Jom Kita Jadi Geng

Sunday, December 18, 2011

2011 SUDAH HUJUNG

2011 hampir melabuhkan tirainya. Makin sendat rasanya hidup pabila usia telah cecah 40tahun. Banyak benda yang belum dicapai. Makin pendek usia untuk mengejarnya. Semoga Allah memudahkan perjalanan hidup dan mempermudahkan segala urusan. Jika dihitung apa yang saya capai dan peluang yang saya perolehi...syukur alhamdulillah kerana Allah masih membuka pintu-pintu rezeki. Soal kerja di ASWARA dan kerja di luar sebagai memenuhi tuntutan lain...saya pasti itu menyeimbangkan rohani saya. Alhamdulillah.

Terima kasih buat anda yang sudi singgah di laman ini. Terima kasih buat insan-insan tersayang yang sentiasa berada di carta paling atas dan sentiasa meletakkan saya di antara insan dikasihi. Hidup ini berdiri atas kebaikan manusia. Insyallah jika niat dan keikhlasan itu selalu ada...selalulah akan ada Rahmat-Nya.



Tuesday, October 25, 2011

SUPIAT MUKRI : WIRA TAK DIDENDANG

Ini lukisan yang saya hadiahkan buat Tuan Haji Supiat
semasa majlis Persaraan beliau pada tahun 1999

Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang kesenian dan kebudayaan, beliau adalah antara pemimpin dan pentadbir seni yang menjadi antara ’master-mind’ kepada perkembangan seni persembahan pada hari ini.  Ketika bidang pendidikan negara tidak begitu memberikan tumpuan kepada bidang seni persembahan, institusi di bawah pimpinannya telah menjadi asas kepada penubuhan dan pembentukan pengajian seni persembahan tanahair khususnya dalam bidang seni tari dan teater. Pada tahun-tahun 80-an, sewaktu universiti-universiti tempatan menyedia pengajian dalam drama dan sastera, institusi Kumpulan Budaya Negara yang ketika itu berfungsi  sebagai unit penggalak dan pengembang kesenian, namun atas keinginan untuk melihat kemajuan dalam seni pentas tanahair dan institusi tersebut sedia mempunyai bakat-bakat terbaik, maka beliau telah menggerakkan satu program khusus yang bertujuan meningkatkan keilmuan karyawannya di dalam memperkayakan ilmu kesenian mereka.
Dzul, Pn. Habsah, En. Salehuddin, Tn. Hj Supiat, En. Zakaria dan Dr. Joseph

Atas inisiatif ini, telah lahir beberapa program bimbingan bersifat bengkel dan produksi, di mana pemuzik dan penari yang terpilih dilatih untuk memahami dan menguasai bidang koreografi dan gubahan muzik khususnya seni persembahan tradisional bagi memenuhi tuntutan khalayak Malaysia ketika itu. Dari sini lahirlah beberapa produksi yang telah mengangkat mutu kesenian negara, apabila Malaysia melalui Kompleks Budaya Negara (KBN) telah dijulang sebagai Juara dan Kumpulan Kesenian Terbaik dalam beberapa Festival Kesenian pada peringkat antarabangsa. Selain itu, KBN terus mengorak langkah dengan menerbitkan drama-drama pentas bersifat perdana dan mengumpulkan tenaga-tenaga kerja KBN yang membentuk satu sistem kerja secara profesional dalam aspek pengurusan pentas, muzik, tari dan pengurusan produksi. Program ini juga turut menghasilkan manual bagi pembelajaran seni tari tradisional dan manual permainan muzik tradisional. Program ini membimbing pemuzik, penari, juruteknik dan kakitangan untuk lahir sebagai pereka tari, pengarah muzik, penata cahaya, pelakon-pelakon teater yang mengisi persada seni hiburan tanahair ketika itu. Nama-nama seperti Pak Ngah atau Datuk Suhaimi Mohd Zain, Datin Sharifah Mahani, Omar Taib, Mahmood Ibrahim, Maziah Omar, Norini Ariffin, Ahmad Omar (Allahyarham), Said Manap (Allahyarham), Pauzi Majid, Othman Abdullah, Sulong Ismail, Yusuf Wahab, Norsiah Yatim, Wan Maimunah,  Zulkarnain Ramly, Lokman Ghani, Juhara Ayob adalah antara seniman kesenian Melayu yang lahir dari KBN.

Keyakinan yang dibina melalui program pendidikan tidak formal itu, KBN telah mengorak langkah berani dengan menganjurkan program latihan secara formal. Program yang dinamakan sebagai Institut Bimbingan Seni (IBS) diwujudkan untuk melatih anak-anak muda yang cemerlang dalam seni tari dan teater. Institut ini menganjurkan kursus selama 3 bulan secara sepenuh masa. Program IBS ini telah berjaya melahirkan penggiat-penggiat kesenian yang aktif pada hari ini antaranya pengarah teater dan filem Aminah Rhapor dan Dr.Kipli Abdul Rahman . Kursus ini telah diiktiraf oleh USM dan menjadi syarat kemasukan ke program Sijil Seni Kreatif USM. IBS dilaksanakan dari tahun 1983-1986 dan menjadi perintis kepada penubuhan Akademi Seni Kebangsaan yang kini dikenali sebagai ASWARA.
Foto ini dirakam sewaktu kami bekas kakitangan KBN
meraikan Tuan Hj Supiat dalam majlis Reunion X-KBN
pada 24 Sept 2011 di Istana Budaya

Sewaktu kemalapan kegiatan berteater di sekitar tahun-tahun akhir 70an ke awal 80an, pementasan-pementasan teater pada waktu itu kurang menarik khalayak dan dianggap satu bentuk persembahan yang berat. Sebagai Pengarah Kompleks Budaya Negara pada masa itu, Supiat Mukri telah menemui formula yang baru. Beliau telah menukar teater kepada satu bentuk hiburan yang kontemporari dan sesuai dengan keperluan masyarakat mutakhir. Program Drama Sebabak yang diperkenalkan pada tahun 1990, telah merubah perkembangan teater tanah air. Formula baru yang menghidangkan drama pendek sebabak, ringan, ada nilai komersil yang digunakan telah mampu menarik khalayak baru ke panggung. Program Drama Sebabak ini telah menggamit ramai aktivis–aktivis muda yang akhirnya menjadi nama penting dalam seni teater tanahair seperti Marlia Musa, Rosminah Tahir, Tiara Jacquelina, Erma Fatima, Zaifri Husin dan ramai lagi. Mereka ini menjadi pengisi kepada program-program drama sebabak sehingga mencambahkan generasi-generasi teater yang lebih baru.

Susulan dari kejayaan program ini, Kompleks Budaya Negara telah dinaik taraf dan membuka sebuah Panggung Eksperimen pada tahun 1994. Kewujudan panggung ini menambah lagi kepesatan pementasan teater di Malaysia. Panggung ini juga menjadi ruang untuk karyawan KBN melatih dan mempersiapkan diri mengisi keperluan Panggung Negara. Beliau menyahut cabaran itu dengan memperkenalkan beberapa program seperti Pementasan teater 33 malam berterusan, program Teater Perdana (untuk teater bersifat serius), program teater kanak-kanak dan satu program khusus mengkaji profil penonton dan khalayak baru.


