Jom Kita Jadi Geng

Friday, September 27, 2013

SITI NURHALIZA HEBAT MENYUMPIT


Konsert Lentera Timur Siti Nurhaliza telah pun melabuhkan tirainya pada selasa lalu. Menutup dengan seribu kemanisan. Sesuai dengan nama konsert 'Lentera Timur', Siti berada di kelas tertinggi dalam seni hiburan tanahair dan menyerlahkan cahaya seni yang penuh berbudaya. Konsert yang bermula 20 - 23 September 2013. dan pada 24 September adalah persembahan untuk para jemputan sahaja yang dihadiri oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan. Malam itu, walaupun bunyinya satu malam yang formal namun hiruk pikuk penonton tidak dapat dibendung. Para penonton enggan melepaskan keindahan malam itu begitu sahaja. Saya bertuah kerana berpeluang menontonnya sebanyak 2 kali. Apa yang berbeza? Tiada langsung! Cukup lemak manis masam masin nya malam itu. Suara Siti tidak kedengaran lemahnya. Usik gurau di kedua-dua malam itu memang ada bezanya, namun ia cukup untuk menyegarkan sebuah persembahan. Siti tidak berlebih kurang, sedap mata melihat sedap juga telinga mendengar.

Konsert dimulai dengan prolog makyung. Siti tampil berduet bersama Rosnan Rahman mempersembahkan lagu Sedayung Pakyung. Ada gerak tari dalam beberapa kirat. Manis sekali prolog itu walaupun untuk diri saya, mahu lebih lagi mendengar Siti mengalunkan lagu makyung. Mungkin faktor masa lalu lagu itu dipilih tapi ia kena dengan fungsinya sebelum pecah persembahan. Lentera Timur benar-benar dibuka dengan dua lagu dari album Sanggar Mustika iaitu Nirmala dan Kurik Kundi. Nirmala sebuah lagu yang cukup dramatik, tanpa tarian pun ia cukup mengujakan. Pengkisahan dalam lagu itu dengan form yang berbagai benar-benar menguji vokal penyanyi dan Siti membuka Lentera Timur bagai sebuah ceritera. Tatkala bila Siti alunkan "Diciptakan seorang insan, lembut hati bak.. redup pandangan.. pabila berkata seluruh alam menyaksikan kesyahduan...". Ramai mengaitkan bait itu dengan menggambarkan peribadi Siti. Saya tidak menafikannya walaupun isi lirik itu ada kisah yang lain. Dari Nirmala ia bersambung dengan Kurik Kundi, sebuah lagu yang boleh kita istilahkan 'the tapestry of Malaysia'. Sebuah lagu yang menghimpun pelbagai irama dari negeri-negeri di Malaysia. Memang ia lagu untuk tarian dan lagu untuk mengukur ketajaman penyanyi menguasai setiap loghat. Pada lagu pembukaan ini pun, Siti sudah menyuntik unsur kekaguman dengan menyumpit belon. Dan nyata ia tepat pada sasaran. Sisi maskulin yang ditunjukkan ini sangat bagus daripada sudut feminisme.
Pak Ngah selayaknya digelar Bapa Irama Malaysia. Dosa Pak Ngah
adalah kerana menghasilkan lagu Melayu yang hebat. Gabungan dua insan ini
mencetus fenomena Irama Malaysia. Bila tengok mereka berdua, saya boleh senyum
sendiri bila mengenang kisah Siti dan Pak Ngah di studio.
Sepanjang malam persembahan, interaksi Siti dengan penonton sangat baik. Jika di awal kemunculan Siti sebagai penyanyi banyak sekali teguran negatif. Saya kira pengalaman mendewasakan Siti, usikan dan jeritan penonton disambut dengan selamba dan mengena. Siti tidak hilang perkataan, memanglah ada yang diskripkan tetapi reaksi spontannya cukup baik. Banyak segmen dalam 2 jam persembahan itu. Ia bukanlah sebuah perjalanan kesenian dan tiada konsep yang jelas. Dari lagu pertama ke lagu penutup, semuanya tindih bertindih dan timpa bertimpa. Segmen tidak dipecah berdasarkan irama atau aliran pengaruh tetapi ia lebih kepada fungsi irama tradisional. Lalu Lentera Timur digarap dengan segmen Orang Merajuk, Muzikal, Dikir Timur, Patriotik, Tribute to Pak Ngah, Bersama artis undangan dan beberapa lagi. Cubaan membawa lagu pop dalam iringan tradisional cukup baik, lagu Biarlah Rahsia berupa hits Siti yang berhantu. Saya bayangkan hanya gamelan sahaja mengiringinya. Biar kita dengar vokal dan bunyi dentingan tembaga sahaja. Tapi ia dipersembahkan dengan iringan fusion kontemporari sehingga modern rythm section lebih dominan daripada bunyi alat tradisional. Hampa jugalah tapi OK sebab lagu itu sangat sedap. Dan saya harus puji barisan Backup Vocal yang cukup mantap.

