Jom Kita Jadi Geng

Monday, October 26, 2015

CITRA SENI: CAKLEMPONG

Pusat Seni Pentas Tradisional ASWARA (PuTRA) mengucapkan ribuan terima kasih kepada media yang sudi memberi liputan mengenai persembahan caklempong Garitik Gereteh. Sehingga entri ini ditulis, akbah Berita Harian, Harian Metro dan akhbar online The Rakyat Post, DailySeni dan MalaysianDigest telah pun membantu mempromosikan persembahan ini. Kami berbesar hati di atas sokongan yang diberi. Di bawah ini saya muat naik salah satu tulisan dari The Rakyat Post.

Tokoh muzik caklempong terkenal, Yuzaimuddin Md. Yusof atau Pak Yuzi berkongsi pengalaman hidupnya sebagai pemain dan pejuang muzik tradisi itu dalam sesi bual bicara Citra Seni – Bicara Bersama Tokoh di Aswara, Selasa lalu. – Foto TRP/Mokhsin Zamani

PUBLISHED: Oct 23, 2015 02:35pm
Caklempong bukan muzik kelas ketiga – Pak Yuzi

AHMED SYAHRIL ZULKEPLY

Tokoh muzik caklempong yang disegani, Yuzaimuddin Md. Yusof atau lebih dikenali sebagai Pak Yuzi menyifatkan caklempong memiliki keunikan tersendiri untuk diketengahkan kerana iramanya bukanlah muzik kelas ketiga.
Biarpun caklempong semakin jarang mendapat tempat di kalangan generasi muda hari ini, tetapi seniman unggul dalam muzik tradisi itu akan terus memperjuangkan nasib caklempong agar ia terus dipelihara dan diterima dengan baik oleh masyarakat negara ini.
Bahkan kata Pak Yuzi, jika diperhatikan sehalusnya, pemain caklempong hari ini sebenarnya sudah layak untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pemuzik dari genre yang lain.
Namun, tambah beliau lagi, kedudukan mereka itu bukanlah untuk mengubah seni warisan zaman-berzaman ini agar ia menjadi relevan dan disesuaikan dengan arus muzik semasa.
“Tetapi sebaliknya, tugas mereka adalah untuk terus mengekalkan warisan ini mengikut perubahan zaman agar sentiasa diterima dengan baik terutama dalam memperkenalkannya kepada masyarakat dunia.
“Dalam konteks ini, saya mengambil konsep orang Melayu zaman dahulu yang akan tampil berpakaian lengkap dengan tanjak, samping dan capal. Namun, seiring dengan peredaran zaman, mereka kini lebih selesa untuk bersongkok mahupun memakai kot.
“Saya tidak mahu mana-mana pejuang dan pemain caklempong menjadi seperti itu kerana dikhuatiri akan menjadi canggung seolah-olah melihat orang Melayu memakai baju Melayu bersama topi koboi dan kasut but. Justeru, muzik caklempong ini sememangnya wajah dipelihara sebaik-baiknya agar tradisi itu tidak hilang ditelan zaman,” katanya dengan maksud yang penuh mendalam.
Beliau yang berusia hampir 60 tahun itu ditemui pada sesi Citra Seni – Bicara Bersama Tokoh yang diadakan di Dewan Orkestra, Akademi Seni dan Warisan Negara (Aswara) di sini, Selasa lalu.

Aksi penari yang mengiringi persembahan muzik caklempong, 'Garitik Gereteh' yang berlangsung di Akademi Seni dan Warisan Negara (Aswara), Kuala Lumpur, malam Selasa lalu. - Foto TRP/Mokhsin Zamani

