Jom Kita Jadi Geng

Thursday, November 24, 2022

SUPIAT MUKRI - ARKITEK SENI PERSEMBAHAN MALAYSIA

 

Tuan Haji Supiat bersama isteri, Puan Umi
dan anak didiknya Zulkarnain Ramly dan saya. 


Kata orang ‘kalau ada yang baharu tentulah ada yang lama’ . Yang lama tentulah memulakan banyak perkara , apatah lagi fitrah manusia menghasilkan sesuatu untuk mengisi kehidupan. Maka manusia berinteraksi dengan alam, peradaban dan kemajuan sezaman.

Tuan Haji Supiat Mukri adalah ‘master mind’ kepada kegiatan kesenian di tahun-tahun tujuh puluhan sehingga tamat perkhidmatan beliau sebagai penjawat awam. Meski pun berada di kerusi pentadbir, kesenimanan beliau terserlah melangkaui bidang tugasnya. ‘Passion’ telah menolak beliau menggali, meneroka dan menyumbang lebih besar kepada kesenian tanahair. 

Beliau mula menunjukkan minat yang tinggi dalam kesenian apabila terlibat secara aktif dalam beberapa pertubuhan dan kelab seni sekitar tahun enam puluhan. Beliau menyertai Angkatan Pelukis Semenanjung, Badan Kesenian Ibu Kota dan Drama Council. Kecenderungan beliau bukan hanya pada bidang teater tetapi beberapa bidang lain seperti seni tari, seni lukis dan teknikal pentas. Beliau pernah bergelar koreografer terbaik, pengarah terbaik, pereka set terbaik dan kumpulan tarian terbaik.

Di atas kecenderungan yang tinggi, dalam tahun 1974, beliau di tempatkan di Kementerian Belia dan Sukan untuk menguruskan kegiatan seni budaya bertaraf nasional. Di sinilah kewibawaan dalam memimpin seni budaya terserlah. Beliau bersama-sama seniman di Taman Budaya membentuk standard baharu dalam persembahan seni tari dan muzik di Malaysia. Nama-nama seperti Dato Ahmad Tamimi Siregar, Dato Zulkifli Zain, Dato Hail Amir, Uji Rashid, Datin Normala Omar, Bob Khalil, Nik Mustapha Nik Salleh adalah antara penari dan pemuzik yang menyinar di situ. Dari sini juga wujud manual-manual dalam permainan muzik tradisional dan pengajaran seni tari Melayu.

Daripada sebuah unit yang kecil, taman budaya berkembang fungsi dan aktivitinya. Tuan Haji Supiat bersama tokoh seperti Datuk Rahim Razali menggerakkan teater. Pada tahun-tahun 70an, sewaktu gerakan teater oleh orang-orang muda seperti Johan Jaafar, Hatta Azad Khan, Dinsman dan gerakan Anak Alam menampakkan taringnya. Tuan Haji Supiat dan Datuk Rahim Razali menyatukan beberapa nama besar seperti Sasterawan Negara Usman Awang, Seniman Negara Syed Ahmad Jamal, Dato Krishen Jit, Dato Faridah Merican, Dato Syed Alwi dan ramai lagi untuk membantu menyemarakkan teater di Malaysia. Lahirlah muzikal Uda dan Dara dan Muzikal Kuala Lumpur Kuala Lumpur. Ia meletakkan standard tinggi kepada seni persembahan di Malaysia. Saban hari di majalah dan akhbar orang memperkatakan tentang teater.

Wawasan Tuan Haji Supiat dalam seni budaya bukan hanya pada kegiatan persembahan sahaja. Seperti kata Allahyarham Pak Ngah "KBN adalah universiti saya". Benar sekali, KBN menjadi sebuah makmal yang melaksanakan eksperimen dan membentuk satu sistem dalam persembahan pentas. Terhasil dari sini karya-karya kontemporari. KBN berkolaborasi dengan Federal Academy of Ballet, Temple of Fine Arts, LIDRA, MATG, Dramatic Arts, British Council dan banyak lagi. 

Melihat pendidikan adalah pemangkin kepada kelahiran karyawan berilmu, KBN mewujudkan Institut Bimbingan Seni (IBS) . Daripada IBS, ia meyakinkan para pembuat dasar bahawa betapa pentingnya pendidikan seni dalam melahirkan seniman berilmu. Lalu berkembang menjadi Sijil Seni Kreatif di Universiti Sains Malaysia dan seterusnya tertubuh Akademi Seni Kebangsaan di bawah kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia (1994). Hari ini ASK bergelar ASWARA yang berjaya menawarkan pengajian sehingga Ijazah kedoktoran.

