Jom Kita Jadi Geng

Sunday, July 21, 2013

SEKSUALITI MERDEKA DI MADRID

Ini pemandangan biasa pada hari pertama saya tiba.
Tajuk entri kali ini memang sensasi. Saya pun terpanggil untuk menulis perkara ini setelah beberapa tahun negara kita tersentak dengan satu gerakan Seksualiti Merdeka. Kunjungan saya ke Madrid awal Julai lalu, menambahkan lagi keinginan saya mahu menulis entri mengenai perkara ini. Malaysia dikejutkan dengan satu perhimpunan yang melaungkan kebebasan berpasangan dan mengamalkan orientasi seks secara terbuka pada tahun 2008, di waktu negara mahu menyambut perayaan kemerdekaan ke 51 dengan membawa tagline "If one of us ain't free, none of us are". perhimpunan itu berjaya menghimpunkan antara 400-500 orang. Dan beberapa siri program bersifat sedemikian diadakan termasuklah pada tahun 2011 bertema "Queer without fear" yang berlangsung di The Annexe Gallery, Pasar Seni.

Petang sebelum perarakan, mereka bersidai di
Mc Donald
Namun tidaklah saya ingin memperkatakan tentang gerakan di Malaysia kerana siapalah saya untuk memperkatakannya. Jika daripada sudut penganut Islam, saya memang menolak gerakan dan amalan ini. Malah sejak gerakan seksualiti merdeka yang bersamaan dengan gerakan LGBT dunia ini berlangsung, saya kurang ambil peduli, sekadar membuat bacaan tetapi untuk memperkatakannya, tidak. tetapi bila kunjungan saya ke Eropah tempoh hari dan melihat menular dan berkembangnya budaya baru ini, ia memang menakutkan saya. Setibanya saya di kota Madrid, sudah terpampang billboard besar yang mewar-warkan 'Gayparade'. Mula-mula saya tak faham sebab bahasanya Spanish, kawan saya maklumkan bahawa sekarang ni di Eropah berlangsung gayparade. Fahamlah saya. Jadi, sepanjang tiga hari di Madrid, di sepanjang jalan saya melihat lelaki-lelaki tua dan muda bertubuh sasa berjalan berpasangan atau berkumpulan. Ada yang berpimpinan malah di taman ada yang santai berbaring berpelukan. Saya lihat orang ramai sama ada tua, muda atau kanak-kanak langsung tidak melihat itu sebagai pelik. Ia seperti diterima dengan baik sekali. 

Apa yang mereka jual?
Malam itu sewaktu saya menemani rakan saya, Tariq ke Hard Rock Cafe, dari jauh kami terdengar bunyi seakan konsert. Saya kata 'agaknya malam ni kot parade tu?' lalu saya ajak Tariq untuk melihat apa yang berlaku. Kalau tidak lihat dengan mata sendiri, kita sekadar membuat andaian tentu sekali tidak tepat pengalaman itu. Jadi malam itu, jauh sekali perjalanan kami. Dari Hard Rock menuju ke Rege Carolo III jaraknya beberapa kilometer. Dalam hati saya memang mahu sangat melihat bagaimana orang Madrid menyambutnya. Kalau di Malaysia, haram saya singgah. Ya Allah terkejut saya, ia seperti lautan manusia di sepanjang jalan utama kota Madrid. Manusia pelbagai bangsa dan umur meraikan festival itu, seolah-olah ianya satu folklore. Kalau kita di Malaysia, Citrawarna lah ukurannya. Tapi perarakan ini jauh lebih ramai dan hebat sekali sambutannya. Manusia di kota itu, berpesta menari dan mabuk-mabukan. Ada yang sudah hampir telanjang di jalanan. Ibu tua pun ada yang mabuk-mabukan apatah lagi yang muda-muda. Anak-anak kecil turut sama hadir ke pesta itu. Saya perhatikan antara mereka lelaki dan perempuan sudah tiada sempadan, apatah lagi antara sejenis, mereka berpelukan dan berciuman di khalayak. memang malam itu malam meraikan percintaan sejenis. Saya sudah ajak Tariq pulang tapi kami sudah terkepung di dalam lautan manusia. Terpaksa kami mengikut arus gerakan manusia-manusia itu. 