Banyak sumbangan peneraju institusi ini dalam meletakkan taraf seni persembahan pada hari ini. Sungguhpun ianya menjadi sebahagian daripada tanggungjawab beliau sebagai Pengarah Kompleks Budaya Negara pada masa itu, namun atas kredibiliti beliau sebagai seorang pentadbir dan pengurus institusi seni yang berwibawa, beliau telah berupaya meletakkan batu asas yang sangat kukuh dalam mewujudkan satu sistem dan perancangan program seni yang berkesan sehingga impaknya ternampak ke hari ini. Apatah lagi di bawah pimpinan beliau jugalah lahirnya sejumlah tokoh seni terbilang yang menjadi penyumbang kepada kemajuan kesenian dan warisan negara. 

Catatan saya ini hanyalah secebis daripada sumbangan besar beliau kepada seni persembahan di Malaysia. 

Friday, October 14, 2011

MAKYUNG ASWARA DI BANGKOK

Sekali lagi saya berpeluang menjejakkan kaki ke kota Bangkok. Kota yang macam-macam tragedi. Bila tiba di sana rupanya dah berubah. MBK yang dahulunya saya singgah sekarah dah sangat happening...memang happening. Tujuan saya ke Bangkok adalah mengetuai kumpulan makyung ASWARA ke Mak Yong: The Spiritual Dance Heritage - Seminar and Performance yang berlangsung dari 19-21 Sept 2011 di University of Thammasat, Bangkok. Acara ini dianjurkan oleh SEAMEO SPAAFA.  Kami seramai 9 orang ahli yang merangkumi pemuzik dan pemain makyung. Saya tak dibenarkan bermain so jadilah saya sebagai pengurus kumpulan sahaja. Kalau ikutkan hati memang meronta-ronta nak main makyung. Ya lah last main makyung masa tahun 2009 di Terengganu. Semasa di Bangkok kami bawakan episod Gading Bertimang.
Yang jadi panas dalam dada ambo, bila sampai Bangkok, rupanya ASWARA lah kumpulan paling kecil berbanding UMK, Makyung Pulau Bintan dan Arjuna Sastera Bahu...hmmm memang sentap sekejap. Tapi apa nak buat memang itu jemputan penganjur. Kalau ikut asalnya kami hanya dijemput 5 orang sahaja. Itu lagi sedih. Apapun penyertaan ASWARA dalam seminar ini saya anggap satu platform untuk meletakkan ASWARA sebagai sebuah institusi yang serius menganjurkan seni tradisional ini.
Yang menariknya acara ini ia menghimpunkan 5 kumpulan makyung iaitu 2 kumpulan mewakili institusi pendidikan yakni ASWARA dan UMK. Arjuna mewakili kumpulan NGO dan dua lagi kumpualn makyung; satu dari Pattani, Thailand dan satu lagi kumpulan makyung Pulau Bintan, Riau Indonesia. Semasa melihat tentatif program, memang saya rasa sangat bertuah dapat menonton persembahan dari Riau dan Pattani.
foto ini adalah pakyung-pakyung yang mewakili kumpulan persembahan
ikut arah jam: UMK, Pattani, Arjuna, Pattani dan ASWARA)
  Jika dirujuk foto di atas, pastinya ada bertanya di mana pakyung kumpulan dari Riau. Hasil dari penontonan dan pembentangan dalam seminar, saya simpulkan dan kategorikan bahawa makyung Riau ini sebenarnya bukan makyung dari Kelantan tetapi siftanya menghampiri Mek Mulong di Kedah/Perlis. Jika dilihat kepada perannya yang bertopeng, watak utamanya dipanggil mek senik, muziknya ada seiras mek mulong apatah lagi ada lagu timang welu, lagilah menyuguhkan tanggapan saya. So kerana itu saya anggap sahaja mek mulong Riau dipanggil makyung. Senangnya beginilah, kalau namanya sama belum tentu sifatnya sama sebagai contoh 'jeruk' di malaysia bermaksud makanan yang diperap lama tetapi di sana bermaksud buah oren/limau. Kan lain maksudnya...samalah makyung kita dengan makyung Riau. Tak sama ya!
cuba lihat penggunaan topeng pada peran. Malah perannya dipanggil Awang
Walaupun begitu, tidaklah saya memperkecilkan kumpulan Riau ini. Nyatanya mereka bersungguh-sungguh mahu menjayakan persembahan. Apatah lagi semasa persembahan seboleh mungkin diterapkan elemen mengadap rebab walaupun pada pengamatan saya ia bukanlah routine asal dalam persembahan mereka. Ia semacam dibuat-buat kerana hitungan dan feel penarinya sangat kontemporari. Apapun seminar ini sangat berguna untuk kami, belajar mengenal dan membeza banding kelebihan dan kekurangan setiap kumpulan. Lebih menarik saya dapat bertemu dan melihat di depan mata orang-orang tradisional beraksi.
Foto ini adalah himpunan pemain Peran. Yang paling memikat adalah kemunculan
Peran wanita yang dimainkan oleh nenek berusia mencecah 70 tahun (foto kiri bawah).
Energynya sangat tinggi
Semasa kali pertama kumpulan Pattani buat persembahan dewa Muda, sewaktu pakyungnya mengalun lagu mengadap rebab dan terpegun melihat aksi pemain gendang mereka...saya tutup mata dan muka saya dengan kamera melindungi air mata yang berjurai-jurai turun. Saya sebak...teringat arwah Mek dan keduanya saya menilai diri saya 'sebenarnya apa yang saya buat selama ini sangat kecil berbanding mereka yang sudah sebati dan sejiwa dengan makyung.


Saturday, August 27, 2011

RAMADHAN TAHUN NI RASA PENDEK

Ramadhan dah nak sampai hujung. Rasa sekejap sahaja puasa tahun ni. Mungkin makin umur dah tua makin pendek cepat hari berganti. Raya tahun sambut dengan umur 40 tahun huhuuuu...

Umairah, Kalish, Faqihah dan Rhea: saya selalu rindu berkumpul macam ni.
Ni tahun lalu masa hisham datang rumah
Mungkin juga sepanjang puasa tahun duk sibuk dua tiga kerja. Outstation untuk mentaksir PMR Sekolah Seni di JB dan Kuching, yang memakan 2 minggu turut menjadi faktor kependekan bulan ramadhan tahun ni. Memang seronok berjalan ke tempat orang. Mana taknya sempat berbuka di Singapore lagi, tapi bulan puasalah bulan nak duk berbuka dengan family.

Tahun lepas sempat tunjuk skill masak nasi kerabu dan ayam percik.
Tahun ni...langsung tak sempat
Mungkin juga puasa tahun ni, saya terima job buat drama episod Samarenda Jiwa Lara. Memang jarang sekali saya nak bershooting dalam bulan puasa. Tapi tawaran ni datang dua bulan sebelum oleh pengarahnya Heykal Hanifah (tunang Faezah Elai tu). Jadi saya rasa ambil ajalah since Heykal bersungguh perlukan saya dalam produksi ni. Banyak hari juga duk di lokasi sepanjang puasa...menjadikan lagi pendek rasa Ramadhan kali ni.
Ni hall rumah puasa tahun lalu... tahun ni nak kena
ubah gaya lah
Apapun ibadah puasa kita laksanakanlah sebaik mungkin. Kita perlu bekerja untuk hidup hari ni. Bulan puasa bukan bulan untuk baring-baring kan?

