Saya cukup terharu membaca tulisan oleh seorang wartawan yang disegani Muzlina Ab Bakar mengenai pengalaman dan proses saya mengerjakan Muzikal Wajah Rahsia Hati. Kesudian Kak Lin menulis mengenai saya, cukup mengesankan meski sebelum ini saya hanya mendengar nama dan membaca tulisannya sahaja sejak dari zaman remaja. Tak sangka juga, ada serba sedikit yang beliau tahu mengenai kerja kerja seni saya. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan amat berbesar hati atas kesudian dan kesungguhan Kak Lin meluangkan waktu hadir ke sesi latihan dan bertanya untuk kesahihan perkara. Alhamdulillah Muzikal Wajah Rahsia Hati mendapat sambutan hebat di Singapura. Satu malam yang cukup manis untuk dikenang. Bersama ini saya kongsi tulisan Muzlina Abu Bakar yang disiarkan di Bebas News https://bebasnews.my/2023/02/10/pengarah-jangan-ego-che-kem/
PENGARAH JANGAN EGO - CHE KEM
SEJUJURNYA saya tidak pernah kenal beliau ‘in person’ tetapi
sekadar melihat lakonannya dalam beberapa babak dari filem “1957: Hati Malaya”
(2007) dan “Tanda Putera” (2013) yang pernah ditayangkan di stesen TV. Ketika
itu, beliau bukan sahaja menyakinkan dengan penampilannya sebagai Almarhum
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, malah pertuturan dan tonasinya dalam
melontarkan setiap patah perkataan mengingatkan saya kepada ‘Bapa Kemerdekaan’
Malaysia itu!
Disebabkan itu, apabila wartawan tersohor dan penulis skrip
“Muzikal Wajah Rahsia Hati,” SlenFadzil mengundang saya menyaksikan latihan
pementasan berkenaan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada Jumaat lalu saya tidak
mampu menolak.
Apabila sampai di tingkat enam tempat latihan selain
SlenFadzil dan Zurina Waji, orang pertama yang menyapa saya dan di luar lingkup
dari dunia kewartawan adalah ‘carbon copy Bapa Kemerdekaan’ yang juga pengarah
muzikal berkenaan, Che Kem, diikuti dua figura yang saya kenal iaitu Fauziah
Ahmad Daud dan koreografer, Pat Ibrahim.
Sapaannya dengan loghat Kedah benar-benar mengingatkan saya
pada wataknya dari dua filem berkenaan walaupun beliau sebenarnya berasal dari
Pasir Mas, Kelantan. Dari jarak 10 langkah saya memerhatikan beliau dan
koreografer, Pat Ibrahim kerana tidak mahu mengganggu konsentrasi mereka pada
latihan Fauziah bersama enam ensemble yang merupakan siswa dari Akademi Seni
Budaya dan Warisan Malaysia (ASWARA).
Sebelum memulakan latihan beliau berkata sesuatu dengan
lembut dan penuh diplomasi. Itulah Che Kem atau nama sebenarnya Kamarulzaman
Taib, lulusan Sarjana Muda Kesusasteraan Melayu, Universiti Malaya yang kini
bertugas sebagai Pensyarah bidang teater dan kesenian tradisional di Aswara. Waktu
rehatnya selama 14 minit 21 saat, saya gunakan sebaik mungkin untuk berkongsi
pengalamannya bekerjasama dengan Fauziah Ahmad Daud yang terkenal dengan sifat
‘cerewet’ dalam menghasilkan karya demi kesempurnaan dan apabila ditanya
mengenai itu tanpa berselindung, Che Kem berkata;
“Sebelum latihan dimulakan skrip asal diolah beberapa kali
dan masuk skrip keempat dan ketika latihan masih bertukar lagi kerana terlalu
banyak kata-kata sehingga menghilangkan muzikalnya.
“Apabila draf kedua Kak Ogy baca dan tengok pendekatannya
yang beliau mahu kongsikan di pentas dan apabila sampai draft ketiga kami
memberi pandangan kemudian kita masukkan lagu-lagu yang sesuai dan dipendekkan
beberapa storyline.
“Bila sampai draft keempat kami berbincang dengan pengarah
muzik, Mansor Mohamed dari Singapura dan barulah kami memulakan latihan.”
Menurut Che Kem, walaupun melalui empat kali proses mengolah
skrip itu tetapi ia sedikitpun tidak menyentuh kredibilitinya sebagai pengarah
muzikal berkenaan.
“Saya seorang yang berfikiran terbuka dan sebagai pengarah
tak boleh ego. Muzikal ini cerita tentang Fauziah Ahmad Daud dan saya harus
hormati apa yang beliau mahu kongsikan dengan penonton.
