Jom Kita Jadi Geng

Thursday, July 17, 2014

AL-FATIHAH SHARIFAH AINI: SUMBER ILHAMKU


Biduanita negara Datuk Sharifah Aini dah pergi buat selama-lamanya. Tapi secara spiritualnya Allahyarham selalu hidup dalam jiwa dan ingatan orang yang membesar bersama lagu-lagu dan karya seninya. Memang ayat itu bunyi sangat klise dan selalu ditulis orang, namun apalagi yang boleh saya katakan mengenai anak seni yang hebat ini. Bukan setahun dua sumbangannya dalam seni hiburan tanahair malah lebih dari usia saya yang sudah lebih 40 tahun ini. Bayangkan betapa luas dan lebarnya penjelajahan Sharifah Aini dalam dunia seni Malaysia. Tidak hairanlah, Sharifah Aini bukan hanya disanjung oleh orang Melayu sahaja malah bangsa-bangsa lain juga. 45 tahun dalam bidang seni dengan jumlah penghasilan album melebihi 100 buah dan beribu persembahan, ternyata pencapaian Sharifah Aini sukar ditandingi.

Saya dilahirkan pada tahun 1971, tahun di mana Sharifah Aini baru setahun dua menapak dalam bidang seni suara. Waktu itu namanya baru meniti di bibir namun tidaklah segah nama Biduanita Saloma. Dalam tempoh beberapa tahun selepas itu, Sharifah Aini benar-benar memberi impak kepada industri seni. beliau mencipta fenomena dan berada di carta tertinggi dalam kalangan penyanyi dan pelakon tanahair. Statusnya sangat istimewa bukan kerana kecantikan atau gayanya di majalah tetapi kerana kehebatan suara dan ketelitiannya dalam berkarya. Anak didik Allahyarham Kassim Masdor ini mula diangkat sebagai penyanyi terbaik tanahair di sekitar tahun-tahun 1976-1979. Di mana pada waktu itu saya sudah memahami dan mengenali nama dan wajahnya. Radio tidak boleh tidak menyiarkan lagu-lagunya. Bersilih rancangan, lagunya sering berkumandang bahkan rancangan televisyen juga menjadi istimewa apabila Sharifah Aini muncul di TV. Rancangan khas seperti hari raya atau tahun baru tidak lengkap tanpa Sharifah Aini. Beliau seperti bintang paling bersinar di dada malam. Saya masih ingat, sewaktu siaran langsung Pelancaran TV Warna, Sharifah Aini adalah antara artis yang membarisi persembahan istimewa itu. Malam itu hampir semua penyanyi tersohor tampil di TV. Dan tentu sekali kemunculan Sharifah Aini ditunggu-tunggu. Seingat saya, beliau mendendangkan lagu Teratai.


Sebagai budak kecil, imej-imej penyanyi dan pelakon di TV sangat mempengaruhi malah memupuk anganan saya. Tambahan lagi, saban malam sebelum tidur kakak saya yang sulung akan mengalunkan lagu-lagu Sharifah Aini, Uji Rashid dan Rafeah Buang. Waktu itu memang ia sudah melekat difikiran saya. Rumah kami tidak punya peti televisyen, kami hanya punya sebuah radio kecil menggunakan tenaga bateri. Letrik pun belum ada, hanya pelita dan lampu gasolin sahaja yang menerangi amalam kami. Jadi nyanyian kakak saya adalah hiburan percuma yang saya dapat. Kakak akan menyanyikan lagu Sharifah Aini di bilik ataupun di dapur. Sesekali kami akan berlari ke rumah jiran apabila ada rancangan kesukaan ditayangkan. Jika nasib baik dapatlah kami menumpang tengok, kadangkala belum sempat selipar kami ditanggalkan di tangga jira, sudah bunyi tingkap dan televisyen dipadamkan. Tandanya kami ini mengganggu. Sehinggalah kami punya peti TV sendiri pada tahun 1982 dengan menggunakan tenaga bateri kereta, Dalam seminggu kami perlu caskan satu atau dua kali. Sekurang-kurangnya kami tidak mengganggu jiran. Waktu itu, Sharifah Aini sudah sangat eksklusif, tidak selalu muncul di TV. Hanya bila dia menjadi hos atau rancangan istimewa sahaja. Apatah lagi semasa itu hanya rangkaian RTM1 dan RTM2 sahaja.