Dalam program bual bicara itu, banyak kisah dan pengalaman yang dikongsikan oleh Pak Yuzi yang sudah lebih tiga dekad terlibat dalam persembahan muzik caklempong yang telah membawanya mengembara bukan hanya di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Namun, kata Pak Yuzi yang dilahirkan di Melaka dan kemudiannya dibesarkan di Negeri Sembilan itu, perjalanan yang dilalui dalam memperjuangkan muzik caklempong itu bukanlah semudah disangka biarpun minatnya mula timbul pada usia 17 tahun sekitar tahun 1970.
“Pada awalnya, saya ke Paroi, Negeri Sembilan untuk belajar bermain gitar. Entah bagaimana, saya ternampak beberapa alat muzik caklempong di situ yang terbiar begitu sahaja lalu tertarik untuk cuba memainkannya. Ketika itulah, bagaikan ada satu kuasa yang meresap dalam diri lalu saya tekad untuk mempelajarinya.
“Saya memberitahu bapa saya tentang niat saya itu namun, dia tidak menggalakkannya dengan alasan menjadi pemuzik caklempong tiada masa depan dan tidak mampu untuk menampung kehidupan saya.
“Demi menghormatinya, saya akur dan tidak melawan kata-kata tetapi saya tidak berputus asa lalu bertemu dengan seorang pemain caklempong profesional yang saya anggap sebagai guru pertama saya iaitu Kamarul Ibrahim,” cerita Pak Yuzi yang berketurunan Minang dan Banjar itu penuh semangat.
Ternyata, minat dan niatnya untuk mempelajari muzik tradisi berkenaan telah berupaya membuatkan dirinya membesarkan anak-anak dan keluarganya dengan hasil sebagai pemain caklempong sekaligus meningkah pendapat bapanya sebelum ini.

Pak Yuzi (tengah) sewaktu membuat persembahan caklempong Garitik Gereteh di Aswara, malam Selasa lalu. – Foto TRP/Mokhsin Zamani

Tidak hanya terhad menimba ilmu bersama Kamarul yang telah mengajarnya asas menggaritik (salah satu asas dalam muzik caklempong), pertemuannya dengan Pak Yusuf Rahman dari Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia juga telah menambahkan lagi pengetahuan dan kecintaannya dengan lebih mendalam.
Jika sebelum ini, dia hanya mengetahui asas bermain tanpa teknik yang betul, namun, hasil pengajiannya bersama Pak Yusuf itu telah berupaya membuatkan dirinya untuk bermain dan lebih memahami kedudukan menggaritik caklempong dengan tepat.
“Bermula daripada situ, saya tidak lagi menoleh ke belakang dan meneruskan perjalanan saya sebagai pemain caklempong sehingga pernah digelar hero caklempong kerana kekerapan bermain di majlis perkahwinan keluarga dan kenalan.
“Tetapi, semuanya berubah selepas saya mendirikan rumah tangga dan ketika itu, muzik caklempong tidak lagi kedengaran lalu membuatkan saya terfikir untuk berkongsi ilmu dengan orang lain yang mendapat sambutan daripada masyarakat sekeliling terutama pelajar sekolah,” jelas beliau yang pernah berkhidmat sebagai ketua pemuzik Yayasan Negeri Sembilan itu lagi.
Biarpun muzik caklempong semakin dilupai dan dipinggirkan daripada arus muzik perdana masa kini, sempat juga Pak Yuzi menitipkan nasihat buat pemain caklempong generasi baharu agar lebih berhati-hati kerana inilah warisan yang bakal ditinggalkan untuk generasi akan datang.
Katanya lagi, walapun ramai yang kagum dengan persembahan caklempong moden tetapi bila keaslian bunyinya hilang, maka keindahan muzik caklempong itu juga akan terhapus apabila diasimilasikan bersama muzik moden dan tradisional.

“Saya bukanlah menentang kepada perubahan malah menggalakkannya tetapi biarlah warisan yang ada itu dikekalkan agar ia tidak hilang ditelan zaman. Bila asas menggaritik sudah betul, hendak main lagu apa pun boleh,” katanya serius.

Monday, October 19, 2015

GARITIK GERETEH: MALAM CAKLEMPONG


Masa mencadangkan Caklempong mengisi slot Gema Seni Tradisional, saya agak skeptikal dengan idea itu kerana belum pernah saya menonton satu malam persembahan yang panjang hanya caklempong. Beberapa perbincangan dan mencari elemen-elemen menarik yang boleh disatukan dalam satu malam lalu saya berani katakan, caklempong boleh jadi malam yang sangat menghiburkan.