Jadi Lentera Timur telah memberi satu kesimpulan bahawa Siti Nurhaliza adalah penyanyi tiada tolok bandingannya di ketika ini. Penguasaannya dalam lagu-lagu melayu dan irama Malaysia sangat hebat dan setara kehebatannya dalam irama pop. Bagaimana bagusnya Siti mengalunkan Bukan Cinta Biasa dan Purnama Merindu begitulah bagusnya Siti menyampaikan Patah Hati dan Cindai. Saya tidak boleh memilih lagu mana paling sedap pada malam itu, telinga saya serap semuanya. Tapi aksi dan suntikan pengarahan persembahan yang cukup melekat dan terbawa hingga ke rumah adalah keajaiban Dato' M.Daud Kilau menukar 10 baju dalam 2 lagu, Aksi minimal tapi mengancam oleh 4 Dara dan kemunculan Isey Salak Madu dalam segmen Dikir Timur. Mereka ini menyeri Lentera Timur dan melengkapkan kesedapan malam itu.
Thanks Budiey. 
Kekurangan? Mana mungkin tidak ada. Saya kira pengarah muzik berlebihan dalam gubahannya. Saya bayangkan Orkestra Tradisional Kebangsaan hanya menggunakan alat muzik tradisional sahaja tapi silap, kebergantungan pada instrument moden masih kuat. Adakah alat muzik tradisional tidak cukup untuk melantun iramanya? Saya tidak percaya. Segmen Sedayung Pakyung dan Dikir Barat elok saja bunyinya. Jadi di masa akan datang ada baiknya Orkestra Tradisional menumpukan pada alat tradisional sahaja. Gitar bass, drum atau piano mungkin eloknya kita cuba lupakan. Satu lagi, elemen fusion hadir dalam sebahagian besar lagu sehingga dalam lagu Damak pun ada elemen cina. 

Sinografi, saya kira multimedia dan propset tidak banyak membantu dan tidak mewakili apa-apa konsep. Tidak semacam menonton konsert M.Nasir yang lalu. Masakan separuh persembahan struktur sangkar tergantung begitu sahaja. Penggunaan bangku, tangga rumah adalah sangat literal dan memerlukan banyak keluar masuk. Eloknya dihasilkan sebuah pentas yang boleh mewakili banyak segmen memandangkan Lentera Timur bukanlah persembahan realis semata-mata. 
M.Daud Kilau contoh performer yang hebat. Dua kali saya menonton,
dua kali saya boleh terkekek-kekek ketawa. Siapa designer baju dia?
Tarian, saya kira ia beri impak pada persembahn. Tambah lagi pada segmen-segmen muzikal dan 3 lagu terakhir termasuk Popaleh Weh. Cuma saya tercari-cari tarian tradisional sepanjang malam itu. Semuanya kreasi baru. Gerak tari dalam Sedayung Pakyung bukanlah tarian, ia lebih kepada gerak improvisasi pakyung. Hampir kesemua lagu tariannya kreasi baru. Banyak gerak-gerak kontemporari sehingga sepanjang malam itu saya lihat tariannya sama sahaja, yang berbeza adalah rentaknya. Sayanglah Lentera Timur adalah konsert tradisional. Koreografer harus merancang mana lagu dan segmen yang perlu tonjolkan seni tari asli.  Apapun Artistana Istana Budaya hebat dan kostumnya menarik.