Beberapa filem lakonan Kak Pah menjadi ikutan saya dan paling mengesankan ialah Hapuslah Airmatamu. Filem itu seperti kisah Si Tanggang dan sedikit sebanyak berkait dengan kehidupan Sharifah Aini sebagai penyanyi. Bagi saya Kak Pah berjaya melakonkan watak dengan baik, tidak kaku dan dialognya betul pada 'intention'nya. Jika nak dibandingkan dengan pelakon-pelakon sezaman dengannya, dia memang berbakat besar. Lain-lain lakonannya ialah Sumber Ilhamku, Bintang Pujaan, Diva Popular dan terakhir Penanggal. Penampilan Kak Pah dalam Penanggal sangat tepat sebagai wanita berketurunan arab. Walaupun bakatnya sebagai pelakon terserlah dengan baik tapi saya kira kecintaannya terhadap seni suara lebih besar. Lakonan sekadar meluaskan kebolehannya. Bercakap pasal filem-filem Melayu, banyak juga filem menggunakan suara Kak Pah sebagai penyanyi lagu latar. 

Jika mau dihitung penglibatan Kak Pah rasanya tidak cukup untuk ditulis, tempoh yang panjang beliau dalam industri telah menempa sejarah dan memberi sumbangan besar dalam pembangunan kesenian. Saya pasti setiap dari kita apabila menyebut nama Sharifah Aini, yang kita boleh katakan adalah kehebatan beliau sebagai penyanyi yang melangkaui trend dan zaman. Sewaktu eranya masih berlenggok pop yeh yeh dan langgam, beliau sudah memacu hebat dengan lontaran suara dan artikulasi yang baik. Patah sebutannya sukar ditandingi. Dengar saja lagu Kudaku Lari, walau ia lagu lama tapi bila Kak Pah yang nyanyikan, nyata lagu itu miliknya. Jatuh bangun Kak Pah dalam kehidupan benar-benar menunjukkan beliau seorang insan. Insan tulen yang memperbaiki kehidupan melalui bakat dan kebijaksanaannya. Kesusahan waktu kecil membentuk dirinya menjadi orang yang kuat, membina nama dan jenama sehingga menjadi milik Malaysia. Beliau sebenarnya cermin anak seni sewajarnya, meletakkan maruah yang tinggi, pekerti yang baik, dihormati dan disanjungi masyarakat bersilih generasi.

Al-fatihah Sharifah Aini, 7 Ramadhan 1435 di usia 61 tahun. Amanlah perjalananmu.

Saturday, June 28, 2014

SANDERA : CARA SAYA MENJADI BUSAD



'Timing' sangat bagus, seminggu sebelum puasa tiba. Sandera melabuhkan tirai persembahannya pada 23 Jun 2014 yang lalu selepas memulakan pementasannya pada 19 Jun. Jika diikutkan pementasan untuk khalayak awam adalah pada 22 Jun kerana 23 Jun adalah pementasan khas untuk warga Dewan Bahasa dan Pustaka. Persembahan selama empat malam itu dilangsungkan di Auditorium DBP yang mana saya kurang arif untuk menyebut jumlah kehadiran penonton ataupun kapasiti yang boleh memuatkan penonton. Apa yang pasti saya kira setiap malam sambutannya sederhana.

