Jom Kita Jadi Geng

Friday, February 10, 2017

MAKYUNG DALAM THRONE OF THORNS


(Artikel ini dipetik dari https://www.utusan.com.my/hiburan/throne-of-thorns-versi-melayu-1.440571)

Tiket boleh didapati di Aswara dengan harga RM20 dan RM10. Segala pertanyaan boleh hubungi di talian 03-2697 1777, 03-2697 5916, 03-26975924 5513 atau e-mel info@aswara.edu.my.

SUDAH agak lama kita tidak menonton persembahan teater arahan pengarah berbakat Norzizi Zulkifli. Namun kerinduan penonton bakal terubat apabila dia kembali dengan buah tangan baharu berjudul Throne of Thorns pada 16 hingga 19 Februari ini.
Teater yang bakal dipentaskan di Panggung Eksperimen Akademi Seni dan Warisan (Aswara) itu merupakan naskah pertama Norzizi selepas pulang dari pengajiannya di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dari Universiti Wollongong, Australia.
Menariknya, teater kontemporari ini mengadunkan teknik persembahan berasaskan teater tradisional Melayu dan diadunkan dengan karya Barat terkenal, Shakespeare berjudul The Tempest.

 "Saya sangat teruja dengan pementasan kali ini kerana ini adalah kali pertama berpeluang untuk mempersembahkan Throne of Thorns yang merupakan projek akhir PhD di tanah air sendiri.
“Mungkin suasananya berbeza apabila mementaskan naskhah teater yang sama ketika berada di luar negara dan dalam negara sendiri. Tapi saya tidak kisah, asalkan pengisian teater itu dapat dikongsi bersama dengan masyarakat di Malaysia dan ini memang menjadi impian saya sejak beberapa tahun yang lalu,” kata Norzizi penuh teruja.
Sebelum ini, teater yang sama pernah dipentaskan pada 25 hingga 28 Februari 2015 itu dengan kerjasama 10 orang pelakon dan dua pemuzik berasal dari negara kanggaru itu.
Kesemua barisan pelakon yang menjayakan teater ini merupakan Graduan Seni Persembahan dari Sekolah Seni, Inggeris dan Media dari Fakulti Undang-Undang, Kemanusiaan dan Seni dari universiti yang sama.
Antaranya Catherine McNamara, Natalie Wilson, Toni-Lea Porter, Lauren Bacon, Luke Standish, Georgia Broderick, Adrian Tolhurst, Daniel Hills, Tahlee Leeson dan Heather Riley.

Istimewa
Berhubung keistimewaan Throne of Thorns, Norzizi memberitahu dia akan mengangkat latar belakang budaya dan persembahan teknik teater tradisional Melayu seperti Mak Yong dan Dikir Barat.
Mudah kata, Throne of Thorns versi Melayu yang bakal berlangsung itu nanti merupakan gabungan antara versi tempatan dan moden yang disesuaikan mengikut selera tempatan.
Bagi menyuntik elemen Kemelayuan, Norzizi memilih aktivis teater yang merupakan pasangan suami isteri, Zamzuriah Zahari dan Baisah Husin bersama barisan pelakon yang ‘diimport’ dari Australia itu.
Pasangan itu pernah bergandingan bersama dalam teater Usikan Rebab yang turut menyaksikan Norzizi memenangi Pengarah Terbaik dalam Anugerah Seni Cameronian 2013.
“Saya yakin dengan kemampuan lakonan pasangan suami ini yang boleh menyuntik kelainan untuk Throne of Thorns versi Melayu ketika pementasan itu nanti. Mereka ada sesuatu yang saya nampak terutama dari segi interpretasi pergerakan orang Melayu,” kata Norzizi lagi.
Teater ini turut dibantu oleh Kraig Grady, seorang komposer dan pemuzik profesional yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) dan telah menetap di Australia.
Selain itu, Azizul Zahid Jamal yang juga pereka tatacahaya, Bayu Utomo Radjikin (pereka set dan kostum) serta dibantu Fahillul Adam sebagai juru tunjuk gerak.

Sinopsis
Teater ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu Kapal Karam (The Shipwreck), Rahsia Tersembunyi (The Hidden Secret), Kuasa (The Power of The Master), Konspirasi (The Conspiracy), Rancangan (The Planning), Kuasa Cinta (The Magic of Love) dan Perdamaian (The Revelation).

Ia mengisahkan Prospera (Raja) yang telah kehilangan kuasa dan takhta setelah dirampas oleh Antonio yang merupakan saudara kandungnya. Disebabkan itu, dia telah melarikan diri ke sebuah pulau. Berang dengan tindakan adiknya, Prospero merancang untuk tenggelamkan kapal Antonio. Dalam masa yang sama, Miranda yang merupakan anak kepada Prospero merayu ayahnya untuk membantu rakyat yang berada di atas kapal.

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...