Thursday, May 19, 2011

HAPPY BIRTHDAY MUMMY AND AISH


 Hari tu pada 15 Mei 2011 sempena harilahir isteri saya, Nida, Kami menyambut ulangtahun Nida dan anak sulung saya Aish yang sudah mencecah usia 11 tahun pada 13 Mei. cepat sungguh masa berlalu. sambutan hari tu sangat sederhana. Malah saya tidak memasak apa-apa kecuali rebus sosej kemudian digaulkan bersama olive oil dan oregano. Ma yang turun bersama Pa dari Kepala Batas semata-mata untuk meraikan kedua harijadi ini, memasak kue tiaw goreng. Nida sediakan sanwich telur. Cukup sederhana majlis pada hari itu tetapi lebih bermakna buat kami sekeluarga. Namun yang pasti Rhea yang berlebih-lebih nak menyambutnya...gantungan belon tu adalah idea Rhea yang nak sangat rumah kami dihiasi dengan belon-belon. 
Lihatlah aksi Rhea tu... melebih-lebih dia. Sebenarnya Rhea pun frust hari tu sebab sorangpun kawannya tidak hadir. Ada kisah di sebalik ketidakhadiran mereka. Kesia Rhea. Walau bagaimanapun dia tetap meriah dengan keletahnya.
 Aish dan Rhea macam berjanji pula memilih warna pink. Lihatlah baji Rhea tu, dah terlondeh bahunya macam dibuat-buat. Tapi sebenarnya baju tu lehernya terlalu besar sering jatuh dari bahu Rhea. Jadilah begitu...seksi sudah anak perempuanku. Aish gembira hari tu sebab kawan-kawan bolasepaknya hadir.

 Mereka ni bukanlah makan sangat makanan yang dihidang. Kue tiaw sorang dua sahaja yang menjamah. Yang lakunya sosej...berulang-ulang dipunggah. Memang sasaran saya betul. Jadi berulang kali jugalah saya merebus sosej tu. Saja tak mahu goreng...rebus lebih kurang minyaknya. Tengoklah Pa yang cukup sporting..Aish yang malu-malu disuap Rhea tapi Rhea pantang disuruh...drama sahaja.


 
Keluarga Husin dan Awie pun turut hadir hari tu. Tambahlah lagi gegak gempita rumah saya. Tapi itulah yang selalu saya rindukan. Kemesraan gelak tawa adik beradik selalu membuatkan saya dekat dengan keluarga. Hari tu Husin siap masak ketupat sotong untuk hidangan hari tu. Sedap sungguh lemak dan tidaklah manis. Kuahnya boleh dihirup dan buat cecah roti pun sedap hmmmm. Rupanya majlis sambutan harilahir Aish dan Nida tidak habis di situ, malam tu Awie beria-ia nak bawa seluruh keluarga menjamu makanan arab...maka pergilah kami tiga kenderaan ke Sri Petaling di Restoran Al-Diafah. 
Izlika, Izlina. Dihujung Wati dan amir
Diqie dan Fatin, anak saudaraku  dari Kuala Krai
Aish dan Rhea...yang berdiri tu Kalish anak Awie
16 orang semuanya...kami makan bersambung meja bertukar cawan dan  berkongsi pinggan. Indahkan kalau  keluarga selalu harmoni. Kita harus kongsi setiap detik supaya akan selalu ada kenangan untuk dikenang. Thanks Awie kerna belanja kami malam tu.

SELAMAT HARI LAHIR PUAN HASNIDA HASHIM YANG KE .....? RAHSIA KATANYA DAN SELAMAT HARI IBU, HARI GURU ...MEMANG BULAN DIA LAH MEI NI.
SELAMAT HARI LAHIR ASIH MIRZA YANG KE 11...JADI ANAK YANG BAIK YA. LOVE U!

Monday, May 9, 2011

MEK MULONG DAN SENI TRADISI: IRONI YANG TERLIHAT

Menurut Wikipedia Mek Mulung dikatakan berasal dari Ligor, Siam dan diperkenalkan di negeri Kedah ketika berlakunya persengketaan di antara Kedah dan Siam. Tempat ia mula-mula sekali diperkenalkan ialah di Kampung Perit, Mukim Kurung Itam, Jajahan Kuala Nerang. Seterusnya ia berkembang ke Kampung Belukar Mulung, Kampung Paya Keladi dan akhirnya di Kampung Wang Tepus, Jitra, Kedah. Walau apapun sejarah bercerita tentang dari mana dan di mana Mek Mulong berada kini, hakikatnya seni tradisi ini sudah berada dalam kelompok anak-anak muda kontemporari yang bernaung di ASWARA. Sekilas pandang mereka itu seperti tidak mempedulikan kesenian tradisi, namun berada di ASWARA kami asuh dan pupuk minat mereka agar mengenal dan menghayati kesenian tradisional. Tidak kira sama ada makyung, wayang kulit, bangsawan ataupun randai. 
Sejak diperkenalkan Mek Mulong pada tahun 2009, kesenian ini makin mendapat tempat di kalangan khalayak yang mengikuti persembahan-persembahan ASWARA. Mek Mulong  'Malim Bongsu' yang dipentaskan pada 6 dan 7 Mei 2011 lalu menyaksikan Panggung Eksperimen padat dengan penonton dan mencatat kutipan tiket antara yang tertinggi dalam pementasan ASWARA semester ini. Penonton bukan sahaja dapat mengenal kesenian yang hampir pupus ini malah terhibur sepanjang persembahan dengan aksi menarik yang dimainkan oleh  para pelajar Ijazah Tahun 1 ASWARA. Tahniah buat mereka.

Mek Mulong di ASWARA dipimpin oleh Rosli Mansor, Zamzuriah Zahari dengan dibimbing oleh tokoh Mek Mulong yang dibawa dari Kedah iaitu Pak Saad dan Pak Kamarusdin. Produksi ini turut dibantu oleh saudara Adika Zainal yang bertindak sebagai pembimbing pengurusan produksi. Tahniah juga buat tenaga pengajar. Kesungguhan mereka mendidik dan membimbing pelajar patutlah dipuji dan diangkat sebagai mereka yang terus memastikan seni ini tidak hilang dari bumi ini. Saya sisipkan beberapa video dari produksi lepas. Produksi Malim Bongsu belum kedapatan lagi. Tidak kisah lah ya. Dari video-video itu, saudara boleh saksikan sendiri kesungguhan para pelajar...anak muda sebenarnya yang bermain mek mulong dan seolah-olah menunjukkan bahawa mek mulong itu mereka yang punya. Itu hal sukar untuk diterjemahkan pada kertas atau dibuktikan secara abstrak. Nyatanya semangat dan jiwa mereka sudah terbiasa dengan seni tradisi. mereka bukan lagi berlakon tapi mereka bermain sebenarnya.



Menjelang 2014, produksi tradisional mungkin bukan lagi kursus yang wajib diduduki dan diambil oleh para pelajar ASWARA. Pelajar hanya diberi pendedahan dalam studio aspek asas kesemua seni tradisi...maksud saya makyung, wayang kulit, bangsawan dan yang lainnya. Secara peribadi saya berpandangan keputusan ini sebenarnya menuju ke arah mematikan bukannya membina khalayak dan penggiat kesenian tradisional. 