Masakan tidak, secara tradisinya, masyarakat minang meraikan caklempong dengan bermacam-macam acara. Dari nyanyian hinggalah kepada tarian, silat, lagu bongai, tumbuk kalang dan beberapa lagi. Rupanya caklempong sangat fleksibel dan dinamik sifatnya.


Pelajar ini sedang Bekaba


Malam 20 Okt 2015 pada jam 8.30 malam di Dewan Orkestra ASWARA akan berlangsung Gema Seni Tradisional: Garitik Gereteh. Sebuah malam yang meraikan kesenian tradisional caklempong. Malam yang menyatukan anak muda dan orang lama dalam satu persembahan.

Dua hari latihan, saya naik syok dengan permainan caklempong. Tidak jemu dan menghiburkan. Saya beri jaminan pada anda yang datang menyaksikan persembahan esok malam akan turut merasakan keseronokan irama caklempong. Apatah lagi ada satu segmen yang kira cukup merangsangkan iaitu segmen beradu caklempong atau orang putih kata 'the battle of caklempong. Pertembungan antara pelajar ASWARA dengan pemain handalan dari Negeri Sembilan.


Rahbeni Mutaal Hadi


Malam Garitik Gereteh juga menampilkan tigo orang lama iaitu Pak Yuzi (Yuzaimuddin Md. Yusof) sebagai guru caklempong Negeri Sembilan, Pak Rahbeni Mutaal (adiguru caklempong ASWARA) dan Pak Along Bakar seorang penyanyi lagu-lagu Bongai terkenal Negeri Sembilan. Bukan selalu dapat kita saksikan mereka beraksi di Kuala Lumpur ini.



Yuzaimuddin Md. Yusof








Jadinya, jemputlah datang ke ASWARA esok 20 Okt 2015 jam 8.30 malam . Persembahan PERCUMA ini eksklusif hanya satu malam sahaja di bawa oleh Pusat Seni pentas Tradisional ASWARA (PuTRA).

ASWARA...melangkah ke hadapan bersama tradisi...

Monday, September 7, 2015

ANGIN WAYANG EYO HOCK SENG

Terima kasih KOSMO, Sabtu 5 September, kerana menyiarkan makalah mengenai Angin Wayang anjuran PuTRA. Terima kasih buat wartawan Nabiha Mohd Yusof.

Keunikan 10 variasi suara watak
Oleh NABIHA MOHD. YUSOF
Foto SHIDDIEQIIN ZON

Suara rendah dan kasar perlu digunakan untuk memainkan watak gergasi atau jin.


 ALUNAN muzik tradisional seperti gendang, gong, serunai dan canang menjadi lebih rancak dan kuat tatkala Tuan Kecik Raden Arjuna bertarung dengan Bapa Gergasi Agong.

Kelihatan bayang-bayang Tuan Kecik Raden Arjuna lenyap dan mencederakan pihak lawannya. Pertarungan tersebut begitu mendebarkan.

Penonton yang menyaksikan persembahan wayang kulit berjudul Anak Kera Belira Sakti di ruang legar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) tidak sempat untuk mengerlipkan mata, kerana tidak mahu terlepas menyaksikan babak-babak menarik. Menariknya, tok dalang iaitu orang yang mempersembahkan sesebuah cerita wayang kulit bukanlah calang-calang orang yang berasal dari Kelantan.

Tok dalang bernama Eyo Hock Seng, 60, merupakan satu-satunya tok dalang kaum Cina yang masih mengekalkan warisan negeri Che Siti Wan Kembang itu.

"Minat saya terhadap wayang kulit lahir sejak kecil lagi ketika berumur sembilan tahun. Saya kerap menonton wayang-wayang kulit bersama rakan-rakan," katanya yang lebih mesra dipanggil Pak Chu.

Sambil menghirup secawan teh, Pak Chu menceritakan, perjalanannya menjadi seorang tok dalang tidak semudah yang disangka.

