Jom Kita Jadi Geng

Wednesday, July 17, 2013

VIVIAN-ALVIN: INI KALI MEMANG KENA



Sudah lama saya tahu kisah pasangan ini. Pasangan kekasih Alvin dan Vivian yang mengejutkan media Malaysia dan Singapura dengan blognya. Blog yang memaparkan secara terbuka aktiviti seks mereka. Mereka secara terang-terangan meluah dan mengekspresikan naluri semulajadi mereka itu kepada umum. Bagi mereka berdua ianya tidak salah, yang salah adalah kita masyarakat yang memandang negatif pada soal seks dan hal-hal yang sangat sensitif dalam budaya timur.


Aksi-aksi mereka bukan sekadar foto-foto tetapi turut memuat turun video lucahnya. Saya pun jadi hairan melihat keterbukaan mereka yang melampaui batas kita masyarakat di Malaysia. Adakah mereka ini adalah generasi masa depan yang melihat norma dan nilai timur itu tidak lagi sepadan dengan generasi hari ini. Memang saya akui ada segelintir dalam masyarakat kita yang hidup mereka melebihi cara orang Barat, tapi tidak seberani pasangan ini. Syabaslah Alvin dan Vivian, sebab kamu berdua benar-benar tak berbangsa! Ini bukan soal bangsa Melayu, Cina atau India atau apapun tetapi ini soal sikap dan pandangan mereka, sensitiviti mereka terhadap sesuatu perkara.


Saya kira bagi mereka berdua, apa yang orang lain fikir bukan lagi hal mereka. Bukan masalah mereka. Itu masalah orang lain. Lihatlah bagaimana indiviualistik dan bagaimana manusia hari ini enggan bermasyarakat. Mereka berdua ini mewakili generasi 'new media' yang sangat berani dan ekspresif. Tetapi berani mereka ini tidak hadir bersama tanggung jawab. Mereka sangat lemah dalam inter-personal skill. Tidak mahu memahami, mengerti, merasai, menyelami dan meletakkan bahu mereka ke atas beban orang lain. Itu tidak penting, yang penting adalah diri-sendiri! Agaknya mereka sudah tidak ada mak bapak? 


Jadi apabila isu foto ucapan Selamat menyambut ramadhan dengan hidangan Bak Kut Teh oleh mereka berdua, saya kira ia betul-betul bagi penangan yang terbaik buat mereka. Dalam hal positif, tercapailah hajat mereka berdua untuk popular dan terkenal tetapi daripada sudut lain, mereka silap percaturan. Mempersendakan isu agama sewaktu Islam sedang menyambut Ramadhan. Jangan main-main dengan puasa, ia bukan sahaja ibadah tapi ia menjadi satu bulan yang benar-benar mengikat kukuh jiwa Islam, memupuk sensitiviti yang tinggi dan mengetuk pintu-pintu politik untuk berperanan atas nama Islam. Mula-mula bolehlah kita bersikap sangsi dan anggap Alvin dan Vivian didajalkan (kena hacked) oleh mereka yang mahu mengenakan mereka namun apabila mereka memuat naik video memohon maaf, jadi sahlah perangai buruk mereka ini benar-benar BURUK!


SKMM dan pihak yang bertanggujawab, silalah laksanakan peranan. Harus bertegas dalam soal ini, jangan kalah dek hak asasi mereka. Kita tidak mahu ramai lagi manusia Malaysia yang lahir macam mereka berdua ni. Saya lihat dua-tiga media berbahasa Inggeris sudah memberi publisiti dan mengangkat mereka berdua ini sebagai hero. Jangan terlambat jika tidak situasi ini akan merubah kepada kita yang tidak betul!