Saya ditawarkan bermain Sandera oleh pengarahnya A.Wahab Hamzah di hujung April lalu di mana ketika itu, saya sudahpun bersetuju untuk menjayakan pementasan teater sebabak 'Dia Panggil Abang (DPA)' arahan Sakrani Samsuddin. Memang ikutkan hati saya tidak mahu bebankan kepala dan fizikal saya dengan dua naskhah yang memang jelas berbeza sekali keperluannya. Dalam DPA saya memainkan peranan utama sebagai Pak Mustar yang saya kira berat daripada segi dialog-dialognya. Dan memang ia juga menuntut latihan dan keintiman antara pelakon. Saya harus segera membina 'chemistry' dan nasib baik saya berpasangan dengan Ain Sufia yang banyak memberi dan membantu saya. Jadi bila Wahab Hamzah dan saya berbincang mengenai naskhah Sandera dan watak yang akan saya mainkan, saya tidak mampu untuk menolak. Sudah lama saya mencari naskhah berat di pentas teater. Selama bermain teater sejak 10 tahun kebelakangan ini, saya banyak terlibat dalam muzikal dan teater tradisional. Jadi Sandera seperti makanan yang sudah lama tidak saya nikmati. Jadi saya terima watak Busad selaku teraju utama dalam Sandera. 

Ya, memang ia kerja gila. Bermain dua watak utama dalam dua teater dalam tempoh sebulan. DPA dipentaskan pada 30 Mei-1 Jun 2014. Saya cuba mencabar diri saya untuk bekerja secara total ke atas dua naskhah ini. Saya pecahkan diri saya mengikut ruang waktu. Memang ia agak keliru dan menyesakkan apatah lagi dengan tugas hakiki saya di ASWARA. Saya cuma ada waktu antara jam 5.30 petang hingga 12 malam untuk latihan bagi kedua-dua naskhah. Bunyinya seperti tidak serius, masakan aktor pentas bekerja dengan dua skrip dalam satu masa. Sesungguhnya saya serius dengan kerja ini. 

Wahab Hamzah banyak membantu saya memahamkan Sandera. Memang Sandera bukan naskhah mudah kerana ia berdasarkan novel penting Malaysia karya Sasterawan Negara Arenawati. Sandera menyelusur sejarah perjuangan bangsa Melayu di nusantara. Saya akui semasa membaca skrip Sandera adaptasi oleh Wahab Hamzah, saya belum pernah membaca Sandera. Saya hanya pernah membaca ulasan novel saja. Jadi saya tidak punya pemahaman yang cukup untuk Sandera. Berulang kali saya membaca skrip tapi berulang kali itu jugalah pertanyaan demi pertanyaan muncul. Saya tidak jelas dan tidak dapat menyelami perwatakan Busad apatah lagi watak-watak lain. Bila Wahab Hamzah cuba menerangkan plot dan sebab musabab ceritanya, saya jadi marah dan kecewa. Kenapa saya kecewa? Kerana saya rasa tidak adil, mana mungkin saya bermain sesuatu watak hanya berdasarkan penerangan dari orang lain. Setiap perkataan itu memberi tafsiran berbeza. Saya hilang dalam menterjemah dialog-dialog itu.

Saya tidak marah pada Wahab Hamzah, memang beliau menulis dan mengangkat 17 babak dari novel yang berkisah sepanjang 30 tahun. Itu satu rentetan peristiwa yang sangat panjang. Wahab sudah seboleh mungkin merangkai inti cerita dan mengambil hasrat sebenar Pak Arena dalam Sandera. Saya fahami itu. Tapi saya sebagai pelakon yang mahu mainkan watak yang nyata latar dan aliran perwatakan dalam skrip sangat kabur, sungguh menakutkan saya. Pengalaman saya bermain beberapa watak, saya selalu melihat latar watak itu dan semahunya saya akan mendekati watak itu. Jadi hampir sebulan saya terkial-kial dengan Busad. Mencari hal-hal melibatkan psikologi-sosiologinya. Memang Wahab ada membantu saya, tapi saya anggap tidak cukup apatah lagi bila dalam monolog Busad ada bercerita tentang beberapa peristiwa dan watak. Bila saya lafazkan, saya rasa kering, tiada jiwa dan langsung tidak memberi nyawa. Malah saya sendiri rasa tidak percaya dengan apa yang saya ceritakan. 