Menganjurkan kursus dan mementaskan produksi tradisional haruslah dilihat sebagai satu usaha melestari kesenian ini. Jika dilihat pada beban dan kehendak birokrasi pendidikan memang ianya tidak menguntungkan institusi. Namun tersiratnya ia adalah satu pelaburan kepada pembentukan sahsiah budaya bangsa.
Ironinya, kita hari ini bimbang pada nasib generasi akan datang ekoran globalisasi dengan dominasi teknologi yang bisa meruntuhkan identiti dan jati diri bangsa namun pada masa yang sama kita melihat seni tradisional itu tidak menguntungkan, bukan komoditi, membebankan dan jika boleh dikurangkan penganjurannya. Tambah dramatik ironinya, ASWARA dengan slogan '...melangkah ke hadapan bersama tradisi' seperti memperkasakan yang moden, yang teknologi, yang kontemporari dan sedikit demi sedikit mengikis yang tradisi.

Mari kita lihat cermin...

Wednesday, May 4, 2011

BANGSAWAN : ADA SUKMA DI SEBALIK


Foto di atas menceritakan ketekunan sekumpulan pemuzik yang sedang mempersembahkan muziknya. Itu yang terzahir di foto itu. Tapi apakah pula yang tersirat di balik foto di atas. Cuba perhatikan satu persatu aksi, dari pengarah muziknya, pemain gitar sehinggalah kumpulan peniup saksofon. Mereka kelihatan bersungguh-sungguh dan fokus pada permainan mereka. Yang tidak terzahir adalah semangat dan nilai yang terpupuk melalui usaha berpasukan demi memastikan kelancaran persembahan. Semua mereka itu mahu memberikan yang terbaik, mengikut ketuanya dan semahunya tidak mahu merosakkan produksi yang mereka jayakan. Jika difikirkan semula, apa yang kumpualn saksofon dapat sedangkan ada antara mereka tidak dinilai untuk produksi ini. Namun itulah yang dikatakan bagaimana satu pementasan boleh menghubungkan manusia, memanusiakan insan, membina kekuatan persahabatan. 
 Foto di sebelah ini pula, adalah tuan pengarah kepada bangsawan Pendekar Sukma. Sharul Mizad namanya atau panggil sahaja Eijat. Kesungguhan beliau membimbing dan memastikan karyawan memnuhi tuntutan artistik sesebuah bangsawan sangat tinggi, sehingga dia mengetepikan statusnya, sikapnya pada kerja sangat jelas...harus dibuat bersungguh-sungguh. Tidak ada main-main dalam pementasan. Dalam lembut Eijat tegas dan tidak berkompromi dengan hal-hal remeh temeh. Katanya 'saya memang diasuh oleh guru saya begitu'.
Foto di kanan ini pula adalah dua lagi pengajar kursus bangsawan, Rosman Ishak antara orang lama yang masih terus berkhidmat walau apa juga statusnya. Sambilan bukannya halangan untuk dia berbakti pada ASWARA. Kalau nak dihitung masa yang diuntukkan untuk mendidik anak-anak ASWARA rasanya tidak berbaloi dengan keringat yang tumpah. Tidak begitu Man. Bekerja dengan Rosman, tiada perkara yang boleh diambil mudah. Setiap pelajar akan dikejar dan dipastikan outputnya. Kerana itu sering saja kita mendengar suaranya memanggil dan menegur pelajarnya. Namun itulah guru, menegur, membimbing dan mendidik anak-anak dengan hasrat menjadikan mereka 'a better person'. Si gadis manis di sebelahnya, namanya Hazra. Kali pertama menjadi pengajar bangsawan dan nyata dapat dilihat bagaimana dia mengawal aspek tari dalam 'Pendekar Sukma'. Saya melihat potensi Hazra sudah beberapa tahun. Ketekunan dan ketegasan beliau dalam memastikan pelajar melaksanakan tugasan sangat jelas. Ini pentingnya bila guru itu punya kefahaman dan penghayatan yang tinggi pada keseniannya.
Suflan Faizal Arshad atau lebih senang disebut Jai, saya kenal sejak saya mula berkhidmat di KBN pada tahun 1996. Masa tu beliau di tahun kedua ASK. Jai ni orang yang faham dan menguasai banyak genre muzik dan lebih menarik genre tradisional antara kekuatannya. Bila dia memimpin pelajar di dalam aspek muzik Bangsawan, dia tahu dan faham bagaimanakah alun dan air bangsawan itu. Cakap lepasnya bukan kerana dia orang yang takda adab tapi dia tahu itu caranya orang muzik dan budak muzik tahu bila marah dan bila bergurau. Di sebelah Jai tu ialah Datuk Yahya Sulong yang sudi hadir ke pementasan tempoh hari. Cuba kita lihat foto-foto di bawah ini, zahirnya terlihat kegembiraan mereka meraikan kegembiraan selepas tamat persembahan bangsawan. Itu sahajakah? Kalau ada lihat foto di bawah ini ia satu contoh bagaimana sebuah subjek kesenian yang menjadi teras pembelajaran di ASWARA boleh menyatukan pelajar pelbagai bidang di bawah satu usaha berkumpulan. Bagaimana subjek kesenian ini membuka ruang kepada semua pelajar untuk beraksi dan merasai sebuah permainan tradisional. Detik-detik inilah yang akan mereka rakam dan tercatat dalam memori hidup mereka. Ia tidak membezakan sama ada besar atau sekuman watak, yang mereka tahu mereka memiliki sebuah produksi dan ianya harus dijayakan dengan sebaik mungkin. Itulah semangat dan kesunguhan yang ditunjukkan oleh 159 orang pelajar dan 4 orang pengajar serta bimbingan Seniman Negara Pak Rahman B. Tahniah team 'Pendekar Sukma'.




Melalui 3 buah persembahan kesenian tradisional, dari wayang kulit ke makyung kin bangsawan dan bakal menyusul mek mulong, kotak fikir saya mula meratap betapa semua ini akan hilang dek ketidaksenangan mereka melihat seni tradisi ini terus hidup. Apa gunanya ke puncak gunung kalau kita lupa pulang ke kakinya,
Anak-anak Gunungan harus hidup dengan semangat pemilikan. Sukma bangsa itu terlahir dek keindahan seni budayanya...

