Jom Kita Jadi Geng

Wednesday, January 10, 2007

KESUMA - MALAM KEEMPAT


Entah apalah yang menyerap masuk ke dalam jiwa kami yang bekerja di belakang tabir ini, daripada seorang pengarah, pengarah tari, pengurus produksi, penolong pengarah sehinggalah kepada petugas-petugas panggung. Kami sudah tidak boleh lagi bercakap secara normal, lagu dan emosi Kesuma seperti meresap. Joseph, saya dan Kema tidak kira bila dan masa ketika sepanjang berlangsung pementasan Kesuma, kami akan berlagu dan beremosi lebih daripada pemain di pentas apatah lagi bila lagu Pulanglah Kesuma dan Semangat Abadi dialun. Apakah ini dikatakan over passionate atau syok sendiri? Harapannya tidaklah! Saya rasa ini kerana ianya bertitik tolak atas keikhlasan untuk melihat kejayaan sebuah produksi dan nyatanya malam ini panggung masih dipenuhi dan saya perhatikan wajah-wajah yang sama yang seolah-olah tidak puas dengan apa yang mereka tontoni semalam.


Malam ini juga dihadiri oleh YBhg Dato' TKSU Mohamad Mohd Daud, Abg Joe (IB), Aminah Rhapor, Vaneeda dan Shidee, Abi (Harian metro) dan ramai lagi. Biasalah masing-masing ada pandangan dan persepsi yang berbeza tentang produksi ini dan apa yang penting Kesuma dilihat, ditonton, dihayati dan diperkatakan! BUKANKAH SESUATU YANG PELIK JIKA APA YANG KITA BUAT TIDAK DIENDAH ORANG? Ya, Nyatanya Kesuma disebut, dicaci, direndah, dipuji, diangkat, disuka dan mungkin dicemuh. walau apapun Kesuma adalah sebuah produksi yang ingin dilihat.



Saya tidak menafikan bahawa produksi ini tidak akan berjaya jika sekiranya tiada komitmen yang tinggi oleh ahli produksinya. Production department, Technical department dan dan performer bagai ranting dan daun yang mencambahkan bunga dan mengindahkan pokok Kesuma ini! Malam ini juga, dalam sesi ulasan persembahan Kak Ros memberi pujian kepada permainan pemain, En Ruslan memberi A* kepada nyanyian dan Joseph puas namun masih menagih kesempurnaan. Sebagai malam kedua terakhir, aturan untuk malam penutup adalah berbeza jadi semua krew dan cast diagihkan t-shirt Kesuma dan raptai curtain call akan diadakan pada jam 6.oo petang esok.



Jam 12.00 tengah malam lebih kurang, telefon saya berdering dan rupanya panggilan daripada Abg Joe. dia mengajak saya untuk turut sertanya di gerai Kopitiam Kg Baru. Setiba di sana, rupa-rupanya Aminah Rhapor, Vaneeda Imran, Rashidee Ishak dan beberapa orang lagi turut ada. Banyak hal yang dibincang tentang duania seni daripada dunia filem sehinggalah teater-teater kecil dan daripada klasifikasi hero sehinggallah masalah gender! Kompleks sungguh isunya walaupun diulas secara jenaka. Malek Nor pun datang semeja dan menyebut Yo Pet Pet....kami tak faham dan dia kata ada something yang dia tersalah sebut....rupanya yang dimaksudkan adalah Pop Yeh Yeh! Pecah hening pagi itu dengan gelak ketawa kami.
SEMESTER KEDUA 2006/07 BERMULA
Hari ini adalah hari pertama para pelajar ASWARA mendaftar untuk Semester Kedua bagi sesi 2006/07. Seperti bagaimana biasa di sana sini dapat dilihat betapa mereka mesra dan merindui rakan-rakan walaupun cuma berpisah hampir sebulan. Pendaftaran Jabatan bermula pada 2.00 petang. Biasalah pelajar, suka memilih waktu-waktu terakhir untuk mendaftar kursus yang akhirnya membuatkan suasana jadi kelam kelibut. Jabatan Teater akan memulakan kuliah pada minggu kedua kerana memberi peluang kepada pelajar untuk menyelesaikan urusan pendaftaran.

Sunday, January 7, 2007

KESUMA - MALAM KETIGA


Malam ini, seperti dijangka sambutan penonton tidaklah sehebat semalam. Mungkin faktor malamIsnin. Namun begitu, hampir separuh panggung dipenuhi dan Kesuma menerima kunjungan daripada para pelajar seni muzik dan TESL UiTM serta para pelajar seni persembahan UM. Malam ini juga dihadiri oleh KP ASWARA, En. Omar dan keluarga, Marlia & M.Nasir, Que Haidar dan Awal(Beat TV). Call time jam 3 sepatutnya dihadiri semua tetapi sebaliknya berlaku, mungkin dah leka dengan pujian semalam. Joseph mengeluh kerana khuatir akan penarinya. Dan memang ianya berlaku, malam ini persembahan pelakon khususnya korus tidak seperti semalam - energetic.

Malam ini mereka kurang menyengat, kurang bertenaga atau mungkin pengaruh jumlah penonton. Saya pun jadi hairan apabila di antara ahli produksi khususnya yang membuat persembahan tidak mempunyai 'understanding' yang sama kepada pementasan. Sama ada pemuzik merasakan mereka sekadar kumpulan latar maka mereka tidak perlu memberi komitmen kepada keperluan dan kerana itu mereka hanya masuk pentas pada 3hb Jan (2 hari sebelum pementasan)? Mungkin pelakon sahaja yang perlu memberi komitmen yang tinggi kerana mereka dilihat orang? Sangat tidak adil jika itu berlaku kerana sebuah muzika mewakili 3 elemen yang utama iaitu muzik, lakon dan tari.