Tahun-tahun lapan puluhan, dunia teater menempuh fasa kemalapan. Penonton mula menjauhi panggung teater dan seni teater dilihat terlalu rumit dan mengaburkan. Vakum 80an seperti kehilangan arah dan tersalah kemudi. Dalam tempoh itu, Tuan Haji Supiat mengembara mempertajamkan ilmu di dalam seni di East West Centre, University of Hawaii dan menerima Fellowship melalui Fullbright, UNESCO, Japan Foundation, Australian Drama Council dan British Council. Setelah pulang, beliau ditempatkan semula di Kompleks Budaya Negara sebagai persiapan menuju Panggung Negara.

Tahun 1987, sebagai Pengarah KBN, beliau menggerakkan satu strategi drastik  dengan memperkenalkan program drama sebabak. Beliau mengajak semula tokoh tokoh teater dan membawa masuk nama-nama popular bertaraf selebriti sebagai pemancing audien. Strategi ini merubah landskap seni budaya di Malaysia. Penonton mendekati semula seni pentas dan demografi khalayak mula berkembang. Strategi membangun teater dan mengembangkan seni budaya tanahair masih terlaksana sehingga hari ini. Susulan daripada itu, ramai artis popular menyertai teater dan menjadi antara penggerak kepada populariti teater. Media massa mewujudkan ruangan dan liputan khusus mengenai teater, bahkan lahir ramai pengkritik dan pengulas teater selepas Krishen Jit.

Dari tahun 1974 hingga menamatkan perkhidmatan di kerusi ketua Pengarah Istana Budaya pertama (1999), jasa dan sumbangan beliau di dalam perkembangan seni budaya tanahair cukup bermakna. Daripada wawasan hebat beliau, kita dapat melihat lahirnya tokoh-tokoh besar di bawah bimbingannya. Nama-nama seperti Pak Ngah @Datuk Suhaimi Mohd Zain, Dato Ahmad Tarmimi Siregar, Dato Hail Amir, Dato Zulkifli Zain, Datin Sharifah Mahani Syed Kassim, Datin Normala Omar, Maziah Omar, Mahmood Ibrahim, Yusof Wahab, Lokman Ghani, Prof Madya Aminah Rhapor, Prof Kipli Abd Rahman, Juhara Ayob, Wan Maimunah dan ramai lagi. Jika mahu disebut nama dan program yang lahir sewaktu beliau tentu banyak sekali.  

Pada tahun 2011, Di atas perananya sebagai arkitek seni pentas Malaysia, beliau telah dianugerahkan Anugerah Ijazah Sarjana Kehormat ASWARA.

Hari ini, di usia 81 tahun. Meski beliau kelihatan jauh daripada perkembangan seni budaya tanahair. Namun, apabila diajak untuk menyumbang buah fikiran ternyata wawasan dan idenya masih tajam dan signifikan. Ternyata jiwa seninya belum pudar. Pada 22 Oktober 2022 , Tuan Haji Supiat Mukri telah dianugerahi gelar Tokoh Teater Sepanjang Zaman dalam Anugerah Teater Malaysia anjura Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Syabas!


Padi tuan di atas junjung,

Letak melintang diikat tali;

Budi tuan tetap kami sanjung,

Seperti bintang di langit tinggi.

Tuesday, September 6, 2022

ARTIS TUA TAK MAKAN AJAR

(Bukan orang sebenar - hiasan)

Dia membuktikan bahawa pengalaman berpuluh tahun tidak semesti menjadikan seseorang itu makin bagus dan bijak. Dari awal kemunculannya, hidup dengan sensasi, ironinya media menjual ceritanya. Industri kena layan dan terima. Sepanjang kerjayanya, pernah tak dia menghasilkan sesuatu yang boleh kita bangga dan hormat? Awal dulu saya taruh percaya juga yang dia serius jadi anak seni. Manusia kan boleh belajar membaiki diri. Itu dulu, sekarang di usia kematu, tinggal harapan lah ya.


