Jom Kita Jadi Geng

Sunday, January 7, 2007

KESUMA - MALAM PERTAMA

Entah dari mana datangnya mereka dan siapa yang khabarkan, Panggung ET hampir melimpah. Semalam kami jadi gundah apabila memikirkan hal promosi dan publisiti Kesuma. Itu sebablah beberapa langkah segera diambil sama ada melalui sms, emel, kad jemputan, poskad diedarkan bagi memasyhurkan pementasan sulung ini. Jika tiada sambutan maka ianya amat memberi kesan kepada status sekolah seni ASWARA. Masalah promosi ini bukanlah masalah baru namun hampir berdekad sejak awal ASK, namun ia makin ketara kebelakangan ini dan ditambah lagi ianya seperti tiada strategi langsung untuk menjual produk hasil ASWARA. Alhamdulillah, jika sambutan ini adalah imbalan yang diberikan hasil kerja kuat kami demi kesuma. saya, Joseph dan kema seperti orang gila yang terlebih akal sebab taksub dengan persembahan Kesuma. Malam ini masalah teknikal masih ketara khususnya sistem bunyi yang mengganggu nyanyian pelakon dan muzik. Kak Ros apabila menutup pertemuan mengucapkan tahniah kepada pelakon kerana memberi impak yang berbeza walaupun belum cukup sedap intinya. Esok, call time pukul 3.00petang. Rata-ratanya, wajah yang keluar selepas menonton gembira, puas dan tidak mencari-mencari apa maksud cerita.

TIRAI KESUMA PUN DIBUKA.....

CERITA KESUMA
Kesuma bertitik tolak dari istilahnya jiwa, elok, pemuda, pemudi bangsa dan apa sahaja yang mengaitkannya dengan insan. Di dalam Kesuma, ia mengungkap kisah jiwa-jiwa manusia yang mengembara dan meneroka dalam mencari tujuan hidup yang berbeza di tengah Metropolitan Kuala Lumpur. Daripada kisah seorang lelaki lara , Ismail (Eijat) yang berkelana mencari anaknya yang dipercayai hilang. Ismail dipotretkan sebagai bekas seorang Peran dalam makyung yang menggunakan kemahirannya di dalam berjual ubat. Berjual ubat bukanlah tujuan utamanya. Yang dicari adalah anaknya, Husin (Shukor Ibrahim) yang hilang sejak bertahun lamanya. Akhirnya Ismail menerima hakikat bahawa anak yang dicari telah lama pergi dan terkorban semasa mempertahankan Negara. Kedegilannya untuk tidak mempercayai kematian anaknya telah melarakan hidupnya sehingga meninggalkan anak dan isteri. Pengembaraan Ismail telah menemukannya dengan sekelompok remaja yang zahirnya dilihat sebagai kutu tetapi mempunyai keperibadian yang tinggi. Jiwa remaja itu sebenarnya terisi dengan berpusat kepada rakan mereka yang memiliki sifat dan sikap berhemah, Burn (Sharip Zainal). Melalui Burn diperkenalkan watak-watak lain seperti Ben (Akmal Ayub), Linda (Sabihah Abdul Wahid) dan Kesuma (Mardiana Alwi). Kesuma adalah remaja yang racau jiwanya, dia berada bersama rakan Burn kerana ingin lari daripada kesepian dan kekontangan kasih sayang di rumah. Ibu (Zamzuriah Zahari) Kesuma mengabaikan tanggungjawab kerana sibuk dengan politik manakala Ayah (Hairi Safuan), bergelar Datuk Seri yang sibuk dengan perniagaannya, menjadikan Kesuma seorang remaja yang terkapai-kapai mencari kasih sayang. Konflik mula timbul apabila berlaku pergaduhan di antara Burn dan Jack (Salehuddin Abu Bakar). Jack menjadi suruhan kepada Ayah Kesuma supaya menjaga dan membawa Kesuma pulang. Namun kengganan Kesuma telah menyedarkan ibubapanya bahawa kebahagiaan adalah bukan wang ringgit semata tetapi kasih sayang. Jelasnya, Kesuma adalah sebuah teater yang mengungkap perjuangan hidup atau pengembaraan manusia dua generasi yang mendepani realiti.

