Jom Kita Jadi Geng

Monday, December 28, 2009

MELEPASKAN SISA HARI

Di Kepala Batas, menghabiskan sisa-sisa 2009. ingin mencari semula jalan yang pernah saya lalui dan jalan yang saya rentas dengan keyakinan. 2009 menjadi vacum yang menutup diri saya. Saya mencari diri saya yang hilang, seperti beransur terhakis MOHD KAMARULZAMAN dahulu. Ingin saya kutip kembali puing-puing yang terserpih sehingga menjadikan diri saya manusia yang tidak saya gemari. Tidak tahu apa yang saya buru? luka dan duka pada rentetan kisah 2009 mengheret saya menjadi orang yang tidak peduli pada persaingan.

Ingin saya habiskan 2009 secepat mungkin...Rasanya tiada yang betul-betul manis.

Monday, November 30, 2009

AIDILADHA 2009


Aidiladha kali ini kami hanya menyambutnya di Kuala Lumpur. Lebih malang malam raya saya di hospital Ampang menemani anak sulung, Aish yang melalui pembedahan tangannya yang patah. Hendak buat macamana, manusia hanya mampu merancang Allah jua yang menentukan. Kami merancang balik cuti Hari Raya Aidiladha di Pasir Mas Kelantan kerana pada tahun ni kami adik beradik berpakat untuk rebahkan seekor lembu dan buat kenduri kesyukuran. Kak Long yang sepatutnya balik ke kelantan dengan kamipun terpaksa beraya di KL.
Namun dek kerana doktor dah menetapkan tarikh pembedahan Aish pada 26hb Nov sehari sebelum Raya Haji terpaksalah kami akur demi kebaikan anak sulung kami. Alhamdulillah, kesunyian kami di Kuala Lumpur teriisi dengan kehadiran Abah dan Mama yang turun dari Kepala Batas untuk bersama-sama kami. Sekurang-kurangnya ia dapat memberi semangat kepada kami.

Kini sekeping logam sudah tertanam di dalam tangan Aish, doktor menjangkakan dalam tempoh 6 minggu tulangnya pulih namun besi itu akan tertanam selama setahun. Jadilah anak saya seorang wolverine.... Arghhh!!!!!

Wednesday, November 18, 2009

AISH PATAH TANGAN


hari jumaat yang lalu, 13 November sewaktu saya masih di pejabat, sayadikejutkan dengan panggilan daripada isteri saya... dia dengan cemas memberitahu bahawa tangan Aish patah. Saya bertenang seperti selalu, tenangkan isteri saya yang melatah cemas dan menyuruhnya terus bawa aish ke klini berdekatan, sementara saya pulang. Ya, kita biasa dengan kemalangan yang membawa kepada patah dan luka anggota badan, jadi kita anggap itu perkara yang sering menimpa pada sesuatu kejadian kemalangan. Namun bila anak kita sendiri yang ditimpa kemalangan dan melihat tangannya bengkok dan tidak boleh digerakkan kita jadi gemuruh dan takut. rasa macam nak dicekik budak yang datang merempuh basikal aish sehingga dia terlanggar dinding dan basikal menimpa diri aish. Eeeeee jika ikutkan hati lah yaa..

Doktor di Klinik Kita menasihatkan agar membawanya ke hospital berdekatan, jadi terus kami bawa Aish ke Hospital Ampang yang jaraknya sekitar 5km dari rumah. Kami check-in sekitar 7.30 malam. Menunggu nombor giliran dipanggil, bilik pertama yang kami masuki adalah bilik tapisan oleh Penolong pegawai Perubatan dan beliau mengarahkan agar tangan Aish di X-Ray. Selesai x-ray kami menunggu giliran dengan nombor yang sama dipanggil. Nombor kami dipanggil dan kami masuki bilik nombor 2, doktor dapati tulang pergelangan tangan aish telah patah dua bukannya retak jadi ia memberi implikasi yang berbeza. Kami diarah menunggu. Kami menunggu lagi untuk panggilan ketiga. Nombor kami dipanggil dan aish diletakkan disebuah katil. Misi yang bertugas memberitahu, aish kemungkinan kena bermalam sebab kena tunggu doktor tulang datang. kami menunggu. Doktor tulang datang dan mengenal pasti sintom dan cara untuk rawatan. Beliau suruh aish berehat dan mohon untuk rehat makan. Kesian doktor belum sempat makan. Saya pun ambil peluang yang sama pergi McDonald untuk belikan makanan buat kami. Aish nak makan McD. Bila kembali ke hospital, doktor yang tadi juga turut kembali dan hasil tilikannya aish perlu dimasukan ubat dan pelali sebab tulangnya perlu ditarik bagi diluruskan sebelum disimen. Tapi katanya kita kena tunggu pakar atau a person yang bertugas untuk simen. kami menunggu.
Kami menunggu. A Person yang bertugas untuk simen tiba dan aish dibawa ke bilik simen. Kami diminta menunggu di luar kerana prosedur itu perlu dilakukan oleh doktor dan pakar sahaja. Dari luar kami dengar jeritan dan tangisan aish. Memang sakitpun kalau tulang perlu ditarik dan diluruskan. Kali kedua aish menangis selepas tangisan pertama semasa doktor mahu mencucuk jarum di belakang tangan untuk masukkan ubat dan pelali tadi. Kesian anak lelaki kami ni, dia sangat manja dan penakut sekali. Tangannya siap disimen. Aish dibawa ke bilik x-ray dan doktor menunjukkan kedudukan tulang yang patah. Kami hanya berpuas hati walaupun ia bukanlah pada kedudukan 100% tepat.
Doktor kata, insyallah dalam masa 2 bulan tangan aish akan pulih sepenuhnya. Kanak-kanak punya sel yang aktif jadi ia mempercepatkan tulang tangannya pulih. Kami berada di Hospital Ampang dari jam 7.30 mlm - 1.30 pagi. Walaupun lama dan meresahkan namun alhamdulillah prosedur berjalan dengan baik tapi saya terfikir bukankah terlalu banyak pintu dan orang yang perlu ditempuh sebelum mendapatkan rawatan yang sebetulnya. Seeloknya ia boleh dipercepatkan agar pesakit tidak terseksa menunggu.
Buat doktor yang merawat AISH, kami sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih. Yang membaca entri ini, terima kasih atas iringan doa, semoga Allah membalas tiap kebaikan yang saudara berikan. Alhamdulillah.

