Jom Kita Jadi Geng

Monday, November 30, 2009

AIDILADHA 2009


Aidiladha kali ini kami hanya menyambutnya di Kuala Lumpur. Lebih malang malam raya saya di hospital Ampang menemani anak sulung, Aish yang melalui pembedahan tangannya yang patah. Hendak buat macamana, manusia hanya mampu merancang Allah jua yang menentukan. Kami merancang balik cuti Hari Raya Aidiladha di Pasir Mas Kelantan kerana pada tahun ni kami adik beradik berpakat untuk rebahkan seekor lembu dan buat kenduri kesyukuran. Kak Long yang sepatutnya balik ke kelantan dengan kamipun terpaksa beraya di KL.
Namun dek kerana doktor dah menetapkan tarikh pembedahan Aish pada 26hb Nov sehari sebelum Raya Haji terpaksalah kami akur demi kebaikan anak sulung kami. Alhamdulillah, kesunyian kami di Kuala Lumpur teriisi dengan kehadiran Abah dan Mama yang turun dari Kepala Batas untuk bersama-sama kami. Sekurang-kurangnya ia dapat memberi semangat kepada kami.

Kini sekeping logam sudah tertanam di dalam tangan Aish, doktor menjangkakan dalam tempoh 6 minggu tulangnya pulih namun besi itu akan tertanam selama setahun. Jadilah anak saya seorang wolverine.... Arghhh!!!!!

Wednesday, November 18, 2009

AISH PATAH TANGAN


hari jumaat yang lalu, 13 November sewaktu saya masih di pejabat, sayadikejutkan dengan panggilan daripada isteri saya... dia dengan cemas memberitahu bahawa tangan Aish patah. Saya bertenang seperti selalu, tenangkan isteri saya yang melatah cemas dan menyuruhnya terus bawa aish ke klini berdekatan, sementara saya pulang. Ya, kita biasa dengan kemalangan yang membawa kepada patah dan luka anggota badan, jadi kita anggap itu perkara yang sering menimpa pada sesuatu kejadian kemalangan. Namun bila anak kita sendiri yang ditimpa kemalangan dan melihat tangannya bengkok dan tidak boleh digerakkan kita jadi gemuruh dan takut. rasa macam nak dicekik budak yang datang merempuh basikal aish sehingga dia terlanggar dinding dan basikal menimpa diri aish. Eeeeee jika ikutkan hati lah yaa..

Doktor di Klinik Kita menasihatkan agar membawanya ke hospital berdekatan, jadi terus kami bawa Aish ke Hospital Ampang yang jaraknya sekitar 5km dari rumah. Kami check-in sekitar 7.30 malam. Menunggu nombor giliran dipanggil, bilik pertama yang kami masuki adalah bilik tapisan oleh Penolong pegawai Perubatan dan beliau mengarahkan agar tangan Aish di X-Ray. Selesai x-ray kami menunggu giliran dengan nombor yang sama dipanggil. Nombor kami dipanggil dan kami masuki bilik nombor 2, doktor dapati tulang pergelangan tangan aish telah patah dua bukannya retak jadi ia memberi implikasi yang berbeza. Kami diarah menunggu. Kami menunggu lagi untuk panggilan ketiga. Nombor kami dipanggil dan aish diletakkan disebuah katil. Misi yang bertugas memberitahu, aish kemungkinan kena bermalam sebab kena tunggu doktor tulang datang. kami menunggu. Doktor tulang datang dan mengenal pasti sintom dan cara untuk rawatan. Beliau suruh aish berehat dan mohon untuk rehat makan. Kesian doktor belum sempat makan. Saya pun ambil peluang yang sama pergi McDonald untuk belikan makanan buat kami. Aish nak makan McD. Bila kembali ke hospital, doktor yang tadi juga turut kembali dan hasil tilikannya aish perlu dimasukan ubat dan pelali sebab tulangnya perlu ditarik bagi diluruskan sebelum disimen. Tapi katanya kita kena tunggu pakar atau a person yang bertugas untuk simen. kami menunggu.
Kami menunggu. A Person yang bertugas untuk simen tiba dan aish dibawa ke bilik simen. Kami diminta menunggu di luar kerana prosedur itu perlu dilakukan oleh doktor dan pakar sahaja. Dari luar kami dengar jeritan dan tangisan aish. Memang sakitpun kalau tulang perlu ditarik dan diluruskan. Kali kedua aish menangis selepas tangisan pertama semasa doktor mahu mencucuk jarum di belakang tangan untuk masukkan ubat dan pelali tadi. Kesian anak lelaki kami ni, dia sangat manja dan penakut sekali. Tangannya siap disimen. Aish dibawa ke bilik x-ray dan doktor menunjukkan kedudukan tulang yang patah. Kami hanya berpuas hati walaupun ia bukanlah pada kedudukan 100% tepat.
Doktor kata, insyallah dalam masa 2 bulan tangan aish akan pulih sepenuhnya. Kanak-kanak punya sel yang aktif jadi ia mempercepatkan tulang tangannya pulih. Kami berada di Hospital Ampang dari jam 7.30 mlm - 1.30 pagi. Walaupun lama dan meresahkan namun alhamdulillah prosedur berjalan dengan baik tapi saya terfikir bukankah terlalu banyak pintu dan orang yang perlu ditempuh sebelum mendapatkan rawatan yang sebetulnya. Seeloknya ia boleh dipercepatkan agar pesakit tidak terseksa menunggu.
Buat doktor yang merawat AISH, kami sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih. Yang membaca entri ini, terima kasih atas iringan doa, semoga Allah membalas tiap kebaikan yang saudara berikan. Alhamdulillah.

