Jom Kita Jadi Geng

Sunday, December 24, 2006

SUSUR SENI MENYUSUR LALU

Hari ini, 22 Dis 2006, raptai bagi persediaan Majlis penutup dan penyampaian sijil pada esok hari. Berbeza sungguh saya melihat kesungguhan peserta berbanding hari kedua saya memerhati mereka. Nampak benar mereka bersungguh-sungguh mempelajari selok belok dalam permainan randai.
Majlis Penutup akan dihadiri oleh YBhg Dati Masnah rais, Isteri kepada YB Menteri. Persiapan pentas dan teknikla di buat dengan penuh rapi. Hari ini para peserta mengambil latihan di ruang Dewan Orkestra dan kerja-kerja banyak kepada penyesuaian ruang persembahan.
Sebenarnya Susur Seni ini bukan sahaja randai tetapi melibatkan bengkel kemahiran violin dan seni tari. Para peserta dari Sek Keb Terian, Kuala Klawang, Sek Men keb. Lui Barat, Jempol dan kelab kebudayaan dan kesenian Sri Perdana Kuantan. Dewan Orkestra disusun dengan memberikan ruang persembahan yang besar khusus untuk tarian dan randai manakala persembahan violin akan dipersembahkan di pentas.
Orang-orang kuat Sususr Seni seperti Kushee dan kak Ros turut hadir untuk raptai jam 3.00 petang. Sebenarnya jam 10.00 pagi kami telahpun mengadakan mesyuarat dengan semua jawatankuasa untuk mendapatkan makluman dan status terakhir persiapan untuk majlis esok. Saya bertindak sebagai Pengarah persembahan dan turut selaku Pengacara. Di bawah jawatankuasa saya, Adika Zainal menjadi orang yang 'loyal'.

Friday, December 22, 2006

KESUMA 21 DIS 06

Latihan cuma pada malam sahaja. Malam ini saya mengambil latihan yang melibatkan Rakan Burn, Rakan Jack, Gadis Kampung Baru, Ismail dan Husin. Ramai yang masih penat dengan konvo. Khususnya mereka yang terlibat di dalam upacara terutama Sherry (dahlah demam!) Namun latihan tetap diteruskan. Ada perkembangan di kalangan pelakon dan mereka memberikan gambaran bahawa sudah ada pemahaman dan menjaga tempo. Saya masih berhadapan masalah dengan karakter Burn, cara Zainal membawakannya seperti ada yang tidak kena atau tak jumpa sesuatu dari dirinya untuk Burn. Mungkin cara dialognya atau gerak badannya atau mungkin juga dia tidak faham akting? Saya tak tahu nak jawab. Jika dibandingkan dengan Akmal yang membawakan Ben, rasanya Akmal lebih sukar kerana karakter kasar Ben bukanlah sifat semulajadi Akmal tetapi cara Akmal boleh diterima walau ada kelemahannya. Tapi Zainal saya tak jumpa punca. Dalam rakan Jack pula ia jadi kontras antara
Jack dan 2 pengikutnya. Si Hazwan sukar membuka kunci badannya. Dia kata tak nak jadi orang yang banyak bergerak namun yang jadi adalah patung yang hanya kepalanya sahaja bergerak dengan mimik yang begitu ketara. Susahnya di sini adalah 'level of acting' berbeza dan tidak ada masa yang cukup untuk latih lakon. Eijat, Salehuddin, CT Katijah berada pada kelompok yang berbeza dengan yang lain, dan di dalam kelompok lain itu saya lihat ada
pula kelompok-kelompok akting yang berjarak. Saya tetap ingatkan kepada pelakon agar jangan terlalu fikirkan bloking. Bloking yang ditetapkan, ikut sahaja namun motivasi untuk bergerak kepada bloking itu perlu ada. Ia tidak boleh dibuat tanpa motivasi. Adika telefon dan katanya Kesuma dah masuk ET namun kerja untuk lighting tidak dapat dibuat kerana tiada teknikal dan mengikut makluman jadual hanya maklum untuk bump-in set sahaja, habis tu tidak ada juruteknik yang bertugas? Takkanlah untuk gunakan bilik control pun perlu dibuat surat yang berbeza sedangkan kebenaran masuk ET sudah diberi? Apa guna ET kalau tidak boleh guna teknikal? Ini bermakna Kesuma bekerja di ET tanpa kawalan seorang juruteknik? Inilah masalah apabila antara unit tidak membantu dan cuba memahami tuntutan kerja produksi. Yang terlihat jelas sekali adalah team produksi harus melihat beberapa aspek iaitu kreatif, artistik, management, logistik dan banyak lagi dan terpaksa pula berkompromi dengan sikap kerja unit teknikal ASWARA yang lebih ke arah menjadikan unit teknikal sebagai sebuah unit sokongan dan pembekal bukannya satu unit yang sepakat menghasilkan kreativiti. Nampaknya sampai bila-bila ASWARA tidak boleh mengharapkan jurutekniknya menyumbang kepada kerja kreatif. Jadi, saya meminta Adika melakukan apa sahaja kerja bump-in sementara kerja-kerja teknikal dibuat esok walaupun saya faham bahawa masa bukan lagi dipihak Kesuma. Latihan Kesuma selesai hampir jam 11.20 malam.