TENAGA KREATIF
Tenaga kreatif yang menjadi tunjang kepada produksi ‘Kesuma’ adalah terdiri daripada kakitangan dan pensyarah di ASWARA yang memiliki pengalaman dan nama yang besar di dalam seni persembahan. Kesuma ditangani oleh Rosminah Tahir sebagai pengarah. Beliau memiliki pengalaman yang luas di dalam mengarah teater-teater seperti Lantai T-Pinkie, Muzika Hang Li Po, Bangsawan Tengku Anum (kesemuanya dipentaskan di istana Budaya), Anugerah, Cucu dan banyak lagi. Memiliki Ijazah Sarjana Seni Persembahan USM dan kini menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Teater ASWARA. Pengarah Tari ‘Kesuma’ ialah Joseph Gonzales, satu nama yang tidak asing lagi dalam bidang seni tari kontemporari dan juga merupakan Ketua Jabatan Tari ASWARA. Joseph memiliki pengalaman yang luas di dalam teater muzikal, beliau adalah bekas pelakon/penari tetap teater muzikal “The King and I” yang dipentaskan di West End London sekitar tahun 90-an dan beberapa buah teater muzikal yang dipentaskan di London di awal tahun-tahun 90an serta memiliki Ijazah Sarjana Koreografi dari Middlesex University, London. Pengarah Muzik ‘Kesuma’ diterajui oleh nama yang tidak asing dari persada muzik tanahair khususnya apabila disebut nama ‘Imam’. Beliau ialah Ruslan Mohd Imam yang merupakan penggubah dan pencipta lagu yang berpengalaman luas dalam pelbagai genre muzik klasikal, moden, tradisional, jazz dan sebagainya. Selain Ruslan Mohd Imam, beliau turut dibantu oleh Pak Nasir Yusof dan Kamrul Bahri Husin bagi muzik tradisional khususnya irama makyung. Juruvokal pula ditangani oleh Amri Mohd Zain yang mempunyai pengalaman luas di dalam melatih vokal khususnya bersama Syafinaz Selamat . Lain-lain tenaga kreatif adalah Hamzah Tahir sebagai Sinografer, Sharul Mizad (Pereka set), Rosman Ishak (Pereka Kostume), Juhara Ayub dan Eliza Mustapha(Rekaan tatarias), Nurul Hazirin Samsul Kamar (Pereka Props), Ce’Kem (Pengurus produksi/Penolong pengarah 2), Shariful Akma (Penolong pengarah 1), Shariffah Mariam (Penurus pentas) dan ramai lagi.
Skrip ‘Kesuma’ pada asalnya berjudul Kembara Raja Gondang ditulis oleh Zakaria Ariffin yang merupakan Ketua Jabatan Penulisan. Idea asal ‘Kesuma’ diilhamkan pada tahun 1986 dan disimpan sehinggalah ASWARA membongkarnya. Zakaria Ariffin adalah nama besar di dalaman penulisan dramatik dan merupakan Penerima Anugerah SEA Write Award tahun 2001. Antara skrip teater yang telah dihasilkan ialah Pentas Opera, Raja Lawak, Bangsawan Siti Zubaidah, Jangan Bunuh Sam dan banyak lagi.

Saturday, January 6, 2007

KESUMA 26 DIS - 4 JAN 2007

Sebenarnya banyak perkara yang berlaku sepanjang tempoh itu, apatah lagi hari-hari terakhir di tahun 2006 seolah menjadi minggu perayaan. Apabila dihitung, saya berasa persiapan pementasan Kesuma sedikit terganggu dengan cuti-cuti umum dan ia lebih parah apabila melibatkan hal-hal teknikal dan senireka pentas. Artis diberi cuti setelah hampir sebulan berhempas pulas menjalani latihan.
26 DIS 06
Hari ini Eijat dan Yem menyiapkan 'technical drawing' untuk set setelah ada perubahan pada 'cut out' dan propset tangga batu/ramp. Nampaknya set mempunyai sedikit masalah kerana sepatutnya 27hb 'bump-in' ke ET, mana tidaknya, bertukang pun belum lagi. Fazil (AS Printer) semalam menekan saya agar semua foto krew dan cast dihantar hari. Jadi, 25hb (Krismas) walaupun tak bekerja, saya masih pusing dan berbincang dengan sherry agar mengumpulkan semua krew, pemuzik dan tenaga kreatif untuk fotografi. Alhamdulillah, Louis (fotografer) pun beri kerjasama yang baik dan sesi yang bermula jam 2.00 petang berjalan dengan baik sekali.
Sebaik habis sesi fotografi, saya dangan Louis terus proses foto ke komputer untuk diberikan kepada Fazil. Nasib baik saya bekerja dengan Fazil yang faham dan biasa dengan budaya kerja orang ASWARA. Louis memang saya tidak nafikan sentiasa memberi mutu foto yang memuaskan. Fazil datang lebih kurang jam 8.oo malam ketika saya mengadap komputer. Edit teks dan tentukan nama dan foto. saya ingatkan sekejap sahaja, rupanya selesai hampir jam 3.00pagi dan 4.00pagi saya tiba di rumah.
dari kiri : Adika, Tomoe, Amirul, Hafiz dan Nurul Hazirin

