Jom Kita Jadi Geng

Sunday, August 19, 2012

SELAMAT HARI RAYA 2012


Saya sambung kembali entri saya yang dah berzaman rehat. Semoga Syawal mulia ini membawa kembali rentak untuk menulis. Di kesempatan ini saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Saya doakan semoga kehidupan saudara dan saya sekeluarga dilindungi oleh Nya. Insyallah.

Tuesday, April 24, 2012

VOCAL CORD - MY VOICE MY INSTRUMENT


26 April 2012 akan diadakan satu seminar berkenaan Mengenal dan menjaga Peti Suara. Bunyi macam sangat saintifik kan. Kita sebenarnya sangat bergantung pada peti suara di dalam hidup seharian. Organ itu berfungsi sebagai alat komunikasi yang paling penting. Menyampai maksud dan hasrat serta menterjemah pemikiran kita. Jangan kita pandang remeh dengan hal peti suara ini. Memang peti suara sangat berkait rapat dengan seorang penyanyi kerana suara itu punca cari makan mereka, namun aktor malah seorang guru pun perlu menjaga peti suaranya supaya maklumat yang nak disampaikan jelas dan tercapai. Moh lah orang-orang ASWARA...mari kita dengar MY VOICE MY INSTRUMENT

Tercetusnya idea untuk saya anjurkan seminar pendek ni, selepas saya menerima rawatan dan anak tekak saya dijolok kamera untuk melihat bagaimana kesihatan peti suara saya. Kerana pengalamannya apabila di pentas suara saya sering sahaja bertukar serak dan low energy. Selepas dirakam, kelihatan ada polip kecil di antara otot peti suara saya. Rupanya bukaan peti suara saya kecil dan tidak normal. Jadi saya perlu adakan terapi suara dan lakukan senaman serta urutan supaya ianya terbuka. Malang bagi seorang rakan saya, kesan daripada tabiat merokoknya dahulu walaupun dia sudahpun berhenti, peti suaranya ada banyak bintik-bintik merah dan otot tidak berfungsi dengan baik. Barulah saya faham mengapa bila menyanyi beliau tidak boleh capai nada yang tinggi. Malah semasa mula-mula berbual dengan Dr.Kartini, beliau sudah didiagnose sebagai pesakit peti suara. Rupanya macam-macam lagi yang kita tidak tahu apa yang berfungsi dalam badan kita ini. Subhanallah. Untuk menjaganya beberapa petua diberi. Nak tahu petua tu...datanglah seminar nanti.

Bila melalui proses pemeriksaan, saya sungguh kagum dengan ciptaan Allah. Organ sebegini kecil berfungsi dan punya objektif nya sendiri. Allah mencipta sesuatu itu dengan maksud dan tujuan. Kita sahaja yang tentukan sama ada nak pelihara atau rosakkan saja. 

Friday, April 13, 2012

AARON AZIZ vs ZED ZAIDI


Apa yang kecoh sangat pasal Aaron Aziz dan Zed Zaidi ni? Isu mereka ni tak pentinglah. Yang akhbar duk highlight sangat kenapa. melayan cerita yang tak menguntungkan langsung. Apa nak disensasikan soal Zed Zaidi tak puas hati. Habis kalau dah dia tak puas hati nak buat macamana. Dia pun ada hujahnya. Yang saya nampak akhbar bukan main lagi 'bias' dalam mengutarakan isu ni. Begitu juga blog, fb dan twitter semuanya macam lihat betapa buruknya perangai Zed Zaidi.

Isu mereka berdua ni lebih menarik dari  kisah sejarah Pertabalan DYMM SPB Agong. Bukankah itu menyedihkan. Bila saya tinjau stesen-stesen TV, tidak ada menyiarkan apa-apa rancangan istimewa sempena pertabalan Agong. Kalau sekadar iklan pendek berkenaan pertabalan tu tiada istimewanya. Inilah yang terhakis dalam budaya kita. Yang patut kita utamakan dilupakan. Bayangkan hari istimewa kuasa tertinggi negara, mengangkat darjah ketua agama dan lambang daulat bangsa Melayu tetapi stesen TV hanya pandang sepi. Tiada apa yang istimewa. Tiada diwar-warkan rancangan istimewa sempena pertabalan sebagaimana kita tengok masa nak sambut krismas, tahun baru ataupun hari merdeka. Sedihkan. Nak salahkan ASTRO pun tak boleh sebab stesen nasional dan TV3 pun macam serupa sahaja. Di surat khabar memanglah terhad jadi cukuplah dengan keluaran khas.

Dek kerana isu dua jantan melayu ni, maka kisah tsunami tak jadi pun tak berapa nak hangat. Hari ni satu muka khusus interviu Zed Zaidi, lepas tu ada pula di laman blog kisah kerakyatan Aaron yang nak diMalaysiakan masih belum ada jawapan. Ini lambang-lambang hedonisme yang cukup kuat melanda kita orang Malaysia, Melayu khususnya. Dalam hal ini, saya fikir Zed Zaidi betul bila bercakap atas kapasiti pucuk pimpinan Seniman. Dia perlu bersuara dengan mengambil kira periuk nasi pelakon tempatan yang diwakilinya. Kalau dah orang mendatang yang menguasai pasaran, digilai rakyat, pastinya peluang di stesen tv dan di layar perak diisi mereka. Betullah kerisauan Zed Zaidi itu.Tapi dalam hal Aaron sebagai pelakon Melayu yang mewarnai dunia seni tempatan tidak ada salahnya apabila dia menang. Kalau dah dia bagus dan disukai orang memang patutlah dia menang. Pelakon tempatan kenalah bersaing secara sihat.

Namun yang selalu berlaku, produser mahupun stesen tv, tidak peduli siapa kah aktor itu, dari manakah mereka, orang kitakah atau orang luar. Kalau ianya menguntungkan...digajikan sahaja. Mana mereka kisah ramai lagi anak tempatan yang mencari makan. Lihat sahaja apa yang dah pernah berlaku, Jericho Rosales tiba-tiba muncul dalam Bilut dan Stephen Rahman jadi Hang Tuah, mereka ni bukan seringgit dua bayarannya. Tapi dek kerana komersil value maka sanggup produser berhabis duit walaupun ianya tak memajukan industri pun. 

Saya tiada dendam langsung dengan Aaron Aziz (dia tak curi periuk nasi saya pun...malah saya takda hak nak cemburu). Dia ada hak untuk menang dan bukan dia yang tentukan kemenangannya pun. Tapi saya terkesan bila media memandang negatif tindakan Zed Zaidi. Tindakannya dilihat sebagai cemburu, dengki, irihati dan macam-macam lagi. Memang hari ini pasaran sangat terbuka untuk bersaing. Tapi sila beritahu saya berapa ramai aktor/aktres Malaysia yang sukses di luar tanahair? Jangan disebut dato siti, ashraff sinclair, yuna, shiela so on... mereka tu sangat isolated jika nak dibanding berapa ramai media dan orang kita mengangkat seniman luar sehingga jadi sangat gah di sini.

Kita selalu percayakan kekayaan tanahair ini. Kita gali kita cungkil dan kita kongsi kekayaan ini sama-sama. Ingat, orang boleh datang dan pergi. Tapi kita yang akan tinggal dan akan berkubur di bumi Malaysia ini. I believe that all Malaysians love this country, want to contribute to this country to make it a better home!!

Thursday, April 5, 2012

SENIMAN : ANYBODY CAN BE...

Ini disebut seni melompat hehehe

Dalam majlis perasmian MAIRA 2012 petang semalam, salah seorang artis Iran bercakap, dia bukan calang-calang orang , dia ialah Prof. Dr Amir H.Zekrgoo dari ISTAC; beliau mengatakan kalau dahulu sejarah tamadun manusia dirujuk kepada bahan-bahan bertulis seperti catatan pengembara, pedagang atau missionary tetapi itu semua sudah bertukar, seni menjadi rujukan utama memandangkan sebelum manusia menemui sistem tulisan, manusia melukis sesuatu perkara atau kejadian. Lukisan inilah yang menceritakan kisah purba di gua atau di mana-mana boleh ditemui lakaran itu.