Tuesday, November 10, 2009

AL-KISAH RAJA SEKUMANTARA


Al-kisah di sebuah negeri bernama Sekumantara di sebuah Negara Semalatala. I’Lam ketahui oleh sekelian rakyat di dunia bukanlah sekadar pada zaman dahulukala malah di masa zaman tanah saujana langit berlitar gelombang semesta empunya cerita. Negeri tumbuh di perbukitan kecil di sebuah istana lama tinggalan Raja turunan Jugra dulu-dulu, tempat bermain puteri-puteri dan putera-putera berkuda. Negeri kecil dikurnia daulat dek kerana kemasyhurannya mengangkat dan menjujung kedaulatan bangsa Semalatala , maka tertaballah seorang pembesar yang mentadbir Sekumantara membawa gelar Raja Sang Putaladiri atau digelar rakyat sebagai Sang Jeneral.

Maka ada seorang pembesar dan bukanlah calang-calang pembesar telah diutuskan oleh Raja Agung dari Negara Semalatala untuk turun mendengar perkhabaran berita yang telah lama bertiup, mendesas-desus di telinga para pembesar dan Raja Agung bahawa rupanya ada angin menjemba dan bumi terjungkit sehingga teraniaya sekelian rakyat dek pemerintahan Sang Jeneral. Maka diutuskan berita kepada Sang jeneral bahawa akan turun seorang pembesar ke negeri Sekumantara bagi menampi betul benar kisah yang tertebar.
Mendengar khabar seorang pembesar dari Negara penaung mahu berangkat turun, maka Sang Jeneral menitahkan kepada Biduandanya agar dikhabarkan kepada sekelian pembesar negeri dari Laksamana hinggalah penghulu baruh dan wakaf agar bersiap diri menerima kahadiran seorang pembesar Negara. Malangnya si Biduanda cuma mengkhabarkan kepada pembesar yang tua-tua semata tidak pula kepada yang pembesar-pembesar muda yang baru mendapat tangga dan belum tahu duduk cerita. Diumumkanlah ke seluruh negeri agar kesemua pembesar yang tua yang muda, yang leper yang bulat sedepa agar berhimpun di Balairong negeri Sekumantara. Sang Jeneral pun mempersiap diri, ditulis dibaca segala jampi mentera, ditilik dibuka apa cela apa dusta, berlatih tubi bersedia menghadapi si pembesar yang sebenarnya bukanlah besar di mata Sang Jeneral.
Maka angin pun bercerita, seluruh negeri tahulah akan cerita bahawa seorang pembesar Negara akan turun membuka yang cela, menampi yang dusta, mencelikkan yang buta. bermacamlah helaian tafsir dan tamsil bermain di fikiran rakyat jelata. Apakah betul segala yang berputar di telinga?
Siang beransur menukar warna menjadi malam, dan fajar terbit membawa pagi. Tibalah hari Sang Pembesar Negara Semalatala mencemar kaki ke negeri Sekumantara. Telah berhimpun semua pembesar tua dan muda, bijak dan celaka segalanya ada di Balairong negeri. Sang Pembesar tiba tepat masa yang diberita, malangnya Sang Jeneral tidak juga muncul tiba maka terpaksalah Sang Pembesar menunggu Raja Sang Putaladiri turun mencemar diri. Kecil sungguh si pembesar Negara merasakan diri. Melihatkan riak muka Sang Jeneral bagai pawana. Tidak disambut kedatang pembesar Negara dengan wajah berbunga. Rakyat yang melihat berasa gundah gulana dek malu melihat tingkah dan air muka rajanya.
Maka ditanyalah sang pembesar kepada sekelian pembesar tua muda yang hadir
“apakah terjaga segala tanah bendang, rumah tangga dan binatang peliharaan. Bagaimana pula putera puteri di bawah jagaan, apakah terlaksana segala wawasan?”
Pembesar yang ada hanya diam. Takut dan bimbang dek riak wajah Sang Jeneral.

