Jom Kita Jadi Geng

Thursday, May 19, 2011

HAPPY BIRTHDAY MUMMY AND AISH


 Hari tu pada 15 Mei 2011 sempena harilahir isteri saya, Nida, Kami menyambut ulangtahun Nida dan anak sulung saya Aish yang sudah mencecah usia 11 tahun pada 13 Mei. cepat sungguh masa berlalu. sambutan hari tu sangat sederhana. Malah saya tidak memasak apa-apa kecuali rebus sosej kemudian digaulkan bersama olive oil dan oregano. Ma yang turun bersama Pa dari Kepala Batas semata-mata untuk meraikan kedua harijadi ini, memasak kue tiaw goreng. Nida sediakan sanwich telur. Cukup sederhana majlis pada hari itu tetapi lebih bermakna buat kami sekeluarga. Namun yang pasti Rhea yang berlebih-lebih nak menyambutnya...gantungan belon tu adalah idea Rhea yang nak sangat rumah kami dihiasi dengan belon-belon. 
Lihatlah aksi Rhea tu... melebih-lebih dia. Sebenarnya Rhea pun frust hari tu sebab sorangpun kawannya tidak hadir. Ada kisah di sebalik ketidakhadiran mereka. Kesia Rhea. Walau bagaimanapun dia tetap meriah dengan keletahnya.
 Aish dan Rhea macam berjanji pula memilih warna pink. Lihatlah baji Rhea tu, dah terlondeh bahunya macam dibuat-buat. Tapi sebenarnya baju tu lehernya terlalu besar sering jatuh dari bahu Rhea. Jadilah begitu...seksi sudah anak perempuanku. Aish gembira hari tu sebab kawan-kawan bolasepaknya hadir.

 Mereka ni bukanlah makan sangat makanan yang dihidang. Kue tiaw sorang dua sahaja yang menjamah. Yang lakunya sosej...berulang-ulang dipunggah. Memang sasaran saya betul. Jadi berulang kali jugalah saya merebus sosej tu. Saja tak mahu goreng...rebus lebih kurang minyaknya. Tengoklah Pa yang cukup sporting..Aish yang malu-malu disuap Rhea tapi Rhea pantang disuruh...drama sahaja.


 
Keluarga Husin dan Awie pun turut hadir hari tu. Tambahlah lagi gegak gempita rumah saya. Tapi itulah yang selalu saya rindukan. Kemesraan gelak tawa adik beradik selalu membuatkan saya dekat dengan keluarga. Hari tu Husin siap masak ketupat sotong untuk hidangan hari tu. Sedap sungguh lemak dan tidaklah manis. Kuahnya boleh dihirup dan buat cecah roti pun sedap hmmmm. Rupanya majlis sambutan harilahir Aish dan Nida tidak habis di situ, malam tu Awie beria-ia nak bawa seluruh keluarga menjamu makanan arab...maka pergilah kami tiga kenderaan ke Sri Petaling di Restoran Al-Diafah. 
Izlika, Izlina. Dihujung Wati dan amir
Diqie dan Fatin, anak saudaraku  dari Kuala Krai
Aish dan Rhea...yang berdiri tu Kalish anak Awie
16 orang semuanya...kami makan bersambung meja bertukar cawan dan  berkongsi pinggan. Indahkan kalau  keluarga selalu harmoni. Kita harus kongsi setiap detik supaya akan selalu ada kenangan untuk dikenang. Thanks Awie kerna belanja kami malam tu.

SELAMAT HARI LAHIR PUAN HASNIDA HASHIM YANG KE .....? RAHSIA KATANYA DAN SELAMAT HARI IBU, HARI GURU ...MEMANG BULAN DIA LAH MEI NI.
SELAMAT HARI LAHIR ASIH MIRZA YANG KE 11...JADI ANAK YANG BAIK YA. LOVE U!