lautan manusia 
Perarakan mereka bukanlah perarakan yang menarik pun. Kumpulan mewakili negara-negara Eropah, dilonggokkan kumpulan tersebut beramai-ramai di atas bas atau lori kemudian mereka menari-nari dan bersorak-sorai. Ia bukanlah seperti perarakan Mardi Gras di Rio de Janeiro yang memukau dengan kostume dan hiasan kereta berhiasnya atau pun Citrawarna yang lebih menarik dengan penonjolan kesenian. Tetapi perarakan gayparade ini lebih kepada mengekspresikan kebanggaan sebagai LGBT. Itu sahaja. Saya tidak nampak sebarang mesej yang baik dalam perarakan itu. Ia menonjolkan tarikan seksualiti di mana lelaki-lelaki hanya berseluar kecil manakala wanita berbikini di atas kereta perarakan. Itu sahaja. Perarakan ini sangat-sangat menghanyutkan pengunjung dengan arak dan muzik tari-menari. Menariknya, sepanjang jalan itu, saya disapa oleh orang-orang yang mabuk agar diambil gambar mereka.

aksi begini ada di mana-mana 
Dunia hari ini sangat Eurocentric, kita menghadap dan menerima pengaruh dunia barat secara meluas. Pengaruh Eropah yang menular dalam kehidupan kita bukan sahaja dalam soal mengatur kehidupan berteknologi, mengagumi kehebatan kreativiti mereka, meniru corak dan sistem mengurus mereka malah hal-hal yang negatif turut menjadi antara budaya besar yang diterima oleh orang-orang kita. Terbukanya dunia tanpa sempadan mengizinkan lagi, orang-orang kita meniru dan menerap masuk unsur-unsur tidak sihat. Hari ini, barat secara terbuka menerima perkahwinan sejenis atas nama hak asasi sehingga mengetepikan agama dan tata hidup alami. Golongan agama sendiri mengamalkan hubungan sejenis malah mereka yang sepatutnya mempertahankan kesucian agama mereka, sudah berkompromi menikahkan pasangan sejenis. Tamadun yang dibina oleh manusia bukanlah terbina atas nafsu tetapi oleh peradaban dan ilmu tinggi. Tetapi hari ini, Barat telah mengangkat hawa nafsu atas nama hak asasi di tempat yang tinggi sehingga ia tidak boleh ditegah atau dilarang oleh agama. Mengikut nafsu sama lah seperti menurut sifat kebinatangan, kerana nafsu seharusnya dibendung oleh akal fikiran yang dimanifestasikan melalui amalan keagamaan. Percayalah, tamadun yang dibina atas nama hawa nafsu akan binasa. Kita harus belajar dari sejarah silam. 

sepanjang jalan orang menari. Ini dikira sopan
Memang tidak dinafikan, di Malaysia wujud kelompok ini. Ia berkembang dan menular di kalangan muda-mudi. Ada yang menyalahkan sebab kelahiran semulajadi mereka. Benar ada sesetengah dilahirkan atas kecacatan jantina, namun yang sebegitu ramai hari ini bukan atas alasan itu, ia lebih kepada turutan hawa nafsu. Jadi tidak hairan jika di YouTube muncul lelaki Islam yang secara terbuka berkempen supaya tidak malu mengakui orientasi seks mereka. Ia seolah-olah satu perjuangan kerana ditindas dan dipencilkan. Malah surat khabar kita sendiri pun tidak ada langsung usaha menapis berita-berita kehidupan golongan LGBT dan pengamal freesex. Ia semacam perkara biasa bila menyiarkan artis barat punya anak di luar perkahwinan bahkan kisah Elton John dan kekasihnya macam satu cerita seisi keluarga. Saya anggap itu satu usaha mempopular dan melahirkan lebih ramai manusia Malaysia yang merasa okay jika menjadi LGBT. 

di pasar San Miguel ada makanan
dijual sempena gayparade
Ini kek pelangi yang jadi kegilaan kakak-kakak
di Malaysia. Tahukah anda warna pelangi
adalah warna LGBT
Janganlah kerana tidak mahu menindas lalu kita mengangkat dan menyokong usaha Seksualiti Merdeka atau Free Seks ini dalam masyarakat kita. Save Malaysia!

Saturday, July 20, 2013

PROMO: DRAMA KELANTAN 'SUDAH SUDAHLAH...'



