Menonton Mahsuri dan Patung Kertas II memberi kesan yang berbeza. Bila diajak oleh abang Joe (KP Istana Budaya) untuk menonton Patung Kertas, perkara pertama yang bermain dalam kepala saya adalah menonton kisah di sebalik 'Paper Dolls' dan memang saya ingin menonton teater ini memandangkan ini adalah pementasan ulangan, yang semestinya persembahan lebih mantap, skrip diperkemaskan dan tentu sekali bagus kerana mendapat sambutan hebat. Jika tidak mengapa perlu diulang?
Teater Mahsuri memang saya tunggu untuk menontonnya dan berkesempatan menontonnya pada 28hb lepas. Buah tangan Fauziah Nawi ini bukan sahaj dinanti oleh saya malah peminat teater tanahair memandangkan fauziah Nawi mempunyai kredibiliti dan komitmennya pada seni lakon dan teater. Saya pernah dipanggil Istana Budaya untuk bersama Kak Yah dalam sesi pertama membincangkan bagaimana Mahsuri nak diungkap dan hanya sekali itu saja saya dijemput. Sehinggalah pada awal april saya berbual dengan kak yah di telefon. Dalam perbualan kami itu, Kak Yah ada bercerita serba sedikit tentang halangan dan harapan yang dihadapi sepanjang proses berteater itu (kisahnya tak perlulah saya ceritakan ya!). Tidak pernah kak Yah menerima sebegini besar peluang dalam hidupnya, malah ianya menjadi impiannya untuk mementaskan sebuah teater di Panggung sari apatah lagi naskhah yang diberi adalah Mahsuri, sebuah kisah lagenda yang kuat dengan jiwa Melayu dan mitosnya. Saya lihat naskhah ini mesra dengan Kak Yah.
PENGALAMAN MENONTON
Malam 28 April itu, salasar Istana Budaya ramai orang yang hadir. Saya gembira melihat reputasi teater Mahsuri. Ada beberapa buah bas di luar bangunan dan tentu sekali rombongan pelajar sekolah dan IPT pun ada. Ada juga kelihatan wajah-wajah peminat teater yang sering saya lihat dan mereka kelihatan agak eksklusif. Ini saya suka lihat. Pementasan bermula lewat sedikt kerana ada kehadiran isteri YB Menteri dan beberapa isteri VIP termasuk isteri YB Datuk Shafie Apdal.
Kita sebenarnya sudah terbiasa dengan kisah Mahsuri, jadi malam tu saya nak melihat garapan kak yah mengenai Mahsuri. Secara peribadinya, saya menggemari lagu-lagu dan suasana pentas yang dicipta. Sebagai seorang pengarah yang hebat berlakon, tentu sekali kak yah menjaga lakonan pelakon-pelakonnya termasuklah watak-watak kecil yang dapat kita lihat lakonannya. Dalam banyak lakonan itu saya seperti terpanggil untuk melekat pada lakonan Sabeera Shaik yang memegang watak Wan Mahura. Mahura ditangan Sabeera penuh kuasa dan tenaga, dia seperti wanita supernatural di dalam mahsuri. apatah lagi bila digandingkan dengan lakonan lain-lain pelakon khususnya mahsuri, deraman dan wan darus di mana watak yang dibawa mereka setertib orang melayu dahulu dan terasa jiwa melayunya. Mahura muncul berbeza dari kelompok masyarakat Langkawi. bahasanya keras, penuh dendam, lenggoknya tidak ketimuran walau berkebaya dan berselendang. Mahsuri dan wan darus tidak mucul kewiraannya dek kerana kebencian yang dimunculkan oleh mahura ini terlalu ketara. Sayangnya dalaman mahsuri tidak terlontar. Namun keseluruhannya, Mahsuri cukup memberi gula dan asam garamnya. Sebagai pertama kali ke Panggung sari saya memuji garapan kak Yah. memang adakala keinginan menampilkan banyak elemen itu ada sehingga memunculkan kekurangannya namun saya percaya bahawa setiap pengarah itu, ada pegangan dan citarasanya sendiri.
Selang tiga hari saya dijemput abang joe ke MATIC menonton Patung Kertas II. Teater ini atas inisiatif syarikat persendirian dan kerjasaman Yayasan IJN. jadi, apabila wujud IJN maka sepanjang menyaksikan persembahan itu, banyak sekali iklan-iklan yang memuji, menyanjung dan memberi pesan bahawa IJNlah tempatnya kalau anda sakit jantung. Ini terlalu cetek pada pandangan saya apabila ditumpahkan dialog secara terang-terangan mengenai IJN. Saya yang menonton pun rasa semacam baru belajar mengenai fungsi IJN. Skrip dan garapannya perlu diberi suntikan yang indah dan indirectly. Banyak yang saya jumpa kelemahan dalam teater ini walaupun bukan itu tujuan asal saya hadir menonton. Tapi mata dan fikiran saya bertubi-tubi mencari penyelesaian dan alternatif pada adegan dan babak yang dirasa kurang impak dan klise.
beberapa pelakon lelaki dijelmakan menjadi mak nyah dan mereka digabungkan dengan beberapa orang pelakon yang realitinya berpakaian wanita. Agak menarik gabungan ini kerana ia menampakkan kesan kejiwaan di kalangan pelakon lelaki. Ternampak di dalam sebahagian daripada mereka memiliki kejiwaan wanita melebihi lelaki dan tidak hairanlah jika mereka mampu menghidupkan watak yang diberi. Cuba lihat sahaja Ku Yusri yang cantiknya sebagai mak nyah mengalahkan wanitan sejati dengan bentuk badan dan gayanya tapi suaranya tak boleh menipulah. Ku Yusri lulusan diploma Teater ASWARA ni sudahpun memainkan beberapa watak sebegitu khususnya dalam daram TV Sutung I & II. Begitu juga ketrampilan Rosnan Abdul Rahman sebagai Cik Bunga Sri kenanga yang melara dengan nasibnya sebagai pemain makyung yang dilupakan. Penampilan rosnan begitu menonjol malah menenggelamkan Ashraf Muslim yang memainkan watak utama. Yang nyatanya, Rosnan pun memang pernah melakonkan watak seumpama seperti dalam Rebab Berbisik malah menjadi inang dalam makyung di USM. Namun saya masih janggal melihat Jalaluddin hassan, Radhi Khalid dan ashraf sebagai maknyah. Lenggok bahasa dan gerak tubuh mereka masih dibuat-buat (Ya lah bukan itu kelahiran mereka pun). Keseluruhannya saya lihat Patung Kertas bagai satu pementasan untuk melepaskan hajat dan memenuhi impian membawa paper doll ke pentas. Konsep yang bercelaru dan harapan memberi imej bersih pada golongan ini juga kurang berkesan. Jika adalah Patung Kertas III saya harap konsepnya bukan sekadar gimik menampilkan kostum yang cantik dan memakaikannya pada pelakon lelaki, itu hanyalah sekadar aksesori kepada persembahan yang penting adalah content dan pengisian emosi yang diungkap dan diterjemahkan dalam lingkungan yang bijaksana.
Apa pun saya, untuk kedua buah teater saya tabik puji atas kesungguhan yang ditunjukkan. Sumbangan anda adalah sebahagian usaha memeriahkan seni teater tempatan.