Seni mengarang dan grafik by Aish

Apabila era digital muncul dan menguasai kehidupan manusia, ruang berkarya itu menjadi terlalu luas sehinggakan mewujudkan masalah kepada dunia untuk mengawal perkembangannya. Mengawal dari segi sejarah, nilai dan pemikiran. Jika dahulu kanvas adalah media kepada artis tetapi kini ianya infiniti. manusia berkarya pada alam pada maya. Bagaimana nak mengawal itu? Masalah kan. 

Walau apapun, seni adalah alat menyampaikan hasrat manusia. Manusia berkomunikasi tentang diri dan tentang kehidupan sejagat. Tidak ada apa-apa keuntungan bagi seorang artis bila berbicara soal ekonomi, sola politik atau pun sosial. Berbeza dengan orang politik, apa sahaja yang mereka bicarakan semuanya berbalik kepada PROFIT untuk mereka. Macam hari ini, semuanya bertimbal balik kepada kepentingan individu, kuasa, memancing undi ataupun menjatuhkan lawan. So dirty!

Seni mengarang; by Aish masa darjah 2

Akhirnya seni pada hari ini menguasai kehidupan manusia. ke mana sahaja kita pergi, kita sebenarnya memandang sebuah karya. Bila kita berjalan masuk ke sebuah bangunan, landskap dan susun atur dalamannya adalah karya. Bagaimana mereka menyusun pasu dan mencantas pokok, itu adalah seni juga. Seni mempamerkan hasrat manusia untuk bercerita, memberi sentuhan, membangkit rasa pada mereka yang melihat. Masakan juga satu seni, apatah lagi bila sampai kepada hiasan pada hidangan, itu sudah jadi sangat seni. Dari pandangan pada hidangan, selera manusia sudah bangkit...bukankah itu melibatkan deria, emosi dan naluri. Kalau hal itu yang terkesan maka itulah akibat dari kerja seni.

Tuesday, April 3, 2012

SAFEE SALI KECUNDANG


Semasa dia mahu menuju ke puncak kerjayanya, saya pasti isteri dan anak-anaknya menyokong dan menyambut gembira. Bila gol demi gol, kemenangan demi kemenangan diperolehi, saya yakin isterinya iring dengan doa. Setiap manusia itu tidak mahu berada dalam kegagalan. Kejayaan itu datang dalam pelbagai bentuk dan Safee meraikannya dengan cukup baik. Dia cemerlang, mengharumkan nama negara malah membawa nama Malaysia mekar di negara jiran. Itu bukan mudah kerana ketika inipun, sentimen orang Indon pada Malaysia masih negatif. Namun di Pelita Jaya, Safee mengurusnya dengan baik. Dia menjadi tonggak dan impian anak-anak Indon.

Apabila kisah rumahtangganya muncul di media, saya fikir bagi Safee ini bukan perkara enteng. Sewaktu dia memohon mahkamah meminta isterinya kembali taat, itu adalah detik sukar bagi seorang lelaki. Sukarnya menjadi Safee Sali kerana langkahnya diperhatikan. Dan tentu sekali ada yang memburunya. Semalam pun apabila keluar berita penceraiannya, sudah ada gadis-gadis menaikkan status di wall mereka ''Safee Sali sudah single''. Begitulah rodanya. Kalau Safee ni hanya seorang mekanik belum tentu begitu jadinya.

Ini kekalahan Safee Sali. Kecundang di luar padang. Walau berbilion pun duit di bank, jika kebahagian itu runtuh, ia tidak memberi makna. Nasib beliau tidak sama seperti Khairul Fahmi (Apek) kerana Apek masih bujang. Berapa kalipun dia gagal tidak mengapa. Berapa kali dia berhibur di kelab atau keluar dengan gadis cantik, tidak mengapa kerana itu aturan anak muda. Nasib Safee lah.

Apapun ini bukanlah kegagalan sebenar Safee, kata Confusious ''kejayaan seseorang itu bukan terletak pada berapa kali dia menang tetapi bagaimana dia bangkit dari kegagalan itu". Good Luck Safee...Bangga ada pemain Malaysia seperti anda.

Friday, March 30, 2012

ZIZAN ft KAKA : BAWAKU PERGI


Sebelum isu lagu ini diharamkan, isteri saya sudah mendengarkan lagu ini kepada saya. Katanya ''cuba dengar lirik lagu ni, ada ke patut macam tu'' betullah rungutan tu. Melodinya ringan dan sesuai untuk halwa telinga. Saya pun berfikiran bahawa lirik lagu ini tidak membawa mesej yang baik bahkan tidak baik pun. Melodinya memikat dan mudah. Apatah lagi melodi pada bait yang menyebut bawa daku pergi tu diulang-ulang...memang mengesankan. Kalau dalam seni, pengulangan itu hasrat utama karya itu.

Saya pun menulis juga dan berkarya atas karya yang lain juga. Yang datang pada saya dahulu memang idea dan hasrat namun kesudahannya adalah apa kesannya pada mereka yang melihat karya saya. Bukanlah maksudnya saya ia boleh merubah manusia namun saya tahu kesan seni dalam masyarakat. Bila orang persoalkan, takkanlah hanya lirik sahaja maka orang itu boleh berubah fikirannya?. Ya betullah begitu tapi balik pada niat orang menciptanya pula, apa tanggungjawab yang anda bawa bersekali dengan karya itu? Allah mencipta alam dan menurunkan karya maha agung al-Quran dengan sebab dan petunjuknya. Nabi Muhammad s.a.w menyampaikannya dengan tanggunjawab. Begitu juga kita manusia, berkarya itu adalah mencipta dan mesti datang dengan sebab dan tujuannya serta perlu disampaikan dengan tanggunjawab.

Kalau kita sebagai karyawan tidak mahu bertanggungjawab atas karya dan apa kesannya pada masyarakat, Apa istimewanya kita sebagai khalifah mukabumi? Begitukah caranya kita berterima kasih atas bakat yang Allah beri? Dalam hal ini, kalau seniman mahu menyama dan membandingkan dengan kesilapan lalu, sebaiknya dia tidak perlu berkarya untuk masyarakat/negara/industri. Jadilah seniman di rumah untuk santapan peribadi.

Mungkin Zizan dah terbiasa melawak. kebiasaan itu membuat dia tidak serius dengan hal-hal begini. Lihat sahaja dalam lawaknya. Macam-macam perkataan yang keluar, macam-macam aksi. Janganlah begitu. Anda kalau sudah besar jangan anggap semuanya jadi mudah. Kita kena ingat budak-budak sebesar anak saya pun menonton anda.


Pemikiran seorang karyawan di Malaysia ini perlu berada dalam nilai lingkungannya. Nilai Timur. Jangan samakan apa di barat atau di sebelah lain. Memang orang lain buat jadi adakah perlu andapun turut sama? Nilai kita menitik beratkan agama dan keharmonian. Bukan indivivual. Kita tidak boleh mendahulukan diri sendiri apabila berada dalam masyarakat.

MAIRA 2012 - MALAYSIAN-IRAN EXHIBITION


Sejak 19 Mac lalu telah pun bermula pameran lukisan pelukis-pelukis dari dua buah negara iaitu Iran dan Malaysia. Pameran ini dipanggil Malaysia-Iran Art Exhibitiion atau MAIRA 2012 bertempat di Galeri ASWARA. Jadi pada 4 April 2012 ini akan diadakan majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah ASWARA merangkap KSU KPKK iaitu Dato Seri Kamaruddin Siaraf.

Dalam pameran ini, insyallah dua karya saya bakal dipamerkan bersama-sama karya-karya pelukis lain termasuklah artis berkaliber dan para pelajar ASWARA sendiri. Manakala pelukis-pelukis Iran adalah terdiri daripada artis Iran yang aktif berkarya di KL.

Saya dengan berbesar hati menjemput anda semua ke ASWARA pada 4 April 2012 (Rabu) jam 4.00 petang.
Datanglah memeriahkan majlis. 