Tuesday, November 10, 2009

AL-KISAH RAJA SEKUMANTARA


Al-kisah di sebuah negeri bernama Sekumantara di sebuah Negara Semalatala. I’Lam ketahui oleh sekelian rakyat di dunia bukanlah sekadar pada zaman dahulukala malah di masa zaman tanah saujana langit berlitar gelombang semesta empunya cerita. Negeri tumbuh di perbukitan kecil di sebuah istana lama tinggalan Raja turunan Jugra dulu-dulu, tempat bermain puteri-puteri dan putera-putera berkuda. Negeri kecil dikurnia daulat dek kerana kemasyhurannya mengangkat dan menjujung kedaulatan bangsa Semalatala , maka tertaballah seorang pembesar yang mentadbir Sekumantara membawa gelar Raja Sang Putaladiri atau digelar rakyat sebagai Sang Jeneral.

Maka ada seorang pembesar dan bukanlah calang-calang pembesar telah diutuskan oleh Raja Agung dari Negara Semalatala untuk turun mendengar perkhabaran berita yang telah lama bertiup, mendesas-desus di telinga para pembesar dan Raja Agung bahawa rupanya ada angin menjemba dan bumi terjungkit sehingga teraniaya sekelian rakyat dek pemerintahan Sang Jeneral. Maka diutuskan berita kepada Sang jeneral bahawa akan turun seorang pembesar ke negeri Sekumantara bagi menampi betul benar kisah yang tertebar.
Mendengar khabar seorang pembesar dari Negara penaung mahu berangkat turun, maka Sang Jeneral menitahkan kepada Biduandanya agar dikhabarkan kepada sekelian pembesar negeri dari Laksamana hinggalah penghulu baruh dan wakaf agar bersiap diri menerima kahadiran seorang pembesar Negara. Malangnya si Biduanda cuma mengkhabarkan kepada pembesar yang tua-tua semata tidak pula kepada yang pembesar-pembesar muda yang baru mendapat tangga dan belum tahu duduk cerita. Diumumkanlah ke seluruh negeri agar kesemua pembesar yang tua yang muda, yang leper yang bulat sedepa agar berhimpun di Balairong negeri Sekumantara. Sang Jeneral pun mempersiap diri, ditulis dibaca segala jampi mentera, ditilik dibuka apa cela apa dusta, berlatih tubi bersedia menghadapi si pembesar yang sebenarnya bukanlah besar di mata Sang Jeneral.
Maka angin pun bercerita, seluruh negeri tahulah akan cerita bahawa seorang pembesar Negara akan turun membuka yang cela, menampi yang dusta, mencelikkan yang buta. bermacamlah helaian tafsir dan tamsil bermain di fikiran rakyat jelata. Apakah betul segala yang berputar di telinga?
Siang beransur menukar warna menjadi malam, dan fajar terbit membawa pagi. Tibalah hari Sang Pembesar Negara Semalatala mencemar kaki ke negeri Sekumantara. Telah berhimpun semua pembesar tua dan muda, bijak dan celaka segalanya ada di Balairong negeri. Sang Pembesar tiba tepat masa yang diberita, malangnya Sang Jeneral tidak juga muncul tiba maka terpaksalah Sang Pembesar menunggu Raja Sang Putaladiri turun mencemar diri. Kecil sungguh si pembesar Negara merasakan diri. Melihatkan riak muka Sang Jeneral bagai pawana. Tidak disambut kedatang pembesar Negara dengan wajah berbunga. Rakyat yang melihat berasa gundah gulana dek malu melihat tingkah dan air muka rajanya.
Maka ditanyalah sang pembesar kepada sekelian pembesar tua muda yang hadir
“apakah terjaga segala tanah bendang, rumah tangga dan binatang peliharaan. Bagaimana pula putera puteri di bawah jagaan, apakah terlaksana segala wawasan?”
Pembesar yang ada hanya diam. Takut dan bimbang dek riak wajah Sang Jeneral.

Bertanya lagi sang pembesar “Sekumantara ini sebuah negeri yang masyhur melahirkan anak-anak muda tahan jiwa dan bijak minda dalam perjuangan bangsa Semalatala, saya ingin bertanya apakah cukup segala persiapan anggota?” Semua pembesar diam.
“Apakah lengkap senjata dan apakah pembesar yang ada yang ingin mendidik dan melatih anak-anak muda di negeri ini sudah bersiap dengan ilmu di dada?” Pembesar yang ada mula gelisah. “Kalau kail panjang sejengkal masakan terduga laut bergelora? Sekumantara perlukan benteng dan pelatih yang berwibawa?” Benarlah apa yang dikatakan Sang pembesar. “Apakah pembesar-pembesar yang ada tidak berminat untuk menambah ilmu di dada?” Sang pembesar mula menyerang pembesar-pembesar negeri, gelisah di fikiran mereka merambu-ramba.

“Datuk!” terpancul suara dari kalangan pembesar. Mata Sang Jeneral memanah pembesar yang bersuara. “Memanglah menjadi impian dan igauan kami pembesar Sekumantara, untuk menambah ilmu di dada, tetapi sekira tiada jelas duduk cerita, bagaimana nak dimula?”
“Ah… bukankah sudah beta titahkan, hendak menambah ilmu di dada, ikut sahaja undang-undang yang ada, yang sudah diwarta oleh Negara Semalatala!” Sang Jeneral cuba menepis kata-kata pembesar celaka itu. “Kita ini negeri berdaulat, sudah ada perlembagaannya, jangan samakan negeri ini dengan negeri yang lain, kita istimewa!” Tambah Sang Jeneral. Pembesar yang ada berpandang mata sesama. Mereka diam tidak mahu bercerita.

“Datuk!” muncul suara dari pembeza yang kedua pula. “Bukankah kita ini negeri yang sudah didaulatkan, tidakkah segala undang-undang jadi berbeza. Jadi, sebagai negeri yang termasyhur melahirkan pejuang muda… kita juga harus mempersiapkan ilmu kepada mereka bukannya mengambil pelatih entah dari mana asalnya dan tidak pula punya upaya, bahkan kita pula kena menanggung memajukan diri mereka, patik melihat pembesar yang lama yang sudah menunjukkan wibawa dan taat setia seperti dipersia, begitu mudahkah budibicaranya?

Sang pembesar Negara terdiam dan memikirkan apa yang dikata pembesar kedua tadi. “Betul apa yang diutarakan oleh pembesar, apakah negeri ini belum ada apa-apa warta untuk pembesar mendapat biaya?”

“Ah… Datuk Pembesar, Sekumantara ada peruntukan berjuta-juta untuk memberi biaya. Pembesar negeri perlulah memohon dan mencari di mana tempat untuk bertapa! Ikut sahaja undang-undang Negara Semalatala dalam soal mencari biaya untuk bertapa!” Wajah Sang Jeneral seperti singa mahu menelan mereka-mereka yang bersuara. Di kepalanya berkata memang pembesar ini mahu mencari cela.Jeneral menambah "lagipun pelatih yang ada memang tidak ada kelayakan, pengajian setakat reban ayam, seorang saja yang layak...Tabib Sukipuri!".