Wednesday, July 3, 2013

MESIR DAN MUHAMMAD MURSI



Apa yang berlaku di Mesir pada hari ini mendukacitakan. Dunia melihat Mesir sebagai negara kucar-kacir. Ketenteraman tiada lagi ekoran penentangan rakyat terhadap kepimpinan Muhammad Mursi. Presiden Mesir yang dipilih melalui pilihanraya yang sah pada Jun 2012. Sewaktu pemilihannya sebagai Presiden, rakyat bergembira menyambutnya setelah berlaku demonstrasi dan gerakan menjatuhkan Hosni Mubarak berjaya. Hosni yang memerintah Mesir lebih kurang 30 tahun telah merubah hidup rakyat Mesir dalam pelbagai kelompok. Jurang ekonomi antara penduduk sangat besar. Kemunculan Morsi sebagai pemimpin berpendidikan Islam dan menjadikan Islam sebagai teras dalam pentadbirannya mendapat reaksi cukup positif. Ia menjadi penanda kepada Arab Spring bahawa tiba masanya dunia Arab kembali kepada pemerintahan berasaskan undang-undang Islam. Namun, cita-cita Mursi itu, menghadapi tentangan dari banyak penjuru. Protes dari kelompok sekular dan rakyat bukan Islam serta pengikut-pengikut tegar Hosni Mubarak membuatkan usaha Mursi mengubah pentadbiran menjadi sangat berintangan. Ini juga dikira kesan daripada ketepuan minda yang terasuh oleh pemerintahan Hosni Mubarak. Rakyat selesa dalam hidup serba kedaifan. Bagaimana sebuah negara yang antara terawal menerima kemodenan, kota Kaherah yang sangat kosmolitan dahulunya berubah kini menjadi sangat padat dan ramai sekali golongan fakir dan miskin yang hidup kais pagi makan pagi. 


Mesir sebelum Hosni Mubarak, telah menempuh banyak sekali peristiwa. Sebelum Hosni diangkat sebagai Presiden, Presiden Anwar Sadat mati ditembak di dalam satu majlis kebesaran negara. Dari detik itulah, Mesir mencari pemimpin dan menemui Hosni Mubarak. Harapan yang ditumpahkan kepadanya rupanya membawa kepada kemalapan Mesir. Bagaimana sebuah negara yang kaya dengan sumber bumi, bumi anbia dan memiliki tamadun terawal dunia, destinasi pelancongan paling strategik dan bermacam lagi. Namun itu semua gagal digunakan Hosni untuk memakmur dan meningkatkan taraf hidup rakyatnya. 


Apabila Mursi mendapat persetujuan undang-undang dengan memberikan kuasa penuh kepadanya di dalam menentukan pemerintahannya tanpa perlu merujuk kepada judicial, beratus ribu rakyat keluar melalukan protes dijalanan. Namun jangan terkesan dengan protes sedemikian, rakyat Mesir memang terkenal dengan aktiviti berkumpul dan protes. Rakyat Mesir suka meluahkan kemarahan malah kegembiraan di jalanan. Jika menang bolasepak pun, beratus ribu akan meraikannya. Itu perkara yang bukan luar biasa. Apatah lagi dalam soal berkaitan undang-undang dan pelaksanaan dasar. Oleh kerana sebilangan besar masyarakat Mesir berpendidikan randah, mereka kurang ilmu dan keupayaan untuk mentafsir sesuatu perkara dnegan baik, sering sahaja mereka terhasut dengan puak-puak yang menentang kerajaan. Rakyat Mesir sangat kasar, mereka sangat ekspresif dalam banyak hal. Mereka akan berada di jalanan bersama-sama yang lain dengan bermodalkan pengertian yang cetek. Jadi saya anggap tuntuan sesetengah rakyat Mesir yang mahu melihat perubahan segera Mesir adalah sangat tidak munasabah. Masakan Mursi yang baru sahaja setahun memerintah mahu membaiki kerosakan yang dibuat selama 30 tahun.

memang benar, saya tidak nampak satu gambar pun
tergantung di mana-mana bangunan walhal
beliau baru sahaja dilantik sebagi presiden.
berbeza sekali di Malaysia.