Tuesday, March 27, 2012

NAJIB RAZAK AKAN MENANG PRU2013


Masa PRU 2008 dulu bukan DS Najib yang kepalai BN/UMNO. Masa tu Pak Lah. Banyak keputusan dan penentuan siapa yang menjadi calon bukan ditangan Abang Najib. Jadi PRU kali ini akan jadi kayu ukur sebenarnya kepemimpinan Abang Najib. Ramalan saya Abang Najib dan teamnya akan menang. Simple majoriti past to post. Kenapa saya macam yakin sahaja? Sebenarnya saya pun tidak ada analisa dan tidak pernah pun buat analisa pasal politik ni. Juaklah dengan suasana hari ini. Setiap hari suratkhabar bercerita tentang politik, orang tu salah orang ni betul; orang ni cakap tu orang tu cakap ni; yang ni membela yang tu membelot...sangat juak. Saya berminat pada berita politik yang membangunkan negara. Membina minda, pasal polisi yang boleh mengubah hidup kita orang Melayu...orang Malaysia. Memang Melayu harapkan hagemony dalam politik sahaja tapi kita kena ingat politik ini pun boleh jadi macam cerita Pak Kaduk...Menang sorak kampung tergadai. 

Kenapa saya berkata begitu? Sebab saya lihat poltik Malaysia khususnya Melayu lebih syok kutuk mengutuk. Alangkah baiknya kita menang sorak dan kampung kita makin luas dan terjaga. Cakap memang senang kan. Tapi siapa yang pegang ekonomi? Di USA walau siapapun memerintah, Yahudi tetap menguasai dan mempengaruhi keputusan kerana depa yang pegang ekonomi. Jadi siapa pegang ekonomi Malaysia? Tidak mustahil politik Melayu juga dikuasai oleh orang yang menguasai ekonomi negara. Memang Politik Melayu yang menentukan siapa yang memegang tampuk GLC dan sektor-sektor utama pentadbiran dan perdagangan namun itu institusi yang dikawal oleh kerajaan. Contoh mudah bagaimana kapitalis menguasai harga barang di Malaysia sehingga kerajaan pun tak mampu nak mengawal kenaikan harga gula dan tepung. Ianya ditentukan oleh pengeluar. 

Mari kita contohi Brunei bagaimana sejarah membuktikan Brunei dipimpin oleh pemerintah yang sangat kasihkan negeri dan rakyatnya. Semasa diajak menyertai Gagasan Malaysia, Sultan Haji Omar Ali Saifuddein ketika itu mengambil waktu yang lama untuk membuat keputusan. Walaupun dinaungi oleh British dan diminta oleh British agar Brunei menyertai Malaysia namun baginda berdiam dan menimbang segala kemungkinan. Akhirnya beliau menolak atas dasar bahawa penyertaan Brunei tidak menguntungkan rakyat. Lihatlah Brunei hari ini. Menjadi negara paling kaya di dunia. Antara isu utama yang tidak dipersetujui adalah pemilikan minyak Brunei selepas 10tahun menyertai Malaysia dan perlu menyalurkan $40juta setahun kepada persekutuan walhal pada masa yang sama Brunei hanya setaraf dengan Sabah dan Sarawak (Daripada segi sejarah kedua negeri tersebut adalah jajahan Brunei). Atas kepentingan memajukan sendiri negeri dan merasakan Brunei perlu berkembang dan rakyat menikmati kesejahteraan, Brunei menolak menyertai Malaysia. ada timbul kononnya sebab Sultan Haji Omar Ali Saifuddein tidak dapat menjadi YDP Agong sebagaimana janji Tunku. Hal itu terlalu kecil. Ketegasan pemerintahnya menguntungkan rakyatnya.
Abang Jib kata " Masa saya jumpa rakyat menteri tak payah lah duk semeja sebab jumpo sokmo, saya nak bercakap dan dengar rakyat cakap. Menteri patut duk semeja dengan rakyat lain dengar apa dia orang cerita.
Berbalik kepada PRU2013, Abang Najib kita akan menang buat julung kalinya di bawah jentera pentadbirannya. Beliau pun nampak gayanya telah mengubah strategi dan memang banyak langkah positif diambil. Dia seorang yang sangat IT Savvy, banyak menyertai rakyat bawahan, sifatnya tidak melulu, tenang mengawal kemarahan, menegur dalam manis, Abang najib tak suka orang yang suka please the boss...dia boleh baca! Macamana sekali dipaksa orang bersorak bertepuk dan mengampu ampu dia...dia boleh baca adakah itu jujur atau sekadar to please him. Jadi Abang Najib kita dah bagus dah. Masa dia lancar slogan 1 Malaysia Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan...i terima dengan senang. Nak dibandingkan dengan cemerlang gemilang terbilang...mcm lirik lagu! Kali ni nampaknya calon BN pun dianalisa terperinci agar ianya betul-betul calon win-able candidate di setiap kawasan.

Janganlah kita cemuh bila perkara baik untuk rakyat dibuat. Saya rasa kedai rakyat 1Malaysia adalah kaedah yang baik untuk rakyat miskin di bandar. Mungkin anda tidak rasa nikmat yang dirasai  orang yang rasa rahmat kedai seumpama itu. Cuma saya harap Abang Jib kita dapatlah mengawal gossip liar tentang Kak Mah. Macam-macam hal dibicara orang, tak best lah. Bukanlah kata Kak Rosmah membebankan tapi ketika slogan rakyat didahulukan dan ketika berbicara soal membantu rakyat miskin, banyak benar imej-imej kemewahan ditonjolkan . Ia macam tak selari saja. Itu saja. Namun saya percaya orang-orang di luar sana ramai menaruh harapan yang tinggi kepada DS Najib. Kes Lynas, NFC, Kapal selam, saham felda dan macam-macam lagi tu...eventually selesailah tu. Tapi Kelantan kekal negeri yang lain tak tahu.

Saya ni cuma sayangkan Malaysia. Cintakan tanahair. Ini tempat saya tinggal, ini tempat saya dilahirkan. Theres no place to go. I just want to make it better...

Thursday, March 22, 2012

WAYANG KULIT : BUNGA CEMPAKA RINDU MALAM


Baru je habis menonton wayang kulit di Orchestra Hall, ASWARA. Tinggal esok malam sahaja. Malam ni pak Nasir, dalang wayang kulit yang juga adiguru ASWARA bersama kumpulannya mempersembahkan cerita Bunga Cempaka Rindu Malam. Menariknya cerita ini kerana ia lebih segar dan tidak meleret-leret. Saya kira Pak nasir yang sudah terbiasa dengan tuntutan persembahan di Kuala Lumpur telah menyediakan sebuah persembahan yang sangat sesuai. Citarasa kontemporari diterapkan. Bahasa yang dipilih tidaklah totok Kelantannya. Saya kira kalau mereka yang kurang biasa dengan dialek Kelantan boleh faham dengan baik. 
Cerita Bunga Cempaka Rindu Malam ini berkisah tentang Wak Long menyanyi-nyanyi di hadapan anak raja lalu tersebut sebaris ayat yakni Cempaka rindu malam. terdengarkan oleh anak raja itu lalu jatuh hatinya dan menginginkan bunga itu. Namun ia menjadi kerisauan Wak Long kerana bunga yang di sebut itu tidak diketahui akan kewujudannya. Apabila raja mendengarkan nama itu, Raja Seri Rama pun menitahkan wak long dan pengasuh yang lain mencari bunga itu. Lucu bunyi dan bermulalah pengembaraan wak long dan pengasuh yang lain mencari Bunga Cempaka  itu.

Pak Nasir
Memang susah untuk menarik khalayak ke panggung, malam ini penonton kurang ramai namun yang datang adalah orang-orang muda yang saya rasa bagus kerana mereka tertarik dengan seni ini. Sukarnya untuk wayang kulit mencari khalayak kerana konotasinya pada persepsi tradisional itu sangat kuat walhal cara permainannya sudah  berbeza. Berlainan dengan makyung yang dilakonkan dengan pelbagai aksi dan kostum yang indah-indah, wayang kulit tidak ada itu, wayang kulit cuma ada kehebatan permainan dalangnya. Suara dan libasan patung-patung oleh dalangnya serta muziknya yang variasi. Yang bagi saya Pak Nasir memang seorang dalang yang hebat. Suaranya yang berubah pada setiap watak, elemen teaterikal dan kefahaman teater dalam diri Pak nasir adalah semulajadi. Tidak perlu kenalkan pada beliau soal dinamik atau pace, beliau sudah praktikannya. Lontaran suara pak nasir seiring dengan tenaganya melibas patung-patung di kelir. Rasanya kalau saya berada di sebalik kelir tentu menarik melihat kinestetik yang memunculkan aksi-aksi di kelir. Kemahiran beliau dalam bermain patung-patung ini dek kerana penguasaannya dalam seni bercerita wayang kulit apatah lagi beliau juga adalah pemuzik pergendangan yang berpengalaman dan pemain makyung yang terlatih. pendek kata terkumpul banyak kekuatan dalam diri Pak Nasir. Betullah kata orang, nak jadi hebat tu perlu himpun seribu macam ilmu barulah keluar ketokohannya. 