“Datuk!” bersuara pula pembesar negeri yang ketiga, kali ini perempuan pula. “Memang kami pembesar di negeri tidak jelas duduk cerita, bagaimana kedudukan saya? Apakah ada sebarang perjanjian selepas pulang bertapa? Apakah syarat dan peraturan, apakah kelayakan yang boleh kami minta untuk mendapat biaya. Semuanya tidak jelas cerita”.
Jika bertalu-talulah perkara dikemuka maka berjela-jelalah kata-kata yang dilagukan Sang jeneral. Walaupun semuanya berbayang-bayang tidak nyata dek mata . Itulah kehebatan Sang jeneral dan kerana itulah juga dia berada di takhta.

Sebelum berangkat pulang, Sang pembesar Negara diaju tanya “ Sebenarnya apa tujuan datuk datang ke negeri Beta? Apakah termaksud apa yang dicari?”. Sememang jelas siapakah Sang Pembesar Negara di mata Sang Jeneral.
Adapun pada hari ini, kisah negeri Sekumantara belum terjawab kesudahannya. Luahan para pembesar dan rakyat jelata hanyalah lagu-lagu gering yang sesekali berdendang. Raja yang didaulat adalah Raja yang hidup atas doa dan harapan rakyatnya.Semoga teruslah bertakhta wahai Duli Yang maha Mulia Raja Putaladiri Sekumantara @ Sang Jeneral.

Tuesday, October 20, 2009

JAMU 09...a feast for the senses


Fakulti Tari ASWARA bakal mementaskan persembahan tari kontemporari mulai 22-25 Okt 2009 di Panggung Eksperimen, ASWARA. Persembahan ini akan menggabungkan koreografer yang telah kukuh bertapak dan koreografer muda yang mula menapak di dalam seni persembahan tanahair. Antara pereka tari yang terlibat adalah Aris Kadir, Gan Chih Pei, Suhaimi Magi, Steve Goh, Vincent Tan, Suhaili Ahmad kamil, Joseph Gonzales dan beberapa anma lagi. Pada tahun ni, ASWARA menerima artist-in residence dari USA, Wendy Rogers dari University of California, Riverside.

Saya sempat menghadiri sidang media yang berlangsung pada minggu lepas, beberapa koreografi menarik telah dipetik dan dipersembahkan pada sidang tersebut. Gan Chih Pei mengungkap persoalan hidup sebelum 40 tahun, beliau menyelami rasa dan konflik bagi manusia sebelum mencecah usia 40 tahun, katanya sepi, sunyi, stress menguasai hidup wanita sepertinya. Manakala Aris Kadir cuba mengungkap sisi gelap dalam hidup alam rumahtangga. Kita pernah menyaksikan koreografi Aris berjudul Inai yang memenangi Best Koreografer dalam Boh Cameronian Award. Saya rasa koreografi Aris kali ini adalah bahagian kedua selepas Inai. Amat menarik jika sesekali kita dapat melihat bagaimana seorang lelaki muda yang belum berumahtangga menafsir kehidupan hitam di luar lingkungan peribadinya. Banyak lagi koreografi menarik pastinya!

Jadi jangan lepaskan peluang menonton Jamu 09 22-25 Okt 2009, tiket cuma RM dan RM5(pelajar). Waktu persembahan ialah 8.30 malam.

Thursday, October 15, 2009

CATATAN RAYA: WAN, MEK DAN SARIFAH

Tahun ini saya berkesempatan menziarahi pusara kedua ibubapa dan kakak saya serta datuk nenek dan sanak saudara yang bersemadi di Tanah perkuburan Pasir Mas, Jalan Lemal. Tahun-tahun yang lepas, saya cuma menziarahi mereka pada bulan Ramadhan memandangkan saya menyambut Aidilfitri di Kepala Batas. Menjadi beban yang besar buat saya bila pada tiap raya, saya tidak berpeluang menziarahi mereka. Entahlah susah nak gambarkan rasa itu.

Ini kubur arwah kakak saya, Sarifah bt Taib yang meninggal pada 30 Og0s 1997 di usia 32 tahun. Saya masih ingat pada malam pemergiannya...jam sekitar 8.20 malam di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Hampir 4 jam kami mencari dan menunggu kenderaan yang boleh membawa pulang jenazah ke Pasir Mas. Saya masih ingat detik 12.00 malam bandar Johor Bahru terang benderang dengan gemercikan bunga api... dan kami di perkarangan Johor bahru, sudah kering airmata mencari kenderaan untuk membawa jenazah pulang. saya masih ingat, saya terpaksa masuk ke rumah mayat hospital untuk mencari salah satu mayat kakak saya di antara mayat-mayat yang berbungkus dan bergelimpangan. Tidak akan saya lupa itu. Tidak kami tahu sebab sebanar kematian arwah, namun yang saya ingat, Sarifah sangat sihat sebelum menjalani pembedahan. Dan kata doktor, ia hanya pembedahan minor. Kami redho pemergiannya namun kami tidak memaafkan mereka yang membuat kesilapan dalam prosedur pembedahan itu.
Saat-saat kehilangan Sarifah menjadi detik-detik sukar dalam hidup saya. Tidak boleh menyebut atau bersuara pada nya. Tujuh langkah meninggalkan persemadiannya saya berlari dalam tangisan anak kecil.

