Jom Kita Jadi Geng

Thursday, December 21, 2006

KESUMA 20 DIS 06

Hari ini tumpuan lebih kepada upacara konvokesyen. Latihan Kesuma hanya di ambil daripada waktu senggang daripada latihan konvo. Team Kesuma tetap berusaha mencuri waktu demi mendapatkan kualiti yang baik untuk persembahan. Jam 2.00 petang Kak Ros dan Joseph menggabungkan pelakon dan korus serta kumpulan muzik tradisional. Saya tiada kesempatan melihat latihan kerana menumpukan kepada teks MC Konvo dan persiapannya. apabilan malam jam 8.00 malam, saya dan Kema mengambil latihan, nyatanya jam 8.30 latihan belum dapat dimulakan, sementara menunggu saya perhatikan Ajude (SM Muzik) sedang berlatih dengan Ashaniza(penyanyi latar) untuk lagu-lagu dalam kesuma. Tanpa jurulatih mereka tekun membaca notasi gubahan lagu-lagu itu. Saya puji sikap Ajude yang mengatur masanya untuk membaiki dan mendapatkan kebaikan kepada kerjanya. Saya tetap sabarkan diri mungkin mereka memandang mudah apabila bekerja dengan saya dan kema.
Tetapi sebenarnya beginilah sikap kita pelakon teater Melayu atau mungkin sikap kita orang Malaysia, apabila tidak bengkeng maka tak takut dan tak endah dengan disiplin padahal aspek itu sebenarnya mengganggu produksi khususnya pembaziran masa dan tenaga mereka yang menunggu apatah lagi jika yang tidak mengendah itu belum tentu bagusnya bila bermain. Sherry pun dah gundah dengan disiplin pelakon, katanya "Bukan Chekem saja mereka macam ni, Kak Ros pun kena tunggu" Kalau begitu memang mereka bermasalah. Latihan dimulakan ketika jam sudah menunjukkan hampir jam 9.oo malam. Saya tidak menyergah atau membentak kerana saya tahu saya akan mengambil masa untuk berleter sahaja jadi saya teruskan latihan dengan memperincikan lakonan tanpa mengubah block-block yang ditetapkan oleh
pengarah. apa yang yang tekankan adalah lebih kepada binaan tempo, dinamik, momentum, motivasi, intension dan asas-asas dalam lakon. saya tidak menafikan ramai pelakon di dalam produksi ini masih mentah dan asas lagi gaya lakonnya. maka hal itulah perlu saya rawat agar ia tidak ketara di dalam babak dan membantu kerja pengarah di dalam merangkai cerita. Apabila saya dekati lakonan mereka nyatanya mereka lemah, gambaran pertama yang mereka dapat itu yang diberi tanpa cubaan-cubaan lain, Hazwan datang kepada saya dan meminta pandangan tentang apa yang sepatutnya dia lakukan untuk tidak kelihatan seperti seorang gangster yang tipikal sifatnya atau salah gesturenya. Berat juga, saya cuba tetapi ia bukan kerja satu hari. Apa yang boleh saya beri pada hari ini adalah pemahaman kepada sifat ruang, adegan dan situasi itu. Memang ada kerumitan di dalam membentuk Hazwan, dia seolah mengunci fizikalnya maka itulah jadinya. Malam ini sempat kami merawat 2-3 adegan yang melibatkan Burn dan rakan, jack dan rakan dan ibu Kesuma. Di akhir latihan saya mengulas tentang pentingnya masa apabila latihan poket kerana ia lebih terperinci dan berulang dan menuntut masa yang lebih. Saya minta mereka memegang kepada apa yang diperolehi bukanlah kepada cara atau gaya atau aturan yang saya aturkan tetapi memegang kepada inspirasi dari cerita di dalam adegan itu.

