Jom Kita Jadi Geng

Sunday, November 10, 2013

BULAN LEBIH INDAH

diambil dari Rumah Anak Teater
Mungkin saya masih terperangkap dalam terowong lama dan tidak berkembang dan tidak berubah-ubah bila melihat bentuk yang baru. Mungkin sekali saya suka dan yang itulah jadi 'benchmark' nya. Mungkin saya ada prejudis? Tidak mungkin lah sebab waktu mahu menontonnya fikiran saya sangat terbuka. Saya hanya mahu lihat kerja orang hebat. Kerja kawan lama...

Trilogi yang dipersembahkan adalah cerita lama yang berkembang dari satu cerita pendek untuk tujuan malam anugerah Boh Cameronian Award. Malam itu, naskhah dan karya Namron diangkat mewakili generasi baru dan generasi alternatif di pentas berprestij seperti Boh Awards. Mardiana mainkan watak Bintang. Dengan rambut tidak rapi, berkemeja putih besar dengan suara lantang dan bertenaga dia meniti penuh hati-hati di atas satu garis yang saya anggap itu titian yang membelah dosa pahalanya. Mardiana membuka malam itu dengan hebat sekali. Dewan Mandarin Oriental menaakul maksud cerita Namron walau itu cerita mirip kisah yang menjadi tatapan muka depan akhbar.

Malam menonton Aku Nak Jadi Bintang persembahan Sharifah Amani, perasaan saya jadi jahat. Saya heret semula pengalaman menonton Mardiana walhal sepatutnya saya tidak harus begitu. Tapi imej Mardiana terlalu kuat untuk saya lepaskan. Amani bermain dengan ringan sekali. Dia seperti pari-pari yang terbang dari satu bintang ke bintang. Perasaannya cantik, comel, manis sekali. Dia tidak kelihatan seperti seorang yang mirip 'Norita' (Itu pun yang dibisikkan kepada saya oleh seorang pelakon dan pengarah filem hebat pada malam itu). Sesekali Amani meniti tapi titiannya tidaklah satu beban yang berat. Kisahnya mahu jadi bintang jadi satu fantasi seorang perempuan cantik.

diambil dari Rumah Anak Teater
Cerita kedua adalah Laut Yang Tenang. Kisah ini jadi pelengkap dua cerita terawal iaitu Aku Nak jadi Bintang dan Laut lebih Indah dari Bulan. Dua pelakon yang sudah punya pengalaman di pentas beraksi, Vanida dan Aqasha.

Aqasha punya sosok tubuh yang cocok untuk jadi Laut (seperti Haniff - lelaki disabit bunuh Norita) dan ada ciri bijaksana. Namun permainan soal jawab antara Aqasha dan Vanidah semacam ada yang tidak cukup. Ia seolah berlaku dalam mahkamah, seperti seorang pendakwa menyoal tertuduh. Sesi ini jadi sangat tegang walaupun dalam bicara itu ada hal-hal yang boleh diringankan. Kisah peribadi kedua-dua watak saya kira menarik, tapi dua aktor ini memilih untuk persembah cara begitu. Dua naskhah awal malam itu bawa fikiran saya jadi berat. Dalam hati kata 'cepatlah Sofia keluar'.


Waktu Sofia memulakan cerita Laut Lebih Indah Dari Bulan, saya kata 'oh dia pilih sebagai orang yang naif' tapi saya salah. Bila dia bersoal tentang 'jadi baik' dan 'jadi jahat' saya kata kenapa nadanya begitu? Marlenney lebih baiklah. Tapi Bulan di tangan Sofia meningkat dan berkembang dari plot ke plot. Sofia membedah perwatakan Bulan jadi seorang isteri dan wanita yang cukup menawan. Dengan hanya sebuah kerusi dan majalah yang bertaburan, permainan Sofia meyakinkan. Dia memberi imaginasi pada setiap ruang dan aktivitinya. Saya melihat Bulan sakit luar dan dalamnya apabila satu persatu kejahatan Laut terbongkar. Sakit dan sakit sungguh saya lihat Bulan ketika itu.

