Bangsawan Raden Galoh telahpun selesai pada ahad yang lalu (13 April 2008) dengan penyudahan yang amat membanggakan. Apabila Panggung bandaraya sarat dengan penonton atas dan bawah serta menerima kehadiran beberapa orang tetamu termasuklah yang popular dan kehormat. Dato’ Omar Awang, Rektor ASWARA pun turut sama turun menyokong persembahan pada malam terakhir itu. Bila saya mengatakan panggung iatu sarat, saya memang bermaksud ianya sarat barat sehingga laluan jadi tertutup dan ada penonton terpaksa berjinjing menjenguk-jenguk persembahan dari luar.
Sejak ASWARA terlibat di dalam program Semarak Bangsawan yang dilancarkan pada tahun lalu, ASWARA telah mementaskan 3 buah bangsawan iaitu Raja Laksamana Bentan, Menjunjung Duli dan Raden Galoh. Yang menyukakan hati kesemua persembahan itu mendapat sambutan yang hampir serupa. Saya berpandangan bahawa masyarakat sudah meletakkan kepercayaan kepada ASWARA di dalam mementaskan teater tradisional ini. Sejarahnya ASWARA sudah mementaskan berbelas judul bangsawan sejak tahun 1996. Ini tidak boleh dinafikan oleh pihak lain tentang peranan ASWARA mempopularkan seni tradisional ini. Ini termasuklah peranan mempopularkan teater makyung. Jika diselidik dan disemak sejarah pementasan, mana ada jabatan atau agensi atau institusi pendidikan yang sebegini serius menghidup dan mempopularkan kedua-dua teater tradisional ini.
Namun ironinya, masih ada pihak yang tidak mengangkat peranan yang dimainkan oleh ASWARA. Yang lebih mendukacitakan jika tohmahan itu datangnya dari pentadbir ataupun tokoh kesenian tempatan. Saya tidak pasti sama ada mereka tidak melihat perkembangan yang berlangsung sejak 12 tahun lalu ataupun ia mungkin satu cakap yang sekadar ingin meletakkan diri sendiri di tempat yang lebih penting. Itu persoalan yang amat berat dan menjadikan saya sebagai orang yang suka menuduh-nuduh.
Jadi, apabila seorang tokoh mengatakan bahawa belum ada pelapis di dalam Bangsawan dan ASWARA masih gagal memainkan peranannya , saya jadi tersinggung apatah lagi bila kata-kata itu terkeluar dari mulut tokoh yang mendidik dan membimbing kesenian ini. Saya akui, di era yang semua orang mahu menjadi bintang dan mengecap kesenangan melalui bidang seni, bangsawan bukanlah platform yang untuk ke arah itu. Jadi, tidak muncullah seorang pelakon yang mampu digelar orang bangsawan kerana mereka melihat tidak ada kepentingan dan pulangannya menjadi pelakon bangsawan, maka muncullah bilangan pelakon yang hanya mengambil tahu teknik dan kemahiran bermain bangsawan bukan menguasai bangsawan ke peringkat semudah melakonkan bangsawan secara improv. Mungkin itu maksud tokoh itu.
Bercakap mengenai Raden Galoh yang ditangani oleh dua pelajar iaitu Mardiana dan Nor Azlin, saya melihat kedua-dua pelakon ini memberi interpretasi yang hampir sama mengenai perwatakan Raden Galoh. Masing-masing ada kekuatan dan kelemahan sendiri. Saya percaya mereka memiliki masa depan yang baik jika digilap dan bersungguh-sungguh mencorak masa depan. Go girls!