Dan sangat tidak adil jika pelakon perlu berhempas pulas sejak September 2006 sedangkan pemuzik hanya masuk 3hb Jan dan masih terkial-kial denagan notanya. Sebenarnya hal ini bukanlah perkara baru yang saya hadapi. Saya pernah mengurus Kumpulan Budaya Negara (Istana Budaya) yang dianggotai oleh 85 orang penari dan 27 orang pemuzik (tradisional dan kombo). Memang begitulah sikap pemuzik - sukar bekerjasama, mereka lebih indiviualistik, banyak memikirkan peranan mereka sahaja, tidak melihat peranan mereka untuk sebuah produksi, kerana itulah mereka merasakan proses itu tidak penting dan esprit d'core itu tidak ada.


Bukanlah saya menidakkan mereka (pemuzik) yang berdisiplin atau bertanggungjawab kepada produksi namun rata-ratanya begitu. Pengalaman mengendalikan pemuzik selama 5 tahun yang disifatkan profesional cukup mematangkan saya akan sikap dan peel seorang pemuzik. Dan yang peritnya mereka selalu menuntut dibayar mengikut 'professional' nya mereka. Apatah lagi jika di dalam produksi Kesuma ini, sebahagian besar pemuziknya dianggotai oleh pelajar muzik yang belum menyerlah keprofessionalannya dan belum pun betul-betul memasuki industri. Dari mana mereka dapat dan dengan siapa mereka mengutip pengalaman sehingga mereka pun berpeel seperti pemuzik yang saya kendalikan dahulu? Bolehkah saya simpulkan bahawa MEMANG BEGITULAH CARA MEREKA! Tak taulah!

Dan nyatanya apabila sesi mengulas 'performance' hari ini, Joseph selaku Pengarah Tari meminta kerjasama pemuzik untuk mengadakan latihan pada jam 3 petang dan ditolak oleh pemuzik dan mereka mahu jam 6.00 petang. Saya tidak tahu kenapa jam 6 petang? tetapi yang saya tahu malam ini persembahan kurang bertenaga!

KESUMA - MALAM KEDUA


Hari ini 6hb Jan 2007, call time untuk semua adalah pada jam 3.00 petang dan semuanya akur untuk memastikan persembahan yang baik. 7.30 malam, Panggung suram macam tiada yang mahu datang menonton dan saya jadi resah sekali. Dalam kesibukan menyiapkan solekan untuk Ismail Raja Gondang sempat saya melayan mesej dan panggilan telefon yang bertanyakan tentang persembahan kesuma. Saya sempat bergurau dengan para pelakon, kata saya "yang mana muncul di segmen selepas intermission atau yang selesai scene, minta jadi penonton" nyatanya mereka terpinga-pinga kerana mengingatkan itu arahan. 7.45 malam, Amri selaku juruvokal mengambil semua cast untuk warm-up vokal. Sememangnya itulah keperluan kepada semua pelakon sama ada muzika atau teater biasa untuk memastikan mereka dalam keadaan bersedia dan stamina tidak menurun. Jam 8.00 malam, saya ke depan panggung dan melihat penonton semakin ramai jumlahnya, apatah lagi Ms Chee bisikkan kepada saya bahawa malam ini ada 3 bas yang akan menonton. Saya dan Joseph bersyukur kerana ada penonton dan sememangnya produksi ASWARA atau Istana Budaya sekalipun tidak terlalu memikirkan penonton berbayar tetapi lebih menggalakan pertumbuhan khalayak teater.
ET BANJIR MANUSIA

8.30 malam panggung sudah menampakkan tiada tempat duduk, isteri dan keluarga saya pun turut hadir. Hampir semua kerusi berisi. Saya jadi kaget dan resah kerana masih ada lagi di luar panggung sekelompok penonton yang tidak masuk dewan. Cik Eyjah, Cast dan produksi T-Pinkie pun turut hadir dan beberapa wajah popular turut hadir menyokong. Saya teringat kata-kata beberapa orang penonton (kenalan) yang memberi kata-kata yang agak dangkal atau remeh dengan produksi pelajar apatah lagi produksi ASWARA. Mereka menyindir "Patutkah persembahan ini berharga RM10", saya diam tidak membalas tapi saya berkata nanti masuk dan nilaikan kemudian (semasa intermission dia keluar dan berkata "ini sepatutnya bukan 10 tetapi lebih dan sepatutnya berada di IB" .
8.35malam, Kesuma belum dapat bermula kerana kesesakan di bahagian pintu masuk panggung. PANGGUNG DAH PENUH DAN YANG ADA CUMA DI TANGGA-TANGGA SAHAJA! Ada yang datang dari Temerloh dan ada yang datang dari Kota Kinabalu. Dari mana mereka semua ini? Siapa yang berkabar? Tuhan menolong produksi ini! Ya tuhan melihat usaha dan keperitan produksi ini, apatah lagi ia berjalan di tengah-tengah kesibukan acara popular. 8.40 malam Kesuma dimulakan dan sememangnya panggung padat, penyaman udara sudah tidak nyaman lagi....haba manusia yang teruja dengan KESUMA. SYABAS UNTUK SEMUA DALAM KESUMA.
TENAGA INI DATANG DARI LANGIT!

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...