Jom Kita Jadi Geng

Wednesday, December 31, 2008

YANG PERGI DAN YANG DATANG



Banyak perkara mahu diceritakan tapi tak tahu yang mana satu mahu diceritakan. tahun baru 2009 sudah diambang, esok. 14300 Hijrah pun sudah masuk hari ketiga. Jadi sebenarnya apa yang tidak cukup? apa yang tidak siap? apa yang tidak sempat dicapai? apa yang termakbul? Banya sungguh mahu diceritakan pasal tahun yang akan pergi ini, 2008.

Lepas entry  pasal arwah dato' syed Alwi, banyak sekali perkara berlaku termasuklah nasir P.Ramlee telah kembali ke rahmatullah. Saya kenal dia semenjak dia bekerja dengan Istana Budaya. Kami bekerja untuk satu majlis Badan Warisan, arwah selaku ketua muzik kombo. Selepas itu, bila jumpa dia yang akan tegur saya dulu. melihatkan caranya, arwah memang bukan jenis sombong. Kita pun jadi tidak fikir dua tiga kali bila mau bercakap dengannya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Saya baru pulang dari Melaka kerana menjayakan satu acara sambutan Rumah Terbuka Krismas. Ini jadi kemusykilan saya dan adakala saya rasa macam kartun. Perayaan krismas adalah perayaan penganut agama kristian. tetapi untuk sambutan Rumah terbuka, yang sibuk dan bekerja keras adalah kami, kakaitangan Melayu yang beragama Islam. Bukan itu sahaja para penari dan penyanyi mempersembahkan lagu-lagu bertemakan krismas. Bila saya katakan Melayu maka Islam lah agamanya. Jadi serba salah dibuatnya. Berdosakah? Bukan sahaja Krismas malah sambutan perayaan Tahun baru Cina dan Deepavali pun. yang sibuk memikir dan membuatnya adalah kami kakitangan muslim. jadi pada rumah terbuka tempoh hari, penari, penyanyi, vip dan kebanyakkan tetamu islam pun menyanyikan lagu-lagu krismas. Siap bertepuk tangan dan menari-nari. macamana tu? Lagu Jingles bells, Santa comes to town lah dan macam-macam lagu lagi. lebih dahsyat ucapan pemimpin menyebut kesyukuran atas rahmat sebab dapat meraikan krismas dengan aman (beliau  muslim). Saya harap Allah mengerti niat hati saya dan kerana apa saya melaksanakan tugas itu.



jadi apakah azam tahun 2009? Tidak ada! Setakat ini saya belum pernah ada azam. Life goes on. Hajat nak beli Honda... tinggal harapan, duit tiada... gaji kecil. Tidak mengapa asal mimpi lena dan hidup bahagia.

Apa yang menariknya tahun 2008? Saya terima 2 anugerah atas lakonan dalam 1957 Hati Malaya. Alhamdulillah murah rezeki. yang pasti kasih saya anak-isteri tidak pernah putus dan keasih sayang keluarga tidak juga surut.

Wednesday, December 3, 2008

DATO' SYED ALWI PERGI BERSAMA TOK PERAK

Saya betul-betul mengenali Allahyarham dengan duduk bersembang berjam-jam mendengar beliau bercerita kisah-kisah silamnya sehinggalah impiannya. melihat beliau berceloteh seperti menonton sebuah drama. beliau memberi imaginasi yang cukup tinggi kepada saya yang mendengar. Asyik sungguh. Saya yang dahulu mendengar kisah dan peel perangainya dari orang-orang yang pernah bekerja dengannya membuatkan saya kurang gemar dengan ketokohannya. Namun prejudis saya itu terhakis sama sekali bila saya mula mendampinginya, kata orang tak kenal maka tak cinta. Saya sebenarnya jatuh cinta dengan Allahyarham.
Ya Allah, tuhan saja yang tahu betapa beruntungnya saya, yang dahulu hanya mendangar dan membaca kisah beliau. Semasa di UM saya mengkaji sumbangan beliau dalam perkembangan drama dan teater moden Malaysia. Akhirnya saya duduk semeja dan memandang, memeluk dan mendengar beliau berceloteh. Asyik masyuk saya jadinya.

Peluang itu saya peroleh, semasa saya mengendalikan bengkel di ASWARA di mana Fakulti Teater menjemput beliau untuk berbicara tentang teater di hadapan para pelajar teater ASWARA pada 1-2 april 2008 yang lalu. masa tu saya lihat, pelajar semacam tidak tahu bagaimana nak menghargai seorang tokoh di hadapan mereka. Tatkala beliau sedang berbicara pelajar lebih senang berbaring atau melayan game dan sms.


Macam-macam perasaan semasa mendengar ceritanya sari zaman kecilnya ke zaman Jepun hingga kisah-kisahnya di USA dan perjuangannya dengan teater. kecewa beliau pada birokrasi pada politik pada salah guna kuasa. Satu kekesalan beliau yang jelas diluahkan kepada saya ialah mengenai pementasan teater 'Keris'. Allahyarham melahirkan rasa tidak dihargai dan anugerah seniman negara yang diterimanya hanyalah satu mainan orang birokrasi. katanya "kau bayangkan kamarul, Keris tu diarah dan ditulis oleh saya seniman negara dan senirekanya oleh Dato' Syed Jamal seniman negara juga... bagaimana 2 seniman negara ini berkarya tetapi tidak dipandang oleh Istana Budaya malah campakkan kami ke DBP. kalau begitu jangan ada seniman negara kalau kementerian yang bagi tapi mereka yang tak menghargainya". Tapi nadanya tidak keras...tenang saja namun gelodak dalam dadanya menggoncang gemuruh saya.