Bertanya lagi sang pembesar “Sekumantara ini sebuah negeri yang masyhur melahirkan anak-anak muda tahan jiwa dan bijak minda dalam perjuangan bangsa Semalatala, saya ingin bertanya apakah cukup segala persiapan anggota?” Semua pembesar diam.
“Apakah lengkap senjata dan apakah pembesar yang ada yang ingin mendidik dan melatih anak-anak muda di negeri ini sudah bersiap dengan ilmu di dada?” Pembesar yang ada mula gelisah. “Kalau kail panjang sejengkal masakan terduga laut bergelora? Sekumantara perlukan benteng dan pelatih yang berwibawa?” Benarlah apa yang dikatakan Sang pembesar. “Apakah pembesar-pembesar yang ada tidak berminat untuk menambah ilmu di dada?” Sang pembesar mula menyerang pembesar-pembesar negeri, gelisah di fikiran mereka merambu-ramba.

“Datuk!” terpancul suara dari kalangan pembesar. Mata Sang Jeneral memanah pembesar yang bersuara. “Memanglah menjadi impian dan igauan kami pembesar Sekumantara, untuk menambah ilmu di dada, tetapi sekira tiada jelas duduk cerita, bagaimana nak dimula?”
“Ah… bukankah sudah beta titahkan, hendak menambah ilmu di dada, ikut sahaja undang-undang yang ada, yang sudah diwarta oleh Negara Semalatala!” Sang Jeneral cuba menepis kata-kata pembesar celaka itu. “Kita ini negeri berdaulat, sudah ada perlembagaannya, jangan samakan negeri ini dengan negeri yang lain, kita istimewa!” Tambah Sang Jeneral. Pembesar yang ada berpandang mata sesama. Mereka diam tidak mahu bercerita.

“Datuk!” muncul suara dari pembeza yang kedua pula. “Bukankah kita ini negeri yang sudah didaulatkan, tidakkah segala undang-undang jadi berbeza. Jadi, sebagai negeri yang termasyhur melahirkan pejuang muda… kita juga harus mempersiapkan ilmu kepada mereka bukannya mengambil pelatih entah dari mana asalnya dan tidak pula punya upaya, bahkan kita pula kena menanggung memajukan diri mereka, patik melihat pembesar yang lama yang sudah menunjukkan wibawa dan taat setia seperti dipersia, begitu mudahkah budibicaranya?

Sang pembesar Negara terdiam dan memikirkan apa yang dikata pembesar kedua tadi. “Betul apa yang diutarakan oleh pembesar, apakah negeri ini belum ada apa-apa warta untuk pembesar mendapat biaya?”

“Ah… Datuk Pembesar, Sekumantara ada peruntukan berjuta-juta untuk memberi biaya. Pembesar negeri perlulah memohon dan mencari di mana tempat untuk bertapa! Ikut sahaja undang-undang Negara Semalatala dalam soal mencari biaya untuk bertapa!” Wajah Sang Jeneral seperti singa mahu menelan mereka-mereka yang bersuara. Di kepalanya berkata memang pembesar ini mahu mencari cela.Jeneral menambah "lagipun pelatih yang ada memang tidak ada kelayakan, pengajian setakat reban ayam, seorang saja yang layak...Tabib Sukipuri!".

“Datuk!” bersuara pula pembesar negeri yang ketiga, kali ini perempuan pula. “Memang kami pembesar di negeri tidak jelas duduk cerita, bagaimana kedudukan saya? Apakah ada sebarang perjanjian selepas pulang bertapa? Apakah syarat dan peraturan, apakah kelayakan yang boleh kami minta untuk mendapat biaya. Semuanya tidak jelas cerita”.
Jika bertalu-talulah perkara dikemuka maka berjela-jelalah kata-kata yang dilagukan Sang jeneral. Walaupun semuanya berbayang-bayang tidak nyata dek mata . Itulah kehebatan Sang jeneral dan kerana itulah juga dia berada di takhta.

Sebelum berangkat pulang, Sang pembesar Negara diaju tanya “ Sebenarnya apa tujuan datuk datang ke negeri Beta? Apakah termaksud apa yang dicari?”. Sememang jelas siapakah Sang Pembesar Negara di mata Sang Jeneral.
Adapun pada hari ini, kisah negeri Sekumantara belum terjawab kesudahannya. Luahan para pembesar dan rakyat jelata hanyalah lagu-lagu gering yang sesekali berdendang. Raja yang didaulat adalah Raja yang hidup atas doa dan harapan rakyatnya.Semoga teruslah bertakhta wahai Duli Yang maha Mulia Raja Putaladiri Sekumantara @ Sang Jeneral.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...