SIRIH PULANG KE GAGANG

Seawal pagi, kampus ASWARA seperti ada majlis perhimpunan alumni, ada yang berpelukan gembira berbual mesra, ada yang datang dengan gaya berbeza, ada yang lebih matang percakapannya. Mereka seolah-olah seperti berada di dalam satu majlis ramah mesra atau perhimpunan anak-anak rantau. Hari ini seperti acara 'Sirih pulang ke gagang' , mereka bertanya khabar, ada yang mempamerkan gaya yang ekonomi malah ada yang bergaya ekslusif. Itulah anak-anak kelahiran ASK dahulunyan kini kita menyebutnya sebagai lulusan ASWARA. Di wajah mereka terpancar kegembiraan, kegembiraan bukan kerana mereka kini tamat pengajian tetapi riak mereka menggambarkan mereka berada di kampung halaman. Negeri yang mendewasa dan mematangkan mereka - ASK!
Hari ini adalah raptai penuh konvokesyen melibatkan bakal lulusan ASWARA, kumpulan muzik, persembahan tarian dan semua elemen di dalam sebuah upacara konvokesyen. ASWARA seperti berhari raya. Di tangan mereka digendong sebungkus plastik berisi jubah konvokesyen. Nyatanya rasa bangga itu ada di hati mereka. Saya yang mengamati mereka dan pernah melalui saat indah seperti itu, cukup terharu dan melayan sahaja kegembiraan mereka. Namun ada jua wajah-wajah yang amat mesra dan rapat dengan ASWARA walaupun telah tamat pengajiannya.
Di semua sudut di kampus ini, ada sahaja orang bekerja. Dari memasang khemah, mencucuk bunga menghias dewan sehinggalah kepada kerja mencuci setiap lantai dan mengetip mesej-mesej kecil. Meriah sekali, itu sahaja gambarannya. Namun kemeriahan itu tidaklah seperti besarnya sebuah konvokesyen sepertimana di kampus universiti ulung seperti UM atau lain IPT, tetapi cukup untuk sebuah kampus dan sebuah sekolah kecil yang unik sifatnya ini.
Pada upacara ini, saya bertugas sebagai pengurus pentas/floor manager yang perlu memastikan kelancaran upacara. Namun keutamaan latihan hari bukan sekadar kelancaran upacara tetapi kerumitan lebih terserlah untuk menyusun atur, memberi penerangan, melatih cara ke pentas dan mendapatkan que yang betul bagi setiap pergerakan. Aduh rumit sekali untuk 'merajakan' para lulusan ini. Awal pagi lagi saya perlu memastikan biduanda, pembawa diploma, MC, pembaca doa berada di sekitar saya. Selesai raptai, bakal graduan masih sibuk mendapatkan jubah konvo dan semestinya bertemu muka denagn rakan, ya lah macam-macam dah jadi daripada seorang penari, pemuzik, pelajar ijazah, pegawai, usahawan sehinggalah seorang inspektor polis. Bila saya renungkan luas sekali skop kerja yang dilangkaui oleh lulusan ASWARA ini.
Petang Jam 4.00, En Omar mahu melihat persembahan muzik dan tarian. Joseph tentunya sibuk menyusun penari, Kak Ros membantu semua aspek, Cik Eyjah 'upacara leader' lagilah sibuk, En Mod tenang dan bergaya dan di kesempatan itu juga beberapa pindaan terakhir dibuat demi memastikan keindahan esok hari. Apapun saya ucapkan TAHNIAH DAN SELAMAT BERGAYA UNTUK KONVO!

Wednesday, December 20, 2006

KESUMA 19 DIS 06

Kak Ros berbeza malam ini, ketika mengulas setelah selesai latihan. Katanya bagus! ada peningkatan cuma pelakon perlu peka dan menjaga kesinambungan emosi dan aksi antara babak ke babak. Memang betul kerana ia begitu penting di dalam merangkai dan membina graf cerita. apatah lagi sebuah muzikal yang akan terputus-putus dengan lagu dan ianya amat merbahaya sekiranya pelakon gagal menyatukannya menjadi satu arus cerita yang tidak 'jerking'. Malam ini juga, Kak Ros menetap dan memberi gambaran mengenai latar ruang dan masa agar pelakon peka dengan aksi ketika dan di mana mereka berlakun. Sebenarnya hal ini adalah asas bagi seorang mengenal lakon dan ianya tidak boleh diasingkan daripada interpretasi. Tetapi dengan pelakon yang muda-muda begini saya pun jadi 'curious' dan takut dengan tafsiran mereka. Apakah mereka ada tafsiran dan pemahaman sendiri? Semasa latihan tadi pun, Kak Ros tidak banyak menegur cuma ada sekali dua hentakan tangannya apabila pelakon tak jaga tempo atau blocking salah. Malam ini, latihan disertakan dengan pemuzik tradisional jadi babak/adegan Ismail tidaklah sunyi. Kerja Kak Ros menetap dan memasukkan iringan muzik rebab dan tradisional dalam babak nampak teratur dan jelas. Sambil itu juga, Kak Ros menerangkan agar pelakon faham mengapa terdapat beberapa adegan ada elemen atau aksi tidak natural ditetapkan contohnya semasa adegan Ismail masuk dengan lagu 'Mencari Putera' dan Rakan Burn membentuk bulatan kecil dalam keadaan duduk, itu kerana untuk menyuntik elemen teater tradisional dan kerana muzikal ini asimilasi moden dan tradisional maka bentuk-bentuk itu harus kelihatan dan dimesrakan supaya ianya tidak kelihatan tiada keseimbangan. Saya bersetuju dengan pilihan Kak Ros.Joseph yang sepanjang latihan pada malam ini lebih banyak memerhati dan sepanjang itu juga saya berada dalam kelompok Joseph dan Kema. Adakalanya kami melahirkan rasa kurang puashati dengan cara lakonan pelakon maka kami lakon dan melahirkan emosi di pinggir ruang lakon dengan usaha membincangkan cara dan interpretasi yang betul. Maka kerana itulah saya merasakan seolah-olah kami lebih lara daripada Ismail. Tetapi ia sangat tidak membosankan memerhati pembaharuan dan peningkatan pelakon cuma Joseph mengulas " Work a little bit and give more volume on singing".Pak Nasir mencadangkan agar muzik finale semasa pelakon di dalam arena di masukkan lagu 'berjalan-jalan' nyanyian Ismail. Esok Kesuma tiada latihan pagi kerana tumpuan kepada raptai konvo manakala sebelah malam Kak Ros dan Joseph tidak ada, oleh itu saya dan Kema akan mengambil latihan untuk pelakon karakter sahaja.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...