Friday, April 22, 2011

MAKYUNG : TANAM TEBU TEPI BIBIR

Mungkin di ASWARA sudah ramai yang jemu atau bosan dengan persembahan makyung, kerana melihat pengulangan permainan yang makin lama-makin longgar cara permainannya atau bosan pada alunan muzik yang meleret-leret serta komik yang langsung tak melegakan. Saya yang punya kesempatan menonton orang lama bermain makyung semasa kecil di kampung dahulu,  kemudiaa menonton pelajar ASWARA  melalui pendidikan secara formal. Melihat Allahyarham Khatijah Awang bermain makyung kita boleh leka dan asyik pada tutur bahasa dan alun suaranya.  Memang tidak dinafikan ada berlaku perbezaan satu guru dengan guru yang lain. namun apa yang pasti, struktur dan ciri makyung itu haruslah dikekalkan keindahannya. 
Jika ada pelajar ASWARA  hari ini melihat makyung sebagai permainan yang boleh dimain-main, seeloknya perlu beralih dan melihat seni makyung daripada sudut yang lebih serius dengan mengaitkannya sebagai asas kepada seni tradisional Melayu. Saya sengaja meletakkan video makyung Riau supaya kita mengambil teladan bagaimana seni makyung boleh berubah dan dianggap punah oleh masyarakat pemilik di sana. Bagaimana kelompok masyarakat kecil di Riau masih sayang dan berusaha mengekalkan seni itu. Kita yang punya institusi yang berusaha mengekalkan makyung dan seni tradisi lain masih dipandang sepi peranannya malah dianggap sebagai beban kepada pelajar
ASWARA meletakkan makyung sebagai mata pelajaran wajib bukanlah dengan tujuan untuk mendera atau menghukum pelajar tetapi daripada kacamata yang lebih besar pelajarlah orang-orang yang dilihat berpotensi di dalam mengembangkan kesenian ini, Jika 100 orang dididik dalam ilmu ini, kalau hanya seorang sahaja mempunyai penghayatan dan cinta yang tinggi sudah cukup apatah lagi kalau 100 orang itu mencintainya. pada sejarah, Makyung pernah pupus dan kini makin susut keasliannya. Jika ianya dicampur aduk dengan norma-norma kontemporari secara melulu, estetikanya akan pudar dan ia kan menjadi satu bentuk seni yang suka-suka coraknya. Tidak perlu dihormati apatah lagi dimartabatkan.
Begitu juga pentadbir seni, walaupun arus teknologi telah merubah kehidupan dan penghayatan manusia pada seni makyung tetapi tidak seharusnya meletakkan makyung seperti melukut. Mengutamakan teknologi animasi mahupun multimedia sehingga melupakan keupayaan seni tradisi di dalam memupuk jiwa dan semangat pada bangsa. Tiada guna jika mulut berkata seni tradisi itu sebagai tunjang tapi ia tidak bersekali dengan niat dan perbuatan. Bagaimana anak-anak mahu melekat kecintaannya pada seni tradisi sedangkan saban hari pentadbir asyik memikirkan bagaimana nak membelanjakan wang yang banyak pada teknologi. Kata orang putih 'Content is King' dan itu kita akui. Tapi kita menidakkan keistimewaan dan keunikan yang kita punyai. Teknologi itu hanyalah menyokong idea, pemikiran, hasrat dan semangat yang mahu diterjemahkan. 
Bangsa Melayu di Malaysia tidak lagi punya keistimewaan. Bahasanya sudah dirojakkan malah sudah diperlekehkan bukan sahaja oleh orang asing malah oleh Melayu itu sendiri. Apalagi yang kita ada? Tanyalah pada diri sendiri. Lihatlah apa jadi pada Melayu Singapura yang sudah tiada tempat hendak berpaut sehingga terkapai-kapai mencari identiti bangsanya. Sisa-sisa tradisi yang melambangkan identiti bangsa seperti Makyung tidak kita pelihara, janganlah marah andai generasi hadapan langsung tak kenal rupa Melayu itu. Jangan dek kesilapan kamu dan saya pada hari ini...anak cicit kita enggan mengaku bangsanya.

MAKYUNG 'RAJA BONGSU SAKTI' oleh Pelajar Diploma Tahun 3 ASWARA akan berlangsung mulai 22-24 April 2011 di ET,ASWARA pada jam 8.30 malam. Tiket RM10/RM5(pelajar).

Tuesday, March 22, 2011

SELAMAT PENGANTIN BARU ALONG



Sepantas kilat masa berlalu. Anak kecil yang kami sekeluarga tatang dan manjakan yang lahir pada 12 Feb 1987 ini sudahpun bergelar isteri. Adakah saya masih terheret dan dikuasai kisah lalu semata-mata. Siti Nurhayati yang kami sekeluarga panggil Along telahpun diijabkabul pada 24 Feb 2011 dan menjadi raja sehari pada 19Mac yang lalu. Aduhai...fikiran saya duk terbayang peristiwa Along dilahirkan di hospital Lati Pasir mas yang menimbulkan detik cemas dan gelisah sekeluarga. Kehadiran Along ketika itu menambah seri dan keriuhan keluarga Tok Wan Taib. 24 tahun berlalu sewaktu Along masih menuntut di UPSI, secara jujurnya kami tidak mengharapkan jodoh Along di usia dia masih bergelar pelajar dan sebolehnya mengharapkan dia bekerja dahulu. Namun ketentuan Ilahi itu melebihi usaha dan daya manusia. 

Along kini bergelar isteri kepada Zul anak kelahiran Kuala Krai. Sebenarnya mereka sudah lama berpasangan semenjak Along masih belajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa, jarak dan masa menguatkan ikatan mereka sehingga kami tidak mampu menghalang jodoh mereka. Cinta antara mereka melebihi halangan yang datang. Saya tidak menghalang hubungan mereka, Zul seorang pemuda berbudi bahasa, hormat orang tua dan lebih penting mengasihi dan menyayangi Along. Semoga ikatan ini kekal ke akhir hayat, kata orang usia awal perkahwinan adalah ujian getir dalam memulakan sebuah rumahtangga, Insyallah jika kita percaya bahawa jodoh dan takdir itu merestui kehidupan berumahtangga maka belayarlah ia merempuh gelombang dengan keutuhan cinta.

Pesan saya buat Along, selesaikan pengajian dengan jayanya sambil laksanakan tugas sebagai isteri dengan sempurna. Binalah kehidupan baru ini dengan bijaksana. Setiap masalah itu datang dengan jawapan, Along timbang dan tangani dengan sebaiknya. Keputusan hari ini akan menentukan siapakah kita esok hari. Ilmu itu bekalan untuk hidup, jangan persiakan apa jua yang Along miliki hari ini...Insyallah kebahagiaan akan datang bersama.

Tuesday, March 15, 2011

VEKTOR58: DRAMA BERTEKNOLOGI

Drama Vektor58 adalah projek terkini saya. Keterujaan bekerja dengan produksi ini kerana dikelilingi oleh tenaga muda yang punya semangat untuk berkarya. Bukan sekadar berkarya tetapi mengaplikasi teknologi terkini di dalam pembikinan filem sebagaimana dalam filem2 Hollywood. Itu cabarannya. Tambahan pula dalam drama ini, buat pertama kalinya setelah diberikan watak-watak ayah, datuk dan seumpamanya, saya melakonkan watak robot yang bersifat tamak kuasa, iri hati dan tidak mahu hilang status heronya. Sangat menarik ditambah lagi ada beberapa adegan yang memerlukan saya berimaginasi dengan teknologi yang bakal digunakan semasa post produksi nanti.

Saya yakin, percubaan barisan anak muda ini akan menunjukkan hasilnya dan bakal membawa pembaharuan dalam pembikinan drama di Malaysia. Saya petik artikel dari Harian Metro keluaran 3 Mac 2011.

BORAK LOKASI: Vektor 58 banyak gunakan CGI
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


SEORANG lelaki muda dengan tiga empat lelaki lagi yang semuanya dilihat hampir sebaya, khusyuk melihat ‘monitor’ bagi memastikan setiap adegan yang dirakamkan sempurna. Seboleh-bolehnya mereka tidak mahu mengulangi rakaman lakonan untuk babak berkenaan.Semua tampak serius menyiapkan setiap babak yang berlangsung sepanjang hari di sebuah restoran makanan segera di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya.


saya bersama hero Vektor58, Ku Amirul dan Pengarah drama,
Roshfaizal

Sebelum ini penulis mengenali pengarah drama itu hanya pada nama saja. Itu pun selepas diberitahu oleh Pengurus Produksi (PM) drama itu, Che’ Mat Ismail dan pembantunya Sam Anuar Zainal Abidin. Kata Che’ Mat yang terkenal dengan sifat ramah tamah, pengarah itu anak muda yang bercita-cita tinggi.
Apabila Che’ Mat memanggilnya untuk ditemubual, ternyata pengarah bernama Mohd Rosfaizal Ariffin atau hanya mahu dikenali dengan nama pendek, Posh, memang masih muda, baru 29 tahun namun dengan kesungguhannya mahu menjadi usahawan berjaya dalam bidang penyiaran, karismanya mula terserlah.
Pemuda berkelulusan bidang perfileman dan animasi itu sebelum bergelar pengarah drama, banyak buat kerja di belakang tabir. Dengan kepakaran yang ada padanya, dia bersama rakan kongsi, Mohd Fasya Daud dan Anuaral Zaid Suhut, banyak mencurahkan keringat menghasilkan muzik video untuk artis terkenal seperti Datuk Sheila Majid dan Anuar Zain.

