Jom Kita Jadi Geng

Monday, August 5, 2013

IKLAN RAYA 2013

iklan Bernas 2012
Musim nak raya ni, iklan-iklan raya jadi sebahagian daripada penambah kemeriahan. Sejak dua menjak ni, banyak sekali iklan raya yang temanya membuai perasaan kita. Saya rasa semenjak Allahyarham Yasmin Ahmad menghasilkan beberapa iklan untuk Petronas seperti iklan 'anak dan ayah' lakonan Sharifah Amani dan Iqram, iklan anak dan ibu lakonan Rozie Rasyid dan Wan Maimunah, Iklan 7 beradik cari lembu, iklan bapa sakit yang diasingkan tempat makan dan satu dua lagi. Trend itu diikuti oleh iklan syarikat korporat yang lain termasuklah tahun lepas iklan Bernas kisah dua kanak-kanak cacat mahu pulang beraya. 


Dan tahun ini masih lagi ada iklan yang mengekalkan tema yang sama, tema kasih sayang dan kekeluargaan. Petronas hasilkan iklan bertajuk Jahit yang mengisahkan kesungguhan ibu mencari rezeki mengambil upah jahir demi anak perempuannya. Pada masa yang sama atas kudratnya, dia turut mahu membahagiakan orang lain. Mesej iklan ini jelas memberitahu setiap kebaikan itu akan dibalas kebaikan. Namun kesan emosinya kurang melekat.

Memang bukan kerja senang nak bercerita dalam tempoh yang pendek. Jadi kerja Allahyarham Yasmin haruslah dipuji kerana ia sangat berjaya menimbulkan kesan. Bukan setakat ikal raya, iklan merdeka pun seronok ditonton. Iklan Samsung ini pun ada sedikit sentuhan kesedihan, kisah keinginan seorang ibu mahu menyatukan semua anak-anaknya di hari raya.


Iklan Maxis saya pilih sebagai yang terbaik pada tahun ini. Iklannya mudah dan sangat dekat dengan kita. Tidak ada usaha untuk membangkit kesedihan tetapi ia menjentik rasa kesedaran yang mungkin kita lupa. Soal komunikasi kita hari ini, smartphones telah membataskan hubungan antara manusia. manusia lebih selesa berkomunikasi di talian dan melayan diri sendiri serta enggan berhubung dengan manusia secara zahir. Iklan ini menghantar mesej betul tentang komunikasi. Setiap komunikasi itu bukanlah hanya berlaku pada proses hantar dan balas sahaja tetapi ia sepatutnya melibatkan pengalaman zahir dan batin. Pengalaman alami, memahami manusia lain dan memahami persekitaran. Tahniah Maxis.


Iklan TM ni saya kira sweet, kisah anak montel yang tidak mampu mengawal nafsu makannya. Usikan dan keinginan yang tidak boleh dikawal itu membuatkan Man menjadikan puasa sebagai bulan makan. Maka kesannya berat makin bertambah menjelang raya. Comel saja iklan ini.



Angah Raja lawak menyambut raya dengan menjadikan bas sekolahnya bertema hari raya. Tapi iklan ini bukanlah tentang itu, ia ada macam-macam mesej termasuklah mesej 1Malaysia di mana hari raya bukan untuk Melayu saja tapi untuk semua bangsa asalkan Islam. Bagus juga tapi cerita itu hilang begitu saja, yang timbul kisah Along yang teruja dengan kereta proton Exora. Iklan ini boleh jadi sangat bagus kalau difokus pada tema persaudaraan Islam itu, bukannya kisah bas Angah. 


Iklan TNB ini mengenai pelita. Pelita sebagai simbol meneragi kehidupan. Watak anak dalam keluarga miskin yang hidup mereka sangat rapat dengan pelita. Dalam kemiskinan itu mereka tetap membantu orang lain. Iklan ini menggamit kenangan saya dahulu sewaktu belajar berhadapan pelita minyak tanah, habis hitam lubang hidung kami. Saya menyukai iklan ini tetapi kalaulah diperhalusi pada lakonan dan dialognya saya kira ia boleh lebih menyentuh.

Apapun, baguslah setiap tahun ada iklan-iklan raya macam ini. Tapi terasa pula kehilangan Yasmin Ahmad dengan sentuhan emasnya. Al-fatihah buat Allahyarham Yasmin Ahmad.

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...