Pak Nasir disokong oleh ahli-ahli pergendangan yang sangat akrab dengan seni wayang kulit ini. Pak mail, Pak Anuar, Kamrul Bahri dan anak-anak muda yang masih di bawah usia 30 tahun seperti Kamrul baisah, Nik Izham, Farid, Yana dan ramai lagi yang kebanyakkannya masih di tahun 1 Diploma ASWARA, cukup memberi satu gambaran bahawa Wayang Kulit itu bukanlah asing dan bukanlah seni untuk orang tua semata-mata ataupun seni untuk orang kelantan sahaja. Sebab tadi saya kelih ramai juga budak-budak yang mengiring pak nasir tu bukanlah orang klate. Penonton pun sama...terkekek kekek bunyi gelak.

Jadi jangan lepas peluang esok 23 Mac 2012 malam terakhir wayang kulit. Lain kali kalau ada show wayang kulit, jangan negatif mana tahu anda mungkin jatuh cinta lebih dari menonton sebuah animasi. Bukankah filem itu inspirasi dari wayang kulit?

Wednesday, March 21, 2012

MAID IN MALAYSIA : KADOK NAIK JUNJUNG?

Maid Impian hehehe
Oklah kita jangan emosional sangat dalam soal ini. Saya tahu ada antara kita yang laki bini bekerja jadi siapa nak jaga anak-anak di rumah? Kalau hantar nursery sorang anak dah 200 kalau 2 anak 400 kalau 3 anak mahu lebih 500. Mahal juga kosnya. Sekarang ni kebanyakan majikan membayar maid indon sekitar 400-500 sebulan dengan menanggung hampir semua kos sara hidupnya termasuklah tempat tidur, makan minum, pengangkutan ada tu provide barangan diri dan pakaian. Malah ada kawan saya sorang tu siap provide prepaid untuk mereka. Jadi sorang maid lebih kurang 1000 ringgit lah overheadnya sebulan. Tinggi juga ya. Tetapi bila ada maid, biasanya maid akan buat apa sahaja dari jaga anak, basuh pakaian, cuci rumah, cuci kereta, masak dan macam-macam lagi. Jadi para isteri balik kerja hati senang sebab anak-anak di rumah, rumahpun berkemas, ada orang masak, ada orang mencuci dan sebagainya. pendek kata bolehlah lepas mandi baring-baring depan TV sambil tengok Mentor TV3 hehehe. Bunyinya macam Maid ini memang memudahkan kehidupan mereka yang bekerja. Ada pula majikan yang berlebihan arahannya, maklumlah ada orang suruhan di rumah lalu disuruhnya maid buatkan minuman untuk famili kala mereka sedang melayan Cerekarama. Ada pula menimbunkan pakaian ofis, baju sekolah anak untuk digosokkan sambil majikan sedang makan malam. Ada pula majikan lepas makan sambil tengok Akademi Fantasia dipanggilnya maid minta diurut-urutkan badan mereka. Al maklumlah penat seharian di tempat kerja. Selesai makan, selesai tengok tv majikan masuk tidur dengan anak-anaknya sekali tapi maid diingatkan supaya kemas dapur dahulu sebelum ke kamar. Seronokkan kalau ada maid. Semua kerja dibereskan. Tak mengapalah kita majikan jadi kita bayar gajinya setiap bulan. Lagipun 400ringgit tu besar kalau dibandingkan duit indon...berjuta-juta rupiah. 
fikirkan keselesaan mereka
Esok pagi, orang paling awal bangun pagi adalah maid. Mana boleh orang gaji bangun lewat daripada majikan. Siapa yang nak siapkan sarapan dan siapa yang nak sapu habuk-habuk. Majikan dah kelam kabut nak mengejarkan waktu pejabat. Jadi bangun dan bersiap. Ambil pakaian yang digosok semalam, makan sarapan dan say bye-bye to baby. Itupun kalau baby dah bangkit. Kalau tidak terus start enjin kereta. Hati senang sebab maid ada di rumah mejaga anak, mengurus rumah, membasuh pakaian dan semuanya lah. Anak-anak yang ke sekolah kalau balik tengahari makannya pun terjaga sebab maid dah masakkan. Senang hati. Semua diuruskan dengan baik. Maklumlah mampu menggajikan maid 500 ringgit sebulan. Senang sungguh hidup kita dengan kehadiran maid. Mereka memudahkan kehidupan. Kurang beban. Tapi adakah dengan menggajikan seorang maid dengan membayar segala macam urusan maka sudah cukup untuk kita katakan kita adil. Adil dalam menilai seseorang. Kenapa kita sangat berkira-kira dalam soal menggajikan maid? Adakah kita sanggup menerima gaji sebanyak 400ringgit dengan kerja lebih dari 12 jam sehari dan diperlakukan sebagai orang suruhan? Memang kalaupun tempat tinggal dan makan minum diberi namun adakah itu cukup untuk membahagiakan seorang manusia. Meskipun dia itu orang gaji , orang luar dan orang indonesia. Kita sendiri pun akan sangat menentang sekiranya anak atau adik atau saudara apabila kerja mereka seperti begini tambahan pula dengan gaji yang kecil. Saya pasti anda tak akan benarkan saudara terdekat anda membuat kerja yang tidak setimpal. maaf lah ya saya ni sekadar melontar hujah.

Saya pernah ada maid dan lalui kisah yang tidak menarik dengan maid itu. Masa tu Rhea baru berusia 1 -2 tahun Aish 6-7 tahun. Saya layan maid saya macam kakak kerana saya hormat dia sebagai orang lebih tua. Setiap minggu kami berikan dia cuti dua memandangkan kamipun tidak bekerja sabtu dan ahad. Maid kami tu ada suami di Malaysia bekerja sebagai buruh binaan. Jadi atas dasar kemanusiaan saya berikan cuti, kalu cuti sekolah dan cuti raya memang maid itu duduk dirumahnya. Gaji saya bayar macam biasa. Sebab saya kenangkan bahawa dia yang akan jaga makan minum dan mengasuh anak saya. Yang penting anak saya selamat dan hati kami tidak risau. Ada sekali tu maid kami minta tolong hantarkan dia ke rumah kawannya. Rupanya dia pergi menyerang suaminya yang didapati bermain kayu tiga. Saya yang menghantarnya. Kenapa? Memang itu bukan kerja majikan tapi cuba bayangkan apa jadi pada anak-anak kalau saya tidak bantu maid selesai masalah peribadinya. Saya cuma mahu semasa dirumah kami, maid tenang. Bibik saya masak, basuh dan kemas rumah ala kadar saja. Itu tidak mengapa kerana tujuan asal kami mengambilnya kerana mahu mencari pengasuh anak. So saya layan bibik sebagai kakak dalam family tapi tidaklah sampai merajakannya. Tapi rupanya bibik tidak puashati dengan gaji katanya 450 tidak cukup. Masa dia bercuti pulang ke Indonesia dan sebelum balik bekerja dia menelefon dengan memberi syarat akan bekerja kalau gaji naik 500. Saya kata tak mengapalah. Bibik tak perlu datang. Itu kisah saya yang saya anggap jadi majikan yang sangat prihatin. Bagaimana lah pula bagi maid yang bekerja dengan majikan yang sangat demanding. Ada tu duduk di sofa pun tidak boleh...ishhh bagi saya itu menghina.