Saya mahu tutup entry ini dengan ucapan beribu-ribu Tahniah kepada Siti Nurhaliza Production dan Istana Budaya. Bukan senang usaha mengangkat seni budaya dalam arus globalisasi ini. Waktu Irama Malaysia sekadar mengisi radio Klasik Nasional, kedua-dua pihak berani mengambil inisiatif menyegarkan kembali irama yang pernah menjadi fenomena di dekad lalu. Saya percaya mereka yang hadir sangat menghargai keindahan lagu-lagu Melayu, mengagumi kehebatan Siti Nurhaliza dan berbangga dengan keunikan irama Malaysia. Saya sangat berharap gelombang yang di bawa Siti ini membawa kepada kebangkitan semula irama Malaysia.

Wednesday, September 25, 2013

BINI MATYO BUKAN BODOH! BUKAN BODOH! BUKAN BODOH!


Semalam ada tiga berita buruk buat Malaysia; 1) Pelatih PLKN dibunuh. 2) Budak 17 tahun bunuh polis dan 3) Bini Matyo Tak Bodoh. Malaysia harus berkabung!

Mari kita raikan kemenangan Pak guard Azman Md Nayan kerana berjaya menyerlahkan kebodohan bini Matyo. Resam dunia hari ini, orang suka membanggakan diri dan merasakan betul segala tindak tanduknya. betul pada hak dan fikirannya sahaja tanpa mempedulikan hak orang lain. Dalam kes video bini Matyo ni saya pun heran mulanya, kenapa dia muat naik video ini sedangkan ia memperlihatkan kebodohan dan kebongkakannya. Bila tenung dalam-dalam, saya tahu bahawa ini contoh jenis penyakit hari ini. Penyakit bongkak dan bangga diri, rasa betul, yakin betul, pasti cerdik, yakin itulah tindakan terbaik. Maka kejadian yang dirakam oleh bini Matyo dan dimuat naik ke laman sosial adalah dengan harapan, dia akan dijulang sebagai manusia yang menegakkan hak dan menyerlahkan keberaniannya melawan peraturan. Tahniah bini Matyo, kecekapan awak merakam dan memuat naik, telah membuka mata kami bahawa salah satu ciri-ciri isteri pemain bola yang handal adalah MESTI BONGKAK!

kreatif betul orang yang buat ni. Ia beri signal bahawa
orang kita cepat bereaksi
Sekali lagi mari kita tepuk tangan dan bersorak atas kecekapan bini Matyo ini. Bini Matyo telah berjaya memperlihatkan sisi baik Matyo sebagai suami kerana berjaya melatih bininya menjadi sangat berani dan menegakkan keadilan. Ya lah sebelum ini pun, bini dia juga yang marahkan Annuar Musa. Hebat! Hebat! Jadi bila Matyo terpaku dan diam memerhati cara isterinya bertelagah dengan pak guard sambil mengeluarkan kata-kata hina nista kepada seorang yang lebih tua, yang rendah pekerjaannya, yang cuba melaksanakan tugasnya, yang cukup sabar melayan kerenahnya, yang dihina oleh wanita muda, yang digelar dayus, yang digelar bodoh- Matyo hanya diam tanpa menegur tingkah isterinya. Jadi syabas untuk Matyo kerana berjaya menjadi seorang suami yang pendiam, sabar dan merasa OK melihat bininya begitu. Syabas Matyo!