dari kiri : Rosman, Juhara, Kema, Lizard, Ajude
27 DIS 06
Hari ini set tak masuk ET. Team Tomoe masuk dan buat hal-hal teknikal. Nampak gayanya kerja untuk senireka tertunda sehari. Yem dan teamnya sudah bekerja di bengkel dan memulakan kerja bertukangnya. saya tidak singgah di sana. Sherry dan Tomoe beberapa kali mengingatkan saya tentang masalah clip-mic dan movinghead. Saya pun dah naik stress dengan tekanan ini kerana saya berfikiran bahawa hal-hal teknikal ini sudah dibincang di dalam mesyuarat dan unit teknikal sudah maklum. Lebih tension bila Rajik yang 'in-charge' hal teknikal tiba-tiba bercuti balik ke Sabah dan akan mula kerja pada 3hb Jan 07. Oh my god! inilah masalah bekerja produksi di sekolah seni yang dianggotai oleh orang pejabat. Semuanya dipandang enteng dan tidak melihat kepada gerak kerja. Memang minggu ini betul-betul menguji kesabaran saya, apatah lagi ramai sangat yang mengambil cuti hujung tahun. Rosman minta bantuan saya untuk ikutnya dan kak Mun pergi membeli kostum. Saya ikut memandangkan Rosman memang memerlukan pandangan dan mata kedua untuk kostumnya.

dari kiri : Sherry, Sam, Eliz,KakZah dan Afiq

Dari kiri: Ruslan, Ce'Kem, Joseph, Kak Ros, Che Zack
28 DIS 06
Saya merancang untuk mula bercuti balik ke kampung sempena Raya Haji. Niat saya untuk balik ke Kelantan. Hari inilah! Tapi gayanya seperti tiada chance untuk saya mula bercuti apabila kerja-kerja Kesuma belum beres khususnya yang menyangkut hal teknikal. Di ET set belum masuk lagi dan kerja teknikal pun macam lengang aje. Team Yem sedang tekun di bengkel. Mesyuarat Post Mortem 'Preview Kesuma' diadakan pada jam 11.00 pagi.
Pelakon : Korus
Che Zak, joseph dan semua team kreatif kecuali muzik ada hadir. Agak effektif mesyuarat ini kerana ia membantu kelemahan yang terlihat di dalam pementasan itu. Che Zack dengan terbuka hati mencadangkan agar merubah plot dan memasukkan satu dua adegan bagi menjelaskan kesengsaraan Ismail. Joseph pula menambah akan perlunya lagu tema diulang-ulang iramanya agar menampakkan kepentingan lagu itu khususnya apabila memunculkan Husin. Joseph juga mencadangkan agar mekap untuk Husin tidak berdarah dan biarkan bersih bagi menunjukkan Semangat Roh orang berjuang. Saya mencadangkan untuk meningkatkan tempo dan momentum babak-babak selepas intermission supaya dipendekkan beberapa rangkap lagu dan memasukkan elemen rap/hiphop dalam lagu dikir barat bagi menggambarkan penerapan elemen baru anak muda. Selesai meeting, Kak Ros, Sherry, Kema dan Saya duduk semeja bagi melihat perubahan yang akan dibuat dan melihat daripada sudut kesinambungan cerita dan kesesuaian dengan skrip asal. Ada dua cadangan dan nampaknya kami sepakat dengan cadangan kedua. Petang itu, saya, Rosman dan Kak Mun masih lagi mencari dan membeli kostum untuk Kesuma. Dari ceruk kedai borong sehinggalah pusat beli belah kami jelajah untuk mencari dan mendapatkan kostum yang sesuai. Tetapi belum tentu Kak Ros suka!!!
dari kiri : krew pentas, team make-up, team kostum
dari kiri :Team FOH, Team Teknikal, Team Muzik
29 DIS 06
Jam 4.00 pagi Rosman SMS dan katanya "Ayah saya baru sekejap telah meninggal dunia, saya balik pagi ini". Innalillah....... Saya tertegun dan tak terkata. Lepas tu saya recall kejadian semalam. Semalam Rosman asyik bercerita tentang arwah ayahnya dan rupanya itu cerita terakhir sebelum Rosman pulang menatap wajah ayahnya buat kali terakhir. Besar sungguh dugaan KESUMA. Dalam kesedihan itu, Rosman tetap meninggalkan pesan dan harap saya dan Juhara dapat menyudahkan pembelian kostum. Jam 3.00 petang Kak Mun datang dan kami ke Mid Valley untuk mencari imej yang sesuai. Balkis pun dah balik Melaka sebab cuci rumahnya yang ditenggelami banjir. Niat untuk balik Kelantan terus hilang dari fikiran saya . Esok saya putuskan untuk pulang ke Penang. Saya ingatkan Sherry tentang keperluan teknikal dan ruang ET. Nasib baik Sherry kat KL.