Memang bulan itu metafora kepada wanita dan Namron menafsir watak bulan pada naskhah ini cukup baik. Sofia pula memberi nyawa pada Bulan. Mewarnai karakter Bulan dengan sifat dan sikap yang meyakinkan. Bulan mesra dengan sinar , mudah menyerap dan menyeri gelap malam. Bulan adakala gerhana dan ketika itulah Sofia melontar dan menghujah satu-satu kecewanya. Percayanya pada Laut luluh satu-persatu. Lakonan Sofia beranjak dimensi ke dimensi. Penonton pun hanyut melayan kisah Bulan. Bulan mencuit dan berbahasa pada penonton. Ceritanya turun naik buat saya selaku penonton pun turun naik. Syabas Sofia!

Apapun produksi Teater Kompilasi Namron ini menghidangkan yang istimewa. Syabas buat Namron dan Rumah Anak Teater. Kalau boleh pentaskan semula Lembu dan Mat Deri Kola Perlih. Atau mungkin ada naskhah baru yang bawa semula gandingan Eijat + Namron atau Mardiana + Namron.

Monday, November 4, 2013

MENUNGGU LAMPU HIJAU


Monodrama Menunggu Lampu Hijau tamat petang semalam. Saya kira ia berjaya setelah sekian lama tidak ada projek monodrama di ASWARA. Naskhah yang ditulis oleh penulis tersohor dan juga penerima Anugerah SEA Write Award 2008, Dr Hatta Azad Khan jadi signifikan kepada bentuk teater hari ini. Dr. Hatta saya lihat cuba mendekati khalayak baru melalui bentuk sebegini. Seperti kita ketahui beliau adalah Rektor ASWARA dan bekas Ketua Pengarah Istana Budaya serta pernah mementaskan teater di panggung bertaraf dunia itu. Jadi bila beliau pilih teater kecil seperti blackbox, saya kira ini langkah orang hebat berstrategi baru.

Jika dilihat kepada perkembangan teater hari ini, khalayaknya sudah berbahagi-bahagi. Kalau dahulu kita ada kelompok teater Inggeris dan Melayu (siapa yang pecahkan begini saya tidak tahu, walhal kalau namanya teater ia tetap teater). Tapi mutakhir ini, sejak Istana Budaya (IB) muncul dengan imej prestij dan hi-tech, lalu teater-teater kecil bermain di pinggiran. Ketika IB merancang membangun khalayak teater dengan cara mereka, membawa selebriti dan mengangkat citarasa muzikal ke pentas, rupanya ramai yang berubah angin kembali kepada bentuk biasa 'straight theatre'. Lalu premis teater Stor DBP, Blckbox ASWARA, Blackbox Map, Pentas 2 KLPac, PJLArts dan terbaru DPAC mula memancing perhatian. Produksi-produksi kecil tumbuh dengan subur sekali, malah mereka ada 'followers' yang bukan calang-calang yang terdiri daripada anak muda yang berpelajaran. Maka kelompok ini seolah tidak lagi hairan dan endah dengan pentas IB. Mereka tidak lagi wujud dalam kelompok Ingerris atau Melayu, tapi wujud sebagai kelompok ikut aliran. Bagi mereka, berkarya itu lebih mustahak. Apatah lagi mementaskan teater sudah jadi mahal, mana ada lagi produksi mega yang aktif pentaskan teater seperti dalam tahun-tahun 1990an. Dek kerana mahallah kat IB pun ada banyak konsert kerana itu lebih untung.