Dalam 17 babak, watak Busad muncul dalam tujuh babak dan perwatakan Busad juga diceritakan oleh watak-watak lain. Masa awal-awal membacanya saya sudah mengesan bahawa karakter Busad cukup tawar, mendatar, tiada luahan emosi. Bebarapa babak yang melibatkan Busad dengan watak lain, Busad terlalu berdiplomasi kerana itulah juga keperibadiannya. Babak-babak itu langsung tidak menampakkan Busad sebagai orang yang melalui pengalaman hidup yang getir. Busad lebih banyak bercerita tentang ideologi perjuangan. Memang cara penulisan dialognya boleh dirasa ketenangan dan kebijaksanaan Busad mengawal emosinya. Jadi bilakah sebenarnya emosi Busad terserlah? Saya amati hanya dalam monolognya yang terpecah tiga. Bahagian inilah yang saya kira sangat berat. Beratnya kerana saya tidak menyelami teks Sandera dan hasrat asal pengarang. Saya tidak fahami konteks peristiwa dan watak. Lalu saya mula mencari ulasan, diskusi dan penulisan mengenai Sandera. Ada tapi tidak cukup. Sehinggalah saya terlintas untuk bertanyakan bapa mertua di kampung. Nasib saya baik, saya perolehi naskhah cetakan pertama Sandera. Bapa mertua poskan untuk saya. Alhamdulillah.

Bila novel itu saya baca, satu persatu imej muncul di hadapan saya. peristiwa dan gambaran watak yang dahulunya kabur kini memberi bentuk dan jiwa. Saya mula memahami apa yang diucapkan oleh Busad. Malah saya sudah boleh membezakan situasi dan mencairkan beberapa persoalan dan ketegangan yang saya bina sendiri dalam babak. Saya ingat soalan saya pada Wahab mengenai babak lapan, saya tidak faham akan pandangan dan duduk perwatakan saya kepada watak-watak yang sedang bercakap dengan Busad. Kerana dialog-dialognya seperti ada percanggahan tapi situasinya seperti mendengar sahaja. Novel membuka pemahaman saya. Begitu juga babak pertama bila Andang dan Sapiah datang tiba-tiba ke rumah dan mahu menyerah, awalnya saya tidak boleh terima kenapa Wahab minta Busad tunjukkan rasa persahabatan dengan Andang dan Sapiah sedangkan dialog-dialognya terasa seperti Busad sangsi dan 'reluctant'. Dan saya mula merasakan kesannya bila situasi itu saya rujuk pada novel. Memang betullah arahan Wahab itu, cuma saya yang terlalu percaya kepada naluri lakon sahaja. 


Kesan ketara yang mengubah cara lakon saya adalah babak-babak monolog. Dari pembacaan novel ia benar mengubah cara saya menzahirkan kata demi kata. Saya ingat waktu awal-awal saya bermonolog pada babak tujuh, langsung kosong. Kisah di laut Makassar dan kisah Jusuh dan Kalsom hanyalah andaian sahaja. Begitu juga tentang kisah ibu Busad, Sarriyah. Ia hanyalah andaian pada awalnya. Tapi bila saya hayati novel saya memahami cara Pak Arena melukis peristiwa Sarriyah diseksa oleh soldadu Belanda, ia memberi permaknaan lain buat saya. Saya terbawa-bawa dengan rasa benci dan dendam pada penjajahan. Derita ibu Sarriyah benar tergambar tiap kali dialog itu saya lafazkan. Monolog tentang kematian Andang sebenarnya tidak banyak dalam novel tetapi intipati novel yang menyingkap kisah 'unsung' heroes mendorong emosi saya di pentas. Kisah Busad dan Jubir memang dilukis dalam novel dan apabila dihubungkan dengan Andang, ia beri satu kesan kehilangan, kesan kasih, persahabatan dan bermacam rasa.