“Apabila penulis skrip SlenFadzil dan Zurina Waji buat
dialog untuk babak-babak tertentu mereka meminta pandangan Ogy dan beliau akan
‘buang’ mana yang tidak perlu.
“Saya hormati Ogy kerana beliau bukan edit sesuka hati
tetapi dari kacamata pengarah. Semasa latihan kami banyak berkerjasama untuk
disesuaikan sebagai sebuah muzikal dan masih ada rombakan kecil pada skrip bagi
menyesuaikan dialog dengan emosi sesuatu babak.
“Perjalanan sebuah kehidupan bukan semuanya indah, ia ada
elemen sedih dan inilah yang akan menjadi ‘killer scene’ untuk muzikal ini dan
penonton akan dapat ‘merasai’ pada babak kedua,” jelas Che Kem.
Disamping itu beliau turut mengutarakan jalan cerita kisah
perkahwinan dengan Eman Manan, dan Ogy menerimanya dengan hati terbuka.
“Tetapi pandangan awal saya salah. Saya bayangkan muzikal
ini tentang kisah cinta dan keruntuhan rumahtangga menjadi beban dalam hidup
beliau tetapi tidak. Sebenarnya kehilangan ayah dan emak begitu membebankan
jiwanya apalagi beliau begitu rapat dengan arwah emak.
“Jika penonton menghayati muzikal ini dengan sepenuh jiwa
anda akan dapat rasakan ia bukan kisah cinta sebaliknya derita seorang anak
kehilangan emak dan ayah. Ia juga bukan tentang seniwati sebaliknya kisah
Fauziah Ahmad Daud seorang insan yang harus berjuang demi kehidupan dan yang
membezakan beliau adalah seorang bintang,” cerita Che Kem.
Apabila ditanya apakah melalui muzikal ini beliau mengenali
siapa sebenarnya Fauziah Ahmad Daud, Che Kem memberitahu;
“Tidak seratus peratus tetapi ia membuatkan saya memahami
wanita bernama Fauziah Ahmad Daud, seorang yang kuat, cekal dan degil dalam
perjuangannya.
“Sebenarnya apabila beliau menghubungi saya dan mahukan saya
mengarah saya tertanya-tanya. Setelah berjumpa, beliau juga tidak beritahu
kenapa memilih saya. Tetapi ada orang ‘warning’ berhati-hati tetapi saya tidak
menghadapi masalah kerana sebagai pengarah kita tak boleh ego dan mesti ada sikap
tolak ansur dengan artis.”
Menurut Che Kem walaupun pernah sekali berlakon iklan MARA
dengan Ogy namun beliau pernah bertanya pada Datuk Rahim Razali bagaimana nak
‘handle’ Ogy jawapan beliau belajarlah.
“Akhirnya dengan muzikal ini baru saya kenal Ogy. Bagi saya
apabila kita ada hujah kita kena pastikan hujah kita dan beliau seorang yang
berfikiran terbuka.
“Saya bukan sahaja bersyukur dapat bekerjasama dengan Ogy
malah kagum kerana pada usia 60 tahun beliau masih mampu menari, menyanyi dan
bermonolog dengan baik. Ogy memang ‘show girl!” kata Che Kem.
Che Kem bersama Pat Ibrahim dan Roslen Fadzil |
BAGI koreografer tersohor Pat Ibrahim kesediaan Fauziah
Ahmad Daud yang lebih mesra disapa Ogy, memilih beliau menyertai pementasan
Muzikal Wajah Rahsia Hati adalah satu penghormatan yang sukar dizahirkan dengan
kata-kata.
PAT IBRAHIM
“Saya ‘mengenali’ Ogy sejak remaja apabila sering melihat
lakonan dan nyanyiannya di stesen TV. Bagi saya Ogy adalah ‘rare talent’ yang
Malaysia ada kerana beliau boleh menyanyi, bermonolog dan menari dengan baik.
“Setelah lebih empat dekad dalam dunia seni, Ogy adalah
seorang bintang yang hebat dan masih bertahan sehingga hari ini. Pengalaman dan
kejayaannya dalam bidang seni terutama lakonan amat menakjubkan.
“Disebabkan itu, seminggu sebelum latihan apabila beliau
menghubungi dan menawarkan saya sebagai koreografer pementasan ini saya terus
terima,” kata Pat Ibrahim yang telah menceburi bidang ini lebih 30 tahun.
Menurut Pat Ibrahim walaupun tiga minggu sesi latihan
bersama Ogy, beliau amat kagum pada usianya mencecah 60 tahun Ogy masih kekal
sebagai ‘show girl’ seperti yang dikatakan oleh Che Kem.
“Bukan itu sahaja, malah beliau adalah seorang penghibur
yang kekal dengan sifatnya yang pentingkan kesempurnaan.