Hari ini, surat khabar jadikan kisah ini sebagai tajuk berita utama. Sukalah bini Matyo sebab dia akan popular. Dari orang tak mahu tahu kisahnya kini dia jadi carian popular di google. Tapi orang tak taiplah namanya, orang taip carian 'bini matyo'. Saya harap bini apek jangan buat kerja macam ini. Mungkin bini Matyo rasa dia sudah berada dalam kelompok berbeza, sangat eksklusif, tak boleh ditegur, status Matyo hari ini adalah kebanggaannya. Bukan senang nak capai, hanya berbekalkan kaki suami dia sudah mampu berkereta mewah dan jinjing beg mahal. Kalau di United Kingdom, bini Matyo tentu dah masuk kelompok WAG. Tahu tak apa itu WAG? Maksudnya Wife And Girlfriend pemain bolasepak Liga Inggeris. Bezanya, WAG di sana memang kelas, dan berpendapatan jutaan ringgit. Tapi kalau setakat bini Matyo - diludah Victoria Beckham saja. HaiitttPuiihh!

Kasih isteri membawa ke syurga?
Abang Azman Mat Nayan pun jadi hero ekoran kejadian itu. Tahniah bang, abang adalah cerminan Melayu.
 Sabar dan sedar  tetapi pantang bila dihina. Ketegasan yang ditunjuk adalah bukti bahawa masih ramai pegawal keselamatan yang dedikasi dan melakukan tugas dengan tanggunjawab. Video bini Matyo ini juga bukti bahawa betapa pekerjaan sebagai guard itu jadi hinaan orang, dipandang rendah. Agaknya berapa ramaikan guard diperlakukan begini? Ada statement bini Matyo yang dicerita abang Azman yang buat saya rasa 'alahai perempuan ni memang daki dunia'. Boleh dia kaitkan 'kerabat' untuk minta dihormati! Memang daki lah manusia begitu, malulah istana yang dipergunakan. Jika benarlah dia kata begitu, maka saya anggap mentaliti bini Matyo berada di tahap paling rendah.

Kesian Matyo, dia bekerja keras dengan kakinya untuk dapat puluhan ribu, isterinya hanya buat video tak sampai 1 minit sudah dapat ratusan ribu like dan view. Syabas bini Matyo, anda hanya letak otak dikaki untuk jadi hebat.

Kita harus tunjukkan kebencian pada sifat dan sikap begini, jangan diam. Biar jadi kepochi di alam maya. Jika tidak akan lebih ramai manusia bongkak lahir di Malaysia.

Monday, September 23, 2013

KESULTANAN BRUNEI SIMBOL MELAYU



Pengislaman Raja Brunei, Awang Alak Betatar setelah berkahwin dengan puteri Johor (Singapura Tua) dan menukar namanya kepada Sultan Muhammad Syah dianggap sebagai titik mula kemuculan Brunei sebagai negeri merdeka dan berdaulat.  Sebagaimana disebut, sebelum Islam Brunei terlebih dahulu menerima pengaruh Buddha dan Hindu dan ini mempengaruhi corak kehidupan, amalan dan budaya masyarakatnya. Walau bagaimanapun, setelah Sultan Sharif Ali ditabal menjadi Sultan Brunei ketiga, Islam mula diterima secara menyeluruh dan merubah kehidupan masyarakat Brunei.  Apatah lagi, Kerajaan Islam Melaka pada masa itu menguasai alam Melayu . Dalam Silsilah Raja-raja Brunei ada menyebutkan bahawa selepas pengislaman Awang Alak Betatar cara pemerintahan Brunei turut berubah:

“ …kerajaan dalam kandang daerah negeri Brunei Darul’aman yang turun-temurun yang mengambil pesaka nobat negara dan genta alamat dari negeri Johor Kamalu’-maq-am dan mengambil nobat negara dan genta dan alamat Minangkabau, iaitu negeri Andalas.”

