpuan, maka banyak sekali janji dan harapan dilimpahkan oleh kedua-dua parti. Rezeki orang-orang Kuala Besut. Bergantunglah siapakah pula pilihan mereka. Namun dalam Harakah telah menyebut bahawa, BN telah menggunakan duit kerajaan demi kemenangan di Kuala Besut. betulkah? Kata Harakah Daily, sebanyak RM377 juta lebih  dijanjikan untuk penduduk Kuala Besut dan jika dibahagikan kepada jumlah pengundi, maka setiap undi berharga RM19,000. Sampai ke situ analisa yang dibuat. Dalam huraian dibuat, Jumlah RM377 lebih  itu merangkumi:

"...PAS berpendapat peruntukan sebanyak RM377.45 juta untuk projek-projek yang diumumkan kerajaan setakat ini jelas menunjukkan ia merupakan pembelian undi menjelang PRK.

Sebanyak sembilan projek yang dijanjikan kerajaan BN, termasuklah projek mendalamkan Sungai Besut bernilai RM250 juta, membina pangsapuri empat tingkat di Kampung Lay Out bernilai RM10 juta, projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Peroi Tok Saboh bernilai RM28 juta dan projek masjid terapung dengan kos RM12 juta.
Terbaru, kerajaan mengumumkan projek pembinaan Empangan Lowvier bernilai RM35 juta untuk para petani khususnya penanaman padi di Pengkalan Nangka."



Bagi saya, cara menarik undi BN ini sudah biasa, memang dari dahulu itulah caranya. Jadi tak perlu PAS nak berkira-kira tentang jumlah peruntukan. Sudah memang kuasa mengurus Persekutuan itu di tangan Barisan Nasional, jadi tidak mengapa. Pas perlu mencari kekuatan lain untuk memancing pengundi. Tetapi saya rasa, Allahyarhan Dr. A.Rahman Mokhtar telah pun melaksanakan tugasnya sebagai ADUN dengan baik dan diterima oleh rakyat Kuala Besut. Jadi apa salahnya kalau kesinambungan itu terus berlaku.

Monday, July 22, 2013

SENI KAKI LIMA DI MADRID





Pasangan ini hanya duduk, tiada dialog dan tiada aksi pun.
mereka hanya menampilkan magik. Kekauatan wanita itu mengangkat lelaki menggunakan sebelah tangan sahaja. Puas saya menilik dan memikir bagaimana mereka boleh bertahan. Rupanya ada teras di dalam kostume mereka



Betul lah kata orang jauh perjalanan, banyak pemandangan. Saya bertuah dapat melawat tempat seperti ini yang menghidangkan seni secara percuma. Melihat bagusnya pelakon-pelakon kaki lima beraksi ini, dan hanya mendapat bayaran atas ehsan orang yang lalu lalang. 

Ini persembahan demonstrasi. Tiada kostume dan aksi dramatik. Yang berkemeja biru sedang menerangkan bagaimana alat itu digunakan pada zaman dahulu.yang menariknya alatan itu adalah pusaka lama. Ia seperti pengandal untuk mengangkat barang yang berat. Cara demonstrasi ini menarik dan informatif.



Namun Madrid hidup dengan kehadiran mereka. Mereka bukan sekadar orang yang dipakaikan kostume tetapi mereka adalah pelakon yang dibekalkan ilmu persembahan. Cara mereka melakukan gerakan, bertahan dalam karakter dan melawan halangan waktu cuaca yang panas, saya kira ia latihan yang cukup bagus. Bukan senang. Bila dibandingkan dengan street performance di KL, memang kita sangat jauh tertinggal malah bukan sahaja tertinggal, kita sebenarnya hanya meniru tetapi tidak lahir dari semangat yang betul. 








Yang ini imitasi pokok. tapi saya suka kerana pemain ini  berjaya sustain karakternya begitu lama sekali. setiap gerakan postur dan gesturenya sungguh menarik. Ia seakan pohon yang melambai.



Ada orang kata, bolehlah berjalan kalau banyak duit, tapi itu bukan alasannya. ke mana pun perjalanan kita, mata harus tajam melihat dan mengamati ragam masyarakat. Berjalan bukan sekadar ambil gambar dan shopping semata. Bila kita dapat melihat sendiri baru mata kita percaya. Kerja saya sebagai pegawai kebudayaan menuntut untuk selalu menonton dan mengapresiasi kerja seni orang. Tapi kalau mengharapkan berjalan atas tajaan kerajaan semata, memang payahlah nak dapat.



Ini persembahan teater berkumpulan, ada aksi dan jalan cerita. Tapi mereka selaraskan kostumenya. Anak-anak muda ini begitu rileks sekali melakukan persembahan. Saya tidak sempat menontonnya habis kerana mahu ke tempat lain. Tapi saya kira ini bagus untuk kelas lakonan juga.


