Jom Kita Jadi Geng

Tuesday, October 20, 2009

JAMU 09...a feast for the senses


Fakulti Tari ASWARA bakal mementaskan persembahan tari kontemporari mulai 22-25 Okt 2009 di Panggung Eksperimen, ASWARA. Persembahan ini akan menggabungkan koreografer yang telah kukuh bertapak dan koreografer muda yang mula menapak di dalam seni persembahan tanahair. Antara pereka tari yang terlibat adalah Aris Kadir, Gan Chih Pei, Suhaimi Magi, Steve Goh, Vincent Tan, Suhaili Ahmad kamil, Joseph Gonzales dan beberapa anma lagi. Pada tahun ni, ASWARA menerima artist-in residence dari USA, Wendy Rogers dari University of California, Riverside.

Saya sempat menghadiri sidang media yang berlangsung pada minggu lepas, beberapa koreografi menarik telah dipetik dan dipersembahkan pada sidang tersebut. Gan Chih Pei mengungkap persoalan hidup sebelum 40 tahun, beliau menyelami rasa dan konflik bagi manusia sebelum mencecah usia 40 tahun, katanya sepi, sunyi, stress menguasai hidup wanita sepertinya. Manakala Aris Kadir cuba mengungkap sisi gelap dalam hidup alam rumahtangga. Kita pernah menyaksikan koreografi Aris berjudul Inai yang memenangi Best Koreografer dalam Boh Cameronian Award. Saya rasa koreografi Aris kali ini adalah bahagian kedua selepas Inai. Amat menarik jika sesekali kita dapat melihat bagaimana seorang lelaki muda yang belum berumahtangga menafsir kehidupan hitam di luar lingkungan peribadinya. Banyak lagi koreografi menarik pastinya!

Jadi jangan lepaskan peluang menonton Jamu 09 22-25 Okt 2009, tiket cuma RM dan RM5(pelajar). Waktu persembahan ialah 8.30 malam.

Thursday, October 15, 2009

CATATAN RAYA: WAN, MEK DAN SARIFAH

Tahun ini saya berkesempatan menziarahi pusara kedua ibubapa dan kakak saya serta datuk nenek dan sanak saudara yang bersemadi di Tanah perkuburan Pasir Mas, Jalan Lemal. Tahun-tahun yang lepas, saya cuma menziarahi mereka pada bulan Ramadhan memandangkan saya menyambut Aidilfitri di Kepala Batas. Menjadi beban yang besar buat saya bila pada tiap raya, saya tidak berpeluang menziarahi mereka. Entahlah susah nak gambarkan rasa itu.

Ini kubur arwah kakak saya, Sarifah bt Taib yang meninggal pada 30 Og0s 1997 di usia 32 tahun. Saya masih ingat pada malam pemergiannya...jam sekitar 8.20 malam di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Hampir 4 jam kami mencari dan menunggu kenderaan yang boleh membawa pulang jenazah ke Pasir Mas. Saya masih ingat detik 12.00 malam bandar Johor Bahru terang benderang dengan gemercikan bunga api... dan kami di perkarangan Johor bahru, sudah kering airmata mencari kenderaan untuk membawa jenazah pulang. saya masih ingat, saya terpaksa masuk ke rumah mayat hospital untuk mencari salah satu mayat kakak saya di antara mayat-mayat yang berbungkus dan bergelimpangan. Tidak akan saya lupa itu. Tidak kami tahu sebab sebanar kematian arwah, namun yang saya ingat, Sarifah sangat sihat sebelum menjalani pembedahan. Dan kata doktor, ia hanya pembedahan minor. Kami redho pemergiannya namun kami tidak memaafkan mereka yang membuat kesilapan dalam prosedur pembedahan itu.
Saat-saat kehilangan Sarifah menjadi detik-detik sukar dalam hidup saya. Tidak boleh menyebut atau bersuara pada nya. Tujuh langkah meninggalkan persemadiannya saya berlari dalam tangisan anak kecil.

Makam yang biru bersemadi kedua wan dan mek. Mereka pergi pada tahun sama, 2001. Wan pergi pada februari kerana menderita sakit tua dan barah tulang di usia 80 tahun. Keuzuran Wan memang jelas. dia banyak berbaring dan tidak mampu duduk atau berborak. Namun Wan seorang yang kuat, tergambar dengan jelas, cara Wan mengayuh basikal saban hari di hujung usianya. Dia pernah kata 'kalu tok gatih basika, lengoh tubuh'. Memangpun, kami adik beradik membesar dengan basikal. Wan tak pandai menunggang motorsikal malah memandu kereta. bukan tak pandai malah tidak mampu untuk memilikinya.
Arwah Mek pergi setelah 7 bulan mereka berpisah nyawa. Bulan September, Mek mengharungi detik-detik sukar melawan sakit barah paru-parunya. Saya masih ingat, sewaktu Wan bertarung nyawa, Mek menjadi orang yang kuat. Tidak setitik pun airmatanya gugur depan saya dan kami adik beradik. Kesepian dan kerinduannya tidak diluahkan. Namun jauh disudut hati, saya tahu, Mek dan Wan tidak boleh dipisahkan. Pernah Mek dibawa ke Kuala Lumpur sendirian dan secepat mungkin dia mahu pulang. Perselisihan antara mereka sering sahaja berlaku, namun itulah warna-warna hidup mereka dan kami anak-anaknya. Derita barah Mek mula dikenal apabila Mek menunjukkan kesan awal batuk-batuk tanpa henti dan badan lenguh-lenguh sewaktu berbaring. Kak Ju yang membawa Mek ke klinik Respirotori Kuala Lumpur mula mengesan sakit mek. Bulan Mac-April, penyakit Mek mula dikenal pasti. Dan saya masih ingat sewaktu doktor memberitahu akan sakit mek, saya menangis teresak-esak di bahu Ghazali. Sekali-sekala Mek bergilir tidur antara rumah saya dan rumah Ghazali. Dan memang saya tak mampu melihat cara Mek tidur. Mek tak mampu berbaring... mek tidur sambil duduk dan kepala ditampu oleh susunan bantal. Tak mampu saya teruskan
Kekesalan sering terbit difikiran , rasa berdosa kerana tidak betul-betul menghargai kehadiran mereka. Namun Allah lebih mengasihi... lebih mengetahui tiap jalan ketentuan hidup ini. Al-Fatihah. Semangat yang mereka tinggalkan akan kami teruskan.

Tuesday, October 6, 2009

AL-FATIHAH: GEMPA BUMI DI PADANG

Al-fatihah buat mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera Barat. Dalam sekelip mata ranap dan lenyap sebuah desa dan bandar. Saya melihat kejadian ini seumpama tsunami. Tidak tergambar dan terbayang ketakutan, kesakitan yang diharungi mangsa-mangsa. Saya pernah melawat kota Padang dan melintasi daerah Pariaman yang membawa saya ke Tasik maninjau dan kelok 40. Keindahan desa Pariaman di pinggir pantai masih terbayang-bayang di mata saya.

Apa khabar pak Afrizal, Pak Dhamir dan Pak Wisran. Apa khabar keluarga mereka semua. Semoga Allah melimpahi keselamatan ke atas mereka.
Kita di Malaysia walau menerima sedikit kesan daripada kejadian ini, amatlah bertuah kerana terhindar dari lingkaran bencana, dan semoga Allah memelihara tanahair kita dari malapetaka
ini.




Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...