Berbalik kepada Menunggu Lampu Hijau (MLH) lakonan Sharul Mizad Asaari atau Eijat ini, ceritanya agak mudah. Secara dasar kita fahami ia berkisar soal poligami dan hubungan suami isteri serta kisah manusia dengan perkahwinan. Secara permukaannya kita dapat menelah konflik manusia dengan manusia dan manusia dengan dirinya. Bukhari yang berhadapan statusnya sebagai lelaki bujang yang belum berkahwin di usia 45 tahun, dikelilingi oleh mereka yang memiliki ragam berkeluarga. Mentornya Profesor Syed Mahfuz yang taat kepada isterinya Syarifah Edora walaupun punya niat untuk tambah pasangan. Manakala abangnya Ahmad Bakti beristeri empat yang kesemuanya bekas ibu tunggal dan ibubapanya yang rukun berumahtangga tetapi rupanya ada rahsia yang mengejutkan. Tambah mengejutkan, Syed Mahfuz peroleh lampu hijau tiga hari sebelum kematiannya hingga membawa kepada Bukhari menamatkan zaman bujangnya dengan mengahwini Syarifah Edora. 'Twist' cerita yang disampaikan menarik dan ada kejutannya. Apa pula isu dan hal yang tersembunyi dibalik cerita MLH ini? Saya kira hal besar dalam cerita ini adalah Ego lelaki, keinginan yang berpusat pada satu wanita. Ada banyak jalan menuju keinginan itu cuma tergantung kepada pilihan, sama ada mahu ikut aturan atau langgar di mana akhirnya detinasi tujuan tetap sama Wanita.  Tiga watak lelaki iaitu Syed Mahfuz, Ahmad Bakti dan Bapa Bukhari memperlihatkan tiga jenis contoh di hadapan Bukhari bagaimana mahu memiliki wanita namun Bukhari menemui dengan cara berbeza.

Sebenarnya menunggu lampu hijau dalam realiti adalah kejadian hari-hari. Bagaimana manusia memenuhi kehidupannya. Menyiapkan tugasan atau melaksanakan tanggungjawab. Ia juga seperti kita yang berdepan dengan banyak jalan, mahu yang 'short cut' atau mahu ikut 'highway' atau 'ikut saja jalan jauh yang berliku. Ketiga jalan itu punya tujuan yang sama tapi ia tentu sekali beri pengalaman yang berbeza. Dalam hidup hari ini, di mana-mana pun orang berpolitik. Sering kita jumpa kaki kipas untuk memanjat naik ke jawatan tinggi, sering juga kita jumpa orang yang 'high passionate' buat kerja macam nak mampus, siang malam kerja tapi menunggu berbelas tahun untuk naik satu tangga. Dan kita juga selalu jumpa orang yang buat apa saja kerja untuk mewah yang penting ada kereta, gadget mewah, rumah besar dan segala macam kesenangan hingga tidak endah lampu mana yang dilanggar asalkan tujuan capai lalu terjunlah dia dalam rasuah, khianat, tipu, jatuh menjatuh, perah keringat dan segala macam hal yang menolak hak orang. Dunia hari ini sudah tunjuk macam-macam, orang sanggup jual maruah pun untuk jadi terkenal.

Lakonan Eijat saya anggap hebat. Membawa 12 watak bukan senan apatah lagi berada seorang diri di pentas selama 90 minit. Tenaga mana yang dijana Eijat hingga begitu bagus. Biasa saya lihat 45 minit pun cukup lama apatah lagi 90 minit. Ia taraf superactor. Memang ada sana-sini kelemahan di pentas bila Eijat mahu bezakan satu watak dengan watak yang lain apa tah lagi wujud pertindihan dialog antara karakter. Kelam kabut jugalah Eijat mengubah ikatan selendang untuk identitikan watak empat isteri itu. Bagi saya, MLH berjaya kerana lakonan baik Eijat. Dia menghantar imaginasi yang bagus sekali. Kita boleh membayangkan bagaimana Kak Rogayah yang tidak digemari Bukhari. Watak super ego Syed Mahfuz yang tidak mahu mengaku dia takut bini dan watak Bapa Bukhari yang mengandung 1001 misteri. Menarik sekali cara Eijat bermain yang saya kira ini memang makanannya. Saya anggap Eijat antara pelakon pentas terbaik masa kini. Sudah berapa monolog dan monodrama dia main dan tidak mengecewakan. Saya ingat lagi lakonannya dalam Lembu yang saya kira itu masterpiecenya. Begitu juga lakonannya dalam Proses berganding dengan Juhara Ayub. Jadi bila Dr.Hatta pilih Eijat memainkan MLH, ia adalah pilahan yang tepat. Eijat merealisasikan tuntutan lakonan lelaki tulen dan menepati tuntutan watak perempuan. Itu sudah cukup hebat kan?