            Kegemilangan Brunei dipercayai semasa pemerintahan Sultan Brunei kelima, Sultan Bolkiah atau dikenal sebagai Nakhoda Ragam.  Sultan Bolkiah memerintah dari tahun 1473-1521, mengahwini Puteri kepada Betara Sulu, Lela Menchanai. Di bawah pemerintahannya Brunei berkembang maju dan menyusun pentadbiran negeri secara lebih tersusun. Semasa Sultan Bolkiah telah diperkenalkan jawatan Bendahara dan pengiran Temenggung sebagai pegawai terkanan untuk membantu pentadbiran negara. Kegemilangan Brunei ini mengambil peluang atas kejatuhan Melaka pada tahun 1511 ke tangan Portugis. Hughes Hallet mengatakan bahawa pada zaman keemasan Brunei ini, empayarnya melangkaui Borneo Utara, Sarawak, Kepulauan Sulu dan keseluruhan pulau-pulau Balabac, Bangi, Balambangan, Mantani dan Barat Laut Palawan.
            Kemunculannya sebagai sebuah negara Islam yang kuat di rantau ini sesuai dengan dasar Benua China pada masa itu yang melaksanakan dasar membangunkan hal-ehwal dalam negeri dan mengurangkan pengaruhnya di negara-negara rantau sini telah member peluang kepada kerajaan Brunei mengambil alih peranan yang dimainkan oleh Melaka dan Majapahit. Ini telah menarik pedagang-pedagang Arab, China, Portugis dan lainnya menjadikan Brunei sebagai pelabuhan perdagangan mereka.  Kegemilangan kerajaan di bawah Sultan Bolkiah ini telah membentuk organisasi masyarakat Brunei teratur dan lebih kompleks dengan sistem politik, pentadbiran, ekonomi dan ketenteraannya sudah mencapai tahap yang tinggi.

            Kemangkatan Sultan Bolkiah memberi kesan kepada keteguhan kerajaan Brunei di mana sultan-sultan selepas beliau gagal mengekalkan pengaruh dan kekuasaan Brunei. Banyak negeri-negeri jajahan Brunei mengambil peluang untuk melepaskan diri dari naungan Brunei. Walaupun Sultan kesembilan Brunei, Sultan Muhammad Hassan (1582-1698) cuba mempertahankannya dengan memeperkenalkan beberapa dasar termasuklah memperkenalkan Hukum Kanun Brunei, menambah jawatan pembesar seperti Pengiran Di-Gadong, namun usaha baginda gagal memandang pada abad ke-16, kuasa Barat sudah memasuki dan menakluk negeri-negeri di rantau Melayu. Sepanyol di Filipina, Protugis di Melaka dan Belanda di kepulauan Indonesia. Hal ini menggoyahkan kedudukan dan pengaruh Brunei apatah lagi, Brunei turut menerima ancaman Sepanyol yang ingin menguasai keseluruhan utara pulau Borneo setelah berjaya menakluk Manila di Filipina. 

            Secara ringkasnya, kuasa-kuasa Barat menguasai rantau nusantara pada abad ke 17 hingga ke 19 telah memusnahkan sedikit demi sedikit unit-unit politik Melayu. Pada ketika itu, kesultanan Melayu yang tinggal ialah Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu. Namun kedua-dua kerajaan ini sangat lemah berbanding dengan pengaruh Barat yang begitu kuat di dalam menguasai ekonomi perdagangan dan politik. Thailand menjadi satu-satunya negara yang berdaulat tanpa dikuasai oleh barat ketika itu. Penguasaan Inggeris di Borneo khususnya di Sarawak pada tahun 1845 sehingga membawa kepada penyerahan Limbang pada 1890 telah menjadi rentetan awal kejatuhan Brunei. Ekoran daripada konflik dalaman dan tipu helah yang digunakan oleh James Brooke serta serangan-serangan yang dilakukan oleh Inggeris ke atas beberapa daerah di Brunei seperti Belait dan Tutong telah membawa kepada perjanjian dibuat. Pada tahun 17 September 1888, Brunei telah menandatangani perjanjian dengan James Brooke yang disebut sebagai Perjanjian Proctectorate, ini membawa kepada akuan Brunei menerima penglibatan Brooke dalam hal ehwal negerinya. Muslihat Brooke asalnya adalah untuk menghapuskan negeri Brunei dengan menjadikan ianya satu wilayah Borneo namun campur tangan British pada tahun  1906 dan menempatkan seorang Residen British telah menggagalkan rancangan James Brooke.  Sejak itu, Brunei di bawah jajahan dan naungan British sehinggalah kemerdekaannya pada 1984.

