Jom Kita Jadi Geng

Friday, September 21, 2007

AL-FATIHAH NURIN



Hari ini ibubapa adik Nurin telah mengesahkan bahawa mayat kanak-kanak yang ditemui di dalam beg sukan di depan sebuah kedai di PJ Utama adalah Nurin Jazlin Jaziman. Harapan saya jadi hancur dan luluh sama sekali, bila semalam ibubapa Nurin menafikan mayat itu anaknya dan merasakan bahawa Nurin masih hidup, saya pun turut melahirkan harapan untuk melihat mereka sekeluarga gembira dan menerima kepulangan Nurin. Namun hari ini semuanya terhenti serta merta. NURIN SUDAH TIADA!
Bagaimana tergamak seorang manusia itu menganiaya, mendera dan membunuh seorang kanak-kanak yang naif tentang dunia dan kehidupan ini? Bagaimana kesakitan yang ditempuh oleh Nurin sepanjang penyeksaan itu? Bagaimana pembunuh itu boleh melihat dan menipu seluruh dunia semasa kita semua mencari Nurin? Bagaimana Nurin nak meluah dan menyatakan kesakitannya sedangkan dia dalam ketakutan? bagaimana dan bagaimana? persoalan demi persoalan berlari-lari dalam kepala saya dan mendekatkan saya tentang keselamatan anak saya sendiri. Selamatkah mereka pada masa ini? Adakah orang yang saya beri kepercayaan itu boleh dipercayai? Adakalanya hati ini jadi jahat dan penuh curiga dengan orang sekeliling? dan adakalanya rasa itu dirasakan betul caranya bila kejadian menimpa Nurin ini berlaku.
Buat Jazimin dan Norazian, kuatkan semangat dalam menempuh dugaan ini. Mengingati Allah adalah jalan terbaik untuk membawa kita kepada ketenangan. Dan kepada mereka yang membaca laman ini sama-samalah kita sedekahkan al-fatihah buat adik Nurin.

Tuesday, September 11, 2007

A STRONG MAN - DR. M

(foto: Tautan kasih tangan Marina dan Mahathir- gambar diambil dari Blog Marina Mahathir)
Di saat kita meraikan kegemilangan 50 tahun merdeka, jasa-jasa perdana menteri dan mereka yang berkorban tenaga, masa dan nyawa untuk negara patut kita hargai. Beberapa hari kebelakangan ini hati saya jadi sayu dan risau mengenai kesihatan bekas perdana menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamed. Memang saya akui ada yang tidak suka bila saya menulis mengenai Dr.M tetapi kita tidak boleh mengelak daripada berterima kasih dan terhutang budi kepadanya atas wawasan beliau membangun dan memajukan Malaysia sehingga meletakkan kita di peta dunia dengan jelas sekali.
Saya kerap membelek blog Marina Mahathir untuk mengikuti maklumat terkini tentang Tun. Kalau anda pun ingin mengikuti perkembangannya bolehlah melawat blog Marina di mana saudara boleh klik sahaja di Laman Yang diLawat - Marina Mahathir.
Semoga Allah memelihara kesihatan YABhg Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah.