Pengumuman! Pengumuman! Pengumuman! drama 'Sudah Sudahlah...' akan ditayangkan pada 20 Julai 2013 di TV1 jam 2.00 petang. Jangan terlepas pulak, dah bagitahu dah ni. Ceritanya menarik ada banyak sub-plotnya. Tapi cerita pokoknya mengenai perebutan jawatan Pengerusi Koperasi di sebuah kampung (lokasinya di Kuala Besut, Terengganu) antara pemimpin lama, Abe Him (Saya lah tu) dengan pemimpin muda yang baru keluar universiti, lakonan Asrul (Budak Kelantan). Drama ini diarahkan oleh saudara Asri Alias (orang Kelantan jugok). Cerita ini sepenuhnya dalam dialek Kelantan. Ini pertama kali, saya berlakon dengan barisan pelakon Kelantan dan Terengganu. Memang hebat-hebat belaka sampai ada ketikanya saya rasa kecil dan hilang perkataan. Kita ingat kita bagus sebab lahir dan dibesarkan di Kelantan, tapi sebab dah lama duduk di luar, perbendaharaan kata Kelantan pun banyak pupus. betullah kata orang, seniman itu hidup dalam lingkungannya.

jadi, jangan lupa temujanji kita pada Sabtu 20 Julai 2013, TV1 pukul 2.00 petang.

Friday, July 19, 2013

SAJAK DAYANA BUAT ASHRAF MUSLIM

Mereka disatukan di Tanah Suci, terdetik juga hati saya ketika itu;
Apakah Dayana benar-benar pilihan Ashraf
Kisah kontroversi Ashraf Muslim yang berkahwin dua, sudahpun bertiup sebelum Ramadhan lagi. Ramai desas-desus kata Ashraf kembali bertaut dengan Sherry Ibrahim (heroin Teduhan Kasih) yang pernah menjadi kekasihnya dulu. Namun khabar angin itu tidak benar apabila, Ashraf mengesahkan telah pun menikahi Wan Sakinah, bekas kru produksi TV di negara Thailand. Katanya Ashraf dan Wan Sakinah sudah pun berhubungan sekian lama selepas Ashraf mendirikan rumahtangga dengan Dayana. Hari ini, kita lihat Dayana sebagai mangsa keadaan, wanita yang dimadukan dan dinafikan kehadirannya sewaktu Ashraf mahu menikah sekali lagi. Kesian kan.
Namun, dalam hidup berumah tangga saya percaya, perkara hubungan suami-isteri ini ia berlaku seperti bertepuk tangan. Kita tidak mengetahui apa masalah dalaman antara mereka. Kenapa Ashraf mencari jalan sebegini? Sehingga digelar melupakan jasa bapa mertuanya yang merupakan tokoh perubatan alternatif yang terkenal, Ustaz Lokman. Peristiwa ini bukan sekadar kisah kecurangan si suami terhadap isterinya, bukan sekadar suami mahu memenuhi nafsunya atau kegagalam pasangan mendapat zuriat. Tapi pasti ada bibit-bibit lain yang membawa kepada tindakan Ashraf ini. Adakah Wan Sakinah muncul di saat Ashraf mencari jalan keluar? Atau memang Dayana memang betul-betul berniat mengacau hubungan suami isteri ini. 
itulah Sakinah, isteri kedua Ashraf

Lalu di media sosial pada masa ini kecoh memperkatakan tentang kisah tiga orang ini. Biasalah tu, orang Melayu suka yang sensasi. Ada yang tuduh jalang pada sakinah, bodoh pada Dayana, curang dan kejam pada Ashraf dan bermacam-macam lagi tohmahan dan 'statement' yang diberi secara membuta tuli. Bagi saya, kita sepatutnya tidak harus mudah menjatuh hukuman. Biarlah mereka melalui ujian ini dengan penuh ketabahan. Semoga Allah memberi kekuatan kepada mereka bertiga. 
Ini adalah sajak yang dikatakan ditulis oleh Dayana, mengisahkan kedukaannya:
Tak usah bicara tentang payung emas

Kerana
Aku belum layak iktiraf diri sesuci khadijah atau fatimah
Tak usah bicara tentang zuriat
Kerana
Aku bukan Allah…mudah menyebut kun fa ya kun…
Tak usah bicara tentang setia
Kerana
Aku pasti kau tahu aku bukan perempuan jalanan
Tak usah bicara tentang tanggungjawab
Kerana
Aku tahu kau lebih arif tentang itu

Tak usah bicara tentang kesempurnaan

Kerana
Aku terima kekurangan kau kerana Allah
Tak usah bicara tentang dia
Kerana
Aku diasingkan darimu kerana dia
Sucinya aku, kau miliki ketika di Makkah
Hebatnya dia, kau sembunyikan ketika di Thailand..
Berhenti beralasan ini semua jodoh ketentuan Allah..
Kerana satu dunia tahu
Hanya itu lah jawapan mudah utk lepaskan kekhilafan yg disengajakan…

Saya petik sajak ini dan bacalah kisah selanjutnya di http://www.currentlife2u.com

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...