Jom Kita Jadi Geng

Wednesday, March 21, 2007

YANG KETAKSAAN

Saya sekarang berada di Melaka kerana mengikuti satu projek khusus untuk Merdeka. Insya Allah nanti saya ceritakan bila masanya sesuai. Seminggu yang lepas sejak balik dari Cameron, jadual saya agak kelam kabut sedikit dan saya rasa saya amat lemah sekali di dalam menguruskan waktu dan adakalanya saya rasa teman yang lain naik pelik dan meluat dengan cara bekerja saya. Maaf ya Balkis. Tapi fikiran saya tidak tenang dan ada campur aduk beberapa perka dan aktiviti yang sedang saya tumpukan namun seboleh mungkin saya cuba hadir dan jayakan apa yang diperluka oleh Jabatan. Maaf kak Ros. Selepas balik Cameroon saya masuk ofis keesokan harinya walaupun badan rasa tak sedap ditambah lagi masa kat sana angin dalam badan rasa macam tersekat-sekat sehingga rakan-rakan seperbincangan pun terganggu dan berjangkit-jangkit. Actually saya rindui sesi seperti di Cameroon kerana ia bukan sahaja memberi ruang untuk perbincangan malah membuka satu ruang untuk memahami apa kerja dan perkara yang sedang kita usahakan lebih-labih lagi ianya adalah core business jabatan.

PAK NGAH YANG BALIK
Sebelum ke Cameroon tempoh hari, saya bersama Pak Ngah menyudah assingment yang diminta oleh TKSU dan KP JKKN iaitu bebarapa cadangan lagu untuk Hari kebangsaan sempena 50 tahun merdeka dengan tema Malaysia Ku Gemilang. Bukan satu lagu tetapi 3 lagu yang perlu dikemukakan jadi agak buntu dan penat sekali memikirkannya dalam tempoh 2 hari. Tetapi begitulah caranya bekerja di KeKKWA ini dan begitu jugalah caranya bekerja dengan Pak Ngah. Balik dari cameroon, terima panggilan daripada Pak Ngah minta secara tergesa-gesa (seperti biasa) untuk menyiapkan 2 buah lagu untuk Iyeth Bustami... kira buntu juga otak saya kerana bukan sahaja mencari cerita yang sesuai tetapi memikir perkataan dan bahasa yang boleh diterima oleh orang seberang

WAYANG BEBER TAK BERBEBEL

Pada 14 Mac yang lalu, ASWARA dikunjungi oleh seorang seniman dari Solo , Indonesia(nanti saya berikan namanya). ia dijemput dan dibawa oleh Profesor Dr Siti Zainon ke Malaysia dan dibawa ke beberapa institusi pengajian termasuklah ASWARA. Jabatan Teater menerima kunjungan itu dengan menganjurkan satu sesi demonstrasi di Balckbox pada jam 2.30 petang. Semua pelajar teater diminta hadir kerana ia bukanlah satu sesi atau kelas yang boleh dianjurkan selalu.

Apabila mendengar wayang beber, saya jadi pelik kerana ini pertama kali saya mendengar dan tidak pernah melihatnya. Saya lebih dekat dengan persembahan wayang kulit atau beberapa jenis wayang seperti golek, gedek, wong, purwo dan beberapa lagi. namun bila disebut Wayang beber ianya menjadi tandatanya. Minat untuk melihat demonstrasinya begitu kuat sekali
Menunggu Seniman dari Solo ini menjadi tidak sabar. Kak Ros, Balkis, para pelajar dan beberapa pensyarah sudahpun berada di Blackbox. Semuanya nak menonton demonstrasi Wayang beber. Ini kerana, ia penting kepada saya dan kami yang ingin membuat perbandingan serta melihat perbezaan, keistimewaan dan keunikan seni wayang yang baru didengar ini. Apatah lagi kepada para pelajar yang seharusnya belajar bukan sekadar melalui buku tetapi perlu ada observasi.Seniman Solo itu muncul bersama Dr Siti Zainon dan teman dari UKM. Balkis membuka sesi dan menjemput Dr Siti untuk memperkenalkan seniman dan menerangkan sebab musabab dia membawa senima itu jelajah Kuala Lumpur. Jadi pengenalannya kami dimengertikan bahawa 'beber' itu bermaksud 'hampar' atau 'buka'. Apabila seniman itu membuka selembaran kain panjang yang bermuka lukisan patung wayang kulit jawa, nyatanya ia sebuah lukisan klasik dan tua. Katanya wayang beber ini sebenarnya telah wujud sejak abad ke 14 lagi dan diwarisi oleh orang Solo dan telah hampir pupus. Jadi kehadiran beliau ke Malaysia adalah bertujuan untuk memperkenalkan wayang ini. bagus sekali Pak.