Sejak pemerintahan Sultan Muhammad Syah, Brunei telah dipimpin oleh seramai 29 orang Sultan. Sebagai sebuah kerajaan yang pernah bernaung di bawah pentadbiran British dari tahun 1888-1984, Brunei telah merentasi tempoh mematangkan diri dalam mempelajari selok belok pentadbiran sesuai dengan keperluan antarabangsa. Dasar-dasar yang dilaksanakan Brunei telah mengambil-kira keupayaan menyerlahkan negara kecil ini di persada antarabangsa. Kekayaan hasil minyak menjadi sumber terpenting dan meletakkan Brunei dengan mudah di dalam peta dunia. Tahun-tahun 1960 hingga 1970 menyaksikan Brunei betul-betul dicabar dengan berbagai rintangan di dalam mengekalkan kedaulatan negaranya. Penubuhan Parti Rakyat Brunei pada tahun 1957 yang menjadi kumpulan pendesak utama di dalam menggoncang institusi di raja dan kerajaan Brunei pada masa itu sehingga membawa kepada kemenangan Parti Rakyat Brunei di bawah pimpinan A.M. Azahari dalam pilihanraya tahun 1962 dan menular kepada peristiwa berdarah dalam tahun yang sama, benar-benar menggoyahkan Kesultanan Brunei selaku pemerintah. Selain itu, Gagasan Malaysia yang mempunyai pelbagai perkara pro dan kontra yang membawa kepada perbincangan yang panjang turut meletakkan Brunei di dalam dilema.  Provokasi yang dimainkan oleh mereka yang berkepentingan yang menghasut rakyat,serta desakan Kerajaan Persekutuan Malaya di bawah Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman telah meletakkan pemerintah Brunei dalam tekanan.

            Di sinilah letaknya kebijaksanaan Sultan yang mentadbir Brunei semasa itu, Sultan Haji Omar Ali Saifuddien.  Sejak kedatangan kuasa British dalam Brunei pada tahun 1906 telah menyebabkan kepupusan pengaruh Hukum Kanun Brunei yang pernah dikuatkasakan semasa Sultan Mohammed Hassan (1582-1598). Hukum ini boleh dianggap sebagai perlembagaan Brunei namun menjadi kurang berfungsi selepas  pentadbiran hal ehwal dalam dan luar negara menjadi tanggungjawab Residen British. Namun atas kewibawaan Sultan Haji Omar Saifudden yang berfikiran moden dan melihat perlunya asas di dalam memastikan kedaulatan  negara Brunei dan keutuhan Kesultanan Melayu islam Brunei yang berlandaskan kepada kebudayaan dan identiti melayu Brunei sendiri maka Hukum Kanun Brunei difikirkan sesuai sebagai alat yang menjadi asas terbentuknya satu perlembagaan baharu. Pada 29 September 1959, atas desakan dan cadangan baginda, Brunei berjaya memastikan Bristish mengisytiharkan Perlembagaan Negara Brunei. Pembentukan perlembangaan ini dianggap sebagai titik awal pemodenan sistem politik Brunei. Memetik titah baginda:

“… Perlembagaan yang baru beta masyhurkan adalah satu langkah yang besar dalam kemajuan perlembagaan Negeri ini menuju kea rah kejayaan sendiri yang penuh dan merdeka… maka kejayaan perlembagaan ini dan cepatnya Negeri brunei dapat mencapai taraf kerajaan sendiri yang  penuh akan bergantung kepada taat setia rakyat kepada perlembagaan ini…”  (Intisari Kebudayaan Brunei, 1988)