Kenapa saya kata begitu, biasanya yang pergi ke luar negara melihat dan melawat karya orang adalah big boss, balik dari sana mereka arahkan kita buat. Senang dan seronok berjalan bagi boss-boss tapi susah memikir dan mencerna ke pentas itu jatuh pada anak buah. Nasiblah tu, siapa suruh jadi anak buah hehehe. 

hari itu hari Ahad, waktu baru sahaja memulakan perjalanan saya ternampak sekumpulan orang sedang menyanyi diiringi alunan muzik. Sesekali mereka menari dalam perarakan. Ia sangat folk. Wanita di tengah itu mengalunkan suara soprano mendendangkan lagu klasik flavour opera. Saya kira ini kumpulan kebudayaan gereja dari sekitar Madrid. Mereka tidak mengutip wang, hanya membuat persembahan di jalanan.



Dua askar ini saya kira sangat terlatih. Sifat kejantanan mereka terserlah. Menariknya, mereka adalah patung gangsa tetapi apabila mahu berubah kedudukan, mereka melakukan gerakan slow motion. Sangat-sangat menarik Saya kira mereka merancang dengan baik persembahan mereka ini. Kita boleh ralik dengan hanya berdiri dan memerhati. Persembahan mereka ini menarik minat kanak-kanak, khususnya lelaki.



Ini lakonan Jesus yang disalib. Waktu saya melintas, pelakon ini
sedang bersiap untuk memulakan aksi. Tetapi dalam persiapannya menjadi Jesus, dia sudahpun berada dalam karakter. Badannya yang kering dang berdarah itu, bergerak danbersiap dalam rasa kesakitan. saya macam percaya dia sedang sakit. Bila ready sambil menahan kesakitan, dia mengangkat pancang itu. Dia sangat profesional.




Seingat saya, trip tajaan kerajaan yang betul-betul bermanfaat adalah pada tahun 2008, apabila ASWARA menyertai Malaysia Week. Rombongan kami diberi kesempatan oleh Dato Omar Awang untuk menonton muzikal dan melawat universiti-universiti. Malah bukan itu sahaja, atas inisiatif kami, khususnya Joseph Gonzales yang memastikan para pelajar memanfaatkan lawtan mereka ke London, ada pelajar sempat mengikuti kelas tari di pineapple studio.



Sewaktu melawat Plaza Mayor, ramai sekali persembahan jalanan. Saya tertarik dengan pelakon ini. Dia menjadi halimunan. Tidak berwajah tetapi bercermin mata. Hahaha sangat cute. Adakah dia lelaki atau perempuan? Saya tidak tahu tapi yang pasti tubuhnya kecil dan pendek sehingga boleh berupa mejadi orang tak berkepala.







Yang ini menguji mata kita. Ada dua pelakon tetapi salah satunya sebenarnya patung. Kita harus tengok lama-lama untuk kenal yang mana satu pelakon sebenarnya. Pelakon ini perlu ada stamina yang tinggi, bagus dalam mengawal pernafasan dan mampu bertahan dalam kedudukan yang lama. 












Jadi, jika kita berminat dengan seni budaya atau jika kita ini memang kerjanya  berorientasikan seni budaya macam pegawai kebudayaan ke, artis budaya ke, pensyarah seni ke, pemuzik, penari ke atau yang sewaktu dengannya, kalau dapat peluang berjalan, janganlah kita fikirkan untuk pakai lawa-lawa sambil pose depan patung dan gedung-gedung mewah. manfaatkan perjalanan kita untuk belajar dari orang lain. Ia akan membantu meningkatkan pengetahuan kita. Saya berpesan untuk diri saya juga.Walau ke mana pun kita pergi, mesti ada sesuatu yang boleh kita pelajari. Tidak semestinya ke Madrid!






ANAK MATI DALAM KERETA


Dugaan apakah yang diterima oleh ibu kanak-kanak yang meninggal di dalam kereta akibat heat stroke ini? Saya tidak mampu melihat foto kanak-kanak yang malang itu. Tidakk terbayang di mata saat dia melawan kesakitan. Ya Allah! Bila situasi begini, kecuaian ibunya, Nor Zatusy Hazwa dijadikan punca. Namun bila membaca dan memahami situasi yang berlaku, sukar sekali untuk saya selami perasaan Nor Zatusy. 

Kehilangan anak kecil, Nawal Iris akibat kecuaian ini amat mendukacitakan. Tentu sekali ia menjadi bebanan yang berat buat Zatusy. Bagaimanakah beliau sekeluarga mahu menghadapi hari-hari mendatang dengan Ramadhan dan Syawal yang bakal tiba. Saya sendiri berat merasakannya. Kemalangan yang di luar jangkaan. Besar sekali ujian yang diterima Zatusy. Semoga beliau tabah dan kuat melawan tekanan. Memang itu kesilapannya tetapi ia bukan dilakukan dalam sedar. Minda bawah sedarnya menguasai tindakannya pada hari itu. Dan itulah hari yang selalu akan menyedarkannya.

Semoga ini juga menjadi pengajaran buat kita semua. Dalam hal ini, saya pasti Zatusy seorang ibu yang penyayang dan tidak merelakan pemergian Nawal Iris dalam cara sebegitu. Tabahlah Zatusy, Allah sedang menguji anda.

Al-fatihah buat Allahyarham Nawal Iris Shamsuddin. Sesungguhnya syurga yang menyambutnya.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...