Kemudian dibuka lembaran yang lain, sebuah lukisan kontemporari tetapi masih berwajah Jawa dengan paparan cerita yang moden. saya cuba fahami cara permainannya dan cara ceritanya disampaikan. Kata Seniman muda ini, lembaran lukisan ini adalah paparan ceritanya. Kebiasaannya selembar lukisan itu mempunyai 3 episod yang merangkai satu isu dan ianya boleh dipersembahkan selama 1 jam atau 1 setengah jam. Beliau memaklumkan bahawa lukisan itu adalah karyanya dan dia telah bekerja menghasilkan lukisan-lukisan bagi Wayang beber sejak tahun 2005 (masih muda usia senilukisnya). Setiap episod dipecahkan dengan satu penanda yang menjadi sebahagian daripada lukisan itu di mana ia mungkin boleh sebagai petisurat, bakul, meja atau sebagainya asalkan sifatnya jelas menjadi sempadan kepada cerita.
Di dalam setiap episod itu pula terdapat beberapa lingkungan. Katanya masyarakat Jawa percaya kepada lingkungan kerana di situ adalah pemusatan aktiviti dan sosial. Jadi apabila masyarakat itu bertani maka ada sekelompok yang disebut sebagai lingungan yang sedang menyemai padi, menumbuk antan, menampi dan sebagainya. Setiap daripada lingkungan itu mempunyai isu dan menyelesaikan isu mereka di dalam lingkungannya berasaskan latar sosial dan persekitaran hidup mereka. Penuh berfalsafah dan menarik sekali dan sejujurnya saya menyukai konsep lukisan dan pemaparan cerita sebegini.
Setelah ditunjukkan lukisan-lukisan itu, semestinya kita memerlukan satu demonstrasi permainanya. Rupanya, seniman itu bukanlah seorang pemain wayang beber dan bukan seorang dalang atau pemuziknya pun. Beliau hanyalah seorang pelukis lembar wayang beber. Dia tidak bisa menunjukkan permainan itu makanya kami yang datang ke sesi ini menjadi peserta kepada satu apresiasi seni halus yang bagi saya agak kurang jujur pada idea asalnya. Sebagai orang yang mahu membawa sejenis seni persembahan seharusnya mempamerkan satu demonstrasi permainan bukan hanya lukisan sahaja. Hal ini sepertilah kita ke negara luar ingin menjual budaya Wayang Kulit tetapi membawa patungnya sahaja tanpa kelir, muzik dan dalangnya. Jadi peranan ini boleh saja dimainkan oleh seorang jurujual dan tidak perlu seorang seniman. Berikan sahaja buku kepada jurujual itu maka tahulah ia mengelentongkannya.
Apapun saya mengucapkan setinggi terima kasih kepada Dr Siti di atas usaha beliau untuk memperkembangkan satu genre baru dalam seni pertunjukkan. Sedikit sebanyak ia dapat memberi ilmu dan latar mengenai Wayang beber wakaupun akhirnya tidak ada seorang pun yang mampu berbebel mengenai wayang beber!

Friday, March 16, 2007

CEMUTCHAN DAN COMEI


Terima kasihlah saya ucapkan kepada dua rakan saya, seorang rakan lama sepermainan dan seorang lagi rakan yang baru saya kenali hanya melalui telefon sahaja. Itupun secara kebetulan kerana berlakunya kesilapan yang dilakukan oleh Cemutchan. Kalau tak kerana cemutchan mungkin saya tidak belajar beberapa perkara baru di dalam meningkatkan kemahiran mengendalikan blog daripada Comei.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan salamt datang ke blog ini dan selamat menziarahi entri-entri saya yang terdahulu. Sekiranya saya memerlukan pertolongan maka andalah yang saya akan hubungi.