Banyak pengajaran yang saya dapat dari pengalaman menggajikan maid. Bukanlah serik tapi saya bercermin dan melihat perubahan yang berlaku dalam sistem keluarga saya semasa punya maid. Anak-anak kami menjadi sangat tidak berdikari semua benda dibuat maid. Kami pula menjadi sangat malas untuk mengemas dan menjaga rumah kerana maid sudah buatkan itu. Apabila maid tak ada, kita kembali memainkan peranan sebagai ibu bapa. Kita menunjukkan teladan kepada anak, mengemas dan memasak, membasuh dan menggosok pakaian. Jadi anak ada pengalaman itu. Ini penting buat anak-anak yang sedang membesar kerana mereka belajar melalui contoh. Berapa ramai antara kita semasa kecil dijaga oleh maid?  Anak-anak harus berdikari, mengambil pakaian dan menyarungkannya itu adalah pengurusan diri. Begitu juga membasuh kasut sekolah itu adalah pengurusan diri. Kalau anak melihat kita selalu baring depan tv dan orang lain yang buatkan semuanya maka itulah imej yang berkembang di dalam minda mereka. Menjadi boss...semua dibuat. Tapi kita tidak tahu apa akan ditempuh anak-anak kita. Adakah mereka boleh berdikari? Silap-silap kita yang akan jadi orang suruhan anak di kemudian hari.

Panjangnya cakap saya kali ini. Tapi inilah realiti. Berbalik pada kisah maid Indon ni. Saya tidak salahkan 100% pada pihak kerajaan Indonesia. Mereka pun turut memikirkan risiko-risiko lain yang perlu dihadapi oleh rakyat mereka. Dengan kisah-kisah tragedi yang berlaku melibatkan majikan dan maid di Malaysia. Ianya memang menakutkan. Walaupun ia adalah kes terpencil namun kes-kes seperti Nirmala Bonat (tanpa menidakkan kes maid mendera membunuh anak majikan) yang mengheret 2 kerajaan duduk berbincang. Memang sifat semulajadi kebanyakan manusia, selalu mementingkan hak sendiri. Mahu menang balik kita sahaja. Kita tak mahu penat, kita tak mahu rugi, kita tak mahu bayar mahal dan kita tak mahu anak-anak terabai tapi kita lupa maid Indon juga turut memikirkan soal kehendak mereka juga. Andai kata rm700 itu gajinya bagi semua kerja, adakah anda sanggup?

Jangan kita letakkan maid itu ditempat yang rendah. Kalau dalam rumah, kita selalu berfikiran bahawa maid itu orang suruhan maka selamanyalah maid itu tidak akan bahagia dengan kerjanya. Saya sangat positif dalam hal ini. Saya yakin bahawa penyertaan maid dalam rumah kita adalah untuk memudah dan menyenangkan hidup kita. Bukan untuk dibuli dan diabdikan. Kita sendiri pun kalau bekerja ada masanya nak bersembang dan berehat. Janganlah kita pantang bila lihat maid bersembang dan berehat. Kita harus memberi hak mereka walaupun dalam rumah kita. Biar mereka selesa dan ada rasa kepunyaan pada rumah kita. Ini lebih menyenangkan. Sebagai majikan, persepsi terhadap mereka harus positif, kesilapan mereka perlu diperbaiki melalui teguran bukan hukuman. Itulah yang membezakan kita yang berpelajaran.
Antara maid yang dipusatkan di Kedutaan Indonesia kerana didera majikan

Entahlah bunyi macam entri saya kali ni memihak kepada maid tapi bukan itu pun my ultimate. Saya cuma cuba mengupas hal-hal yang mungkin tidak ternampak. Hal kemanusiaan selalunya hilang dalam kuasa. Ini pun jadi pengajaran kepada negara kita. Kita Indonesia yang bergelut dengan ekonomi yang teruk kesan inflasi 1997 dan beban hutang dengan IMF. Kegagalan pemerintah Indonesia mengagih dan menggunakan kekayaan buminya menyebabkan rakyatnya merana. merantau dan menjadi kuli di negara orang. Istilah Indon membawa konotasi yang sangat negatif di Malaysia. Saya tidak pasti merujuk kepada apa tapi saya rasa kesan dripada kemiskinan, pendidikan dan taraf hidup yang rendah. Malaysia kalau pemerintahnya tidak cekap, banyak rasuah, mengabaikan rakyat maka tidak mustahil rakyat kita turut menerima nasib seumpamanya. Syukur setakat ini kita dipelihara.

Dalam hal maid ini, alangkah baik kalau kerajaan dan masyarakat sendiri memulihkan cara hidup kita. Jika pusat jagaan kanak-kanak yang sedia ada dapat berfungsi dengan baik, mengenakan kadar yang sewajarnya dan kerajaan membaik pulih keperluan rakyat ini seperti tabika kemas, nursery, kursus penjagaan dan sebagainya tentu sekali tahap kepercayaan rakyat akan meningkat. Nak menjadi negara maju haruslah memikirkan kesejahteraan rakyat. Kesejahteraan itu bermakna stabil dalam segala hal. Tidaklah kita setiap tahun dihantui kisah-kisah macam ni.

Friday, March 16, 2012

TANDA PUTERA

Saya sebenarnya tak sabar menunggu hasil filem terbaru Tanda Putera yang dijangka bakal ditayangkan sekitar bulan merdeka 2012. Walaupun peranan saya sebagai Tunku tidaklah besar sebagaimana dalam Hati Malaya namun perasaan mahu melihat hasilnya sangat tinggi. Saya senang bekerja dengan team pesona dan castingnya seperti Rusdi dan Zizan. Sebenarnya kami banyak share beberapa kenangan khususnya semasa shoot di Carcosa Seri Negara ...hahaha. Tambah-tambah lagi filem ini menumpukan sepenuhnya era pemerintahan Tun Razak, tiada campur aduk zaman dan istimewanya menggunakan khidmat pakar untuk kesan khas seperti CGI.  pengalaman bekerja dengan Shuhaimi baba dan teamnya memang menarik, mereka tidak bermain-main dengan sejarah. Diselidik dan dicari dokumen agar rakaman dan catatan di dalam filem itu nanti tidak bercanggah ataupun secara tidak langsung menyampai fakta yang betul. Dalam serius mereka tetap bersenang di lokasi. Saya sebagai aktor, setiba di lokasi sudah diatur kostum dan mekapnya, jadi ianya balance antara research kita dengan research production. Itu memang menarik. Shumi yang juga selaku dramatur akan berkisah apa di sebalik adegan. Sebab apa dan kenapa watak dan situasi begitu. Memang saya akui bila kerja dalam produksi historical movie, kita sebagai aktor harus menyumbang dan tambah kerjanya. So i collect, read and read books/articles and after that interpret. So tunggulah TANDA PUTERA. (Tulisan di bawah ini saya petik dari Harian Metro)

BORAK LOKASI: Gambaran semangat patriotik Shumi

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TATKALA melangkahkan kaki masuk ke dalam Studio KRU di Cyberjaya, baru-baru ini, ia membuatkan hati penulis terpegun. Terasa seperti kita berada pada dekad 1970-an apabila melihat binaan set yang tersergam di dalam studio itu bercorak retro dan antik. Lebih teruja lagi apabila mendapat tahu rekaan set itu bagi babak kacau-bilau yang pernah tercetus pada 13 Mei 1969. Itulah antara kehebatan karya terbaru, Tanda Putera arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba. Mungkin ramai sedia maklum mengenai sejarah peristiwa yang pernah menggoncang perpaduan di Malaysia itu. Tragedi hitam itu mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda. Ia susulan daripada Pilihan Raya Umum 1969 tetapi keadaan tegang itu berjaya dipulihkan dengan usaha pihak berkuasa dan pemerintah ketika itu.

Difahamkan, bagi mendapatkan set berkenaan, kru Tanda Putera bertungkus-lumus menyumbangkan idea masing-masing dan membinanya mengikut kehendak skrip.


Tinjauan Rap di situ bagi ruangan Borak Lokasi kali ini menyaksikan penggambaran berkenaan berlangsung dengan lancar dan masing-masing begitu serius bekerja. Paling bersungguh-sungguh dan memberikan sepenuh fokus adalah Shuhaimi atau Shumi sendiri.Ternyata Shumi bertuah kerana dia berupaya menggabungkan ramai bintang handalan seperti Rusdi Ramli sebagai Tun Abdul Razak, Zizan Nin (Tun Dr Ismail), Tunku Abdul Rahman (Che Kem), Faezah Elai (Tun Rahah) dan Linda Hashim (Toh Puan Norasyikin). Tanda Putera turut menampilkan pelakon pembantu lain seperti Ida Nerina, Sharifah Shahira, Fizz Fairuz, Nazril Idrus, Alan Yun, Zoey, Kavita Sidhu, Hasnul Rahmat, Nasrizal Ngasri dan Razali Hussain.