Makam yang biru bersemadi kedua wan dan mek. Mereka pergi pada tahun sama, 2001. Wan pergi pada februari kerana menderita sakit tua dan barah tulang di usia 80 tahun. Keuzuran Wan memang jelas. dia banyak berbaring dan tidak mampu duduk atau berborak. Namun Wan seorang yang kuat, tergambar dengan jelas, cara Wan mengayuh basikal saban hari di hujung usianya. Dia pernah kata 'kalu tok gatih basika, lengoh tubuh'. Memangpun, kami adik beradik membesar dengan basikal. Wan tak pandai menunggang motorsikal malah memandu kereta. bukan tak pandai malah tidak mampu untuk memilikinya.
Arwah Mek pergi setelah 7 bulan mereka berpisah nyawa. Bulan September, Mek mengharungi detik-detik sukar melawan sakit barah paru-parunya. Saya masih ingat, sewaktu Wan bertarung nyawa, Mek menjadi orang yang kuat. Tidak setitik pun airmatanya gugur depan saya dan kami adik beradik. Kesepian dan kerinduannya tidak diluahkan. Namun jauh disudut hati, saya tahu, Mek dan Wan tidak boleh dipisahkan. Pernah Mek dibawa ke Kuala Lumpur sendirian dan secepat mungkin dia mahu pulang. Perselisihan antara mereka sering sahaja berlaku, namun itulah warna-warna hidup mereka dan kami anak-anaknya. Derita barah Mek mula dikenal apabila Mek menunjukkan kesan awal batuk-batuk tanpa henti dan badan lenguh-lenguh sewaktu berbaring. Kak Ju yang membawa Mek ke klinik Respirotori Kuala Lumpur mula mengesan sakit mek. Bulan Mac-April, penyakit Mek mula dikenal pasti. Dan saya masih ingat sewaktu doktor memberitahu akan sakit mek, saya menangis teresak-esak di bahu Ghazali. Sekali-sekala Mek bergilir tidur antara rumah saya dan rumah Ghazali. Dan memang saya tak mampu melihat cara Mek tidur. Mek tak mampu berbaring... mek tidur sambil duduk dan kepala ditampu oleh susunan bantal. Tak mampu saya teruskan
Kekesalan sering terbit difikiran , rasa berdosa kerana tidak betul-betul menghargai kehadiran mereka. Namun Allah lebih mengasihi... lebih mengetahui tiap jalan ketentuan hidup ini. Al-Fatihah. Semangat yang mereka tinggalkan akan kami teruskan.

Tuesday, October 6, 2009

AL-FATIHAH: GEMPA BUMI DI PADANG

Al-fatihah buat mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera Barat. Dalam sekelip mata ranap dan lenyap sebuah desa dan bandar. Saya melihat kejadian ini seumpama tsunami. Tidak tergambar dan terbayang ketakutan, kesakitan yang diharungi mangsa-mangsa. Saya pernah melawat kota Padang dan melintasi daerah Pariaman yang membawa saya ke Tasik maninjau dan kelok 40. Keindahan desa Pariaman di pinggir pantai masih terbayang-bayang di mata saya.

Apa khabar pak Afrizal, Pak Dhamir dan Pak Wisran. Apa khabar keluarga mereka semua. Semoga Allah melimpahi keselamatan ke atas mereka.
Kita di Malaysia walau menerima sedikit kesan daripada kejadian ini, amatlah bertuah kerana terhindar dari lingkaran bencana, dan semoga Allah memelihara tanahair kita dari malapetaka
ini.




Tuesday, September 22, 2009

PAKLAH TAK MACAM DULU

Pagi 1 syawal- pagi raya aidilfitri. Saya bersembahyang di masjid Kepala Batas. ramai sungguh jemaah pagi ni. Orang-orang kepala Batas bergaya dengan baju Melayu siap bersampin. Biasanya tahun tahun yang lepas saya sekadar menjadi jemaah di bawah khemah luar masjid, tapi tak tau macamana saya jadi teror mencelah celah antara jemaah hinggalah saya dapat tempat duduk beberapa baris dari imam. Wow betul betul beraya saya pagi ni.


Nak dijadikan cerita, saya tak tahupun pada pagi ni ada Pak Lah bekas PM kita turut sembahyang raya di kampung halamannya. Saya tengok dia tenang dan sempoi sahaja dengan jemaah orang-orang kampung. Takda pula saya tengok sambutan atau keraian yang begitu besar-meriah macam kalau selalu dia datang. Tapi bukankah dia bekas PM.
Pak mertua saya yang memang AJK masjid kepala Batas pun rasa lain jumpa Pak Lah kali ini, katanya, kalau masa dia jadi PM dulu, nak salam pun tak dapat sebab Pak Lah duk kena kerumun oleh sapa-sapa yang diapun tak kenal, tapi raya kali ni dia sempat bersalam bukan sekali tapi 3 kali. Tu dia, senang dan mudahnya nak mendampingi Pak Lah, taklah pula rasa susahnya nak jumpa pemimpin asal tempatan seperti sebelum ni.Pengerusi masjid, Pak Chat pun ada bagitahu yang dah hampir 10 tahun PakLah tak sembahyang sunat aidilfitri di mesjid kampungnya, ni kira comeback dialah lepas 10 tahun.


Hari ni, 1 syawal PakLah buat rumah terbuka di dewan Budi penyayang. Ingat lagi dulu, ada dia buat open house kat rumah Mak dia (Rumah mak dia ni duk di belakang rumah mertua saya, kalau berbisik pun boleh dengar, bahkan arwah Tok cik Kailan sempat datang masa saya kahwin dan dia bercakap ikut tingkap dapur saja). Bila dia buat open house, kami yang duk di Jalan Bahagia tak boleh kluar rumah sebab kreta penuh kat jalan depan rumah, orang datang dari entah berantah. Tapi kali ni, takdak pulak orang crita jalan kat kepala batas jam sebab ada open house. Heran saya kerana PakLah penah jadi PM, mana pi semua yang dok kerumun dia dulu...


Bila saya pikir balik, agaknya Yang duk datang kerumun dulu ada banyak kerja sampai lupa nak krumun PakLah tahun ni, ataupun sebab agaknya pada 1 syawal ni , depa pi krumun Sri Perdana kut, sebab dengar khabar Najib pun buat rumah terbuka yang lagi luas bukaan pintunya.Kesian Paklah, dia dah tak macam dulu.

Sunday, September 20, 2009

MALAM INI MALAM RAYA

malam ini malam raya
29 Ramadhan malam kepada 1 Syawal
kukutip segala rasa keinsafan
memandang dengan mata yang paling kerdil

Jauh kutinggalkan kerinduan ini
pada kampung halaman
tempat bertamu segala keindahan lalu
tempat berlari di batas dan belukar
kedewasaan

Siapa yang mahu kembali
kepada kehidupan lalu
bila beras tidak tersukat segenggam
cuma airmata menjadi gunung perjuangan
siapa yang mahu kembali
kepada derita lalu
bila takbir bergema
wan dan mek tak daya mengira
berapakah telah tercuri kegembiraan kami

Malam ini malam raya
aku menatap wajah anak-anakku
terbayarkah mereka di hari esok
pada hutang kehidupan hari ini.

malam ini malam.....
huuuuuhh....
makin jauh fikiranku berlari...

Tuesday, September 8, 2009

BUKA PUASA NAN INDAH

Berbuka puasa bersama keluarga adalah saat yang paling menggembirakan. apatah lagi bila kita jauh dari kampung halaman. Kerinduan pada zaman kecil bersama arwah mek dan wan menjadi detik-detik yang ingin diulang kembali. Saban tahun kami adik beradik yang menetap di Kuala Lumpur mengambil peluang berbuka puasa bersama-sama. Kediaman saya sering saja menjadi lokasi berbuka memandang berada di tengah antara tempat tinggal adik beradik yang lain, dan kediaman yang saya duduki boleh menampung jumlah orang yang ramai. Jadi malam itu, suasana cukup meriah, hiruk pikuk, kebisingan yang pernah wujud sewaktu kami 9 orang adik beradik mendiami sebuah rumah yang hanya 2 bilik. Kesusahan Wan dan Mek tidak pernah menjadikan kasih sayang mereka kepada kami surut.