Thursday, March 15, 2007

LIRIK UNTUK IYETH BUSTAMI

Saya baru saja menyiapkan sebuah lirik lagu untuk seorang penyanyi dari Indonesia. Mungkin ia tidak popular di Malaysia namun lagu dan suaranya cukup unik serta merdu sekali. Namanya IYETH BUSTAMI. Dialah penyanyi lagu LAKSAMANA RAJA DI LAUT. Saya hasilkan sebuah lirik daripada lagu ciptaan Pak Ngah berentak Samrah Defei (ia semacam lagu Hati Kama).

INTAI MAKNANYA
Verse 1
Intan batulah intan, intanlah permata
Tentu sungguhlah tentu, tentulah bermakna
Intai cubalah intai, intailah maknanya
Intai maknanya
ramai-ramai
Intan batulah intan, intanlah permata
Tentu sungguhlah tentu, tentulah bermakna
Intai cubalah intai, intailah maknanya
Verse 2Cubalah kaulihat beburung yang terbang
Apakah derita mimpi yang bersarang
Bagai mana burung di sangkaran
Air mata nasib suratan …. Lihat ….
Verse 3Tidakkah kau tertawan permata
Kilauan bukan harga
Tidakkah kau bertingkah tilikan
Yang taksa ketaksaan
Berteduh bawah bebayang
sebelum ia hilang
Berarah sinaran bintang
Gelap pun tampak terang
CHORUSTak terjangkau di mana keindahan
Tak kau temu di dalam seharian
Cubalah cari di lingkaran kehidupan
Dengan taakulan mata hati kebenaran

susah dan sukar sekali mahu membaca melodi yang diberi Pak Ngah. Tetapi apabila saya bandingkan dengan hati kama saya dapati ianya tidaklah sesusah mana, mungkin kerana irama dan teknik nyanyian yang merangkai-rangkai membuatkan payah sekali untuk saya mengenal pasti jeda dan bahagian suku katanya yang sebenar. pak Ngah sendiripun banyak kali menukar lenggoknya apabila cuba membetulkan sukukata kepada saya. apa yang nyata, lagu ini boleh diimprovised dan amat bergantung kepada kehebatan penyanyi itu. Melodinya tentu sekali mesti bagus...Pak Ngah - what do you expect?

Monday, March 12, 2007

QADIM



Tidak sabar dan teruja untuk menonton persembahan 'Qadim'. Ia adalah malam yang menghimpunkan persembahan koreografi-koreografi yang pernah dihasilkan oleh rakan saya Joseph Gonzales. Apa yang menarik, persembahan Qadim akan turut menemukan dua generasi dalam dunia tari kontemporari. Joseph Gonzales akan mementaskan 'Windows and Walls', '9 to 5', 'Tajau', 'Wirama', 'Suara' dan 'Qadim'.
'QADIM' akan menghimpunkan penari dan koreografer seperti Umesh Shetty, Gan Chih Pei, Judimar Hernandez, Elaine Pedley, Azizi Sulaiman, Ismadian Ismail, Aris Kadir, Shafirul Azmi Suhaimi and Joseph Gonzales. Jelasnya, malam itu nanti akan menyaksikan guru-guru dan anak-anak murid di atas pentas yang sama. Menurut Joseph QADIM adalah hasil daripada kolaborasi kerja bersama artis-artis dunia yang telah dilakukan beberapa bulan yang lalu semasa dia mengikuti APPEX 2006 di California. Hasil kerja yang menarik itu telah mendorong Joseph untuk memperkembang ideanya di pentas Kuala Lumpur.
Kenapa tajuknya 'Qadim'? kerana ia membawa maksud 'yang terus hidup' di mana perkataan itu memberi erti yang cukup bermakna buat Joseph yang ingin melihat dunia seni tari terus mekar di persada seni serta merasakan bahawa senitari tidak pernah padam dalam hidup mereka yang merasakan dirinya Penari. Kita tunggu Qadim yang akan bermula 17 Mac 2007 di Panggung Eksperimen jam 8.30 malam.

