Jom Kita Jadi Geng

Monday, September 7, 2015

ANGIN WAYANG EYO HOCK SENG

Terima kasih KOSMO, Sabtu 5 September, kerana menyiarkan makalah mengenai Angin Wayang anjuran PuTRA. Terima kasih buat wartawan Nabiha Mohd Yusof.

Keunikan 10 variasi suara watak
Oleh NABIHA MOHD. YUSOF
Foto SHIDDIEQIIN ZON

Suara rendah dan kasar perlu digunakan untuk memainkan watak gergasi atau jin.


 ALUNAN muzik tradisional seperti gendang, gong, serunai dan canang menjadi lebih rancak dan kuat tatkala Tuan Kecik Raden Arjuna bertarung dengan Bapa Gergasi Agong.

Kelihatan bayang-bayang Tuan Kecik Raden Arjuna lenyap dan mencederakan pihak lawannya. Pertarungan tersebut begitu mendebarkan.

Penonton yang menyaksikan persembahan wayang kulit berjudul Anak Kera Belira Sakti di ruang legar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) tidak sempat untuk mengerlipkan mata, kerana tidak mahu terlepas menyaksikan babak-babak menarik. Menariknya, tok dalang iaitu orang yang mempersembahkan sesebuah cerita wayang kulit bukanlah calang-calang orang yang berasal dari Kelantan.

Tok dalang bernama Eyo Hock Seng, 60, merupakan satu-satunya tok dalang kaum Cina yang masih mengekalkan warisan negeri Che Siti Wan Kembang itu.

"Minat saya terhadap wayang kulit lahir sejak kecil lagi ketika berumur sembilan tahun. Saya kerap menonton wayang-wayang kulit bersama rakan-rakan," katanya yang lebih mesra dipanggil Pak Chu.

Sambil menghirup secawan teh, Pak Chu menceritakan, perjalanannya menjadi seorang tok dalang tidak semudah yang disangka.

Adiguru Pak Nasir membantu Pak Chu
mempersiapkan diri sebelum persembahan
"Untuk menjadi tok dalang seseorang kena rajin belajar, banyak bersabar dan minat yang mendalam terhadap wayang kulit. Saya nasihatkan ia perlu bermula dari usia muda.

"Terdapat beberapa peringkat untuk menjadi tok dalang dan memakan masa yang lama," ujarnya dalam loghat Kelantan.

Sebelum dia menjadi tok dalang, Pak Chu yang dikenali oleh masyarakat Kelantan dengan nama Melayunya iaitu Syafie, membiasakan diri menghadiri persembahan wayang kulit setiap kali jika berpeluang.

Dia meneliti persembahan pada malam itu sebelum pulang ke rumah dan menghasilkan wayang kulit sendiri daripada kertas, dedaun dan kayu. Kemudiannya, dia akan mempersembahkan kepada ahli keluarga.

Pak Chu memberanikan diri dan berbaik-baik dengan tok dalang terdahulu dengan harapan supaya mereka dapat menerimanya sebagai anak murid.

Ketika dia berumur sembilan tahun, gurunya tidak membenarkan Pak Chu mempelajari wayang kulit kerana masih terlalu muda. Jadi, guru beliau mengajarnya perkara asas wayang kulit iaitu memahirkan diri bermain alat muzik tradisional. Selama 42 tahun memceburkan diri dalam bidang itu ia bukan jangka masa yang pendek.

Beliau belajar bermain alat-alat muzik seperti serunai, gong, gendang, geduk, kesi, gedombak dan canang selama lima tahun sebelum menjadi tok dalang muda. Pak Chu memberitahu, minatnya tidak pernah dihalang oleh keluarganya malah mereka lebih mendorong dan sanggup membelikan alat-alat muzik untuk dia berlatih. Seni budaya seperti wayang kulit sebenarnya tiada jurang jantina, bangsa mahu pun agama kerana ia boleh diminati oleh masyarakat umum.

Kamarul Baisah bertindak sebagai Dalang Muda pada malam itu
Namun begitu, kaum wanita tidak dinasihatkan untuk menjadi tok dalang kerana kurang sesuai. Hal ini kerana kebanyakan wanita tidak dapat menghasilkan suara rendah.

"Wayang kulit bukan setakat pandai bermain dengan boneka itu sahaja. Tok dalang perlu ada ilmu pengetahuan mengenai muzik di samping mempunyai suara lantang," katanya yang pernah cuba melatih wanita menjadi tok dalang tetapi gagal.

