Jom Kita Jadi Geng

Tuesday, October 14, 2008

KETUPAT MEK : LEGASI TAK BERGANTI

(ini bukanlah bentuk ketupat mengikut cara bungkusan Mek - ini contoh ketupat palas - foto oleh UmmAbdrahmaan)

Tahun ni dah masuk tahun ketujuh saya menyambut raya pertama di Kepala Batas. Ingat lagi masa mula-mula kahwin, untuk dua tahun pertama kami beraya di Pasir Mas dan rupanya itulah dua tahun terakhir kami beraya bersama Mek dan Wan. Sejak tahun 2001 tu, saya mula sedar bahawa Nida juga seperti saya, ingin beraya bersama orang tuanya jadi selepas tahun-tahun berikutnya sementara ibubapa masih di sisi, sementara tuk dan nenek aish rhea masih ada, biarlah kami mengecapi kasih sayang yang masih bersisa. Sejak pemergian wan dan mek, saya begitu menghargai seorang ibu dan ayah. Saya tahu Nida pun berperasaan begitu dan istimewanya Nida dia tidak pernah menunjukkan rasa terkilannya bila saya mahu pulang ke kampung pada raya pertama 9 tahun lalu. Ingat lagi selalunya 2 tiga hari sebelum raya rumah kami di pasir mas akan dilimpahi dengan daun palas, dan timbunan ketupat palas yang menunggu giliran untuk direbus. Arwah Mek mengambil tempahan ketupat palas beribu-ribu biji banyaknya. Adakala tempahan ketupat siapnya menjelang pagi Syawal. Saya tumpang kesian dengan arwah. tapi itulah musim Mek mengecapi nikmat berniaga.
Mek pula seorang yang mementingkan kualiti. Jadi hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh membungkus ketupatnya, ketupat mek bentuknya istimewa - tegap, kemas dan ada satu teknik ikatan yang beridentiti. Jadi kalau banyak tempahan Mek akan memberi sebahagian pulut untuk dibungkus oleh Mokcik yam (Mak sepupu saya). Mokcik yam tinggal selang serumah dengan rumah kami jadi arwah mek dan mokcik yam akan berjaga sampai subuh dan bangkit semula sebelum tengahari. Jadi proses itu meletihkan. Kami Adik beradik masih mewarisi resipi Mek daripada cara mengukus, mengarun, membungkus, mengikat, memotong sehinggalah merebus dan merangkai ketupat. Biasanya saya akan disuruh membuka daun palas, memotong tangkai ketupat dan menjaga api dapur sehingga mengangkat dan mengeluar ketupat dari periuk yang direbus.
Jadi kami adik beradik seramai sembilan orang, rutinnya setiap menjelang syawal, akan mengemas rumah sambil meneman Mek membungkus ketupat. Wan selalunya akan bertindak sebagai orang yang mengangkat, merebus dan mengukus. Memang wan cukup cekap bab merebus ketupat. Itulah memori yang terbekas dalam hidup syawal bila datang syawal. Memang dalam kawasan rumah kami yang ada 6 buah rumah tu, rumah saya sahaja yang tak ada biskut raya, mek hanya menyediakan ketupat sahaja, jadi kalau nak makan biskut kenalah kongsi bajet dengan jiran sebelah Mokcik yah atau nik maheran.Sejak Mek dan Wan tak ada, tradisi buat ketupat dah tak ada lagi walau resipi tu masih kekal, cuma mat kali yang selalu menyediakan ketupat menjelang raya. Bentuk dan rasanya masih sama cuma tahun ni dia salah guna pulut... dia pakai pulut susu jadi tekstur ketupat tu jadi lumat lek it. Takpa ya ghazali nanti buat lagi.
Memang kami mewarisi resipi ketupat yang bagi kami anggap paling sedap di Pasir Mas. Sebab itu kalau orang lain yang cuba mengubah resipi dan mengajar kami cara membuat ketupat berbeza dari cara Mek, hati kami jadi bengkak. Kerana inilah cara yang kami tahu, kami kenal, kami hidup, kami hargai, kami warisi.
Mengubahnya bagai mengikis ingatan dan semangat kami kepada mereka.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...