Monday, May 9, 2011

MEK MULONG DAN SENI TRADISI: IRONI YANG TERLIHAT

Menurut Wikipedia Mek Mulung dikatakan berasal dari Ligor, Siam dan diperkenalkan di negeri Kedah ketika berlakunya persengketaan di antara Kedah dan Siam. Tempat ia mula-mula sekali diperkenalkan ialah di Kampung Perit, Mukim Kurung Itam, Jajahan Kuala Nerang. Seterusnya ia berkembang ke Kampung Belukar Mulung, Kampung Paya Keladi dan akhirnya di Kampung Wang Tepus, Jitra, Kedah. Walau apapun sejarah bercerita tentang dari mana dan di mana Mek Mulong berada kini, hakikatnya seni tradisi ini sudah berada dalam kelompok anak-anak muda kontemporari yang bernaung di ASWARA. Sekilas pandang mereka itu seperti tidak mempedulikan kesenian tradisi, namun berada di ASWARA kami asuh dan pupuk minat mereka agar mengenal dan menghayati kesenian tradisional. Tidak kira sama ada makyung, wayang kulit, bangsawan ataupun randai. 
Sejak diperkenalkan Mek Mulong pada tahun 2009, kesenian ini makin mendapat tempat di kalangan khalayak yang mengikuti persembahan-persembahan ASWARA. Mek Mulong  'Malim Bongsu' yang dipentaskan pada 6 dan 7 Mei 2011 lalu menyaksikan Panggung Eksperimen padat dengan penonton dan mencatat kutipan tiket antara yang tertinggi dalam pementasan ASWARA semester ini. Penonton bukan sahaja dapat mengenal kesenian yang hampir pupus ini malah terhibur sepanjang persembahan dengan aksi menarik yang dimainkan oleh  para pelajar Ijazah Tahun 1 ASWARA. Tahniah buat mereka.

Mek Mulong di ASWARA dipimpin oleh Rosli Mansor, Zamzuriah Zahari dengan dibimbing oleh tokoh Mek Mulong yang dibawa dari Kedah iaitu Pak Saad dan Pak Kamarusdin. Produksi ini turut dibantu oleh saudara Adika Zainal yang bertindak sebagai pembimbing pengurusan produksi. Tahniah juga buat tenaga pengajar. Kesungguhan mereka mendidik dan membimbing pelajar patutlah dipuji dan diangkat sebagai mereka yang terus memastikan seni ini tidak hilang dari bumi ini. Saya sisipkan beberapa video dari produksi lepas. Produksi Malim Bongsu belum kedapatan lagi. Tidak kisah lah ya. Dari video-video itu, saudara boleh saksikan sendiri kesungguhan para pelajar...anak muda sebenarnya yang bermain mek mulong dan seolah-olah menunjukkan bahawa mek mulong itu mereka yang punya. Itu hal sukar untuk diterjemahkan pada kertas atau dibuktikan secara abstrak. Nyatanya semangat dan jiwa mereka sudah terbiasa dengan seni tradisi. mereka bukan lagi berlakon tapi mereka bermain sebenarnya.



Menjelang 2014, produksi tradisional mungkin bukan lagi kursus yang wajib diduduki dan diambil oleh para pelajar ASWARA. Pelajar hanya diberi pendedahan dalam studio aspek asas kesemua seni tradisi...maksud saya makyung, wayang kulit, bangsawan dan yang lainnya. Secara peribadi saya berpandangan keputusan ini sebenarnya menuju ke arah mematikan bukannya membina khalayak dan penggiat kesenian tradisional. 

Menganjurkan kursus dan mementaskan produksi tradisional haruslah dilihat sebagai satu usaha melestari kesenian ini. Jika dilihat pada beban dan kehendak birokrasi pendidikan memang ianya tidak menguntungkan institusi. Namun tersiratnya ia adalah satu pelaburan kepada pembentukan sahsiah budaya bangsa.
Ironinya, kita hari ini bimbang pada nasib generasi akan datang ekoran globalisasi dengan dominasi teknologi yang bisa meruntuhkan identiti dan jati diri bangsa namun pada masa yang sama kita melihat seni tradisional itu tidak menguntungkan, bukan komoditi, membebankan dan jika boleh dikurangkan penganjurannya. Tambah dramatik ironinya, ASWARA dengan slogan '...melangkah ke hadapan bersama tradisi' seperti memperkasakan yang moden, yang teknologi, yang kontemporari dan sedikit demi sedikit mengikis yang tradisi.

Mari kita lihat cermin...