Matkali (Ghazali) abang saya yang baru sahaja memperolehi Ijazah kedoktorannya dari Universiti di osaka, jepun. jadi majlis ini boleh dikira meraikan kejayaannya menjadi seorang doktor falsafah dalam bidang Bahasa dan Linguistik Jepun. Tahniah. Setiap tahun ada sahaja menu yang kami rancang bagi mengimbau resipi yang pernah Mek hidangkan. Tahun lepas kami menikmati nasi kerabu dan ayam percik sewaktu berbuka.


Tahun ni, matkali dan saya bersetuju untuk menyediakan nasi ulam. Memang nasi ulam Mek istimewa sikit, tidak seperti nasi ulam utara. nak diserasikan dengan nasi ulam tu, maka menu lain turut ada. Saya sediakan sayur lemak kobis manakala Nida isteri saya, sediakan tempe goreng jawa dan ikan jenahak goreng. Nak menjadikan berbuka kami lebih nostalgik maka dihidangkan sepiring budu yang diperah limau purut dan hirisan bawang. Mmmmm memang makan kami bertambah. Lihat sahaja Aish dan izwan tu.


Di atas dua ipar saya, Kak Na isteri kepada Husin (Zulkifli) dan yang baju biru itu, Wati isteri Awi (Zawawi). Mereka dah mesra dengan cara dan peel perangai kami. cara kami berbual, bermesra dan menikmati waktu berbuka.

Semuanya menerkam. nampak tak ikan jenahak goreng, nasi ulam (ada bunga kantan tu) dan sayur lemak kobis....hujung tu budu dan ikan sepat masin. Mmmm

Popo (Ibu kepada Kak Ju) turut datang. beliau baru sahaja kehilangan suaminya Akong yang meninggal dunia kerana barah. Namun Popo kelihatan tenang. Walaupun berketurunan Cina, Popo memahami dan mesra dengan kami adik beradik.

Inilah abang dan adik saya, Husin kini tauke gerai makan dan hari itu cuti berniaga bazar ramadhan. Awi pula baru memulakan perniagaannya sebagai kontraktor perumahan.

matkali dan Kak Ju, pasangan romantis ni memang penuh tatasusilanya. Tapi di rumah saya itu semua hilang dan dilanggar kerana bagi saya dirumah saya adalah untuk semua keluarga saya. Mereka jadikan seperti rumah mereka.

Bila lagi dapat berbuka bersama ya... mmmmm Rindu nak berbuka di kampung Kubang panjang.

Tuesday, August 25, 2009

MTAR: SATU GUMPALAN



Alhamdulillah bertemu Ramadhan sekali lagi. Ramadhan kali terasa seperti satu garis yang memisahkan antara kegelisahan dan ketenangan. Keresahan, stress, bengang menangani muzikal tun abdul razak yang berakhir pada 20hb ogos 2009 bagai terus lenyap dan hilang pada 21hb ogos hari berikutnya. ditambah apabila Ramadhan pertama jatuh pada 22 ogos. Tenang dan rasa lepas itu ku bawa jauh ke kampung isteri Kepala Batas.
Banyak sunggoh jerih perih yang dilalui sepanjang menangani MTAR. Nak dikata tidak ada upaya, rasanya tidaklah, aku harungi dengan passion yang tinggi untuk menjayakannya. Dari mengemudi produksi...membentuk organisasi...perbincangan...merentasi birokrasi...menerima lontaran idea bernas dan punah...mencincang konsep dan idea...menyusun dan mengubah kreativiti...berkongsi kepala...meredah ketidakmatangan manusia...melayan kemalasan orang...kedangkalan fikiran....ketamakan nama dan gelaran....kemiskinan kemanusiaan... kealpaan pada dinar....kesetiaan pada ..... mengenal sikap kerjasama... mengenal kawan sekerja... mengenal siapa bodoh pandai... melihat ketandusan idea... melihat kekecutan kuasa... melihat raja menjadi fakir... fakir mejadi raja... segala nya....segala galanya!!!!!!!!! Semua itu pengajaran buat ku.

Terima kasih buat anak-anak ASWARA...para pelajar dan graduan yang dalam nakal mereka tetap menempatkan takhtanya di pentas. Buat Jefri dan Balkis yang setia melayan karenah ku...harap-harap tidaklah BOSSY....tujri yang hanyut dek kata-kataku.... kak Bie dan Ku Shee yang sentiasa memastikan kerja ini satu team. Datuk Rahim Razali yang masih berkuku dan bertaring walau dilihat banyak melepaskan pada tenaga muda....Jee dan Shidi yang sabar melayan karenah ASWARA.... Dato Omar yang cuba sedayanya menjadikan MTAR sebuah kenyataan.


Buat Dboy..rosden. aris, khairunazwan, shafirul, kema, rosman, ijad, bayu, along, ct, adika, ina, dikwan, natalia, shahida, dzul dan jo dan seluruh warga MTAR....TERIMA KASIH yang mampu saya ucapkan jika itulah perkataan paling tepat dan baik bagi saya menghargai sumbangan dan komitmen saudara semua. Banyak kenangan dan kemenangan yang kita capai dalam produksi ini. kemenangan yang mampu mematangkan kita.




kemenangan ini
kemenangan rakyat
kemenangan semua
marilah marilah
raikan bersama
kemenangan...malaysia

P/S: Saya mengucapkan takziah buat kekanda saya Ghazali dan isterinya Kak Ju, yang telah kehilangan bapa mertua pada 22 Ogos lalu di HUKM. Pemergian Akong satu kehilangan buat kalian dan juga buat saya sekeluarga. Semoga roh mendiang bersemadi dengan aman.

