Mulai 24-28 Feb 2013, UM menganjurkan karnival teater UM. Saya dijemput sebagai panel hakim. Jemputan itu saya terima semasa berada di Besut. Saya terima kerana setelah sekian lama saya tidak hadir ke pementasan teater pelajar UM apatah lagi ke pertandingan teater inter-kolej.
Hal ini sebenarnya mengheret saya ke memori silam. Di tahun awal saya berada di UM. Saya masih ingat sebaik sahaja selesai Minggu Haluan Siswa 1991, sayalah orang pertama meluru ke Pusat kebudayaan untuk mendaftar sebagai ahli kelab teater UM. Masa nak daftar tu, Encik Halim Yazid (Penyanyi dikir barat tersohor) menyadi pegawai bahagian teater dan kesenian tradisional. Katanya, sayalah orang pertama yang datang daftar. lepas itu saya terus berkawan baik dengan Encik Halim. kami sempat berkongsi pentas teater yang sama dalam teater 1/2 Jalan Merah karya Sabri Buang arahan Diani Kasian.
Jadi apabila saya dijemput menjadi juri pertandingan teater inter-kolej, bagai kembali ke zaman hensem saya, mewakili kolej kelima @ Dayasari untuk pertandingan Pesta Seni Pentas (PSP). Saban tahun saya mewakili Dayasari dalam teater. Pada tahun 1 kami pentaskan Akulah Anak Adam (skrip dan arahan saya), tahun 2 kami pentaskan Mayat karya Hatta Azad Khan (arahan saya) dan tahun 3 kami pentaskan Dramaku oh Dramaku (Olahan saya) berdasarkan naskhah Kotaku oh Kotaku karya Johan Jaafar. Pada tahun 3, saya turut mewakili Jabatan Pengajian Melayu (sebenarnya pelajar kursus Drama dan Praktik di bawah Dr Rahmah Bujang) yang mementaskan drama Protes. Oleh kerana syarat penyertaan, peserta tidak boleh mewakili 2 pasukan serentak, maka terpaksa saya gugurkan nama dari kumpulan Dayasari walhal saya terlibat secara langsung di dalam mengolah, melatih dan mengarah bersama Dramaku oh Dramaku. Pada tahun inilah 5th menjadi Juara teater dan merangkul anugerah set terbaik dan Pelakon pembantu lelaki Terbaik. Ia jadi sejarah selepas lebih 15 tahun di mana kali terakhir dijulang oleh Adi Badiozaman Tuah ( penyair Sarawak dan terakhir beliau adalah Pengarah Bahagian peperiksaan Malaysia). Pada tahun 3 jugalah tahun saya merasakan sinar dalam berteater di Dayasari apabila mendapat sekumpulan pelajar yang bersemangat untuk berteater. Malangnya itulah juga tahun terakhir saya di Dayasari. Nama-nama adik-adik saya yang bersemangat berteater Azlin Kamarulzaman, Asaruddin, Rozaidi, Khalid, Shasha, Rohayati dan ramai lagi. Mereka pada masa itu adalah pelajar-pelajar Asasi dan Praque (pra perakaunan). Semasa saya di tahun 4, saya terus bersama Dayasari walaupun bukan lagi berstatus penghuni. Sewaktu menyertai PSP, saya terlibat di belakang tabir dan sesekali turun membantu dalam latihan. Tahun 1994, 5th mendapat tempat ke 3 dengan teater Serabut. Semua itu berlangsung dari tahun 1991-1994. Selain bersama Dayasari, bersama Pusat kebudayaan saya sempat bermain dua buah teater iaitu Eksperimen Zig Zag dan 1/2 Jalan merah. Setelah di tahun 4 barulah Rancangan Seni Persembahan wujud di UM dan ASK juga ditubuhkan, terlewat untuk saya patah balik tetapi saya terus mencari institusi yang lebih besar bagi mengisi tuntutan seni saya. Membuatkan saya mengalih kepada lakonan tv dan penerbitan drama sehinggalah tahun 1996 saya bekerja di Panggung Negara.
Pengalaman bermain teater pada masa itu, berbeza sekali apabila melihat pelajar-pelajar pada hari ini. Semasa itu mewakili kesenian dari sebuah kolej yang mengutamakan sukan, kita bagai dianak tirikan. Tidak mendapat keistimewaan dan kelebihan apa-apa. Aktiviti juga dipandang sepi kerana dianggap tidak menaikkan imej dan nama Dayasari. Tapi hari ini saya lihat, Dayasari sudah berubah, kesedaran berkesenian sangat meriah dan berjaya mengumpul anak-anak muda yang berkebolehan. Hari ini mereka menubuhkan Halusinasi.