Oktober lalu semasa pementasan Muzika Tun Razak di ASWARA, saya terpandang beliau... saya sapanya dan saya kata "apa pun dato' saya nak peluk dato'..nanti kita jumpa'. kami berpeluk dan itulah detik pertemuan terakhir kami.

AL-FATIHAH BUAT ALLAHYARHAM DATO SYED ALWI SEMOGA ROHNYA DITEMPATKAN DI KALANGAN ORANG YANG BERIMAN. AMIN.

Tuesday, November 25, 2008

FAUZIAH NAWI


Setiba kami di Stor Teater DBP, ada sebilangan penonton yang sudah menunggu. Suasana agak santai di mana Stefani sengaja meletak atur beberapa bangku di hadapan panggung. Saya suka cara ini kerana ia memberi satu rasa santai, ditambah ada jualan makanan dan minuman panas.
Secara jujurnya, saya agak kurang berkesempatan menonton teater-teater oleh STEFANI, ada sahaja halangan nya. Seingat saya yang pernah saya tonton adalah Dari Bintang ke Bintang dan Opera Ayu Cendana. Tidak ada rasa jelik menonton 2 persembahan itu malah semasa menonton dari Bintang ke Bintang saya cukup asyik dengan melodi gamelan dan alunan lagu-lagunya apatah lagi bila puisi-puisi Usman Awang diteaterkan.
Malam tadi, bila ada peluang menonton Cinta Julia, saya jadi suka sangat kerana dapat peluang dan beroleh masa menonton Fauziah Nawi di pentas setelah sekian lamanya. Saya tiada langsung pengalaman bekerja dengan kak Yah, tetapi mengagumi Fauziah Nawi sebagai pelakon bukan setahun dua ini tetapi ia bagai satu sejarah yang panjang. Saya mula jatuh hati pada lakonannya sewaktu usia saya 9 atau 10 tahun. Rasanya bila saya menonton beliau dalam filem Bintang Pujaan. Wataknya taklah besar dalam filem tu tapi impaknya sebagai pelakon cukup kuat. Masa tu saya dah kata... kenapa dia ni tak jadi heroin? Dan rasanya saya tidak jemu melihat dia di layar atau di pentas... lihat sahaja wataknya dalam Sayang Salmah...Norish dah jadi macam pasu bunga dalam filem tu dek kerana Fauziah Nawi.
Memang adakala kita lihat Fauziah nawi macam tipikal... main watak mak mak mak atau watak menangis menangis menangis tambah tambah lagi kebelakangan ini, bila aje hari raya adalah cerita lakonannya...sediiiih je lah. memang betul ia jadi typecast tapi adakah dia lakonkannya dengan gagal, nyatanya dia tidak pernah gagal. Anehnya, kita jadi begitu pesimis bila selalu sahaja melihat seseorang pelakon yang asyik mengulang watak dan sampai ketika kita dah tak mampu lagi nak melayan lakonannya. Berbeza dengan pelakon seperti Fauziah Nawi, biar wataknya sama tapi mereka memberikan dimensi lain dalam lakonannya. Ini membuatkan kita tak jemu. Mereka macam magnet yang menarik.
Berbalik pada monolog Cinta Julia, awalnya memang saya mula membaca watak-watak dan cerita yang muncul dalam naskhah itu. Tetapi lama-kelamaan semua itu dah tak penting bagi saya, fikiran saya macam dijolok dipulas dan dikuis-kuis supaya lupakan soal kisah Cinta Julia. Saya macam berperang dalam hati. Kotak fikir saya duk mencari apa sebenarnya keistimewaan Cinta Julia ini sehinggakan mata macam tak mahu berkelip dan badan tak mahu berkalih. Di pertengahan cerita, sewaktu kisah Julia mempersoalkan kerja ibunya sebagai penari joget saya mula hanyut bertemu apa yang sebenarnya yang saya lihat... Bodoh! Saya terpesona dengan Fauziah Nawi!
Dia saya lihat macam gadis, saya lihat macam ibu, macam perempuan seksi, perempuan gagah, teguh, ajaib dan macam-macam. Saya membaca dan menampi-nampi. Saya mula membeza banding dengan pelakon yang ada hari ni... saya benci budak muda sekarang yang dah syok jadi bintang, saya benci pada pelakon yang gila nak publisiti, saya benci pada pelakon yang tak tahupun apa yang dia cakap, saya benci pelakon yang gila datang malam anugerah dan gila tayang badan, saya benci pelakon yang macam clown muka mereka, saya benci saya benci saya benci. Itu semua bermain semasa Cinta Julia berlangsung. Bodoh betul! Kenapa saya lari dari niat asal saya niiii...
Akhirnya saya temu jawapan... Inilah dosa Fauziah Nawi. Di mana dia peroleh tenaga itu semua? Anda yang membaca entri ini, saya cadangkan pergilah menonton, tidak rugi... ketika kita menonton sebenarnya kita sedang menonton seorang lagenda.
CINTA JULIA DI STOR DBP SEHINGGA 2 DIS 2008.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...