Hal ini kerana, tok dalang perlu mempunyai suara yang pelbagai sekurang-kurangnya 10 variasi seperti tona rendah untuk memainkan watak lelaki. Selain tona, suara tok dalang juga perlu mempunyai intonasi berbeza seperti tona rendah tetapi kuat dan kasar untuk memainkan watak gergasi atau jin. Di samping itu, tok dalang yang bagus harus pandai improvasikan atau mempelbagaikan jalan cerita wayang kulit supaya tampak lebih menarik.

Misalnya dalam cerita Anak Kera Belira Sakti, Pak Chu menyelitkan elemen lawak jenaka dan mengurangkan sedikit kepekatan bahasa Kelantan supaya difahami oleh penonton.

"Itu yang saya maksudkan, menjadi tok dalang bukanlah satu perkara yang senang, masih banyak yang perlu dipelajari," selorohnya.

Alat muzik yang digunakan dalam wayang kulit ialah gong, serunai dan gendang.

Angin Wayang Dalang Cina merupakan persembahan dan bengkel wayang kulit bersama Pak Chu yang dianjurkan oleh Pusat Seni Pentas Tradisional (Putra) Aswara.

'Angin' bermaksudkan jiwa seni Pak Chu dalam mempersembahkan cerita-cerita wayang kulitnya kepada penonton. Kali ini, penontonnya adalah para pelajar Aswara.

Wayang kulit merupakan satu bentuk teater tradisional yang menggunakan prinsip pencahayaan dan bayang-bayang. Pak Chu membawakan kisah Anak Kera Belira Sakti yang merupakan salah satu hikayat daripada Epik Ramayana.

Dalam cerita tersebut, terdapat tujuh babak yang dipersembahkan. Pada babak pertama dimulakan dengan lima orang pengasuh yang telah diperintah oleh raja Seri Rama untuk datang menghadapnya. Seri Rama gusar kerana anaknya, Tuan Kecik Raden Lakpeleman telah hilang apatah lagi sayu melihat seorang lagi anaknya, Tuan Kecik Raden Arjuna merindui adiknya. Tuan Kecik Raden Arjuna tidak lalu makan dan tidur kerana begitu sedih melihat nasib menimpa adiknya. Oleh itu, Seri Rama memutuskan supaya pengasuh-pengasuh itu menemani Tuan Kecik Raden Arjuna untuk mencari Tuan Kecik Raden Lakpeleman. Dalam perjalanan mencari Tuan Kecik Raden Lakpeleman, mereka bertembung dengan angkatan raja kerajaan Bendera Kuning yang mencari sesiapa dapat menewaskan Bapa Gergasi Agong. Hal ini kerana Bapa Gergasi Agong telah menculik Puteri Cempaka Waling dan sesiapa berjaya menyelamatkan tuan puteri, dialah yang bakal mengahwini puteri itu. Tuan Kecik Raden Arjuna dengan sukarelanya menawarkan diri. Selepas berdepan dengan Bapa Gergasi Agong, Tuan Kecik Raden Arjuna bertarung nyawa membunuh gergasi itu. Akhirnya dia berjaya menewaskan gergasi menggunakan panah naga bersakti. Dia membawa pulang tuan puteri untuk menghadap ayahandanya, Seri Rama.

Sesi apresiasi para pelajar bersama Pak Chu
Namun, Seri Rama begitu bengang kerana tujuan asal Tuan Kecik Raden Arjuna untuk mencari adiknya telah menyimpang. Maka, berlakunya pertelingkahan dalam keluarga tersebut. Dalam pada itu, salah seorang pengasuh dikenali sebagai Pak Dogol mendapat berita bahawa Tuan Kecik Raden Lakpeleman diculik oleh Anak Kera Belira Sakti. Anak Kera Belira Sakti mempunyai agenda jahat iaitu menculik seramai 40 anak-anak raja supaya dia mendapat semula kuasa dan ingin menghancurkan dunia. Tanpa berlengahkan masa, Pak Dogol yang juga merupakan seorang pahlawan bertindak memusnahkan Anak Kera Belira Sakti.

Walaupun kisah tersebut mempunyai elemen lawak jenaka seperti penggunaan bahasa-bahasa asing seperti good morning dan sawadikap, jalan cerita itu penuh mendebarkan.

Sementara itu, tok dalang muda di Aswara, Kamarul Baisah Hussin, 32, mengatakan karier sebagai seorang tok dalang memang mencabar.