Thursday, August 20, 2009

MTAR terjemah keperibadian Tun Abdul Razak

dipetik dari Utusan malaysia 19 Ogos 2009 Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIAliza.zakaria@utusan.com.my

JIKA bercakap perihal insan bergelar Bapa Pembangunan negara, Tun Abdul Razak Hussein, pasti ramai yang pantas memberi jawapan, dialah pemimpin negara kedua yang dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Tunku Abdul Rahman. Secara lahiriah, masyarakat mungkin hanya melihat figura yang cukup disegani itu sebagai pemimpin yang berjaya membentuk pelbagai idea dan pencetus kepada arus pembangunan negara yang jelas dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat hari ini. Ironinya, pada sisi lain, Tun Abdul Razak merupakan insan biasa seperti kita. Punya cita-cita dan wawasan serta tanggungjawab terhadap keluarga yang perlu digalas. Biarpun 'dilambakkan' dengan timbunan kerja yang tidak pernah surut, namun, tanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah tidak pernah terabai.
Gambaran tentang sikap serta kepimpinan figura yang juga bapa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib itu diterjemah dalam pementasan Muzikal Tun Abdul Razak (MTAR) yang dipentaskan selama lima malam berturut-turut bermula 16 Ogos lalu di Istana Budaya, Kuala Lumpur. MTAR dipentaskan sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-52. Hampir 200 pelakon dan tenaga produksi terlibat dalam pementasan tersebut.

Selain pelakon utama, Rashidi Ishak dan Fauziah Latiff, turut terlibat ialah penuntut dan pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Ini merupakan pementasan kedua MTAR selepas dipentaskan di Panggung Eksperimen, Aswara pada Oktober tahun lalu yang dijayakan oleh para pelajar Aswara. Naskhah asalnya diarahkan oleh Khairunazwan Rodzy sebelum dikembangkan pada skala yang lebih besar dan dipadatkan dalam empat segmen persembahan selama hampir dua jam itu. Segmen-segmen yang terkandung dalam persembahan tersebut termasuklah Abdul Razak dan awal kepimpinan beliau, Abdul Razak sebagai Perdana Menteri, kemuncak pentadbiran Abdul Razak dan hari-hari terakhir Allahyarham. Membuka persembahan dengan babak nyanyian kumpulan boria, Pulau Pinang menerusi Boria Anak Tanjung, emosi dan fokus penonton cuba dibawa ke masa lampau yang memaparkan detik-detik awal kepimpinan Tun Abdul Razak.

Paling awal dipertontonkan ialah bagaimana situasi di Lincoln's Inn, London sewaktu Allahyarham melanjutkan pengajian jurusan undang-undang di sana. Ketika itu, bakat dan ciri-ciri sebagai seorang pemimpin dan pejuang bangsa yang unggul terserlah dalam keperibadian beliau. Namun, dalam memperjuangkan maruah bangsa kemelut penerimaan 'bangsa kulit putih' terhadap orang Melayu ketika itu turut disingkap. Muzikal arahan pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Rahim Razali itu turut menyingkap penglibatan Tun Abdul Razak dalam UMNO bersama-sama Tunku Abdul Rahman sehingga membawa kepada kemerdekaan negara.
Antara lain ialah menonjolkan penglibatan beliau dalam beberapa peristiwa penting negara termasuk konfrontasi Malaysia-Indonesia, 13 Mei dan MAGERAN.
Sebagai seorang pemimpin, isteri tercinta, Toh Puan Rahah Mohd. Noah, umpama tulang belakang serta pembakar semangat kepada tokoh negarawan itu. Pada tahun 1969, dalam kerancakan merencanakan pelbagai misi pembangunan negara, beliau berhadapan dengan kemelut penyakit leukemia yang dihidapinya sendirian. Dipendamnya derita penyakit jauh daripada pengetahuan isteri dan juga anak-anak.Kegembiraan rakyat berkongsi kejayaan demi kejayaan negara yang dicetuskan oleh mantan perdana menteri kedua itu tidak kekal lama.
menyelami emosi

Kemuncak pementasan, penonton dibawa menyelami emosi masing-masing menerusi berita mengejutkan, Tun Abdul Razak kembali menghadap Ilahi sehingga membongkar rahsia penyakit yang disembunyikan selama ini. Bercerita tentang pementasan itu, Rahim Razali yang ditemui selepas raptai penuh MTAR memberitahu, muzikal yang menggunakan sebanyak 22 buah lagu itu menggunakan simbolik demi melicinkan jalan cerita pementasan itu. "Sayangnya muzikal ini tidak banyak menggunakan simbolik. Sepatutnya kisah tentang pemimpin dan pejuang perlu banyak bermain dengan simbolik demi melicinkan jalan cerita. "Berbanding cerita asal yang pernah dipentaskan dahulu, memang ada perubahan. Bagaimanapun, ketika itu saya tidak berkesempatan menonton pementasan di Aswara.
"Dalam kerja saya memang tidak pernah puas, dalam masa empat hari memang tidak cukup untuk membuat latihan. Rujukan pada mana-mana persembahan secara khusus memang tiada.
"Namun keupayaan pentas Istana Budaya bertaraf antarabangsa perlu kita gunakan sebaik mungkin," katanya.Menyentuh 22 buah lagu dalam pementasan tersebut yang mengehadkan penggunaan dialog dalam pementasan itu.
Kata Rahim, dalam sesebuah pementasan muzikal, penggunaan dialog boleh dikatakan hampir tiada."Sebenarnya muzikal memang tiada dialog langsung, bagaimanapun untuk pementasan ini kita perlu adakan untuk mengenengahkan fakta-fakta tentang perjuangan Tun Abdul Razak.
"Kita banyak gunakan dialog dalam lagu-lagu yang digubah sebab ucapan dan kata-kata daripada pemimpin politik sukar untuk dilagukan," kata rahim lagi.
Sementara itu, dua pelakon utamanya, Rashidi Ishak dan Fauziah Latiff yang ditemui selepas raptai penuh pementasan tersebut, mengakui masih gementar berlakon dalam pementasan itu.
"Hari demi hari, corak lakonan semakin meningkat. Bagi saya kesemua babak adalah sukar sebabnya yang pertama saya perlu fokus pada karakter dan kedua setiap babak memerlukan saya bermain dengan emosi yang berlainan," kata Rashidi yang berkorban membotakkan separuh daripada kepalanya.
Bagi Fauziah Latiff pula, penghayatan mendalami watak Tun Rahah sebagai individu yang lemah lembut dan menjadi tulang belakang kepada Tun Abdul Razak cuba dilakukan sebaik mungkin.
"Persembahan ini sesuatu yang besar buat saya. Saya dapat melihat peningkatan demi peningkatan dalam persembahan berbanding ketika latihan," katanya.