Menurut Posh, tugas utama mereka mereka kesan visual untuk muzik video itu. Selain muzik video mereka turut membuat kesan visual untuk drama dan filem. Hasil kerja mereka boleh dilihat dalam filem Mantera dan Belukar. “Tamat pengajian, kami menubuhkan syarikat Chain-FX Sdn Bhd. Kami banyak buat CGI untuk drama dan filem. Dengan pengalaman yang ada, kami bertiga berasakan sudah tiba masanya kami membuka syarikat produksi sendiri. “Kami menzahirkan harapan yang menggunung tinggi itu dengan menerbitkan drama ini, Vektor 58. Drama ini bakal menguji kami sejauh mana penonton dapat menerima pembaharuan yang dibawakan. “Berbeza dengan syarikat produksi lain, kami belum terikat dengan mana-mana stesen TV untuk menyiarkannya. Pun begitu kami ada berbincang dengan ketua salah sebuah stesen TV itu dan secara lisannya, mereka nampaknya menyokong idea kami itu. “Tapi dek kerana Vektor 58 menggunakan banyak kesan CGI yang mengambil masa 10 bulan untuk disiapkan kami tidak mahu terikat dulu dengan waktu siaran yang ditetapkan oleh stesen TV itu. Biarlah kami selesaikan semua kerja dulu baru fikirkan soal tayangan.

“Vektor 58 adalah kisah mengenai robot makhluk asing yang datang ke bumi untuk menyertai satu pertandingan. Enam robot itu akan bertanding sesama sendiri dan pemenangnya akan memerintah planet yang mereka duduki. “Kerjanya sangat rumit di mana kami merakamkan terlebih dulu aksi pelakon sebenar. Kemudian karektor manusia asal itu akan digantikan dengan robot yang diwujudkan oleh CGI.
“Karektor robot itu akan mengikut karektor asal pelakon sebenar. Setiap penggambaran untuk karektor asal itu akan diambil dua kali. Jadi bayangkan, kalau kami terikat dengan jadual penggambaran yang sudah disediakan stesen TV, tentu kami tidak dapat menyiapkannya mengikut apa yang terkandung dalam idea asal drama ini.

“Suara robot itu juga adalah suara pelakon asal. Produksi menetapkan durasi selama 40 hari penggambaran kerana tidak mahu terlebih bajet. Drama 13 episod ini menelan belanja RM1.5 juta,” katanya.
Cabaran untuk membuat drama itu, jelas Posh semua pelakon utamanya adalah bakat baru. Oleh itu mengambil sedikit masa untuk melatih mereka. Wajah baru yang mewarnai drama ini, Fazli, Iylia Insyara, Ain Satar, Ku Mohd Amirul, Nor Intan Bhaizura dan Jefri Jefrizal.

“Kami terpaksa mencari pelakon baru kerana ketika uji bakat pelakon yang ada tidak sesuai. Untuk mencari kesempurnaan dalam setiap watak itu, kami melakukan empat hingga lima kali tapisan.
“Selain 50 hingga 60 peratus menggunakan kesan CGI, ia juga membabitkan banyak adegan lasak. Justeru untuk itu saja, penggambaran perlu dilakukan dalam banyak fasa.

“Saya yakin penonton akan suka dengan drama ini kerana karektor robot itu. Di samping pelakon baru, untuk setiap episod kami tampilkan ramai cameo yang terdiri dari artis terkenal antaranya, Datuk Aziz Singah, Puspha Narayan, Kazaruddin Saisi, Elyana, Ogy Ahmad Daud, Isma Yusof, Nasha Aziz, Mohd Kamarulzaman (Ce’ Kem) dan Norman Hakim,” katanya.
Katanya, Vektor 58 adalah cerita serius. Posh dan rakan kongsinya bukan saja mensasarkan drama itu untuk tontonan Malaysia malah mencari jalan untuk memasarkannya ke negara jiran.

PROFIL

TELEFILEM: Vektor 58 [13 episod]
SYARIKAT PRODUKSI: Chain-FX Sdn Bhd
PENERBIT: Muhammad Faiz Abu Bakar
PENERBIT EKSEKUTIF: Muhammad Fasya Daud
PENGARAH KREATIF / PENGARAH: Rosfaizal Ariffin
PRODUSER VFX: Nelli Nelissa Zalizam
PENGARAH VFX: Anuarul Zaid Suhut
PRODUSER PEMASARAN: Nur Liyana Zulkifli
PENGARAH FOTOGRAFI: Helmizan Abd Hamid
PENOLONG PENGARAH: Muhamad Ridzuan Jainan @Zainal
PENOLONG PENGARAH VFX: Ma Chiau Ran
PENGURUS PRODUKSI: Che’ Mat Ismail
PENOLONG PENGURUS PRODUKSI: Sam Anuar Zainal Abidin
KONTI: Fauziah Muhamad
PROPMASTER: Ahmad Bazli Abdul Manap
PEMBIKINAN BELAKANG TABIR: Mohd Hafidz Rakiman/Mohd Shahrul Abd Wahab
RUNNER : Helmi Lim Sani Lim
PEMBANTU PRODUKSI: Mohd Amirul Khair Md Kamari/ Saiful Izuan Asni
SOLEKAN: Shahrul Nizam Mustafa
WARDROBE/KOSTUM: Mohd Rosly Mohd Sidek (Rose Suci)
WAKTU SIARAN: 2012

PELAKON: Ku Mohd Amirul, Ain Satar, Nur Iylia Insyirah, Nor Intan Bhaizura, Fazlina Datuk Ahmad Daud, Jefri Jefrizal, Mohd Kamarulzaman (Ce’ Kem), Norman Hakim, Nasha Aziz, Elyana, Datuk Aziz Singah, Ogy Datuk Ahmad Daud, Pushpa Narayan, Alan Yun, Isma Yusof, Kaza, Melly Amalin, Asyeila Upin Ipin, Syafiq Sukar, Farah Saipuddin, Affan Saipuddin

Monday, March 14, 2011

SINGAPURA: SAYANG TUMASEK Part 3

susur Jalan Ampas
Hari pertama kami tiba, kami diundang ke Night Safari Singapura. Sdr Sabri Buang dan kawannya Sdr kelana Izam melayan kami sampai awal pagi. Keseronokan melawat Night Safari tidak berhenti di situ. Seperti saya katakan sebelum ini, lawatan ke Singapura kali ini memberi lebih makna kepada saya. Saya berpeluang melawat beberapa lokasi yang menjadi sejarah dan tercatat di dalam sejarah moden orang kita.