30 DIS 06- 1JAN 07
saya pulang ke Kepala Batas, Pulau Pinang. Dalam kepala masih saya fikir bilakah pula masanya YEM siapkan set. Kerana pada tarikh ini, set belum masuk ET. 31 Dis 06- hari ini hari Raya Aidiladha. Seharian berhari raya di rumah sahaja. Orang-orang kampung Pak Lah sibuk berkorban dan hampir puluhan lembu dan 2 ekor unta dikorbankan. Di Masjid Kepala Batas yang jaraknya tidak sampai 1 km dari rumah mentua saya, ramai sekali yang bersembahyang dan TV3 pun turut buat rakaman untuk berita TV3. Saya sambut tahun baru di sini, Semoga tahun baru menjanjikan kebaikan.
2 JAN 07

Saya SMS kepada Sherry bahawa saya cuma dapat masuk latihan sebelah petang kerana bertolak dari Penang jam 9.00 pagi. Hari ini semua cast dan krew masuk untuk latihan. Set masih tak masuk ET. Saya dah risau dan saya meninjau kerja Yem, memang ianya banyak dan besar serta rumit kerjanya. Knowing Yem, dia memang detail dan terperinci dengan kerjanya. Di bengkel itu sudah menampakkan cantiknya set Kesuma. Malam ni, latihan macam kurang garamgula. Pelakon masih dalam mood cuti dan karakter mereka tersesat. Kak Ros masih memberi peluang cuma dia kurang puas hati dengan komitmen teknikal. Sherry mengingatkan pelakon dan krew bahawa patuh dan disiplin dangan call time. Muzik yang janjinya masuk hari ini pun tak masuk, apa ni?
3 JAN 07
Hari ini latihan makin pesat. Pemuzik masuk hari ini. Kak Ros nak latihan dengan kostum untuk melihat kesesuaian dengan teknikal. berbeza semalam, pelakon meningkat rentak mereka namun belum ke tahap memuaskan. Kak Ros dah hempas skrip - apa tanda tu? memang ada yang tak kena. Dia nampaknya tidak berpuashati dengan teknikal kerana set, lampu dan sound masih tak keruan. Set tak masuk-masuk lagi sejak hari sepatutnya! pelakon masih belum dapat bermain dengan set dan tentunya ia akan melibatkan perubahan blocking dan juga rentak lakon. Kak Ros nampak khuatir. Set akhirnya masuk ET pada jam 12.00 tengah malam.
4 JAN 07
Malam ini Full dress rehersal dan akhirnya dapat menghimpunkan semua aspek untuk Kesuma. Ada kekurangan di sana sini. Petang jam 3, Kak Ros masih melihat dan mengubah suai kostum. Kesuma sudah bersedia untuk dipentaskan. Harapannya adalah pada tenaga dan stamina pelakon dan pemuzik. Kami yang di belakang tabir sudah berusaha keras memastikan persembahan KESUMA.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...