Pusat Seni Pentas Tradisional ASWARA (PuTRA) mengucapkan ribuan terima kasih kepada media yang sudi memberi liputan mengenai persembahan caklempong Garitik Gereteh. Sehingga entri ini ditulis, akbah Berita Harian, Harian Metro dan akhbar online The Rakyat Post, DailySeni dan MalaysianDigest telah pun membantu mempromosikan persembahan ini. Kami berbesar hati di atas sokongan yang diberi. Di bawah ini saya muat naik salah satu tulisan dari The Rakyat Post.
Tokoh muzik caklempong terkenal, Yuzaimuddin Md. Yusof atau Pak Yuzi berkongsi pengalaman hidupnya sebagai pemain dan pejuang muzik tradisi itu dalam sesi bual bicara Citra Seni – Bicara Bersama Tokoh di Aswara, Selasa lalu. – Foto TRP/Mokhsin Zamani
PUBLISHED: Oct 23, 2015 02:35pm
Caklempong bukan muzik kelas ketiga – Pak Yuzi
Tokoh muzik caklempong yang disegani, Yuzaimuddin Md.
Yusof atau lebih dikenali sebagai Pak Yuzi menyifatkan
caklempong memiliki keunikan tersendiri untuk diketengahkan kerana iramanya
bukanlah muzik kelas ketiga.
Biarpun caklempong semakin jarang mendapat tempat di kalangan generasi
muda hari ini, tetapi seniman unggul dalam muzik tradisi itu akan terus
memperjuangkan nasib caklempong agar ia terus dipelihara dan diterima dengan
baik oleh masyarakat negara ini.
Bahkan kata Pak Yuzi, jika diperhatikan sehalusnya, pemain caklempong
hari ini sebenarnya sudah layak untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi
dengan pemuzik dari genre yang lain.
Namun, tambah beliau lagi, kedudukan mereka itu bukanlah untuk mengubah
seni warisan zaman-berzaman ini agar ia menjadi relevan dan disesuaikan dengan
arus muzik semasa.
“Tetapi sebaliknya, tugas mereka adalah untuk terus mengekalkan warisan
ini mengikut perubahan zaman agar sentiasa diterima dengan baik terutama dalam
memperkenalkannya kepada masyarakat dunia.
“Dalam konteks ini, saya mengambil konsep orang Melayu zaman dahulu yang
akan tampil berpakaian lengkap dengan tanjak, samping dan capal. Namun, seiring
dengan peredaran zaman, mereka kini lebih selesa untuk bersongkok mahupun
memakai kot.
“Saya tidak mahu mana-mana pejuang dan pemain caklempong menjadi seperti
itu kerana dikhuatiri akan menjadi canggung seolah-olah melihat orang Melayu
memakai baju Melayu bersama topi koboi dan kasut but. Justeru, muzik caklempong
ini sememangnya wajah dipelihara sebaik-baiknya agar tradisi itu tidak hilang
ditelan zaman,” katanya dengan maksud yang penuh mendalam.
Beliau yang berusia hampir 60 tahun itu ditemui pada sesi Citra
Seni – Bicara Bersama Tokoh yang diadakan di Dewan Orkestra, Akademi
Seni dan Warisan Negara (Aswara) di sini, Selasa lalu.
Aksi penari yang mengiringi persembahan muzik caklempong, 'Garitik Gereteh' yang berlangsung di Akademi Seni dan Warisan Negara (Aswara), Kuala Lumpur, malam Selasa lalu. - Foto TRP/Mokhsin Zamani
Dalam program bual bicara itu, banyak kisah dan pengalaman yang
dikongsikan oleh Pak Yuzi yang sudah lebih tiga dekad terlibat dalam
persembahan muzik caklempong yang telah membawanya mengembara bukan hanya di
dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Namun, kata Pak Yuzi yang dilahirkan di Melaka dan kemudiannya
dibesarkan di Negeri Sembilan itu, perjalanan yang dilalui dalam memperjuangkan
muzik caklempong itu bukanlah semudah disangka biarpun minatnya mula timbul
pada usia 17 tahun sekitar tahun 1970.
“Pada awalnya, saya ke Paroi, Negeri Sembilan untuk belajar bermain
gitar. Entah bagaimana, saya ternampak beberapa alat muzik caklempong di situ
yang terbiar begitu sahaja lalu tertarik untuk cuba memainkannya. Ketika
itulah, bagaikan ada satu kuasa yang meresap dalam diri lalu saya tekad untuk
mempelajarinya.
“Saya memberitahu bapa saya tentang niat saya itu namun, dia tidak
menggalakkannya dengan alasan menjadi pemuzik caklempong tiada masa depan dan
tidak mampu untuk menampung kehidupan saya.
“Demi menghormatinya, saya akur dan tidak melawan kata-kata tetapi saya
tidak berputus asa lalu bertemu dengan seorang pemain caklempong profesional
yang saya anggap sebagai guru pertama saya iaitu Kamarul Ibrahim,” cerita Pak
Yuzi yang berketurunan Minang dan Banjar itu penuh semangat.
Ternyata, minat dan niatnya untuk mempelajari muzik tradisi berkenaan
telah berupaya membuatkan dirinya membesarkan anak-anak dan keluarganya dengan
hasil sebagai pemain caklempong sekaligus meningkah pendapat bapanya sebelum
ini.
Pak Yuzi (tengah)
sewaktu membuat persembahan caklempong Garitik Gereteh di
Aswara, malam Selasa lalu. – Foto TRP/Mokhsin Zamani
Tidak hanya terhad menimba ilmu bersama Kamarul yang telah mengajarnya
asas menggaritik (salah satu asas dalam muzik caklempong), pertemuannya dengan
Pak Yusuf Rahman dari Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia juga telah
menambahkan lagi pengetahuan dan kecintaannya dengan lebih mendalam.
Jika sebelum ini, dia hanya mengetahui asas bermain tanpa teknik yang
betul, namun, hasil pengajiannya bersama Pak Yusuf itu telah berupaya
membuatkan dirinya untuk bermain dan lebih memahami kedudukan menggaritik
caklempong dengan tepat.
“Bermula daripada situ, saya tidak lagi menoleh ke belakang dan
meneruskan perjalanan saya sebagai pemain caklempong sehingga pernah digelar
hero caklempong kerana kekerapan bermain di majlis perkahwinan keluarga dan
kenalan.
“Tetapi, semuanya berubah selepas saya mendirikan rumah tangga dan
ketika itu, muzik caklempong tidak lagi kedengaran lalu membuatkan saya
terfikir untuk berkongsi ilmu dengan orang lain yang mendapat sambutan daripada
masyarakat sekeliling terutama pelajar sekolah,” jelas beliau yang pernah
berkhidmat sebagai ketua pemuzik Yayasan Negeri Sembilan itu lagi.
Biarpun muzik caklempong semakin dilupai dan dipinggirkan daripada arus
muzik perdana masa kini, sempat juga Pak Yuzi menitipkan nasihat buat pemain
caklempong generasi baharu agar lebih berhati-hati kerana inilah warisan yang
bakal ditinggalkan untuk generasi akan datang.
Katanya lagi, walapun ramai yang kagum dengan persembahan caklempong
moden tetapi bila keaslian bunyinya hilang, maka keindahan muzik caklempong itu
juga akan terhapus apabila diasimilasikan bersama muzik moden dan tradisional.
“Saya bukanlah menentang kepada perubahan malah menggalakkannya tetapi
biarlah warisan yang ada itu dikekalkan agar ia tidak hilang ditelan zaman.
Bila asas menggaritik sudah betul, hendak main lagu apa pun boleh,” katanya
serius.