pintu depan Studio Jalan Ampas
Kami di bawa ke Boon Teck Road di mana di sini terletaknya Studio Jalan Ampas dan Malay Filem Production. Bila kereta Izam berhenti di hadapan Studio Jalan Ampas yang sudahpun ditutup keliling dengan pagar zink. Hati saya terus tumbang...emosi berkecamuk. Wajah-wajah mereka yang menyinar tertayang satu persatu. Kehidupan orang-orang kampung dalam Bujang Lapuk menyusur masuk ke benak saya. Saya terbayang si Zaiton berlari mendapatkan Sudin. Saya terbayang 3 bujang lapuk datang cari kerja sebagai seniman....macam yang melintas di fikiran saya ketika itu. Kini hanya ada sebuah monumen kecil yang mencatatkan apa itu Studio Jalan Ampas. Dari Studio itu, Sdr Sabri mengajak kami berjalan menyelusuri jalan-jalan yang ada di sekitarnya. Lalu ditunjukkan kepada kami sebuah jambatan yang dipercayai jambatan yang menyaksikan cubaan bunuh diri P.Ramlee dalam Madu 3. Hahahaha saya jadi seronok terbayang P.Ramlee yang berjubah mandi terjun di air yang cetek hahaha. Rupanya di situ sahaja lokasi yang jaraknya beberapa meter dari studio.
monumen kecil mengenai
studio Jalan Ampas
Stesen keretapi KTM Tanjung Pagar
Pusing dari Jalan Ampas, Sdr Sabri dengan semngat berhentikan kami di sebuah kawasan perumahan. kawasan itu kelihatan mewah persekitarannya. Ya lah rumah-rumah banglo dan teres di Singapura. Rata-ratanya rumah mereka pansapuri. kami diberhentikan di sebuah simpang lalu Sdr. Sabri menunjukkan kepada saya lampu jalan di simpang. Rupanya kawasan itu dahulunya disebut Kampung Kambing. 
Saya terkedu bahawa kisah Kampung Kambing yang terakam di dalam novel agung Salina ada di hadapan saya. Kata Sdr.Sabri di sinilah penulis-penulis seperti Usman Awang, A.Samad Said dan beberapa orang lagi tinggal. Malah di sinilah juga tinggal Salina dan adiknya Helmi. Di bawah lampu jalan di simpang itulah si Helmi mentelaah pelajaraannya. Aduhai... kisah itu menambahkan lagi bayangan saya pada kehidupan Salina. 
simpang jalan Kampung Kambing
inilah Jambatan dalan babak Madu 3
Balik dari Kampung Kambing menuju Hotel Gallery, Sdr. Sabri ajak kami singgah di Stesen kereetapi Tanjung Pagar. Pucuk dicita ulam mendatang, inilah tempat yang saya mahu singgah. Sisa terakhir Tanah Melayu di Singapura dan akan hilang beberapa bulan lagi. Sebaik menjejak Tanjung Pagar saya posing dan memerhati sekitarnya. cantik senibinanya. Di dalam bangunan masih elok lukisan yang mengungkap kehidupan masyarakat Tanah Melayu. Inilah stesen keretapi yang diceritakan dalam kisah P.Ramlee. Beliau tiba di Singapura pada hari raya. Sayu nya rasa hati melihat sekitar stesen itu, hanya tinggal beberapa hari untuk ianya diserahkan kepada kerajaan Singapura. Nak buat macamana begitulah kehendak orang yang memimpin kita. Malam itu saya nikmati teh tarik dan menarik nafas lega kerana dapat menjejaki beberapa lokasi yang sudah lama saya hajatkan. 
terima kasih Sdr. Sabri Buang dan Sdr. Kelana Izam.

Thursday, March 10, 2011

ROAD TO SAHARA: SUZLEE IBRAHIM

Suzlee Ibrahim kini sedang mengadakan pameran solonya berjudul Road To Sahara di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya 25 Feb - 25 Mac 2011. Semalam saya dan rakan Jeffri Haron sempat sama-sama menghadiri majlis perasmian, majlis dirasmikan oleh Naib Canselor UM, YBhg Prof. Datuk Dr. Gauth Jasmon. Majlis pada malam tadi turut dihadiri oleh Rektor ASWARA Dato Dr Mohd Najib Ahmad Dawa, Prof dato Dr. Raja Zahabbuddin dan ramai lagi tetamu yang terdiri daripada artis, ahli akademik dan peminat-peminat seni halus.

Bukan selalu saya menghadiri perasmian seni halus, adalah juga sekali sekala untuk menyokong rakan-rakan. Secara peribadi saya menggemari koleksi Suzlee. Beberapa terjemahan beliau pada alam yang menuntut penafsiran yang tinggi. Pastilah saya pun tersesat tak bertemu di sebalik yang tersurat. Namun seni halus membuka ruang untuk kita melihat, menghayati, menyelusuri lalu tenggelam hanyut dalam keindahannya. Saya suka piece Sakura dan Ombak. Bagi saya koleksi ini memberi pernyataan berbeza oleh Suzlee. Biasanya beliau suka bermain dengan stroke dan warna-warna garang yang bagi saya satu statement yang agak keras oleh Suzlee. Tetapi Ombak dan Sakura memperlihat sisi lain, lebih tenang dan lembut.

Saya baru saja mengenali Suzlee dan berani berbual dengannya. Sejak beliau menyertai ASWARA tiga tahun lalu. Nyatanya beliau seorang yang rendah diri, lembut percakapannya, mudah didekati dan seronok bila ada orang yang mahu mendalami seni halus. Beliau ni boleh disifatkan sebagai 'tak kedekut ilmu'. Ceritanya dia dulu budak aliran sains tapi mula jatuh hati apabila sering mengekori seorang guru perempuan yang mengajar subjek seni. Daripada seronok mengekori guru tersebut terus berubah menyintai seni. Apabila diluahkan niatnya untuk melanjutkan pelajaran dalam seni halus, ia ditentang oleh bapanya yang lebih mahukan beliau menjadi seorang guru atau arkitek. Namun hari ini Suzlee Ibrahim sudah buktikan bahawa jika kita pupuk kata hati dengan elok...akhirnya berjaya juga. Benih yang disemai jika dijaga berbuah juga.

Saya panjangkan jemputan kepada anda semua untuk menyaksikan pameran solo SUZLEE IBRAHIM: ROAD TO SAHARA dari 25 Feb - 25 Mac 2011 di Muzium Seni Asia, UM.

Monday, March 7, 2011

SINGAPURA: SAYANG TUMASEK Part 2

Untuk bahagian kedua kisah saya di Singapura ni, Saya nak kongsi cerita pasal beberapa makanan yang nikmati di sana. Tak payahlah saya cerita pasal makan semasa breakfast di hotel yang biasanya sangat bosan...sama ada scrambled egg, roti, mee goreng dan cereal. Itu sajalah. Jadi kali ni saya nak cerita dengan gambarnya sekali makanan yang kami makan. Itupun gambar yang sempat kami rakam sebelum makan...yang lain haramm dek gelojoh nak menelan.


Ini makanan pertama yang kami nikmati sebaik tiba di Singapura. Setiba di Hotel Gallery yang berada di
Jalan Mohammed Sultan, kami sepakat nak mencari makan tengahari. Cari punya cari...takda juga
kedai makan yang boleh masuk tekak. Ya lah dalam kepala duk pikir nasi atau murtabak. rupanya
area Mohamed Sultan ni hanya aktif sebelah malam..kaedahnya dia macam Bangsar.
hampir semua restoran beralkohol. Jadi terjumpalah kami di hujung jalan sebuah restoran namanya dah lupa,
dan kami makan Chocolate Muddpie iceceram.
Hmmm memang sedap sambil kami sulam dengan Salmon Nachos.

