Ini projek julung kalinya diadakan kerjasama antara ASWARA dan Korea National University of Arts atau disebut sebagai K-Arts. Dahulu universiti kesenian ulung di Korea Selatan ini dikenali sebagai KNUA. Kunjungan K-Arts kali ini diketuai oleh Profesor Kim Won-min yang merupakan profesor di Sekolah Kesenian Tradisional Korea. Ia merupakan salah satu fakulti pengajian di bawah KArts. Delegasi ini turut disertai oleh sembilan orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Kesenian Tradisional Korea dan seorang pelajar sarjana (Kim Hwang Dong) yang bertindak sebagai Pegawai Projek.
Sebenarnya kerjasama antara ASWARA dan KArts sudah terjalin sejak 10 tahun yang lalu apabila beberapa orang graduan diploma dan Ijazah Sarjana Muda ASWARA menerima biasiswa pengajian dari K-Arts. Atas usaha Profesor Dr Joseph Gonzales (bekas Dekan Fakulti Tari) yang membina jambatan antara ASWARA - KArts maka ia membuka peluang kepada graduan ASWARA menerima tajaan pengajian. Dan tidak dinafikan, para graduan ASWARA/ASK yang terpilih adalah mereka yang berketrampilan. Antara mereka ialah Maz Irwan (Ijazah filem), Azizi Sulaiman, Ng Xinying, Mohd Khairi dan Lee Wen Yen (Tari Moden).
Saya kira kedatangan delegasi KArts ke ASWARA memberi ruang yang baik di dalam memesrakan hubungan. Kunjungan kali ini menampakkan kesefahaman antara dua universiti yang mempunyai pengajian tradisional. Para pelajar berkongsi ilmu dalam pengajian masing-masing dan bertukar pengalaman.
Dengarnya, salah satu tujuan Profesor Kim ke ASWARA adalah untuk membawa rombongan ASWARA ke sana September ini. Kita tunggu lah ya.