Adiguru Pak Nasir membantu Pak Chu
mempersiapkan diri sebelum persembahan
"Untuk menjadi tok dalang seseorang kena rajin belajar, banyak bersabar dan minat yang mendalam terhadap wayang kulit. Saya nasihatkan ia perlu bermula dari usia muda.

"Terdapat beberapa peringkat untuk menjadi tok dalang dan memakan masa yang lama," ujarnya dalam loghat Kelantan.

Sebelum dia menjadi tok dalang, Pak Chu yang dikenali oleh masyarakat Kelantan dengan nama Melayunya iaitu Syafie, membiasakan diri menghadiri persembahan wayang kulit setiap kali jika berpeluang.

Dia meneliti persembahan pada malam itu sebelum pulang ke rumah dan menghasilkan wayang kulit sendiri daripada kertas, dedaun dan kayu. Kemudiannya, dia akan mempersembahkan kepada ahli keluarga.

Pak Chu memberanikan diri dan berbaik-baik dengan tok dalang terdahulu dengan harapan supaya mereka dapat menerimanya sebagai anak murid.

Ketika dia berumur sembilan tahun, gurunya tidak membenarkan Pak Chu mempelajari wayang kulit kerana masih terlalu muda. Jadi, guru beliau mengajarnya perkara asas wayang kulit iaitu memahirkan diri bermain alat muzik tradisional. Selama 42 tahun memceburkan diri dalam bidang itu ia bukan jangka masa yang pendek.

Beliau belajar bermain alat-alat muzik seperti serunai, gong, gendang, geduk, kesi, gedombak dan canang selama lima tahun sebelum menjadi tok dalang muda. Pak Chu memberitahu, minatnya tidak pernah dihalang oleh keluarganya malah mereka lebih mendorong dan sanggup membelikan alat-alat muzik untuk dia berlatih. Seni budaya seperti wayang kulit sebenarnya tiada jurang jantina, bangsa mahu pun agama kerana ia boleh diminati oleh masyarakat umum.

Kamarul Baisah bertindak sebagai Dalang Muda pada malam itu
Namun begitu, kaum wanita tidak dinasihatkan untuk menjadi tok dalang kerana kurang sesuai. Hal ini kerana kebanyakan wanita tidak dapat menghasilkan suara rendah.

"Wayang kulit bukan setakat pandai bermain dengan boneka itu sahaja. Tok dalang perlu ada ilmu pengetahuan mengenai muzik di samping mempunyai suara lantang," katanya yang pernah cuba melatih wanita menjadi tok dalang tetapi gagal.

Hal ini kerana, tok dalang perlu mempunyai suara yang pelbagai sekurang-kurangnya 10 variasi seperti tona rendah untuk memainkan watak lelaki. Selain tona, suara tok dalang juga perlu mempunyai intonasi berbeza seperti tona rendah tetapi kuat dan kasar untuk memainkan watak gergasi atau jin. Di samping itu, tok dalang yang bagus harus pandai improvasikan atau mempelbagaikan jalan cerita wayang kulit supaya tampak lebih menarik.

Misalnya dalam cerita Anak Kera Belira Sakti, Pak Chu menyelitkan elemen lawak jenaka dan mengurangkan sedikit kepekatan bahasa Kelantan supaya difahami oleh penonton.

"Itu yang saya maksudkan, menjadi tok dalang bukanlah satu perkara yang senang, masih banyak yang perlu dipelajari," selorohnya.

Alat muzik yang digunakan dalam wayang kulit ialah gong, serunai dan gendang.

Angin Wayang Dalang Cina merupakan persembahan dan bengkel wayang kulit bersama Pak Chu yang dianjurkan oleh Pusat Seni Pentas Tradisional (Putra) Aswara.

'Angin' bermaksudkan jiwa seni Pak Chu dalam mempersembahkan cerita-cerita wayang kulitnya kepada penonton. Kali ini, penontonnya adalah para pelajar Aswara.

Wayang kulit merupakan satu bentuk teater tradisional yang menggunakan prinsip pencahayaan dan bayang-bayang. Pak Chu membawakan kisah Anak Kera Belira Sakti yang merupakan salah satu hikayat daripada Epik Ramayana.