Proses ini sama semasa saya mainkan watak Tunku dalam 1957:Hati Malaya. Cuma Busad bukanlah watak wujud. Ia fiksyen. Semasa diberi watak Tunku saya cuma ada kurang sebulan sebelum ke lokasi. Saya hanya mendengar Shuhaimi bercerita dan menerangkan peristiwa di sebalik babak. dan nyata itu tidak mencukupi buat saya. Saya tidak puas hati lalu mendorong saya mendapatkan bahan arkib, video dan audio mengenai Tunku. Selain itu saya membaca apa sahaja buku berkenaan Tunku dari catatannya sendiri hinggalah catatan mereka yang pernah berada disekelilingnya. Begitu juga dengan buku-buku sejarah yang merakamkan sepanjang tempoh Tunku mendapat kemerdekaan. Dan saya mengambil inisiatif bertemu ahli keluarga Tunku. Bagi saya lingkungan dan memahami hal yang melatari watak itu sangat berguna. Dalah hal Busad, ia sedikit berbeza kerana Busad hanyalah watak rekaan yang dilahirkan oleh Arenawati. Yang menghalang saya adalah, banyak perkara yang diceritakan oleh Wahab membuatkan saya rasa bersalah. Pertanyaan dalam diri saya ialah 'Kenapa aku tak tahu ini?' pada setiap kali Wahab menerangkan situasi dan perwatakan. Saya bersoal dalam diri, 'kenapa Wahab saja yang tahu?'. 

Saya tidak pasti dengan rakan lakon yang lain. Saya tulis ini atas catatan peribadi dan proses yang saya lalui. Mungkin yang saya realisasikan dipentas tidak sama seperti yang saya catatkan. Atau mungkin ia sangat berbeza dengan apa yang dimaksudkan oleh Arenawati. Itu ada tafsiran peribadi saya. Saya percaya setiap pelakon, mereka punya cara berbeza untuk bermain. Ada orang langsung tidak mahu merujuk kepada novel asal kerana menganggap skrip adalah kerja kreatif yang berbeza. Mungkin ada juga yang meletakkan 100% kepada tafsiran dan kemahuan pengarah. Apapun apabila dipentas ia sudah jadi sebuah teater dan mediumnya sudah berbeza.

Memang saya akui banyak kekurangan yang saya sendiri dapat rasakan. Terutama dalam hal bertutur dalam slang Indonesia. Hal ini saya sungguh kecewa. Saya berasa tidak mencuba bersungguh-sungguh. Saya tersilap langkah kerana menumpukan kepada dialog dahulu sebelum pergi kepada melatih pertuturan loghat. Apatah lagi saya terjerat dengan status Busad yang asal Makassar lari dan berjuang di Tanah Melayu dan kemudiannya menjadi diplomat Indonesia. Status ini benar-benar menjerat saya. Akhirnya saya memilih cara penuturan mudah tanpa memberi penekanan khusus daripada segi air dan lenggok percakapan. Tumpuan saya lebih kepada sebutan vokal 'A' sahaja.

Saya kira teater Sandera banyak memberi pengalaman yang berguna buat saya. Bekerja dengan Badan Budaya DBP adalah peluang yang tidak ternilai. Badan Budaya DBP sudah terkenal sejak zaman Johan Jaafar dan Zakaria Ariffin lagi. Kini baru saya berpeluang bekerjasama. Sebagai pelakon saya cukup bertuah dapat sepentas dengan orang-orang hebat seperti Sabri Yunus, Sani Sudin, Bohari Ibrahim, Rosli Rahman Adam, Rasdi Daud, Badrol Hisham, Jamaluddin Osman dan Aris Othman. Malah lebih beruntung dapat berkongsi pengalaman dengan Mardiana Alwi, Eliza Mustapha, Razi Adnan, Afiq Ali, Ain Sufia, Rafiq, Along, Filzah dan ramai lagi. Mereka ini banyak memberi saya pelajaran yang berguna. Dan tentu sekali bekerja di bawah arahan A.Wahab Hamzah membawa saya kepada dimensi yang lain. 

Harap Badan Budaya DBP tidak serik dengan saya. 

Thursday, May 15, 2014

BILA ARTIS BERTUDUNG

diambil dari www.ilustrasiku.com
Saya tertarik dengan petikan akhbar Harakah yang ditulis di bawahnya 'sumber Sinar Harian'.  Bukanlah tajuk atau artikel yang sensasi pun. Ia sekadar cerita pelakon/penyanyi yang dulu tak bertudung dan sekarang dah bertudung. Yang menarik pada saya, kenapa sejak dua menjak ini soal rezeki orang bertudung sering diperkatakan terutama dalam kalangan artis wanita di Malaysia. Saya kira bertudung tiada kaitan dengan punca rezeki, ia berkaitan dengan hukum dan kesedaran individu. Rezeki itu datang dari punca mana kita bekerja dan berusaha untuk hidup. Saya kira artis yang baru bertudung, usahlah mengulas dan memberi komen soal rezeki makin kurang atau soal persepsi industri kepada mereka.