Malam hari pertama tu, kami diundang oleh Sdr. Sabri Buang rakan lama Kak Ros yang sama-sama belajar di USM dulu dan pernah berkhidmat di istana Budaya sebagai pengarah Senireka. Sekarang dia berkhidmat sebagai pengarah artistik di Night Safari Singapore. Jadi beliau undang kami bertiga ke sana sebagai tetamu Night Safari. Kami diberi layanan VIP, semuanya tak bertiket dan diatur oleh pihak pengurusan. Malah sebaik tiba kami di bawa masuk ke ruang untuk Dinner. Katanya di ruang itulah Bill Clinton, Naji dan Rosmah dan mana-mana VIP diraikan. Wahhh istimewanya kami malam tu. Dinner kami ada 6 course. Macam-macam ada, laksa Singapore pun ada. Foto ni adalah Seafood Soup...hmm memang sedap. Ini dah kira course yang ke 4. Jadi bila makan hiangan ni...udangpun kami tak habiskan sebab dah kekenyangan.
Ini hidangan nasi Ayam dan Itik course ke3 selepas laksa singapore. Istimewanya nasi ayam ni, ia dihidang bersama dengan acar mentimun, karot dan kacang...hmmm sedap. Night Safari ada banyak aktiviti rupanya. Kami dibawa keliling safari dengan keretapi, yang kagumnya semua binatang rimau, singa, gajah ...keluar menunjuk muka dan tenang aja melihat kami. Saya memang respek melihat cara Singapura menganjurkan Night Safari ni...teratur walaupun pelancong penuh dan berasak-asak. Selepas keliling dengan keretapi, kami dijemput menyaksikan persembahan yang saya lihat diisi dengan baik sekali. Pengacaranya sangat yakin dan mesra dengan binatang malah adanya selitan drama dalam pertujukan yang bisa buat audiens gempar. Jadi 6 course makan malam itu saya sulam dengan teh tarik. hmmm memanglah!
Ini namanya Sup Tulang kambing. Sangat popular di Singapura kerana warnanya merah. Merahnya sehingga melekat di kuku dan jari. Tapi ini kami nikmati selepas menghadiri Marketplace of Creative Arts di Asian Civillization Museum. Kami dihantar oleh Van yang ditempah ke Beach Road. Saya memang teringin nak menikmati sup merah ini selepas menontonnya di AFC. Jadi Kak Ros dan Joseph ikut sajalah keinginan saya itu. Hidangan ini untuk dua orang harganya sekitar $10 dollar. Saya dah macam zombie makan dengan warna merah di tangan dan mulut. Hidangan ni sedap dimakan sama roti. Beach Road berada dekat dengan Kampung Glam dan Arab Street, jadi sempatlah kami pusing-pusing petang tu sebelum pulang ke hotel.

Nanti saya cerita di episod ke 3. Tunggu ya!


Thursday, March 3, 2011

ARANGETRAM: YUNUS DAN BAIZURA

Jatuh airmata saya pada malam ini menyaksikan persembahan dua orang pelajar ASWARA. Sepanjang persembahan saya menahan emosi dengan selang seli beberapa komen yang boleh menghindar diri saya dari terus melayan gelombang emosi yang bermain dalam diri. Kema dan Azizi jadi teman bicara untuk saya hilangkan sekejap rasa itu. Sebenarnya semasa Yunus dan Baizura mempersembahkan tari klasik India bersama dua rakannya iaitu Ameera dan Hazra semasa PeTA (projek akhir Ijazah sarjana muda) saya sudah merasakan emosi yang sama.

Kenapa jadi begini ya? Ia bukan dibuat-buat. Tarikan emosi itu adalah rentetan dari latar pengalaman dan rasa kebanggaan setelah melihat diri mereka pada hari ini. Malam ini, saat Joseph menyampaikan ucapan dan saat dia mengucapkan terima kasih pada ibu bapa Baizura dan saat beliau menceritakan kesukaran Yunus yang kehilangan orang tuanya dan saat suara Joseph tenggelam dalam keterharuannya...laju betul hujan di hati saya seiring lajunya kaca-kaca turun bertukar menjadi air.

Pertama kali saya menyaksikan Yunus menari di dalam satu majlis meraikan pensyarah ASWARA. Masa itu Yunus di tahun 1 bersama 3 rakannya iaitu Arif Nazri, Siti Suria dan Julidza menarikan tarian zapin. Sebuah persembahan yang saya sifatkan sangat naif oleh sepasukan remaja yang habis sekolah dan ingin meneruskan minat dalam tari. Pada masa itu tiada kekaguman di mata saya. Berlawanan dengan apa yang saya saksikan pada malam ini. Saya sering menyaksikan persembahan mereka malah boleh dikira akrab dengan fakulti Tari. Peningkatan Yunus dari seorang budak kerdil yang hanya kenal tari melayunya kini sudah menguasai hampir semua genre tarian. Bukankah ini satu evolusi yang memberangsangkan!

Begitu juga Baizura, gadis pendiam yang jarang terlihat ekspresi atau luahan emosi secara jelas sama ada semasa persembahan ataupun situasi normal. Gadis kecil yang punya otot dan stamina yang tinggi, sejak awal menjejak kaki di ASWARA sering sahaja diceritakan oleh Joseph betapa berpotensinya Baizura sebagai penari. Tubuh kecil moleknya itu tidak pernah mengenal erti penat dan berkata tidak apabila diminta mengulang pergerakan dalam latihan. Tiada ekspressi yang menunjukkan dia fed-up atau putus asa atau yang buat gurunya kecewa. Baizura sebenarnya mesin yang punya fizikal dan kekuatan mental yang menakjubkan. Dia antara beberapa kerat graduan yang berada ditahap cemerlang dalam persembahan.

Malam ini mereka melepaskan dan meluahkan banyak hal yang tidak ternampak sebelumnya. luahan emosi pada wajah dan gerak badan mereka luas, besar, nyata dan menkagumkan. Baizura bagai seorang aktres terbaik yang berjaya merubah beberapa karakter dan ianya meyakinkan. Begitu juga Yunus yang sering saja dahulunya tidak memuaskan kami apabila menari kerana wajahnya tidak bercerita tetapi malam ini sebaliknya.

Lebih dua jam saya menonton dan saya larut dalam kehebatan mereka. Masa depan mereka amat cerah dalam senitari. Kredibiliti mereka hari ini teruji dan diiktiraf. Kini Yunus adalah graduan tari klasik India yang sedang mengorak untuk berada sebaris dengan tokoh berbangsa Melayu yang seperti Ramli Ibrahim dan Zamin Harun malah mungkin melebihi mereka. Lebih membanggakan Baizura malam ini, disebut sebagai Wanita Melayu pertama yang teruji dan diiktiraf dalam tari klasik India Bharata Natyam. Baizura sepatutnya hari ini berada di dalam Malaysia Book of Records.

Entri ini saya tujukan khusus buat Mohd Yunus Ismail dan Norbaizura Abdul Ghani di atas kecemerlangan mereka dalam senitari. Mereka telah membuktikan kesungguhan Fakulti Tari di bawah Joseph Gonzales, yang ingin melahirkan ilmuan tari yang terbilang. Tahniah.

London banyak mengisi cerita-cerita manis antara kami....Proud of You, BRAVO!!!

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...