Friday, March 2, 2007

BENGKEL TARIAN GAMELAN

photo : Tarian Gamelan 'Ayak-ayak'



Jabatan Tari ASWARA akan menganjurkan bengkel tarian gamelan mulai 3-11 Mac 2007 di ASWARA. Bengkel ini adalah satu inisiatif jabatan untuk memelihara tarian gamelan dan mendekatkan tarian tersebut kepada para pelajar jabatan Tari. Ini bukanlah bermaksud bahawa Jabatan Tari tidak menawarkan pengajian tarian Gamelan tetapi tempoh pengajian dan kurikulum yang ada tidak mencukupi dan terhad untuk menawarkan keseluruhan tarian di dalam ensemble joget gamelan.

Oleh itu, bengkel ini lebih merupakan pengisian kepada mendapatkan latihan dan kemahiran pratikal tarian gamelan di luar daripada keperluan akademik namun amat bermanfaat untuk keperluan pengalaman dan keilmuan. Sebagai memenuhi keperluan ini juga, Jabatan tari telah menjemput bekas penari joget gamelan dari Terengganu, Puan Wan Salmah untuk membimbing para pelajar. Maklumat lanjut boleh hubungi Mr. Joseph Gonzales/ Jamaliah di talian 03-26975319.

Thursday, March 1, 2007

TUNATARI 2

Ahmad Tarmimi was my immediate boss in year 96
Semasa saya jejak Panggung Negara dan memegang portfolio Penolong Pengarah Kumpulan Budaya Negara (KBN). Itu bukanlah impian saya kerana KBN lebih menjurus kepada produksi tari khususnya persembahan tari untuk promosi kebudayaan. Macamana saya yang buta pasal tari dan tidak tahu menari (sekarang pun) mahu mentadbir dan mengurus sebuah kumpulan tari negara. Namun kata orang 'alah bisa tegal biasa' dan 'arahan dari masa ke semasa', saya tegapkan kaki dan berdiri dengan yakin kerana ini adalah pilihan saya untuk berada di Panggung Negara (IB), walaupun bukan mentadbir kumpulan teater. Rupa-rupanya baru saya sedari ketika itu bahawa di Panggung negara ada sebuah kumpulan tari nasional yang dianggotai oleh artis budaya dan koreografer yang dianggap terlatih dan terbaik di dalam menarikan tarian tradisional Malaysia. Saat itu, apabila saya pasangkan keyakinan dan tebarkan fikiran, saya jadi bangga kerana berada di sekitar mereka yang saya cumburui. Di pejabat, aktivis dan tokoh teater/kesenian silih berganti datang bertemu dan berbincang...bukan dengan saya tetapi rakan-rakan pentadbir yang lain. Ini tambah menambat hati saya untuk berada di Panggung Negara. Saya suka, saya teruja. Syed Alwi, Rahim Razali, Abdullah Zainol, Faridah, Rohani dan ramai lagi...itu belum disebut aktor dan penyanyi pujaan.

Show Matic adalah show harian yang dipandang ringan namun ia platform melatih artis budaya menguasai  lebih banyak tarian.
Tetapi di manakah saya ketika itu, adakah mereka melihat saya sebagai seorang pentadbir seni atau insan yang punya wawasan dalan pengurusan kesenian? Saya anggap bahawa saya tidak di dalam kelompok itu apatah lagi dengan saiz badan saya dan fizikal serta keperibadian saya, ramai yang beranggapan bahawa saya seorang artis budaya malah memanggil saya sebagai koreografer dan mereka merujuk saya mengenai kebudayaan khususnya senitari. Ini amat mencabar saya. Cuba bayangkan, apabila kita berada di dalam lingkungan mereka yang mengharapkan respon atau pandangan kita ... dan tiba-tiba kita tidak mampu melontar satu hujah yang betul atau bernas mengenai bidang kita, jadi pada masa itu di manakah moral dan kedudukan kita yang memilih Pegawai kebudayaan sebagai kerjaya? Itu bermain dalam fikiran saya ! Dari saat itu saya memilih untuk mendalami seni tari dan kebudayaan melalui pembacaan, pemerhatian dan penghayatan dengan mengaitkannya dengan pengajian saya di universiti. saya bertuah kerana saya memiliki ilmu Pengajian Melayu dan ianya amat membantu saya di dalam memahami seni budaya dalam konteks Melayu atau nusantara, apatah lagi jika mengaitkannya dengan sosiologi.
berdiri atas kanan tu ialah Juhara Ayob.
Dia dancer batch 1989-1994