Dalam suasana yang memperjuangkan humanright ini, banyak perkara menjadi tak betul pada sesetengah pihak dan sebaliknya. Ia mengelirukan. Tapi pada masa yang sama kesedaran Islamik itu semakin meningkat sehingga kekeliruan antara Islamik dan 'trend' menjadi bolak balik. Bila mereka mengulas dan mengeluh akan nasib, akan keadaan industri yang kurang membuka ruang kepada imej baru mereka, saya kira ia juga membuka ruang kepada orang yang tidak berpihak kepada mereka. Dan selalu juga kita dengar orang berkata 'alah pakai tudung pun belum tentu baik', 'aku tak pakai tudung pun aku sembahyang tau'.

Tapi secara peribadi saya menyambut positif usaha artis wanita bertudung, memang banyak kongkongan dan kesulitan di dalam mencari ruang khususnya dalam bidang lakonan. Industri kita belum menerima dengan baik konsep drama Islamik. Konotasi nya bunyi berat. Jadi dalam suasana begini, inilah kelebihan yang perlu diambil oleh artis bertudung, mereka perlu berkreasi dengan mencari dan menghasilkan perkara baru yang sesuai dengan imej mereka, jangan bergantung harap kepada drama dan filem sahaja. Tetapi jangan pula menyanggupi kerja-kerja yang tidak mereka kuasai dengan baik. Pendeknya, ilmu dan kemahiran perlu diisi. Berbakat sahaja tak cukup hari ini.

Artis berhijrah yakin rezeki daripada Allah

HARAKAHDAILY | .
MUTAAKHIR ini, kalangan artis dan celebriti yang berhijrah mendalami agama Islam semakin ramai. Walaupun menghadapi cabaran akan hilang sebahagian mata pencarian, namun ada juga yang rezekinya makin melimpah ruah. Semua itu dihadapi dengan tabah oleh mereka demi kecintaan kepada agama.

“Rezeki saya masih ada dalam industri dan tawaran masih diterima. Namun, Kalau dulu, lakonan menjadi perkara utama, kini tidak lagi. Saya lebih mengutamakan kerja-kerja dakwah dan kebajikan terlebih dahulu. Ada tawaran yang diberi terpaksa ditolak atas kepadatan jadual. Selain itu, saya juga akan lebih 'selektif' untuk memilih jalan cerita dan watak, bersesuaian dengan imej saya kini.” ujar Yatt Hamzah.

"Kalau nak dibandingkan dengan dahulu, memang sekarang susah sikit nak cari makan dalam bidang lakonan. Tapi, saya anggap ianya sebagai rezeki dari Allah SWT. Jika saya tidak dipilih, itu maknanya bukan rezeki saya," jelas Lisdawati.

Tambah Lisda, kekurangan tawaran lakonan membuatkannya terpanggil untuk menerima tawaran dalam bidang motivasi dan ceramah bebas.

“Alhamdulillah, tawaran persembahan, berlakon dan mengacara masih banyak saya dapat. Syukur, setiap minggu saya akan dapat undangan persembahan di seluruh Malaysia." kata Siti Nordiana.

"Tawaran yang diterima masih sama seperti dahulu. Saya tidak rasa penghijrahan ini memberi masalah buat golongan artis seperti saya kerana ianya terpulang kepada rezeki masing-masing." terang Enot.

"Saya akui, sejak berhijrah, tawaran lakonan semakin berkurangan. Namun, saya memandangnya sebagai perkara positif dan menganggapnya sebagai satu ujian dari Allah SWT. Walaupun kurang tawaran, namun, saya masih terlibat dalam pengacaraan dan bidang penulisan buku." ulas Diana Amir.

Semoga mereka terus istiqamah dalam perjuangan sabar dalam mendepani apa-apa juga cabaran.

- Sumber: Sinar Harian

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...