HATI MALAYA: @Sinepleks: Sentuhan terbaru Shumi menyayat hati


Dipetik daripada Berita Minggu 9 September 2007 Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
Mesej perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air dirasai dalam filem 1957: Hati MalayaDENGAN semangat merdeka yang masih membara serta perayaan sambutan Hari Kemerdekaan ke-50 negara masih lagi berterusan, tidak salah rasanya untuk saya berkongsi cerita mengenai topik senada pada minggu ini. Namun begitu, bukan mesej perjuangan yang ingin saya perkatakan, sebaliknya masih berkaitan filem.Selasa lalu, buat pertama kali, filem 1957: Hati Malaya, garapan terbaru sutradara wanita, Shuhaimi Baba atau lebih dikenali sebagai Shumi, ditayangkan kepada kira-kira 1,500 tetamu apabila penaja filem berkenaan, DiGi menempah enam panggung di Cathay Cineleisure, Damnasara, untuk tontonan pelanggan dan jemputan mereka. Hadir sama ialah barisan pelakon yang menjayakan filem terbabit.
Lebih dua jam menonton, mata ramai penonton kelihatan bergenang. Bukan saya seorang rupanya, tetapi ramai tetamu lain turut tersentuh dengan paparan drama di hadapan mereka. Kisah bagaimana pejuang Melayu era zaman moden seperti Tunku Abdul Rahman, Datuk Onn Ja'afar, Sardon Jubir, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr Ismail dan Ibu Zain menuntut kebebasan buat Tanah Melayu kali ini dapat dikongsi bersama khalayak dalam bentuk filem pula.Dan, saya harus akui, dengan kajian yang dilakukan beberapa penulisnya termasuk Shumi sendiri, sedikit sebanyak perjuangan itu dapat dimengerti dengan lebih jelas oleh generasi terkini. Apatah lagi bentuk visual antara perantaraan media paling berkesan untuk menyalurkan pesanan kepada orang ramai.Pujian buat Shumi yang sekali lagi tampil dengan filem yang bukan sebarangan. Dengan kisah yang begitu bermakna, tentu sekali 1957: Hati Malaya menjadi khazanah yang bakal dirujuk oleh generasi akan datang, sebagai sebahagian sumber untuk mendalami sejarah negara.Shumi memilih untuk tidak memfokuskan semata-mata kepada tokoh politik era kemerdekaan berkenaan, sebaliknya dia membawa kita mengikuti kisah bersejarah itu menerusi beberapa watak zaman terkini yang kononnya sedang mengadakan kajian untuk membukukan cerita kemerdekaan negara. Daripada beberapa watak inilah penonton dibawa mengembara semula ke zaman 40-an dan 50-an untuk mengikuti detik penuh semangat, debaran, kesayuan dan kebanggaan, tatkala datuk dan nenek kita berjuang membela nasib bangsa.
Kembali menyentuh topik babak yang membuat penonton sebak, bukan sekali dua dada penonton disentak dengan adegan cukup menyentuh perasaan. Sebaliknya Shumi berjaya membuatkan air mata menitis beberapa kali. Bukan kerana kematian seperti dalam Selubung, bukan kerana kecewa seperti dalam Waris Jari Hantu, tetapi kali ini penonton menangis kerana terharu dengan semangat perjuangan orang Melayu terdahulu.Filem ini juga menyaksikan gabungan semula pelakon Waris Jari Hantu seperti Maya Karin, Rusdi Ramli, Nanu Baharudin, Ida Nerina, Liza Othman dan Kavita Sidhu. Malah, ia muncul filem paling ramai menampilkan pelakon, popular mahu pun kurang dikenali. Turut membintanginya ialah Sharifah Amani, Adlin Aman Ramlie, Iqram Dizly, Nasrizal Ngasri, Man Bai, Rozie Rashid, Pushpa Narayan, Bront Palare, Jit Murad, Na'a Murad, Azhar Sulaiman, Radhi Khalid, Zahim Al Bakri dan lain-lain.Tidak ketinggalan diundang menjayakannya ialah barisan aktor veteran seperti Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Mustapha Maarof, Datuk Jalaludin Hassan, Datuk Rahim Razali dan Kuswadinata.Begitupun, dua pelakon baru yang diperkenalkan Shumi menerusi filem yang menggunakan beberapa tona warna untuk menunjukkan perbezaan masa ini ialah Kamarulzaman Taib dan Zaefrul Nordin. Berlakon sebagai Tunku dan Onn, kedua-duanya memberikan persembahan cukup memberangsangkan. Bahkan, boleh dikatakan mereka berdua sebenarnya ‘nyawa’ kepada 1957: Hati Malaya.Tidak perlu mengada-ngada, tanpa perlu berlebih-lebihan, namun persembahan lakonan Kamarul dan Zaefrul harus diberikan pujian. Mimik muka yang meyakinkan, pengucapan dialog yang berkesan, nyata memberikan kelebihan kepada dua aktor baru ini untuk duduk sama tinggi dengan barisan pelakon yang sering tampil dalam filem Shumi. Bahkan, kali ini mereka sedikit mengatasi kehadiran pelakon lain. Syabas!Shumi sendiri nampaknya bagai kembali menemui sentuhan berbisa dengan penghasilan terbaru ini. Sememangnya, 1957: Hati Malaya sebuah filem yang wajib ditonton oleh segenap lapisan masyarakat rakyat Malaysia. Tanpa sejarah, siapalah kita semua.Filem terbitan Pesona Pictures dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ini bakal menemui penonton pada 25 Oktober depan.Jadi, sebelum penonton dapat mengikuti detik sejarah Hati Malaya, nampaknya ketika ini kenalah berpuas hati dengan beberapa judul yang sedang berputar ligat di pawagam tempatan. Filem animasi yang cukup menarik dan menghiburkan, Ratatouille, misalannya masih lagi kekal selaku juara carta filem pecah panggung negara, setelah tiga minggu berada di pawagam. Manakala Impak Maksima, filem aksi perlumbaan kereta keluaran tempatan pula turun ke tempat ketiga apabila dipintas filem aksi lakonan Jet Li dan Jason Statham, Rogue Assassin.

Saya selitkan laporan berita video oleh The Star di http://videos.thestar.com.my

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...