Pengarahan Dr.Hatta tidak kompleks. Banyak kali lampu gelap cerah bagi membataskan segmen. Di mana di skrin boleh kita baca babak-babaknya. Penggunaan set ruang tamu dan ruang pejabat sudah cukup mudah berbanding hanya bongkah atau sebuah kerusi sahaja. Jadi kerja mencipta premis dan mengatur adegan jadi lebih mudah.

Syabas juga diucapkan kepada tenaga produksi yang terdiri daripada anak-anak ASWARA. Kemas dan tersusun caranya. Selalulah berproduksi begini ya, Berbayar atau tidak keinginan berteater itu harus selalu diserlahkan pada tahap yang tinggi. Kalau bermalas-malasan tidak boleh jadi orang teater. Cuba belajar dari Eijat, dia punya banyak sejarah.

Saturday, November 2, 2013

MAKYUNG UNTUK KHALAYAK BARU

Ini wajah saya. Saya pegang watak kecil dalam makyung ini,
sebagai harimau jadian. Memang ia berbeza daripada
makyung tradisional kerana makyung istana budaya
mendekati realiti dan mengurangkan aspek improvisasi.
Foto-foto di bawah saya ambil sewaktu kami 'script reading'.
Nampak tak cara baru pentaskan makyung.
Dulu mana ada script reading.

Ada nampak tak orang itu, yang berbaju putih itu
Isey Salak Madu atau popular dengan kumpulan Titan BMB
di bawah mentor Sabri Yunus. Sebelahnya orang hebat
Asrul Kamarulzaman - Jaha Budak Kelantan,
Asrul ni memang saya hormati sebagai
orang muda yang kasih dan mendalami kesenian Kelantan.
Mereka berdua berpasangan sebagai Peran.


Dua insan popular. Di tengah itu Vanida Imran.
Ini kali pertama Vee akan bermain makyung.
Sering dia luahkan ketakutannya. Tapi saya kira
pengalamannya sebagai aktor berkaliber,
main makyung cuma masalah minor, apatah lagi
makyung versi Istana Budaya. Wajah paling dekat itu
adalah Pakyung paling popular dewasa ini,
Rosnan yang akan pegang watak utama Anak Raja Gondang.
Yang dihujung sana itu Gee Habsah namanya.
Dia adalah pakyung kedua selepas
Rosnan dalam mana-mana pementasan IB.


Ini otai-otai Istana Budaya yang hanya petik jari sahaja dalam
buat sesuatu. Yang berbaju biru itu namanya Norsiah Yatim,
orang hebat dalam lakon dan tari. Masa saya mula kerja di KBN dulu,
saya tergamam sekejap bila bertentang Norsiah.
Saya minat tariannya dalam Mekar Sejambak.

ini sebahagian lagi otai IB. Yang paling kiri itu musuh saya yang
paling mesra,  Sharifah Raha namanya. Dia pernah muncul sebagai
Mahsuri dalam dramatari Mahsuri berpasangan dengan Umesh Shetty.
It was awesome!

Batak Raja Gondang akan menemui anda di Panggung sari Istana Budaya dengan
judul  Kesaktian Raja Gondang pada 29-30 Nov dan 1-2 Dis 2013.

Ismadian dalam cerita Dewa Indera Indera Dewa

Kali ini, IB ambil pendekatan popular dengan memasukkan selebriti tersohor dalam pementasan. Selain Vanida Imran, Makyung Kesaktian Raja Gondang juga akan menampilkan Sofia Jane dan Sabri Yunus. Selain itu ada wajah baru di pentas makyung nanti, ditampilkan Ismadian Ismail iaitu anak didik Fatimah Abdullah. Kami sekarang sudah masuk studio untuk latihan 'poket'. Saya yang akan jadi Harimau yang memerlukan stamina tinggi, harus memulakan senaman. Senaman? memanglah sangat!!! Takutnya sebab ia watak yang bermain fizikal. Dulu masa main Ulat Bulu dalam Siti Di alam Fantasi, badan saya macam awan yang kehujanan.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...