Dulu dia pernah mewakili Malaysia berada di kerusi Juri di Indonesia sebaris Mas Idayu, lis Dahlia dan artis hebat Indonesia, dia pukul canang dan statementnya seperti hari ini “kau siapa nak cakap” Betullah tu. Ada orang boleh capai macam macam dalam hidupnya. Dan guna macam macam cara untuk ke tempat itu.

Hujungnya orang akan ukur kredibiliti. Saya ingat semasa dia memberi ulasan di kejuaraan DAA itu ia sungguh menjatuhkan air muka orang kita. Tarannum pun salah disebut apatah lagi menghurai persembahan. Kadangkala kebodohan terbit sewaktu kebijaksaan dibuat buat. Macam juga dalam hal hal dia kebelakangan ini, ia benar benar menelanjangkan siapa dia yang mendabik dada sebagai orang lama dalam industri.

Kalau Ustaz dan Ustazah menegur pun dia menepis dan menyerang balik malah menunjuk nunjuk, apalah sangat Hattan dan budak baru yang menegur. Silapnya kita lupa yang dia belajar tak tinggi, dan tak tahu nak belajar menguasai muzikalitinya, lalu pemikirannya hanya di sekitar baju, kasut, beg, make up dan gimik gimik. Bijaknya dia ialah dia tahu orang kita layan hal bodoh bodoh. Jadi lepas ini kalau ustaz ustazah atau bijakpandai nak tegur dia, kita kena bodohkan diri dulu supaya teguran kita mudah dia faham.

Bagi saya, Ia seperti daki,
jika tidak ditanggalkan,
Badan jadi busuk dan berpenyakit

Tuesday, August 16, 2022

LAWAK TAK BEROTAK

Sudah lama saya perhatikan senario dunia lawak kita sejak 15 tahun kebelakangan. Meriah dengan gelak tawa. Banyak sekali program tv dan radio dijayakan mereka malah pagi-pagi pelawak yang meriuhkan pemanduan ke pejabat. Ia seolah satu fenomena setiap acara mesti ada pelawak bahkan penyanyi dan pelakon pun ada mengembang bakat lawak mereka. Meriah.


Dalam kemeriahan meraikan bakat bakat baru lawak jenaka, secara perlahan pendengaran dan penontonan kita dibiasakan dengan perkara yang tidak biasa. Soal adab soal bahasa soal sensitiviti soal tanggungjawab sebagai manusia juga semakin menipis. Hari ini media telah menghalalkan banyak hal yang taboo. Taboo bermaksud sesuatu yang dapat mengawal adab, sopan susila, sensitiviti bukannya hal hal kuno dan konservatif. Namun atas nama parodi atas nama jenaka atas nama hiburan, ia menjadi normal dan baik baik saja.
.
Jadi kita dengar dan lihat di tv di media, pelawak menengking, memaki hamun, melontar kata kesat dan kata berbaur lucah tanpa rasa tanggungjawab. Itu semua atas tiket jenaka dan mereka hanya berlawak. Alasan media akan kata kalau tak suka tukarlah channel. Ego nya cukup tinggi dan subteksnya - Kita yang bermasalah.

Era 90an memang kita kekurangan pelawak tapi dalam kekurangan itu kita ada Senario yang masih berlawak dengan tanggungjawab di mana stesen tv masih mengawal. Kini lawak ditayang secara langsung, kalau terlepas kira halal saja. Sebelum senario kita ada grup Santan Berlada dan geng Pi Mai Tang Tu pun bagus dan menghiburkan. Kita ada generasi Badul, R Jaafar Hamid Gurkha Yahya Sulong Jamali shaadat Ayappan dan kalau mahu dijangkau jauh ada ramai lagi sezaman Aman Belon. Hari ini mereka lebih selesa digelar pelakon komedi bukan pelawak tapi asasnya sama Jenaka.