Kata Shumi, pengalaman menjalani penggambaran di Studio KRU itu buat pertama kalinya memudahkan segala perancangan serta jadual yang ditetapkan pihaknya.“Penggambaran di studio ini sangat penting kerana kami perlukan suasana dan set yang tidak diganggu orang awam. Apatah lagi ia bagi menggambarkan keadaan rusuhan ketika pilihan raya dan Tragedi 13 Mei, kami sangat memerlukan ketelitian dan fokus.
“Walaupun membabitkan kos yang mahal namun demi menampakkan suasana sebenar era 1970-an, saya rasa ia berbaloi. Bukan sekadar cerita menarik mengenai pemimpin terulung negara itu, saya juga mahu berkongsi pelbagai peristiwa yang perlu kita tahu sebagai rakyat Malaysia,” kata Shumi.

Terbukti semangat patriotik Shumi sangat menebal sejak dia menghasilkan 1957: Hati Malaya. Shumi sedar sebagai pembikin filem, dia bertanggungjawab menghasilkan sesuatu buat Malaysia. Shumi gembira kerana bagi projek kali ini, dia mendapat kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Multimedia Development Corporation Sdn Bhd (MDeC) dari segi sokongan dana. Shumi memaklumkan selain penggambaran yang sukar, dia juga menyelitkan penggunaan imej janaan berkomputer (CGI) untuk menampakkan suasana realistik pada babak yang diperlukan.

Katanya, cuaca tidak menentu dan masalah lokasi turut memberi kesan kepada penggambaran. Penggambaran berlangsung selama 47 hari membabitkan lokasi di sekitar Lembah Klang, antaranya Kelab Golf Saujana, Kampung Baru Felda Sungai Loi, Negeri Sembilan; Makam Pahlawan; Tugu Negara serta Bangunan Sultan Abdul Samad. Tidak ketinggalan penggambaran di sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jalan Othman, Petaling Jaya; Universiti Malaya (UM) dan Pawagam Coliseum. Seterusnya membabitkan lokasi di London bagi babak akhir Tun Abdul Razak menjalani rawatan di sana.

Tanda Putera antara lain mengisahkan persahabatan akrab antara Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak dan Timbalannya, Tun Dr Ismail yang terpaksa berahsia dan mengetepikan masalah kesihatan masing-masing bagi memulihkan keadaan negara ekoran tragedi 13 Mei 1969.Kata Shumi, Tun Razak terpaksa menyimpan rahsia penyakit leukemia yang dihidapinya kerana tidak mahu keluarganya tertekan selain bimbangkan keselamatan negara. Antara yang tidak diketahui rakyat adalah bilik bacaan di rumah Tun Dr Ismail menjadi klinik rahsia bagi rawatannya oleh Dr Macpherson tanpa pengetahuan sesiapa termasuk ahli keluarga Tun Dr Ismail sendiri.

Tuesday, March 13, 2012

DIRANG : SAMBUNGAN KISAH NURIN

Nak salahkan ibunya yang leka melayan facebook dan membenarkan anak kecil sendirian ke kedai membeli maggi kerana lapar pun memang patut, kerana anaknya kecil tambah-tambah lagi budak perempuan. Namun mungkin ibunya terlalu mempercayai masyarakat sekitarnya dan yakin bahawa mereka akan melindungi anaknya? Nak disalahkan facebook tak boleh juga sebab FB hidangkan macam-macam hal, kita yang tentukan berapa kerap dan lama mana nak bersidai di depannya. Apapun ini pengajaran buat kita semua. Anak selagi boleh kita lindungi, lindungilah. Memang fitrahnya ibubapa akan melindungi anaknya. Namun kejadian ini mungkin untuk menyedarkan kita.
Dirang : Al-Fatihah
Kes Allahyarham adik Nurul Nadhirah Abdullah atau Dirang hilang-diculik-dibakar dan mati sama sahaja sebagaimana berlaku pada Allahyarham adik Nurin Jazlin. Sama!!!! Saya beranggapan ibubapa melepaskan mereka keluar atas yakin bahawa anak mereka dilindungi. Kedua-dua hilang dan ditemui dalam keadaan yang tidak mampu untuk difikirkan. Kejamnya manusia yang membunuh. Di mana belas kasihan? Saat anak-anak itu diseksa apa perasaan mereka? 


ibu bapa Dirang
Hal ini sangat kompleks bila mahu memikirkan punca mengapa manusia boleh bersikap dan bersifat sedemikian rupa. Berapakah harga yang perlu dibayar untuk kita dapatkan semula keamanan. Saban hari kita melihat, membaca, mendengar kisah-kisah manusia dikejami, membuat kita rasa dunia ini betul-betul tidak waras. Bagaimana mahu mengimbangi kehidupan ini? bagaimana nafsu jahat manusia itu boleh ditundukkan? Bagaimana mahu menjaga sifat manusia agar tidak bertukar menjadi makhluk paling jahat? Dalam hidup hari ini, ketika negara kita menapak tahun ke tahun untuk menjadi negara maju kita sebenarnya mengundur dalam soal insaniah. Apabila kemajuan itu diukur pada hal-hal ekonomi, pendidikan, kesihatan dan apa sahaja, bagi saya itu hanyalah ukuran untuk menjadi orang lain. Kita tidak maju selagi kita tidak mampu membentuk masyarakat menjadi manusia yang punya kemanusiaan yang tinggi. Berapa ramai orang berharta dan berpendidikan menyeleweng malah hari ini sahaja bermacam cerita di akhbar kisah orang politik dan orang berpangkat dituduh dan didapati bersalah atas tidak amanah. Kita tidak boleh menjadikan kayu ukur dengan mengeluarkan ramai lulusan diploma, ijazah dan bermacam gelaran akademik demi untuk mencapai negara maju namun pada hakikatnya kita mempermudah mempermain corak pendidikan, menurunkan tahap demi menaikkan bilangan dan peratusan. Cara itu amat salah. Kayu ukur sebenar adalah mengimbangi rohani, emosi dan intelektualnya. Itu formula melahirkan insan insani.
Kesempatan diambil di mana sahaja, dulu pantun Melayu menyebut
 "kalau ada sumur di ladang, boleh saya menumpang mandi...''
 tapi hari ni kena bayar tau...no tumpang-tumpang

Jadi hari ini, dengan tuntutan hidup yang komples, duit menjadi punca utama. Manusia bersaing bukan untuk keharmonian tapi untuk memenuhi tuntutan dunia. Kita ramai orang terpelajar, kita ramai manpower, kita ramai foreigner, kita banyak ruang dan peluang pekerjaan...kerajaan saban kali menaikkan gaji dan memberi subsidi namun ia tidak mampu membeli manusiawi. Saya sering bertemu anak-anak muda yang baru lulus pengajian dan impiannya bergaji besar. Okay, tapi yang peliknya mereka tidak mahu susah dan tidak mahu memiliki lebih kepandaian dan pengalaman. Mereka cuma mahu duit untuk membeli kehidupan. Ini salah!!! 
Hantu pun pandai sayang manusia
Ahhh sudah jauh saya merepek ni. Kisah adik Dirang yang berlaku buat kali ke berapa ini adalah siri ulangan. Saya amat kasihankan arwah dan keluarganya. Saya tahu awak semua seperti saya sedih dengan peristiwa ini. Ini sebenarnya berita kekalahan Malaysia. Kekalahan negara membentuk rakyatnya. 

Al Fatihah buat Dirang. Juga Al Fatihah buat Nurin. Semoga Allah mengirimkannya ke syurga bersama-sama bidadari.

Wednesday, March 7, 2012

ABSTRAK 5 : ANAK GONDANG?

Saya harap anda tidak bosan dengan entri saya. Mana tidaknya asyik lukisan saja....kalau elok ok juga kan. Lukisan ini telah saya kerjakan beberapa minggu sudah. Masih tidak pasti tajuknya. Tetapi masa saya melukis saya bayangkan satu adegan dalam cerita makyung yang kesannya kuat dalam kehidupan bukan sahaja saya, mungkin juga anda. 


Bagaimana pendapat anda? 