Yang lebih membantu saya dan mendorong adalah kerana persekitaran pekerjaan saya, saya bekerja dengan mereka yang mahir praktisnya...hebat sekali namun apabila mahu diterjemahkan ke kertas mereka lemah! Untuk mentafsirnya maka sayalah orangnya. Cuba bayangkan jika setiap tahun saya perlu menguruskan sekurang-kurangnya 70 buah persembahan tari bertaraf nasional (tidak termasuk persembahan mingguan di MATIC) dan setiap kali itulah saya ke mesyuarat dan memberi pandangan mengenai keperluan tarian untuk sesuatu majlis. Saya tidak boleh 'assume' sahaja tetapi perlu melihat kepada sudut khalayak dan etika majlis , tapi itu dulu masa 1997-2001.Selain pembacaan, saya turut mendapat kerjasama dan bimbingan yang baik daripada Pengarah Panggung Negara ketika itu, Tuan Haji Supiat Mukri. Yang saya anggap dia merupakan guru sebenar kepada pembangunan seni tari Malaysia yang mampu melahirkan Sharifah Mahani, Mahmud Ibrahim dan Maziah Omar malah nama-nama seperti Pak Ngah, Juhara Ayob, Lokman Ghani, juga.
Inilah veteran KBN, Datin Sharifah mahani, Pak Esbat, Pakngah (Datuk)
dan  Abang yassin

Tetapi itukan terserah kepada individu bagaimana menggunakan ilmu dan mengembangkan ilmunya. Melalui mereka saya banyak berbincang dan mengenal congakkan dalam seni tari. Di mana istilahnya amat asing sekali dengan saya. Namun hari ke hari ia menjadi mesra dan mendekatkan saya kepada tarian. Saya jadi seorang pecinta seni tari yang baik. Saya bisa mengenal kehebatan seseorang penari itu, kebagusan sebuah tarian dan kecantikan sebuah karya tari. Panggung Negaralah yang mengajar dan mengasuh agar saya mencintai seni budaya ini. Sehinggakan saya menjadi seorang yang begiTu nasionalis kepada Istana Budaya. pantang dikutuk dan dihina karyanya... namun pada tahun 2001 ada rasa lain yang hinggap ke fikiran saya... NANTI SAYA CERITAKAN

NAMANYA BALKIS


photo : extra turn " Aku cari lelaki gagah"
Dia rakan sekerja saya di Jabatan Teater. Beliau di Jabatan Teater sejak tahun 2001 dan belum beralih lagi. Memang kerusinya cukup kukuh di jabatan ini walau para pelajar silih berganti. Yang bagusnya, para pelajar selesa bekerja dengannya kerana sikapnya yang mesra dan tidak terlalu mementingkan formaliti. Apatah lagi rakan saya ini sentiasa memberikan komitmen yang tinggi kepada kerjanya. Sebelum ini saya pernah bersamanya di Jabatan Teater sebelum saya ke HEA pada akhir tahun 2003.
photo: Randai "Puti Nilam Sari"
Nyatanya, Balkis lebih senang membuat kerja-kerja pengurusan dan produksi dan kerana itulah juga beliau turut memiliki minat yang tinggi dalam produksi sama ada sebagai pengurus atau pelakon ataupun penyanyi. Itulah yang ditunjukkan di pentas bangsawan tempoh hari, berpasangan dengan si Sherry. Sebelum ini Balkis pernah ke pentas bersama saya dalam produksi randai Puti Nilam Sari sebagai pelakon dan penyanyi. Saya sering memerhati orang yang ke pentas bukan sekadar mencari silap atau mencari hiburan namun mencari potensi dalam seseorang itu. Nyatanya potensinya adalah tinggi cuma saiz tu kontrol sikit kerana ia akan memberi kesan kepada stamina.... GO BALKIS GO!

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...