Filem terkini yang saya tonton adalah The Impossible dan Les Miserables. Dua filem mega yang menampilkan nama-nama besar Hollywood. Les Miserables adalah karya ynag diangkat dari musical tersohor yang bertahan belasan tahun di West End, London. Musicalnya juga adalah sebuah adaptasi dari novel tulisan Victor Hugo dengan judul yang sama. Pada tahun 1998, Les Miserables sudah pun diangkat ke filem tetapi bukan dalam genre muzikal, ia sebuah drama di mana pelakon utamanya juga hebat seperti Liam Neeson, Uma Thurman, Claire Danes dan Geoffrey Rush. Namun Les Miserables versi 2012 ini nyatanya lebih besar sambutannya. Cerita ini mengangkat suasana Peranchis di zaman kebangkitan waktu rakyat mula merasakan kehidupan mereka tertindas. Disparity gap yang wujud dalam sosial masyarakat waktu itu menghambat rakyat menentang dan melaungkan ketidak adilan. Ini jelas pada lagu revolusi oleh penduduk 'Do You Hear The People Sing' sangat membangkitkan semangat juang (seperti sesuai dengan insiden Bersih dan KL112). Kemiskinan menjadikan manusia melihat kehidupan itu satu lorong perjuangan yang menolak mereka melakukan apa sahaja demi kelangsungan hidup. Fantine yang punya seorang nak bernama Cosette, merelakan hidup untuk dianiaya dan dilacurkan hingga membawa kematiannya, begitu juga dengan Jean Valjean yang menjadi watak peneraju kepada cerita ini bertunjang kepada hidup itu satu tugas. Tugas harus dilaksanakan walau ia satu dosa. Itu pilihan Valjean melihat kehidupannya. Detik perubahan dalam dirinya apabila saat segala dosa dan kejahatan yang dilakukan dibalas dengan kebaikan oleh seorang Bishop. Ia membuka matafikir Valjean untuk menjadi manusia yang melihat kehidupan kepada fitrah yang sebetulnya. Namun hidupnya sering diburu Javert sebagai simbol kuasa yang setia pada karma yakni jahat tetap dibalas.
Filem ini mengangkat kisah manusia dan kemanusiaan yang tinggi. Mengajar kita menilai kehidupan sendiri pada watak-watak yang tertayang. Prolog Valjean selepas diselamatkan oleh Bishop sangat berkesan, liriknya sangat tinggi dan memotivasikan bagi manusia yang jatuh dan putus asa. Pujian harus diberikan kepada produksinya tetapi dari segi nyanyian saya kurang puas dengan Anne Hathaway dan Russel Crowe. Lagu berhantu I dreamed a dream nyanyian Anne kurang menyentuh walau tidak saya nafikan cukup utuk perwatakannya. Apapun watak Fantine cukup kuat untuk bersaing dalam anugerah.
Filem The Impossible adalah filem tragedi yang mengenang kisah keluarga Maria Bennet dan Henry yang menempuh sengsara dalam bencana Tsunami 2004 di Phuket,Thailand. Bila fikir sebelum menonton filem ini, saya congakkan tentang isu dan aspek drama yang nak ditonjolkan dalam filem ini yang tentu sekali soal tragedi alam dan kesengsaraan keluarga mangsa. Namun ia menjangkaui pemikiran itu. Kerana itulah judulnya The Impossible yang membawa maksud Yang Mustahil. Maria Bennet lakonan Naomi Watts dan Henry lakonan Ewan McGreggor bersama tiga orang anaknya Lucas (Tom Holland), Thomas dan Simon memilih Khao Lak, Phuket sebagai destinasi menyambut krismas.
Kegembiraan di awal cerita merubah segalanya, hidup jadi lintang pukang, penuh air mata dan kesakitan apatah lagi memisahkan antara mereka. Kisah manusia berjuang untuk hidup selalu sangat ditonjolkan dalam filem tetapi The Impossible memberi sisi lain apabila tsunami diletakkan sebagai musuh yang hampir membinasakan kebahagiaan. Rintangan yang dilalui oleh Maria dan Lucas di dalam mencari Henry dan dua lagi ahli keluarga adalah kisah manusia yang hidup dengan harapan. Saat Lucas keseorangan setelah melihat katil ibunya kosong adalah detik yang menampakkan jiwa anak kecil yang musnah. Filem ini bergerak atas dramatik ironi di mana kita hanya menunggu kesudahan bagaimana Lucas dan keluarganya bertaut semula. Hal itu seperti kepastian apatah lagi filem ini adalah dari sebuah kisah benar tetapi yang tidak kita ketahui adalah moment-moment yang terisi. Momen-momen itulah buat kita lupa membawa kita masuk dalam kehidupan mereka, merenung dan meletak diri dalam keadaan begitu. Ia tidak memaksa tetapi dengan sendiri airmata boleh gugur.
Filem ini tidak menyentuh langsung soal punca sebab musabab atau watak menyalahkan kejadian. Tiada langsung. Watak bergerak pada situasi. Ambiguiti dibina buat kita prejudis pada watak namun dibina pula ironi-ironi yang buat kita berfikir bahawa begitulah kehidupan, semuanya adalah diluar jangka. Manusia selagi mahu hidup selagi itulah ada harapan dan disitulah bawa perjuangan. Yang pasti Allah mengatur kehidupan dengan ujian-ujian yang berbagai...
Jadi, pada yang belum menonton...pergi cari dua filem ini.