Friday, March 2, 2012

3FACES : PENARI KELAS TINGGI

Tajuk ini bukanlah memperkecilkan penari lain atau cuba mengangkat bakul sendiri sebab saya ini dari ASWARA. Bukan. Realitinya begitulah. Kalau saya kata berkelas dunia nantikan banyak orang marah, ada pula kumpulan-kumpulan utama kebudayaan marahkan saya. Ya lah apalah hebatnya budak-budak ASWARA tu menari. Memang saya akui mereka bukan berkelas dunia jika kayu ukur kehebatan penari itu pada ketinggian, rupa paras dan ketrampilan mereka di luar. Apalah nak harapkan budak-budak ASWARA bergaya sakan kalau cuma harapkan duit saku mak bapak hehehe. Jangan marah ya...

3Faces tidaklah mengejutkan bagi saya yang selalu menyaksikan persembahan sebegini, namun ia amat menakjubkan apabila pada satu malam sekumpulan anak muda Malaysia menunjukkan kehebatan dalam tiga genre tari yang sangat berbeza. Perbezaan itu bukan sahaja pada irama, gerak dan stailnya tetapi cukup berbeza dalam soal meluah dan mengekspres bahasa badan mereka mengikut konteks genre yang ditarikan. 


Malam ini mereka mempamerkan kecekapan nuansa India yang bagi saya bukan calang-calang penari boleh menguasai dan menyampaikannya dengan baik. Dalam persembahan segmen klasik India, tentu sekali tumpuan diberikan kepada Norbaizura dan Yunus Ismail. Kedua-dua mereka kini mencatat sejarah peribadi apabila Baizura diangkat sebagai Wanita Melayu pertama mencapai tahap cemerlang dalam Bharata Natyam, begitu juga Yunus yang mengikut jejak Ramli Ibrahim dan Chandrabanu malah telah dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Seni Selangor.


Segmen kedua pula menyusul sebuah Teater tradisional Makyung 'Dewa Indera Indera Dewa'. Ia memetik salah satu babak penting dalam cerita tersebut. Segmen ini mempertontonkan kebolehan mereka dalam menarikan tarian tradisional Melayu 'Mengadap Rebab' serta kebolehan mereka melakonkan watak-watak dalam cerita makyung. Nyata mereka diuji dan patut dipuji. Ismadian selaku pemain utama terserlah dengan kehebatannya sebagai pelakon makyung. Nyanyiannya sangat indah. Air makyungnya mengena, lidah Kelantannya menyerap. Kita ada seorang lagi pelapis makyung.


Segmen terakhir adalah 'Plan B' sebuah tarian kontemporari yang menerap gaya dan ciri hip hop dalam persembahan. Plan B menampilkan 3 watak utama iaitu Failul, Murni dan Marul. Dramatari moden ini melengkapkan kehebatan kumpulan ini sebagai penari berkelas tinggi. Permainan emosi oleh Murni dan Marul sangat memikat. Seolah mereka pun pelajar senilakon. Failul@Boy hebat dengan hip hop dan breakdance nya...sangat natural. Ramai yang menyerlah dalam segmen ini termasuklah penari utama Bhrata Natyam, Baizura dan Pakyung, Ismadian. 

Jadi kenapa saya harus malu untuk mengatakan bahawa mereka ini adalah penari kelas tinggi di Malaysia. Saya berani mengatakan bahawa Istana Budaya harus memiliki penari seperti mereka dan betul-betul menonjolkan kebolehan tari mereka. Barulah boleh disebut penari negara. Namun itu tak akan menjadi realiti sebab Istana Budaya akan kekal begitu. Kalau zaman KBN dulu, ianya berbeza kerana KBN melahirkan penari terbaik, mengekalkan warisan dan bereksperimen dengan kesenian. Apa nak dikata, zaman selalunya relevan dengan trendnya. Jadi ASWARA harus kekal dengan semangat dan slogan nya ''...melangkah ke hadapan bersama tradisi''.

Tahniah sekali lagi buat ASWARA DANCE COMPANY di bawah Pengarah Artistiknya Dr. Joseph Gonzales merangkap Dekan Fakulti Tari ASWARA. Malam ini sekali lagi mereka membuktikan bahawa ASWARA adalah sekolah terbaik dalam mengeluarkan bakat tari berkelas tinggi. Tahniah buat guru-gurunya.

3Faces akan dipentaskan 1 - 4 Mac 2012 di Panggung Eksperimen, ASWARA jam 8.30 malam. 

Monday, February 27, 2012

DATO' OMAR AWANG SAMAN KSU KPKK

myMetro | ‘Saya kena fitnah’

Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Bekas Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Datuk Omar Awang memfailkan saman menuntut ganti rugi RM4.2 juta kepada Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan mengeluarkan surat berunsur fitnah sehingga beliau ditukar ke bahagian lain perkhidmatan awam serta diturunkan pangkat.
Omar yang kini berkhidmat di Penempatan Khas, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, semalam melalui peguamnya G Ravi Shankar.

Beliau menamakan Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama dan kedua.
Dalam pernyataan tuntutannya, Omar (plaintif) berkata, pada 12 Mei 2009, Kamaruddin dengan niat jahat menyalahgunakan kuasanya untuk menandatangani dan menyebabkan penyiaran surat bertarikh sama dan dialamatkan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Aswara.

Omar sebagai plaintif berkata, perkataan dalam surat itu adalah berunsur fitnah dan berniat jahat yang membawa maksud Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan memutuskan untuk tidak melanjutkan peminjaman beliau sebagai rektor Aswara.

Menurutnya, perkataan itu tidak benar dan disiarkan defendan pertama bertujuan menjatuhkan reputasi dan nama baiknya.

Beliau juga berkata, pada atau lebih kurang 4 Disember 2009, Kamaruddin dengan niat jahat dan salah guna kuasa menandatangani dan menyebabkan sepucuk surat dikeluarkan, dengan menukarkan dan menempatkannya kepada sektor lain serta menurunkan pangkatnya daripada Gred Utama B (Terbuka) kepada Gred M54 tanpa apa-apa sebab munasabah.

Omar mendakwa, tindakan defendan jelas bagi tujuan menghalang kenaikan pangkatnya serta berniat jahat apabila mengemukakan Laporan Asas Kenaikan (LANP), Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) miliknya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui surat bertarikh 1 Oktober 2010 dan mencadangkan kenaikan pangkat beliau ke Gred Utama C sedangkan dia tahu plaintif sudah mencapai pangkat Gred Utama C pada masa itu.
Foto ini saya rakam semasa beliau menyampaikan ucapan dalam majlis doa selamat sempena Teater merdeka Muzikal Tun Abdul Razak 2009


Dakwa beliau lagi, defendan juga berniat jahat apabila membuat permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dengan memendekkan tempoh pelantikan plaintif sebagai Setiausaha Bahagian, Bahagian Antarabangsa (Sektor Penerangan) Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan daripada 1 Disember 2009 hingga 31 November 2011 kepada 1 Disember 2009 hingga 14 September 2010 tanpa sebab munasabah Menurutnya, tindakan defendan pertama itu jelas menunjukkan beliau gagal memberikan notis selama 30 hari kepadanya seperti diperuntukkan dalam Klausa 14 Syarat-Syarat Pelantikan Pertukaran Sementara dan disebabkan tindakan itu, beliau ditukarkan ke Penempatan Khas, Intan mulai 15 September 2010.

Sehubungan itu, Omar menuntut daripada defendan antaranya ganti rugi, teladan dan teruk masing-masing sebanyak RM1.4 juta, perintah bahawa beliau dinaikkan pangkat ke Gred Utama B dengan serta-merta dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

SETIAP INSAN DIUJI DENGAN BERMACAM-MACAM UNTUK MENCUKUPKAN RIWAYATNYA SEBAGAI MANUSIA. MENGENALI DATO OMAR YANG SANGAT OPTIMIS DAN PUNYA TAHAP KEYAKINAN DIRI YANG TINGGI, TIDAKLAH MEMERANJATKAN SAYA. APAPUN SAYA HARAP KES INI SELESAI SEPERTI KATA PEPATAH 'BAGAI MENARIK RAMBUT DARI TEPUNG...RAMBUT TIDAK PUTUS TEPUNG TIDAK BERSERAK'.