"Kita mungkin rasa dah bersedia tetapi hakikatnya tok guru yang menilai persembahan kita mengatakan masih banyak yang perlu diperbaiki. Terutama sekali dari segi vokal suara," katanya.

Terdapat banyak teknik-teknik yang perlu diterokai seperti penggubah suara menggunakan lidah. Contohnya, jika kita menggulung lidah dan meletakkannya atas lelangit, suara yang dihasilkan berbeza.

"Tiada manusia yang tidak pernah melakukan kesilapan dan sebagai tok dalang kadang-kadang akan tersasul. Jika perkara tersebut berlaku, kita akan teruskan babak seterusnya atau menyelitkan lawak jenaka seperti yang Pak Chu katakan, improvasi persembahan," jelasnya.

Sementara itu, salah seorang pelajar Aswara berasal dari Sabah, Jusalin Osman (umur) begitu teruja menyaksikan persembahan wayang kulit itu.

"Ini pengalaman saya buat pertama kali dan ia sangat mengagumkan. Saya suka babak-babak melucukan apabila pengasuh-pengasuh bertutur dalam bahasa Inggeris.

"Ada juga babak yang tidak faham kerana penggunaan bahasa Kelantan tetapi ia sangat menyeronokkan," katanya.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3l0fUOELe

Hakcipta terpelihara

Tuesday, September 1, 2015

ASWARA : KURSUS SIJIL SENI TRADISIONAL HANYA RM18

Hubungi ASWARA 03-26971777 atau
emel kepada cekem@aswara.edu.my
PuTRA atau Pusat Seni Pentas Tradisional ASWARA sedang membuka pengambilan peserta kursus Sijil Seni Tradisional yang akan bermula pada 19 September 2015. Kursus sijil ini terbuka kepada semua yang berminat tidak terbatas kepada kelulusan akademik atau pengalaman, yang penting peserta punya minat dan keinginan untuk mempelajari sijil-sijil yang ditawarkan.

Gamelan: Antara kursus ensembel yang ditawarkan
selain Caklempong dan Wayang Kulit
Kursus ini akan berlangsung selama 14 minggu dan dilaksanakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad selama dua jam setiap sesi. Ini memudahkan bagi mereka yang tinggal di luar Lembah Kelang dan mereka yang kesibukan pada hari-hari biasa. Pengalaman ASWARA menganjurkan kursus hujung minggu ini, ramai peserta datang dari luar Kuala Lumpur dan memanfaatkan hujung minggu mereka demi mendalami ilmu kemahiran yang mereka minat. Tidak hairanlah kelas seperti gamelan, wayang kulit dan menjadi pilihan.
Dikir Barat: Kami tawarkan dua kursus;
Nyanyian solo - Jogho/tukang karut
dan pergendangan dikir barat
Yuran minima dikenakan iaitu sebanyak RM500 bagi setiap kursus. Sekiranya ada peserta berminat untuk mengambil lebih daripada satu kursus, diskaun akan diberikan. Apatah lagi sekiranya peserta datang secara berkelompok sekurang-kurangnya lima orang (guru-guru sekolah, pelajar atau kelab kesenian) diskaun yang lebih menarik akan ditawarkan.

Kursus Lakonan dan Muzik Makyung juga ditawarkan;
peserta diajar tarian, nyanyian dan lakonan.
Kenapa yurannya murah? Jika dibandingkan dengan kelas-kelas muzik yang dianjurkan oleh akademi lain, purata bayaran untuk satu jam kelas hanyalah RM18.00 sahaja. (RM500/14/2jam) untuk setiap kelas. Murahkan!

Yang menariknya, peserta berpeluang belajar daripada pensyarah dan adiguru yang berpengalaman yang telah memiliki lebih 20 tahun dalam bidang masing-masing. Bukan selalu ya!

Apa kursus yang ada? Untuk pengambilan September, sebanyak 13 kursus ditawarkan:

MUZIK
NYANYIAN
LAKON
PEMBUATAN

Muzik Makyung
Muzik Wayang Kulit
Muzik Dikir Barat
Gamelan
Tak Lempung
Serunai (Individual)


Rebab (Individual)
Gambus (Individual)

Nyanyian Dikir Barat
Lakonan Makyung

Pendalangan Wayang Kulit
Patung Wayang Kulit

JANGAN LUPA PENDAFTARAN 19 SEPTEMBER 2015!!!
atau dapatkan maklumat di 03-26971777 (Azura/Yusri/Umar)

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...