.
Maka bila terbit video wanita persenda Islam dan video video lain di gelanggang komedi, kita mula buka mata. Bahayanya jika tidak ada kawalan. Siapa patut mengawal? Kerajaan ke? Takkan lah sampai begitu. Di era lebih 60 tahun merdeka ini rasanya tanggungjawab membina bangsa, tanggungjawab kepada manusia lain itu sepatutnya tugas semua yang waras. Saya harap mereka yang berdiri di pentas lawak itu orang yang waras tidak dipengaruhi alkohol dan dadah.
-
Jangan pula ada kata ‘susahlah malaysia ni semua nak sensitif, semua tak boleh’ . Kat America sudah popular acara selebriti membaham seseorang tokoh terpilih secara jenaka tanpa batas bahasa asal penonton gelak. Saya nampak dalam satu program lawak macam sidang parlimen kat tv kita. Para politikus jangan selesa dengan perkembangan begini. Hari ini sudah terbukti pendidikan yang baik dan tinggi tidak menjamin seseorang itu bertanggungjawab dan menjadi berhemah. Apatah lagi pelawak di tv macam macam latar hidupnya. Kalau jenis tak suka baca buku maka lawaknya akan berkisar hal vape dan motor dan awek cun dan pickup line. Soal bahasanya, jangan haraplah nak bagus.
.
Ini bukan soal perjuangan bahasa ya. Ini hal tanggungjawab orang seni.

NAMA SAYA DISEBUT

Rasa terharu bila nama saya disebut sebagai antara pelakon yang memberi kesan dalam melakonkan watak ikonik. Rasa usaha dihargai.

JIWAI WATAK IKONIK

Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


BERLAKON adalah tugas dan tanggungjawab yang tidak semudah disangka. Untuk menyentuh hati penonton, pelakon tidak sekadar menjiwai watak, tetapi juga dari segi penampilan.

Menerusi penampilan, ada ‘roh’ watak yang menyerap masuk dalam tubuh mereka saat menjayakan sesuatu watak terutama jika watak yang dibawakan itu adalah tokoh yang ikonik.

Berikut adalah antara 10 selebriti tempatan dan luar negara yang berjaya memberikan penampilan hampir mirip dengan watak ikonik yang mereka bawakan.

Nad Zainal - Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali

Sebut saja nama Tun Dr Siti Hasmah, tentunya seluruh negara cukup kenal dengan sosok isteri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed itu.

Menariknya, Nad Zainal bakal muncul sebagai tokoh ikonik itu dalam filem biopik berjudul Hasmah dan kini mula menjadi bualan kerana dikatakan benar-benar mirip dengan penampilan sebenar Siti Hasmah ketika zaman mudanya.

Namun, ramai yang masih tertanya-tanya mengenai siapa pengarahnya kerana ada yang mengatakan bahawa filem yang masih menjadi rahsia ini diarahkan pengarah hebat dari Indonesia.


 

Mohd Kamarulzaman@Che Kem - Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj

Satu lagi watak tokoh ikonik yang berjaya dibawakan dengan baik ialah Tunku Abdul Rahman lakonan Mohd Kamarulzaman atau Che Kem dalam filem 1957: Hati Malaya.

Lakonan Kamarulzaman dalam filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu nampaknya benar-benar kelihatan seperti keperibadian Perdana Menteri pertama itu.

Esma Daniel - Tun Dr Mahathir Mohamed

Pementasan teater muzikal Tun Mahathir pada 2010 juga pernah menjadi bualan ramai apabila pelakon, Esma Daniel berjaya membawakan watak Tun Mahathir dengan sangat baik. Tak sekadar menjiwai watak, Esma juga tampil mirip dengan Perdana Menteri itu, sekali gus membuatkan ramai penonton kagum.

Menempa kejayaan, teater muzikal itu dipentaskan semula pada 2011 atas permintaan ramai di Panggung Sari, Istana Budaya.

Azhan Rani - AR Tompel

Bagi yang pernah menonton telefilem biopik, Saloma, tentunya watak Allahyarham AR Tompel yang dibawakan pelakon versatil Azhan Rani tidak akan dilupakan.

Membawa watak sebagai pelakon legenda bukan tugas mudah, namun Azhan membuktikan bahawa usahanya berhasil dan menerima pujian penonton.

Dari segi pergerakan, cara percakapan, bahkan suaranya juga kedengaran begitu mirip dengan ikon filem Melayu yang sezaman dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee itu.


Monday, August 15, 2022

SEPERTI LAHIR SEMULA


Ya Allah lamanya tak buka blog ini. Saya sebenarnya lupa passwordnya dan tentu sekali sibuk dengan laman sosial yang lain. Maklumlah di laman-laman itu lebih cepat mendapat respon. Namun saya akui menulis di Ngadapseni ini lebih puas. Banyak idea dan kritikal boleh saya curahkan. Doa-doakan lah saya rajin memuat naik hal-hal yang baharu ya. 

 

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...