UNTUK DATO OMAR AWANG:
"DI MANA DAN DALAM EMOSI APAPUN DATO' BERADA, SAYA DOAKAN SEMOGA ALLAH PERMUDAHKAN PERJALANAN HIDUP DATO' DAN DIMAKMURKAN KEHIDUPAN HARI INI DAN ESOK."

Friday, February 24, 2012

REALITI TV: KEJARLAH MIMPI ITU

Mungkin entri saya dah lapuk topiknya. Tidak mengapa lah. Sewaktu meninjau-ninjau di Youtube, saya terpandang video ini dan setiap kali itulah saya mahu menontonnya. Ia tidak pernah membosankan.

Video ini kisah seorang lelaki, Paul Potts ialah penjual telefon mobil yang bercita-cita menjadi seorang penyanyi opera. Pada pandangan pertama memang ada rasa ''eeee... tinggi sungguh cita-citanya''. Namun pabila dibuka mulut dan dilontar suaranya, satu dewan terpukau. 

Saat itu bermulalah realiti sebenarnya. Kisah lelaki yang punya banyak kekurangan pada rupa dan keyakinan diri apatah lagi diperlekehkan orang akan cita-citanya. Paul Potts menurut sahaja nalurinya. Dia punya kekuatan yang tinggi dan percaya pada bakatnya. Dia punya mimpi dan dia berkata ''my dream is to spend my life what i feel i was born to be'' dan dia menyungguhkan kata-katanya.

Banyak pelajaran dari video ini. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Kita dilahirkan dengan beribu pilihan dan kita yang memilihnya. Usaha dan kecekalan akan membawa seseorang itu ke satu destinasi impiannya. Peribadi dan jiwa itu harus diyakinkan untuk melawan apa sahaja yang boleh meruntuhkan. Tuhan membuka rezeki dalam bermacam-macam cara. Ia mungkin tidak datang bagai dalam mimpi namun ia memenuhi kemahuan mimpi itu. Tuhan tidak pernah menganiayai umatnya selagi umatnya berusaha. Batas yang kita ada mungkin bisa mengejutkan kita sendiri. Siapa tahu?

Jika anda bermimpi untuk jadi chef, ia takkan menjadi kalau anda tidak mahu kenal mana kunyit mana haliaa. Jika anda mahu jadi angkasawan, jangan fikir naik roket terus sampai bulan. Jika anda mahu jadi guru, kena tuntut ilmu dan kuasai bidang itu. Waima kalau mahu jadi 'maid' pun kena tahu macamana nak basuh berak baby. Apatah lagi budak-budak nak jadi penyanyi atau pelakon...langkah anda bukan setakat masuk ASWARA saja.....


"SEGERALAH BERPEGANG PADA IMPIAN, KERANA JIKA IMPIAN MATI, 
HIDUP AKAN MENJADI SEPERTI BURUNG YANG PATAH SAYAP"
Langston Hughes

"JIKA KITA TIDAK TAHU PELABUHAN MANAKAH YANG KITA TUJU
NESCAYA ANGIN PUN TIDAK AKAN DAPAT MEMBANTU"
Seneca

"CITA-CITA HARUS DIPERBUAT DARI BAHAN YANG KERAS"
William Shakespeare


Tuesday, February 21, 2012

LATIF IBRAHIM DAN KEHILANGAN

Kehilangan seseorang memberi kesan dalam hidup seseorang yang lain. Kesan itu tentu sekali hadir secara emosi dan adakala turut memberi kesan kepada fizikal. Dalam hidup ini, secara sedar atau tidak kita menerima setiap pertemuan itu ada perpisahannya. Hati selalu mengatakan bersedialah untuk menerima takdir ketika saat terakhir bertemu. Itu kata hati dan selalunya lah hati kita menipu. Kita selalu kata kita kuat namun banyak sungguh yang tewas saat menerima perpisahan. Apatah lagi menerima perpisahan yang bererti kehilangan abadi.
Takziah saya ucapkan buat my brother,Joseph atas kehilangan ibundanya 

Mendiang Victoria Gozales (94  tahun) pada hari khamis malam 16 Feb lalu. 
Saya sering diceritakan kisah ibunya, kisah kekuatan dan kecekalan 
seorang wanita. Dalam nada nakal Joseph selalu bercerita namun jauh di sudut 
hati, saya tahu kesan kehilangan itu amat berbekas dalam diri Joseph. 
Apatah lagi beliau adalah anak bongsu dan tinggal bersama ibunya 
sehingga nafas terakhir. Moga mendiang Victoria aman 
bersemadi dan semoga kekuatan mengiringi semangat mereka sekeluarga. 
Takziah.
Dalam seminggu ini, saya dan mungkin anda telah menerima beberapa berita kematian. Pemergian insan tersayang sama ada ahli keluarga rakan atau ahli keluarga anda sendiri. Setiap kali itulah hati saya melahirkan kesedihan atas pemergian itu. Dalam hidup saya, saya menghadapi beberapa kali saat sukar menerima perpisahan itu. Memang orang selalu kata 'setiap insan yang kita kasihi hanya dipinjamkan buat kita, sampai masa dia akan kembali pada yang hak'. Saya akur dan terima kebenaran itu. Selalu juga kita menyebut 'Allah lebih mengasihi dia' dan macam-macam lagi kata-kata yang mahu merangsang dan menyedapkan hati agar terpujuk hati kita untuk redha dengan perpisahan itu. Namun percayalah, berat bibir yang mengucap tidaklah seberat jiwa yang meratap.
Whitney Houston adalah tragedi. 

Seorang diva yang diangkat atas kehebatan bakatnya. 
Mendiang disebut orang sebagai antara penyanyi terhebat yang 
pernah dilahirkan. Lagu-lagunya bukan sedikit tapi banyak yang 
mengungguli carta dunia. Siapa boleh lupa lagu I will Always Love You 
yang dinyanyikan sehingga menenggelamkan nyanyian asal 
Dolly Parton. Itulah hebatnya seorang diva. Namun seperti 
saya sebut mendiang adalah contoh tragedi seorang diva. 
Manusia sering melakukan kesilapan, kesilapan Whitney bukan kecil, 
beliau silap memberi cinta dan akhirnya cinta itu membawa kemusnahan. 
Kehidupan gelapnya menjadi kisah hitam yang tidak mahu diingati 
tentang Whitney Houston. Mendiang gagal mengurus emosi 
dan hidupnya. Hari-hari terakhirnya sangat menyedihkan...
kemurungan, kegelapan, kecewa, musnah semuanya 
terhimpun di hari kematiannya. 
Hari ini 20 Feb 2012, Seniman Latiff Ibrahim pergi meninggalkan 

kita buat selama-lamanya.  Mungkin buat generasi hari ini 
tidaklah begitu terkesan namun orang seperti saya yang membesar 
dengan lagu-lagu dan filem-filemnya merasakan suatu kehilangan. 
Lagu Nora, Pilihlah Aku dan Mengenang Dikau Kembali adalah 
antara hits beliau. Siapa boleh lupa lakonanya dalam 
Dendang Perantau dan Sumber Ilhamku? Waktu itu beliaulah 
hero malaya pujaan, kacak dan miliki suara jantan yang hebat. 
Allahyarham pergi meninggalkan bingkisan kenangan. 
Al-Fatihah.
Bagaimana mahu mengukur kesan itu dalam hati kita? Tentu sukar kan. Sekuat manakah emosi anda apabila cuba menyebut dan berbicara dengan insan yang telah pergi itu...cubalah. Ia amat sukar apabila kita membayangkan Arwah berada di hadapan. Saat ingin kita ucapkan...semua patah kata-kata bergumpal bersama emosi dan keengganan hati menerima kenyataan dia sudah tiada. Untuk diri saya ia terlalu sukar, saya kalah dengan emosi itu. Sebaris nama panggilannya disebut sederas itulah hujan yang turun. Bagaimana mampu kita kumpul kekuatan nak melawan kenyataan itu. Antara kerinduan, ingatan, kasih sayang, perkongsian pahit manis semuanya berbaur dan bergulung-gulung menerkam saat saya cuba berbicara. Ini selalunya terjadi sewaktu menziarahi pusara. Yang terbaik kita sedekahkan doa-doa dan ayat-ayat suci buat mereka. Agar ketenangan mengiringi kehidupan mereka di sana.

Bagai kata lirik lagu di atas
 ''I know you're there, A breathe away's not far...To where you are"



Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...