“Walau mungkin ada yang menganggap Ogy ‘cerewet’ tetapi
beliau ada reputasi dan tahu apa yang dia mahukan. Ini amat jelas apabila
beliau berbincang dengan saya dan Che Kem sebelum memulakan dan setelah sesi
latihan.
“Saya kagum sikap Ogy yang sentiasa berfikiran terbuka dan
sanggup menerima pandangan kami. Bagi saya, Ogy adalah penghibur sejati kerana
dia tahu apa yang dia mahukan.
“Saya rasa amat bertuah dan bangga kerana beliau mempercayai
saya menyertai pementasan muzikal ini,” kata Pat Ibrahim.
Tidak mudah hasilkan
skrip muzikal – SlenFadzil
WALAUPUN pernah menulis skrip filem pendek dan cerekarama
namun untuk menghasilkan skrip “Muzikal Wajah Rahsia Hati” tidak semudah yang
disangka.
“Pada mulanya apabila Ogy mahukan saya menulis skrip
berkenaan saya menganggap ia bagaikan bulan jatuh ke riba apalagi saya memang
sukakan sesuatu yang baru dan mencabar.
“Namun saya akui ia tidak semudah membilang satu, dua dan
tiga. Bagaimanapun saya bersyukur kerana pengalaman sebelum ini membantu saya
menghasilkan karya berkenaan apalagi saya juga telah mengenalinya sejak sekian
lama.
“Bagi pementasan
Muzikal Wajah Rahsia Hati, penghasilan skripnya memang mencabar kerana perlu
menggabungkan elemen lakonan, nyanyian dan tarian berdasarkan fakta sebenar
perjalanan hidup Fauziah Ahmad Daud, insan biasa dan anak seni,” kata
SlenFadzil yang menulis skrip berkenaan bersama sahabatnya, Zurina Waji.
Sebelum ini, SlenFadzil pernah menghasilkan tiga skrip filem
pendek iaitu Asrar, Iqra’ , Aidil & Atok dan sebuah telemovie “Dosa Tak
Terampun.”
“Apabila skrip ini siap, Ogy berbincang dengan saya siapa
yang boleh menggalas tugas sebagai pengarah. Kemudian Ogy menamakan Che Kem
sebagai pengarah dan saya bersetuju.
“Bagi saya walaupun Che Kem seorang yang ‘low-profile’
tetapi latarbelakang dan pencapaiannya dalam bidang seni bukan calang-calang.
Bersandarkan itu, kami sebulat suara memilih Che Kem,” cerita SlenFadzil.
Menurut SlenFadzil, bersama Zurina Waji, Che Kem dan Ogy
mereka merombak skrip berkenaan beberapa kali agar pementasan ini tampak
menarik dan menghiburkan.
“Ia juga disusun dengan padat dan kemas agar dapat
memberikan ruang kepada Ogy untuk menonjolkan pelbagai emosi dalaman beliau.
“Saya pasti para peminat puashati kerana dalam menyelami
pelbagai rasa dan rahsia serta naluri hati seorang Fauziah Ahmad Daud, anda
akan dihiburkan dengan lagu-lagu merdu dan popular nyanyiannya dan secara tidak
langsung menghilangkan rindu anda kepada anak pasangan seniman Allahyarham
Datuk Ahmad Daud dan Allahyarham seniwati Saadiah,” kata SlenFadzil.
Bila ditanya mengenai Che Kem sebagai pengarah, SlenFadzil
memberitahu;
“Che Kem dipilih kerana latarbelakang serta pencapaiannya
sebagai pelakon dan pengalamannya dalam bidangan pengarahan pentas yang amat
menyakinkan.”
Bagi orang luar mungkin namanya tidak glamour sebagai pelakon
hari ini tetapi Che Kem yang kini bertugas sebagai Pensyarah bidang teater dan
kesenian tradisional di Aswara pernah dianugerahkan antaranya Pelakon Lelaki
Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) pada tahun 2008 kerana
lakonannya dalam filem “1957: Hati Malaya” arahan Shuhaimi Baba.
Bukan itu sahaja, malah lakonannya dalam filem yang sama
beliau juga dianugerahkan Aktor Terbaik dalam Filem pada Anugerah Oskar PPFM
2008. Disamping itu, Che Kem juga berjiwa seni dan berbakat dalam bidang muzik malah
pernah menulis beberapa lirik lagu antaranya “Nirmala” nyanyian Datuk Sri Siti
Nurhaliza ciptaan Pak Ngah. Lagu tersebut memenangi Anugerah Juara Lagu ke-17
(2003) bagi Kategori Irama Malaysia.
Disamping itu, beliau juga pernah mengarah teater antaranya
Muzikal Khas Pertabalan Yang Dipertuan Agong pada tahun 2007 dan Teater Wayang
Sakti yang dipentaskan di Istana Budaya pada tahun 2021.