Thursday, December 21, 2006

HARI KONVOKESYEN KE 6 ASWARA


Langit cerah di Kampus ASWARA, wajah-wajah yang hadir bermandi kegembiraan. Setelah tiga tahun menunggu akhirnya impian mereka terlaksana. Kalau mengalirpun air mata hari ini, ia bukanlah kehampaan namun kegembiraan. Sejak tahun 2004 Majlis Konvokesyen ASWARA tertangguh (tidak jelas sebabnya) dan hari ini telah menghimpunkan 134 orang lulusan. Buat pertama kali Panggung Eksperimen, ASWARA menyaksikan upacara Konvokesyen dan buat pertama kali juga Kampus ASWARA menghimpunkan graduan dan ibubapa paling ramai. Pada konvokesyen yang lalu, hanya 19 orang graduan diraikan dan nyatanya ia berbeza dengan hari ini. Acara berjalan dengan lancar tanpa ada penangguhan. YB Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri KEKKWA menepati waktu majlis dengan tiba pada jam 9.45 pagi dan jam 10.00 pagi Perarakan Graduan mula masuk dewan. Saya sebagai pengurus pentas melihat perjalanan upacara lancar dan teratur (mungkin ada sedikit kecacatan di luar pengetahuan saya). Para petugas menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi. Ibubapa dan tetamu yang hadir kelihatan gembira dan berpuas hati dengan layanan petugas. Dada saya sebak tatkala En Ramlan (Ketua Jabatan) menyebut nama Allahyarhamah Mardiana Rahbini dan diwakili oleh En Rahbini. Terus wajahnya terbayang di mata saya dan membayangkan seorang gadis manis, sopan dan amat bekerjasama dengan aktiviti ASWARA telah pergi buat selamanya tanpa sempat melangkah ke pentas upacara. Terus hati saya berka " Kalaulah tahun 2005 ada konvo tentu impiannya sempat terlaksana" Namun itu semua ketentuan Nya. Setelah selesai upacara, para graduan dan ahli perarakan utama ke Dewan Orkestra untuk sesi fotografi namun selari dengan persiapan menyusun graduan untuk fotografi, YB Menteri bertemu wartawan dan melayan soalan dan pertanyaan. Jelasnya karisma YB Menteri memperlihatkan keyakinannya memimpin sebuah kementerian ke arah terbaik dan dihormati oleh warga Malaysia. Sambil melihat persediaan fotografi, saya berdiri hampir dengan dua orang jurugambar akhbar (saya tidak pasti) dan mencuri dengar sesuatu yang menarik bunyinya " Saya rasa inilah konvokesyen yang terbaik, teratur, 'grand' dan paling menarik. ASWARA memang menyusun dan mengatur acara sehingga memudahkan kerja kita kalau dibanding dengan universiti lain...hancur!" saya senyum puas bila itu yang keluar daripada mulut orang yang selalu menghadiri majlis dan nyatanya dia berkata bukan kepada saya tetapi rakannya.

GAMBAR-GAMBAR INI MENCERITAKAN SEGALANYA







ANTARA YANG TERBAIK
Sabihah Abdul Wahid - Penerima Anugerah Ketua Pengarah 2006 dan Pelajar Terbaik Muzik 2006
Arbaiah Ahmad Nadzri - Pelajar Terbaik Teater 2004


Shariffah Mariam Syed Abdullah - Pelajar Terbaik Teater 2006
Mohd Yunus Ismail - Pelajar Terbaik Tari 2006
Harapan saya semoga lulusan ASWARA beroleh kejayaan di masa hadapan. Ingatlah segulung Diploma bukanlah penhujung pencarian ilmu anda, ia adalah tapak pemula kepada pendakian yang sebenarnya. Bukalah mata, timbang-timbanglah kerana itu semua tunggak dan tongkah kepada kejayaan. TAHNIAH!

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...