dipetik dari Utusan malaysia 19 Ogos 2009 Oleh NORLIZA MOHAMAD
ZAKARIAliza.zakaria@utusan.com.my
JIKA bercakap perihal insan bergelar Bapa Pembangunan negara, Tun Abdul Razak Hussein, pasti ramai yang pantas memberi jawapan, dialah pemimpin negara kedua yang dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Tunku Abdul Rahman. Secara lahiriah, masyarakat mungkin hanya melihat figura yang cukup disegani itu sebagai pemimpin yang berjaya membentuk pelbagai idea dan pencetus kepada arus pembangunan negara yang jelas dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat hari ini. Ironinya, pada sisi lain, Tun Abdul Razak merupakan insan biasa seperti kita. Punya cita-cita dan wawasan serta tanggungjawab terhadap keluarga yang perlu digalas. Biarpun 'dilambakkan' dengan timbunan kerja yang tidak pernah surut, namun, tanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah tidak pernah terabai.
Gambaran tentang sikap serta kepimpinan figura yang juga bapa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib itu diterjemah dalam pementasan Muzikal Tun Abdul Razak (MTAR) yang dipentaskan selama lima malam berturut-turut bermula 16 Ogos lalu di Istana Budaya, Kuala Lumpur. MTAR dipentaskan sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-52. Hampir 200 pelakon dan tenaga produksi terlibat dalam pementasan tersebut.
Selain pelakon utama, Rashidi Ishak dan Fauziah Latiff, turut terlibat ialah penuntut dan pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Ini merupakan pementasan kedua MTAR selepas dipentaskan di Panggung Eksperimen, Aswara pada Oktober tahun lalu yang dijayakan oleh para pelajar Aswara. Naskhah asalnya diarahkan oleh Khairunazwan Rodzy sebelum dikembangkan pada skala yang lebih besar dan dipadatkan dalam empat segmen persembahan selama hampir dua jam itu. Segmen-segmen yang terkandung dalam persembahan tersebut termasuklah Abdul Razak dan awal kepimpinan beliau, Abdul Razak sebagai Perdana Menteri, kemuncak pentadbiran Abdul Razak dan hari-hari terakhir Allahyarham. Membuka persembahan dengan babak nyanyian kumpulan boria, Pulau Pinang menerusi Boria Anak Tanjung, emosi dan fokus penonton cuba dibawa ke masa lampau yang memaparkan detik-detik awal kepimpinan Tun Abdul Razak.
Paling awal dipertontonkan ialah bagaimana situasi di Lincoln's Inn, London sewaktu Allahyarham melanjutkan pengajian jurusan undang-undang di sana. Ketika itu, bakat dan ciri-ciri sebagai seorang pemimpin dan pejuang bangsa yang unggul terserlah dalam keperibadian beliau. Namun, dalam memperjuangkan maruah bangsa kemelut penerimaan 'bangsa kulit putih' terhadap orang Melayu ketika itu turut disingkap. Muzikal arahan pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Rahim Razali itu turut menyingkap penglibatan Tun Abdul Razak dalam UMNO bersama-sama Tunku Abdul Rahman sehingga membawa kepada kemerdekaan negara.
Antara lain ialah menonjolkan penglibatan beliau dalam beberapa peristiwa penting negara termasuk konfrontasi Malaysia-Indonesia, 13 Mei dan MAGERAN.
Sebagai seorang pemimpin, isteri tercinta, Toh Puan Rahah Mohd. Noah, umpama tulang belakang serta pembakar semangat kepada tokoh negarawan itu. Pada tahun 1969, dalam kerancakan merencanakan pelbagai misi pembangunan negara, beliau berhadapan dengan kemelut penyakit leukemia yang dihidapinya sendirian. Dipendamnya derita penyakit jauh daripada pengetahuan isteri dan juga anak-anak.Kegembiraan rakyat berkongsi kejayaan demi kejayaan negara yang dicetuskan oleh mantan perdana menteri kedua itu tidak kekal lama.
menyelami emosi
Kemuncak pementasan, penonton dibawa menyelami emosi masing-masing menerusi berita mengejutkan, Tun Abdul Razak kembali menghadap Ilahi sehingga membongkar rahsia penyakit yang disembunyikan selama ini. Bercerita tentang pementasan itu, Rahim Razali yang ditemui selepas raptai penuh MTAR memberitahu, muzikal yang menggunakan sebanyak 22 buah lagu itu menggunakan simbolik demi melicinkan jalan cerita pementasan itu. "Sayangnya muzikal ini tidak banyak menggunakan simbolik. Sepatutnya kisah tentang pemimpin dan pejuang perlu banyak bermain dengan simbolik demi melicinkan jalan cerita. "Berbanding cerita asal yang pernah dipentaskan dahulu, memang ada perubahan. Bagaimanapun, ketika itu saya tidak berkesempatan menonton pementasan di Aswara.
"Dalam kerja saya memang tidak pernah puas, dalam masa empat hari memang tidak cukup untuk membuat latihan. Rujukan pada mana-mana persembahan secara khusus memang tiada.
"Namun keupayaan pentas Istana Budaya bertaraf antarabangsa perlu kita gunakan sebaik mungkin," katanya.Menyentuh 22 buah lagu dalam pementasan tersebut yang mengehadkan penggunaan dialog dalam pementasan itu.
Kata Rahim, dalam sesebuah pementasan muzikal, penggunaan dialog boleh dikatakan hampir tiada."Sebenarnya muzikal memang tiada dialog langsung, bagaimanapun untuk pementasan ini kita perlu adakan untuk mengenengahkan fakta-fakta tentang perjuangan Tun Abdul Razak.
"Kita banyak gunakan dialog dalam lagu-lagu yang digubah sebab ucapan dan kata-kata daripada pemimpin politik sukar untuk dilagukan," kata rahim lagi.
Sementara itu, dua pelakon utamanya, Rashidi Ishak dan Fauziah Latiff yang ditemui selepas raptai penuh pementasan tersebut, mengakui masih gementar berlakon dalam pementasan itu.
"Hari demi hari, corak lakonan semakin meningkat. Bagi saya kesemua babak adalah sukar sebabnya yang pertama saya perlu fokus pada karakter dan kedua setiap babak memerlukan saya bermain dengan emosi yang berlainan," kata Rashidi yang berkorban membotakkan separuh daripada kepalanya.
Bagi Fauziah Latiff pula, penghayatan mendalami watak Tun Rahah sebagai individu yang lemah lembut dan menjadi tulang belakang kepada Tun Abdul Razak cuba dilakukan sebaik mungkin.
"Persembahan ini sesuatu yang besar buat saya. Saya dapat melihat peningkatan demi peningkatan dalam persembahan berbanding ketika latihan," katanya.