Tahun lepas saya berpeluang melawat Mesir. lebih 10 hari saya berada di Kaherah dan ia sangat memberi kesan kepada saya. Bumi Mesir yang memiliki tinggalan sejarah penting, memiliki ilmuan dan cendikiawan yang hebat, memiliki pemikir dan ulamak Islam tinggi ilmunya namun semua itu dikaburi oleh politik. Politik yang sangat sekular mengetepikan pandangan para ilmuan. Jadilah Mesir sebuah negara yang tersesat dalam kemodenan. Dan kini kemodenan adalah beban yang tidak terpikul oleh ramai rakyat dan itulah yang cuba diselamatkan Mursi.


Monday, July 1, 2013

KONSERT M.NASIR: ADA YANG TELAN UBAT?



Sekali lagi Dato M.Nasir menakluk Istana Budaya selepas konsert terakhirnya Alam Muzik pada tahun 2009. Kali ini hidangannya berbeza, kesan pancaindera digunakan semaksima mungkin. Saya berpeluang menonton pada Sabtu lepas sewaktu seluruh warga negeriku, Kelantan dan Johor tertumpu kepada Piala FA. Nyatanya malam itu, Panggung Sari tidak sepi, tetap hingar dengan peminat M.Nasir. Saya pasti kehadiran mereka bukan sekadar mahu hanyut dengan lagu-lagu kesukaan mereka, seperti saya, apabila kita menyebut nama M.Nasir ianya sangat sinonim dengan sesuatu yang sangat konsepsual. Konsep dan tema yang membawa kepada penjelajahan pemikiran melalui lagu dan seni visualnya. Namun tentu sekali lagunya sangat berperanan untuk kita terus melekat dalam panggung. Itu sayalah tapi saya juga pasti ada dalam kalangan peminat M.Nasir itu, tidak hanya tenggelam dalam lagunya tetapi turut tenggelam dan berfantasi dengan karisma tokoh muzik ini. Berani tidak 'statement' saya ini? Saya ada bukti ha ha ha...

Sang Pencinta adalah hidangan yang lazat. Mata tidak terkalih pada perkara lain dek kerana magis yang tertayang di pentas. Sebelum Sang Pencinta, saya tonton Alam Muzik dan konsert solo M.Nasir dengan filharmonik. ternyata yang ini memang lazat. Saya tidak  boleh tidak, walau berada di barisan hadapan, tanpa peduli penonton di belakang, saya bangun dan bertepuk bila tiba pada plot-plot yang mengesankan. Dahsyatlah perasaan kala itu, walhal saya selalu juga berbual dan makan semeja dengan M.Nasir tetapi kerana sifat eksklusif M.Nasir di pentas, maka apa yang beliau tampilkan memberi impak yang sangat berbeza. Dua personaliti berbeza antara di luar dan di pentas. 

dipetik dari gua.com
Persembahan dipecahkan kepada beberapa segmen, permulaan persembahan tatkala tirai dibuka, kita hanya dipersembahkan dengan sebuah animasi yang memperkenalkan penganjur dan mereka yang membawa konsert Sang Pencinta. Namun persembahannya seperti satu 'journey' memasuki jalan dan lorong, lembah dan gunung, pertukaran sifat dan perilaku dalam iringan lagu Di Balik Cermin. Memang lagu itu berhantu, ia umpama bisikan sang pendeta. Menyuruh kita melihat yang hakiki bukan hal-hal bersifat luaran. Lagu-lagu awal sangat mengujakan, rancak dan bertenaga. Pabila lagu Apokalips didendangkan, penonton sudah terpekik dan menyanyi bersama. M.Nasir memberi tenaga yang cukup bagus kepada kami. Dari mana tenaga itu datang, saya tidak pasti tetapi M.Nasir seperti seorang remaja, berlari, melompat, menari, bersilat dan apa sahaja yang menaikkan semangat kepenontonan kami. Ketika M.Nasir memasuki segmen lagu-lagu yang popular, Mentera Semerah Padi, Tanya Sama Hud Hud, Rajawali Terbang Tinggi, Keroncong Untuk Ana dan banyak lagi, saya sudah benar-benar hanyut, setiap patah liriknya saya nyanyikan, saya dan kebanyakan penonton sudah buat persembahan di tempat duduk masing-masing. Kami memang sudah tidak tahu malu ha ha ha.