Wednesday, May 4, 2011

BANGSAWAN : ADA SUKMA DI SEBALIK


Foto di atas menceritakan ketekunan sekumpulan pemuzik yang sedang mempersembahkan muziknya. Itu yang terzahir di foto itu. Tapi apakah pula yang tersirat di balik foto di atas. Cuba perhatikan satu persatu aksi, dari pengarah muziknya, pemain gitar sehinggalah kumpulan peniup saksofon. Mereka kelihatan bersungguh-sungguh dan fokus pada permainan mereka. Yang tidak terzahir adalah semangat dan nilai yang terpupuk melalui usaha berpasukan demi memastikan kelancaran persembahan. Semua mereka itu mahu memberikan yang terbaik, mengikut ketuanya dan semahunya tidak mahu merosakkan produksi yang mereka jayakan. Jika difikirkan semula, apa yang kumpualn saksofon dapat sedangkan ada antara mereka tidak dinilai untuk produksi ini. Namun itulah yang dikatakan bagaimana satu pementasan boleh menghubungkan manusia, memanusiakan insan, membina kekuatan persahabatan. 
 Foto di sebelah ini pula, adalah tuan pengarah kepada bangsawan Pendekar Sukma. Sharul Mizad namanya atau panggil sahaja Eijat. Kesungguhan beliau membimbing dan memastikan karyawan memnuhi tuntutan artistik sesebuah bangsawan sangat tinggi, sehingga dia mengetepikan statusnya, sikapnya pada kerja sangat jelas...harus dibuat bersungguh-sungguh. Tidak ada main-main dalam pementasan. Dalam lembut Eijat tegas dan tidak berkompromi dengan hal-hal remeh temeh. Katanya 'saya memang diasuh oleh guru saya begitu'.
Foto di kanan ini pula adalah dua lagi pengajar kursus bangsawan, Rosman Ishak antara orang lama yang masih terus berkhidmat walau apa juga statusnya. Sambilan bukannya halangan untuk dia berbakti pada ASWARA. Kalau nak dihitung masa yang diuntukkan untuk mendidik anak-anak ASWARA rasanya tidak berbaloi dengan keringat yang tumpah. Tidak begitu Man. Bekerja dengan Rosman, tiada perkara yang boleh diambil mudah. Setiap pelajar akan dikejar dan dipastikan outputnya. Kerana itu sering saja kita mendengar suaranya memanggil dan menegur pelajarnya. Namun itulah guru, menegur, membimbing dan mendidik anak-anak dengan hasrat menjadikan mereka 'a better person'. Si gadis manis di sebelahnya, namanya Hazra. Kali pertama menjadi pengajar bangsawan dan nyata dapat dilihat bagaimana dia mengawal aspek tari dalam 'Pendekar Sukma'. Saya melihat potensi Hazra sudah beberapa tahun. Ketekunan dan ketegasan beliau dalam memastikan pelajar melaksanakan tugasan sangat jelas. Ini pentingnya bila guru itu punya kefahaman dan penghayatan yang tinggi pada keseniannya.
Suflan Faizal Arshad atau lebih senang disebut Jai, saya kenal sejak saya mula berkhidmat di KBN pada tahun 1996. Masa tu beliau di tahun kedua ASK. Jai ni orang yang faham dan menguasai banyak genre muzik dan lebih menarik genre tradisional antara kekuatannya. Bila dia memimpin pelajar di dalam aspek muzik Bangsawan, dia tahu dan faham bagaimanakah alun dan air bangsawan itu. Cakap lepasnya bukan kerana dia orang yang takda adab tapi dia tahu itu caranya orang muzik dan budak muzik tahu bila marah dan bila bergurau. Di sebelah Jai tu ialah Datuk Yahya Sulong yang sudi hadir ke pementasan tempoh hari. Cuba kita lihat foto-foto di bawah ini, zahirnya terlihat kegembiraan mereka meraikan kegembiraan selepas tamat persembahan bangsawan. Itu sahajakah? Kalau ada lihat foto di bawah ini ia satu contoh bagaimana sebuah subjek kesenian yang menjadi teras pembelajaran di ASWARA boleh menyatukan pelajar pelbagai bidang di bawah satu usaha berkumpulan. Bagaimana subjek kesenian ini membuka ruang kepada semua pelajar untuk beraksi dan merasai sebuah permainan tradisional. Detik-detik inilah yang akan mereka rakam dan tercatat dalam memori hidup mereka. Ia tidak membezakan sama ada besar atau sekuman watak, yang mereka tahu mereka memiliki sebuah produksi dan ianya harus dijayakan dengan sebaik mungkin. Itulah semangat dan kesunguhan yang ditunjukkan oleh 159 orang pelajar dan 4 orang pengajar serta bimbingan Seniman Negara Pak Rahman B. Tahniah team 'Pendekar Sukma'.




Melalui 3 buah persembahan kesenian tradisional, dari wayang kulit ke makyung kin bangsawan dan bakal menyusul mek mulong, kotak fikir saya mula meratap betapa semua ini akan hilang dek ketidaksenangan mereka melihat seni tradisi ini terus hidup. Apa gunanya ke puncak gunung kalau kita lupa pulang ke kakinya,
Anak-anak Gunungan harus hidup dengan semangat pemilikan. Sukma bangsa itu terlahir dek keindahan seni budayanya...

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...