Perlembagaan ini yang menggantikan pentadbiran lama sebelum 1959 yang meletakkan Sultan samatara dengan Residen British. Perlembagaan telah memberi jaminan yang lebih menguntungkan rakyat Brunei apabila residen digantikan dengan Pesuruhjaya Tinggi yang tidak lagi mengambil tempat di dalam Majlis Mesyuarat Negeri. Majlis Mesyuarat negeri yang bertanggungjawab kepada Sultan tentang pentadbiran dalam negeri diketuai oleh seorang Menteri besar yang dilantik oleh sultan sendiri. Syarat lantikan seorang menteri besar itu hanyalah terhad kepada rakyat Brunei dan beragama Islam bermazhab Safie. Ini kejayaan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien  di dalam memastikan anak tempatan mentadbir dan memerintah negeri mereka sendiri. Apa yang penting ialah kenyataan Bab 41 (b) Perlembagaan 1959 yang meletakkan Sultan adalah pemerintah tertinggi dan menunjukkan bahawa kuasa dan tampuk pemerintahan berada di tangan baginda. Yang lebih penting, baginda mengekalkan kedaulatan negeri dan keutuhan Kesultanan Brunei sejak turun temurun. Baginda berpendapat perubahan politik melalui Perlembagaan ini adalah dalam usaha melatih anak tempatan berkelayakan mentadbir dan memastikan kestabilan bentuk pemerintahan tradisi yang diamalkan sejan abad ke 14 diteruskan sesuai dengan keperluan dan perubahan yang berlaku di dalam negeri dan serantau.

            Kesan daripada polisi Sultan yang memastikan corak pemerintahan tradisi ini bertahan digambarkan melalui rundingan-rundingan dan ucapan-ucapan baginda.  Semasa Brunei berupaya mendapat kemerdekaan lebih awal, baginda secara lembut menolak atas perihatin baginda melihat keupayaan Brunei sendiri yang kurang mampu melindungi negaranya di rantau ini. Hal ini tergambar melalui peristiwa berdarah 1962 apabila kumpulan pendesak menganjurkan protes sehingga membawa kepada kematian. Bantuan ketenteraan British telah menolong Kesultanan Brunei lenyap di tangan rakyat  khususnya Parti Rakyat Brunei yang mahukan rakyat mentadbir sebagaimana amalan Malaya, Indonesia dan Filipina.

Sultan Hj Omar Ali Saifuddein
           Penolakan Sultan Haji Omar Ali Saifuddein meletakkan Brunei dalam Malaysia pada tahun 1963 jelas memperlihatkan bagaimana baginda menjaga kedaulatan Brunei dan Kesultanannya. Keengganan baginda menyertai Malaysia atas beberapa perkara yang cukup berasas khususnya daripada sudut ekonomi dan politik. Soal pembahagian harta Brunei kepada Malaysia dan pemilikan hasil minyak Brunei telah menjadi isu utama di dalam rundingan itu,  baginda menganggap ianya sebagai satu ufti yang seolah-olah Brunei di bawah takluk jajahan Persekutuan Tanah Melayu. Ini pernah dititah baginda sebagai “Jangankan $40 juta, setitik susu getah atau sebiji kelapa pun beta tidak mahu member kepada Malaysia” . Baginda yang amat sedar kekayaan dan kedaulatan Brunei akan pupus apabila menyertai Malaysia kerana ianya meletakkan Brunei sama seperti negeri-negeri lain. Termasuklah setara dengan Sabah dan Sarawak yang pada sejarahnya pernah menjadi jajahan Brunei.  Daripada segi kedudukan baginda sebagai pemerintahan pula, ianya jelas meletakkan baginda di bawah Persekutuan dan tiada beza dengan pemimpin negeri-negeri yang lain sedangkan selama ini baginda adalah seorang Raja pemerintah yang punya kuasa, naungan, kekayaan dan lebar salasilahnya. Titah baginda ini menunjukkan keinginan baginda sebenarnya  (Osman S. , 2001):

“Beta dan kerajaan telah membuat keputusan bahawa kepentingan bagi kebajikan Brunei dan rakyatnya tidak dapat dicapai dengan kita memasuki Persekutuan Malaysia yang dicadangkan itu pada masa ini.”

 Tulisan ini saya berdasarkan beberapa buah.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...