Dalam cerita tersebut, terdapat tujuh babak yang dipersembahkan. Pada babak pertama dimulakan dengan lima orang pengasuh yang telah diperintah oleh raja Seri Rama untuk datang menghadapnya. Seri Rama gusar kerana anaknya, Tuan Kecik Raden Lakpeleman telah hilang apatah lagi sayu melihat seorang lagi anaknya, Tuan Kecik Raden Arjuna merindui adiknya. Tuan Kecik Raden Arjuna tidak lalu makan dan tidur kerana begitu sedih melihat nasib menimpa adiknya. Oleh itu, Seri Rama memutuskan supaya pengasuh-pengasuh itu menemani Tuan Kecik Raden Arjuna untuk mencari Tuan Kecik Raden Lakpeleman. Dalam perjalanan mencari Tuan Kecik Raden Lakpeleman, mereka bertembung dengan angkatan raja kerajaan Bendera Kuning yang mencari sesiapa dapat menewaskan Bapa Gergasi Agong. Hal ini kerana Bapa Gergasi Agong telah menculik Puteri Cempaka Waling dan sesiapa berjaya menyelamatkan tuan puteri, dialah yang bakal mengahwini puteri itu. Tuan Kecik Raden Arjuna dengan sukarelanya menawarkan diri. Selepas berdepan dengan Bapa Gergasi Agong, Tuan Kecik Raden Arjuna bertarung nyawa membunuh gergasi itu. Akhirnya dia berjaya menewaskan gergasi menggunakan panah naga bersakti. Dia membawa pulang tuan puteri untuk menghadap ayahandanya, Seri Rama.

Sesi apresiasi para pelajar bersama Pak Chu
Namun, Seri Rama begitu bengang kerana tujuan asal Tuan Kecik Raden Arjuna untuk mencari adiknya telah menyimpang. Maka, berlakunya pertelingkahan dalam keluarga tersebut. Dalam pada itu, salah seorang pengasuh dikenali sebagai Pak Dogol mendapat berita bahawa Tuan Kecik Raden Lakpeleman diculik oleh Anak Kera Belira Sakti. Anak Kera Belira Sakti mempunyai agenda jahat iaitu menculik seramai 40 anak-anak raja supaya dia mendapat semula kuasa dan ingin menghancurkan dunia. Tanpa berlengahkan masa, Pak Dogol yang juga merupakan seorang pahlawan bertindak memusnahkan Anak Kera Belira Sakti.

Walaupun kisah tersebut mempunyai elemen lawak jenaka seperti penggunaan bahasa-bahasa asing seperti good morning dan sawadikap, jalan cerita itu penuh mendebarkan.

Sementara itu, tok dalang muda di Aswara, Kamarul Baisah Hussin, 32, mengatakan karier sebagai seorang tok dalang memang mencabar.

"Kita mungkin rasa dah bersedia tetapi hakikatnya tok guru yang menilai persembahan kita mengatakan masih banyak yang perlu diperbaiki. Terutama sekali dari segi vokal suara," katanya.

Terdapat banyak teknik-teknik yang perlu diterokai seperti penggubah suara menggunakan lidah. Contohnya, jika kita menggulung lidah dan meletakkannya atas lelangit, suara yang dihasilkan berbeza.

"Tiada manusia yang tidak pernah melakukan kesilapan dan sebagai tok dalang kadang-kadang akan tersasul. Jika perkara tersebut berlaku, kita akan teruskan babak seterusnya atau menyelitkan lawak jenaka seperti yang Pak Chu katakan, improvasi persembahan," jelasnya.

Sementara itu, salah seorang pelajar Aswara berasal dari Sabah, Jusalin Osman (umur) begitu teruja menyaksikan persembahan wayang kulit itu.

"Ini pengalaman saya buat pertama kali dan ia sangat mengagumkan. Saya suka babak-babak melucukan apabila pengasuh-pengasuh bertutur dalam bahasa Inggeris.

"Ada juga babak yang tidak faham kerana penggunaan bahasa Kelantan tetapi ia sangat menyeronokkan," katanya.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3l0fUOELe

Hakcipta terpelihara

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...