Tuesday, August 11, 2009

MUZIKAL TUN ABDUL RAZAK: MOHON RESTU RAHAH

Dipetik daripadaBerita Harian 11 Ogos 2009
Oleh Serimah Mohd Sallehuddinmailto:Sallehuddinserima@bharian.com.my

WALAUPUN pertemuan dengan Tun Rahah Mohd Noah, isteri bekas Perdana Menteri ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak bersama pengarah, penulis skrip dan pelakon Muzikal Tun Abdul Razak di kediamannya berlangsung cuma seketika, namun ia tetap menjadi pertemuan cukup bermakna buat mereka yang menjayakan muzikal yang bakal dipentaskan bermula 16 Ogos ini. Rombongan itu diketuai Reaktor Akademi Seni, Budaya dan Seni Kebangsaan (Aswara), Datuk Omar Awang; turut hadir Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar & Penyelidikan, Habsah Noordin; Datuk Rahim Razali, Kamarulzaman Taib (penulis skrip) serta Rashidi Ishak yang memegang watak sebagai Tun Abdul Razak.

Dalam pertemuan singkat itu, beberapa kisah peribadi Allahyarham Tun Razak berjaya dibongkar seperti panggilan antara bekas pemimpin itu dengan isterinya, penyakit serius yang dihidapi Tun Razak serta makanan terakhir yang diidamkan dua hari sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir pada 14 Januari 1976 iaitu kira-kira 33 tahun lalu. Kisah Allahyarham turut dikongsi Pengawal Peribadinya, Datuk Idris Shaari Mat Aris yang sudah berkhidmat untuk keluarga bekas perdana menteri itu sejak 45 tahun lalu. Tun Rahah, 76, berkata, beliau terharu dengan inisiatif Aswara mementaskan sebuah muzikal mengenai perjuangan arwah suaminya kerana ini adalah julung kalinya kisah mengenai arwah suaminya dipentaskan.
Beliau memuji usaha Aswara yang disifatkan amat baik khususnya untuk generasi baru yang tidak berkesempatan berada di bawah pimpinan Tun Razak. “Syukur kerana ada pihak yang sudi mementaskan sebuah teater mengenai Tun. Saya melihat idea ini sebagai satu usaha yang baik terutama buat generasi muda yang belum lahir ketika pemerintahan Tun. “Jika tiada aral melintang, saya akan meluangkan masa menonton persembahan itu nanti. Saya tidak sabar nak menonton cuma berharap tidak sedih ketika menontonnya. Saya juga faham ceritanya nanti tidak semestinya 100 peratus sama kerana ia sebuah pementasan, asalkan ia tidak menjejaskan imej serta nama baik Tun dan keluarga kami. Saya juga tiada masalah dengan pemilihan Rashidi Ishak dan Fauziah Latiff untuk membawakan watak kami. “Fauziah ada datang bertemu saya baru-baru ini. Dalam pertemuan hampir satu jam itu dia banyak bertanya mengenai diri saya dan belajar beberapa perkara seperti cara saya menyikat rambut untuk dilakonkan di pentas nanti,” katanya.



BERIKUTAN beberapa maklumat baru diperoleh daripada pertemuan itu, Kamarulzaman Taib atau Cik Kem yang bertanggungjawab menulis skrip pementasan itu berkata beberapa perubahan kecil akan dilakukan kepada skrip cerita itu. Perubahan besar tidak akan dilakukan kerana jalan ceritanya dibuat berdasarkan kajian menerusi buku, teman rapat serta sumber terdekat. Kata Cik Kem, pertemuan bersama Tun Rahah diatur bagi meminta restu secara peribadi kepada isteri bekas perdana menteri itu, walaupun pementasan itu sudah mendapat keizinan dari anak sulung pasangan itu iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak. Pertemuan itu disifatkan Cik Kem sebagai cukup eksklusif dan amat bermakna. “Kita memang sudah bersedia jika skrip memerlukan perubahan.
Dari pertemuan ini kita akan ubah sedikit skrip tetapi ia membabitkan perubahan yang kecil saja seperti kolokial Tun Razak dan Tun Rahah, teka-teki penyakit Allahyarham serta makanan diidamkan sebelum meninggal dunia akan kita selitkan dalam skrip yang bakal dirombak nanti. “Sementara yang lain-lain tidak terjejas kerana kita buat berdasarkan kajian yang dilakukan secara terperinci. Pertemuan hari ini bagi saya amat bermakna dan cukup menyentuh hati. Sebenarnya sudah lama kami mahu bertemu Tun Rahah tetapi kami ingin memastikan kajian dan skrip siap terlebih dulu barulah bersedia untuk bertemu,” katanya.
Datuk Rahim Razali pula berkata, jika diikutkan pertemuan selama satu jam itu tidak mencukupi. Sekalipun cukup singkat, namun pertemuan itu amat bermakna sekali buat mereka kerana dapat bertemu secara peribadi dan bertanya sendiri kepada Tun Rahah beberapa kemusykilan yang selama ini bersarang di benaknya. “Pertemuan selama satu jam ini kalau diikutkan memang tak mencukupi, tetapi kita bukannya nak menghasilkan buku biografi. Kalau hendak menghasilkan buku mungkin memerlukan pertemuan yang panjang tetapi kita faham Tun Rahah pun bukannya ada masa sangat.
Malah, pertemuan ini pun sudah tertangguh beberapa kali disebabkan kesibukan beliau. “Bagaimanapun dari pertemuan singkat itu ada juga benda yang kami peroleh. Dari apa yang kami tidak tahu sebelum ini, kami sudah pun tahu. Contohnya seperti saya bertanya tadi apa panggilan Tun Razak kepada Tun Rahah. Soalan itu memang sudah lama bersarang dalam fikiran saya dan akhirnya hari ini saya menemui jawapannya,” kata Rahim. INFO: Teater Muzikal Tun Abdul Razak

· Akan dipentaskan selama empat malam di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 16 hingga 20 Ogos bersempena ulang tahun kemerdekaan yang ke-52.
· Tiket menonton teater ini dijual pada harga RM30 dan RM50 serta RM11.50 untuk pelajar sekolah.

Sunday, July 26, 2009

MENGENANG YASMIN AHMAD


Saya baru sahaja menerima berita ini...YASMIN AHMAD telah kembali ke Rahmatullah. Saya tidak pasti berita benar atau tidak. Namun saya mendoakan agar beliau sejahtera walau di mana dan bagaimana dia berada. Saya bukanlah peminat fanatik Yasmin Ahmad namun kehadiran beliau ke dalam industri seni tanahair begitu dirasai. Bermula dengan Rabun sebuah filem untuk cereka TV disusuli dengan SEPET yang menggegarkan industri, disambung dengan GUBRA dan MUKHSIN, terbaru TALENTIME. MUALAF sedang menunggu giliran untuk tayangan.