Sementara itu, penulis bersama skrip pementasan muzikal
berkenaan Zurina Waji menganggap satu pengalaman menarik dapat bekerjasama
dengan Fauziah Ahmad Daud kerana aras tinggi profesionalisme yang datang
bersama namanya.
Bagi Zurina, Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra disapa Ogy
mempunyai reputasi bukan sahaja sebagai seorang yang berkaliber dalam dunia
seni tetapi juga ‘menakutkan’ bagi yang tidak mengenalinya.
“Semasa bertugas sebagai wartawan hiburan sepenuh masa, saya
hanya bertemu Ogy beberapa kali di majlis. Tetapi mengikut SlenFadzil ke lokasi
filem pendek ‘Aidil & Atok’ arahan Ogy pada tahun lalu ia memberi peluang
pertama saya menulis tentang Ogy dan karyanya.
“Disebabkan itu, apabila SlenFadzil mengajak saya
berkolaborasi untuk menulis skrip pementasan ini saya setuju kerana subjeknya
adalah kisah hidup Ogy yang dikenali bukan sahaja bakat tetapi reputasi yang
dimilikkinya.
“Bersandarkan persetujuan itu, banyak diskusi antara saya
dengan SlenFadzil antaranya kami didorong rasa mahu tahu bagaimana Ogy melalui
perjalanannya sebagai anak seni.
“Bukan itu sahaja, malah kami juga ingin tahu sedalam mana
‘dua orang hebat seni’ iaitu seniman Ahmad Daud dan seniwati Saadiah
mempengaruhi Ogy dalam hidup dan karyanya dan yang lebih penting sebagai
‘seorang Fauziah Ahmad Daud.’
“Walaupun tidak pernah menghasilkan skrip muzikal saya dan
SlenFadzil adalah peminat muzikal termasuk antarabangsa kerana kami sama-sama
minat filem terutama filem klasik,” kata Zurina Waji yang pertama kali
berkolaborasi dengan SlenFadzil menghasilkan skrip “Suri Katriana” drama
rantaian 49 episod yang pernah ditayangkan di slot Tiara Astro Prima bermula 30
Oktober 2019 dan berakhir pada 6 Januari 2020.
Menurut Zurina, kepercayaan yang diberikan Ogy adalah satu
penghormatan dan proses selama beberapa bulan itu adalah pengalaman baru yang
amat menarik.
“Bezanya dengan drama, kami berpendapat sebuah muzikal harus
menjadi satu pementasan yang menghiburkan serta mampu memberi pelbagai rasa dan
kepuasan kepada audien. Tetapi apa yang lebih penting mencapai matlamat dan
dalam aspek ini harus beri keadilan kepada penceritaan kisah hidup Ogy. Antara
cabarannya kerana Ogy bukan sahaja pelakon utama tetapi dia juga harus
menyanyi, menari dan membabitkan banyak emosi.
“Sebenarnya banyak perkara yang harus dipertimbangkan dan
kami banyak buat kajian seawal era filem Melayu Jalan Ampas sehingga cerita
Ahmad Daud dan Saadiah selain Ogy dan puluhan sesi pertemuan dan interbiu
beberapa orang seni dan terima kasih kepada Kak Chah (Datuk Habsah Hassan),”
jelas Zurina yang pernah terlibat dalam misi kemanusiaan di sempadan
Jordon-Syria pada tahun 2019.
Menurut Zurina, skrip berkenaan harus dirombak beberapa kali
untuk menjadikan sebuah muzikal yang lebih padat selain dipadankan dengan
lagu-lagu dan penceritaan.
“Saya merasa ‘beruntung’ ada Che Kem sebagai pengarah kerana
pengalaman beliau dalam pengarahan dan persembahan teater turut membantu dalam
olahan skrip selain Ogy. Kehadiran Pat Ibrahim sebagai koreografer
berpengalaman dapat mencantikkan kisah yang dipersembahkan apalagi team pemuzik
Singapura yang dipimpin oleh pengarahnya, Mansor Mohamed.
“Harapan saya, SlenFadzil dan semua yang terlbat dalam
muzikal ini agar ia dapat memberi keadilan kepada Ogy, pada kisahnya juga pada
legasi Ahmad Daud dan Saadiah kerana ia adalah satu persembahan jujur yang
datang dari hati,” kata Zurina Waji.
Bagi para peminat Fauziah Ahmad Daud, setelah persembahan di
Singapura adalah difahamkan “Muzikal Wajah Rahsia Hati” akan dipentaskan di
Kuala Lumpur tidak lama lagi.
“Muzikal Wajah Rahsia Hati” akan dipentaskan di Gateway Theatre, Singapura pada Sabtu ini, 11 Februari 2023 pada pukul 8.00 malam. .