Dan ketika lagu Hijab Kekasih dialunkan, rakan di hadapan saya sudah kelu dan terdiam. Selesai sahaja segmen itu, dia meninggalkan panggung, agaknya sudah tidak mampu menanggung ketaksubannya. Kenapa saya kata begitu, sebab sebelum masuk panggung saya sudah menegurnya "Eh datang tengok M.Nasir pakai baju Great Britain? Ini tak boleh", tambah saya lagi "Boleh kontrol ke ni?". Jawabnya "Saya sudah buat persiapan, sudah ambil ubat penenang". Memang dia nampak tenang sepanjang konsert tapi dia tetap kalah dengan perasaannya.

Segmen yang saya suka adalah segmen akustik, M.Nasir mendendangkan lagu orang lain tetapi ciptaannya seperti lagu 'Layang-layang Terputus tali', 'Srikandi Cintaku' dan 'Meniti Titian Usang'. Rasa yang beliau tumpahkan pada lagu-lagu itu sangat berbeza terutama pada lagu 'Meniti Titian Usang' yang pernah dipopularkan oleh Search. Saya dapat merasa 'weight' yang dibawa, kesan emosi pada patah-patah perkataan. Memang lagu itu sangat berat ia tidak boleh didengar kerana Rocknya. Liriknya sangat tinggi dan menginsafkan. Saya kira pengalaman dan kematangan M.Nasir bersatu dengan rentetan pengalaman penonton membawa kami menyertai perasaan dalam lagu itu. Dalam segmen ini, M.Nasir turut mengalunkan sebuah lagu baru berjudul "Aku Dah Bilang". Lagu ini sangat mudah, senang didengar dan akan cepat diikuti.
gua.com
Sepanjang malam itu, lagu-lagu menjadi cerita yang panjang. Visual menyokong penceritaan. Juga dimasukkan persembahan Dekon oleh pelajar-pelajar ASWARA yang menyampaikan puisi Chairil Anwar dan Jalaluddin Rumi. mereka berkostume choral Greek dan bertopeng. Sangat konsepsual. Grafik bersifat visual mapping itu memang membantu persembahan, ia meningkatkan kefahaman kita pada erti lagu-lagu yang dipersembahkan.

Pendek kata, kalau ada lagi konsert M.Nasir, pergilah menonton. Ia bukan persembahan biasa-biasa. Ia bukan persembahan yang ada iringan berpuluh penari di pentas yang bersifat hiburan semata-mata. Ia bukan konsert yang sekadar memutar semula lagu-lagu hits seorang penyanyi. Ia adalah seni persembahan yang menghimpunkan semua aspek seni persembahan di pentas. Seluruh pancaindera merasai getarannya. Bila kita menonton konsert yang sedemikian sifatnya, lagu-lagu hits menjadi bonus tetapi penjelajahan fikiran itu adalah matlamatnya. Pada ketika ini, saya kira inilah konsert artis Malaysia yang terbaik, yang tampil dengan idea dan konsep yang jelas. Ia bukan sekadar selitan teaterikal tetapi ia penyampaian cerita melalui lirik-lirik yang bagus. Bertuahnya M.Nasir adalah kerana banyak lagu-lagunya yang hits mengandungi mesej yang mendalam. Ia bukan sekadar lagu-lagu cinta biasa-biasa. Malam itu, hampir 30 buah lagu dipersembahkan dan banyak lagi lagu-lagunya tidak dipersembahkan. Tahniah kepada penganjur dan team produksinya. Muzik di bawah Aznan juga hebat.

Sebelum habis show, selepas menghabiskan segmen terakhir, rakan saya yang telan ubat tadi masuk semula. Dia bisik kat member sebelahnya, "cepat jerit minta lagi sekali Hijab kekasih".
Ehh! Ini bukan karaoke ok!

Klik sini untuk entri saya tentang konsert Alam Muzik.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...