Pandangan dan pemikiran nya mengenai kisah-kisah masyarakat Malaysia jelas dan meletakkan karyanya sebagai karya tentang Malaysia sebenarnya. Filemnya tidak memaparkan sebuah cita-cita yang terawang-awang. beliau bercerita dalam romantis dan menyentuh. Isunya ringan namun berat sebenarnya. Bagaimana orang Melayu mahu menolak realiti bahawa cinta gadis melayu pada pemuda cina penjual vcd haram? bagaimana pula kisah bilal yang menyentuh ajning atau berjiran dengan pelacur? macam-macam cerita dan persoalan yang dilontarkan beliau dalam filemnya. Ramai yang protes dan menolak secara membuta tuli dan ramai juga yang menampi-nampinya. Filem SEPET betul-betul meletakkan pembikin filem Melayu arus perdana untuk bercermin diri melihat hakikat sebenar apa yang mereka perkatakan. Filem bermesej? Filem bermoral? mendidik khalayak? dan macam-macam lagi namun hakikatnya mereka tidak mampu bercerita dengan baik.


Yasmin melihat kehidupan Melayu dan masyarakat cina dan india secara artistik. budaya dan kepercayaan bukanlah halangan untuk membeza banding keuniversalan sifat dan sikap manusia. satu titik yang menemukan antara manusia...cinta. Cinta menjadi persoalan penting dalam karyanya. Lihat sahaja dalam sepet...gubra..malah cinta yang terlahir dalam mukhsin. Bila menonton filemnya saya pun jadi lupa kepada filem yang penuh dengan CGI...fiksyen..dan letupan letusan...aksi dan apa saja...saya anggap itu semua filem bermodal yang tiada modal kreatif. contentnya sangat cetek.
Mengapa di Facebook dan di blog hangat bercerita tentang tragedi yang melanda Yasmin Ahmad? kerana kita merasa kehadirannya. Jika dia telah pergi....AL-FATIHAH

Saturday, July 18, 2009

DUA TEATER FITRAH NOORDIN HASSAN

Dah berbulan tak update. Memang rasa hilang sesuatu dalam hidup. Desakan abang saya di Osaka dan rakan saya Mr. Salim Maldern membuatkan saya duduk dan menulis entri ini. Sejak tak menulis entri banyak sungguh liku dan aktiviti yang saya lalui sama ada yang saya gemar ataupun yang memang kena buat.
Jun dan Julai ni ada dua pementasan teater karya Dato' Noordin Hassan dengan konsep teater fitrahnya, saya berpeluang menonton. Mana Setanggi arahan Zaifri Husin di Istana Budaya dan Intan Yang Tercanai arahan A.Wahab Hamzah di Dewan Bahasa dan Pustaka. Menonton kedua-duanya memang memberi persepsi dan pengamatan yang berbeza. Mana Setanggi, saya lihat menekankan kepada aspek fizikal dengan rekaan set yang literal dan gaya lakon yang bercaampur aduk antara stylized dan biasa-biasa. Saya kagum dengan kesan teknikal dan keindahan seni rekanya. Teksnya yang berat hilang dalam kelonggaran penterjemahan oleh lakonan. Akhirnya saya tak temui Juda dalam diri Tony Eusoff, saya nampak Shaharudin Thamby mengambil alih lakonan di tambah dengan pilihan lakonan stylized oleh Rudy de Luna dan Fateh. Kelihatan dan kedengaran hebat lakonannya tetapi saya rasakan pemahaman pada teksnya terapung-apung. Ini mungkin membuatkan Zaifri memilih menumpukan kepada paparan visual dan fizikal.

Intan yang Tercanai, saya menemani abang joe malam tu, ramai VIP termasuklah Dato' Noordin pun turut hadir. Saat jejak ke dewan yang punya sejarah kepada negara itu, ia mengagumkan saya. Sebuah dewan (seperti dewan sekolah) tetapi telah ditransformasikan menjadi sebuat teater arena. saat melangkah itu terdetik rasa syahdu bila melihat warna putih kesucian. Pujian harus saya beri kepada sinografernya, Hamzah Tahir. Inilah yang mengukur kehebatan seorang pengarah seni dan sedalam mana ia memahami teks yang dikerjakan. Cerita Intan yang Tercanai agak mudah berbanding Mana setanggi, kisah seorang mualaf yang ke Mekah mencari kawan/kekasihnya Engku Intan yang hilang semasa tragedi Terowong Muasem tahun 1990. Seperti mana naskhah cikgu noordin yang lain, beliau menggerakkan cerita dengan naration oleh watak-watak dan merujuk peristiwa dan tauladan yang seumpama sebagai renungan. Mudah ceritanya dan penuh Islamik. Saya puji lakonan Mardiana Alwi, bakat baru kelahiran ASWARA, lakonan Juhara dan Zizi tidak perlulah saya ulas kebagusannya. Kostum, geraktari, muzik dan lakonan terlihat kesatuannya. Itulah Teater Fitrah. Mendengar lagu Intan Yang Tercanai ciptaan Hafiz Askiak betul betul meruntun dan melekap di telinga. Saya suka dan salut pada karya beliau yang ini! Saya sempat bisikkan pada Cikgu Noordin "yang ini saya lebih rasa fitrahnya".
Buat Cikgu Noordin Hassan, seperti magis naskhahnya pada saya. Sewaktu menyiapkan Tesis untuk Sarjana Muda 15 tahun lalu, jatuh cinta saya pada karyanya tidak pernah surut dan sentiasa mekar. dari Bukan lalang di tiup angin sehingga Intan Yang Tercanai, ia bagai melengkapi keseluruhan idea dan falsafah Teater Fitrahnya. Sebagaimana tajuk tesis saya Teater Fitrah: Noordin Hassan Mengukuh Identiti.

Friday, May 22, 2009

ULANGTAHUN MAMI DAN AISH!

Sehingga hari ini saya belum sempat meraikan hari ulangtahun Aish dan Nida dengan sempurna. Hari itu, 16hb Mei saya hanya sempat membawa mereka ke sebuah restoran tanpa sebiji kek dan lilin untuk ditiup. Joseph pun ikut serta bersama kami makan tengahari.
Tahun ini genaplah 9 tahun usia Aish Mirza. Dah besar dah. Dah ada privacy dah. Cakap dengan kita pun guna psikologi. takut saya dan nida dibuatnya. Bila pikir Aish dah cecah 9 tahun, rupanya saya dan Nida sudah 10 tahun hidup bersama. kami kongsi kebahagiaan ini bersama dua cahaya mata yang tidak pernah memenatkan kegembiraan kami, Aish dan Rhea.
Memang saya merancang untukmeraikan hari ulangtahun mereka, khususnya Aish yang tak sabar ingin mengundang rakan-rakan bolanya. Kadangkala masa begitu kejam pada kehidupan!TO MY BELOVED WIFE....HAPPY MOTHER'S DAY MAMI

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...