Jom Kita Jadi Geng

Thursday, August 27, 2015

ANGIN WAYANG DALAM THE RAKYAT POST

Artikel ini ditulis oleh Shazryn Faizal dan disiarkan dalam The Rakyat Post. Terima kasih atas sokongan.

Selasa 25 Ogs, 2015
‘Angin Wayang’ tampilkan tok dalang Cina ulung

Menerusi program Gema Seni Tradisional anjuran Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA), Akademi Seni dan Warisan Negara (Aswara), Kuala Lumpur, persembahan 'Angin Wayang' yang akan diterajui oleh Tok Dalang Pakchu akan diadakan secara percuma di Dataran Aswara bermula pukul 8.30 malam ini. - Foto Aswara

KUALA LUMPUR, 25 Ogos:
Dek kerana minat yang cukup mendalam terhadap seni budaya Melayu sejak berusia sembilan tahun lagi telah mendorong Eyo Hock Seng untuk terus mendekatkan diri dengan kesenian tradisional terutama wayang kulit.

Baginya, wayang kulit memiliki kesenian yang cukup indah dan telah berjaya memikat hatinya sehingga dia berusaha untuk mempelajarinya walaupun dia sedar dia bukanlah orang Melayu.

Namun, kata Hock Seng atau lebih dikenali sebagai Pakchu di tanah kelahirannya di Kelantan, itu bukanlah satu masalah kerana minat terhadap seni dan budaya tidak pernah mengenal erti agama, bangsa mahupun latar belakang.

Malah, ibu bapanya sendiri tidak pernah menghalang minatnya itu dan sanggup membelikan alat tradisional persembahan wayang kulit untuk Pakchu agar dia dapat terus mendekatkan diri dengan kesenian itu.

“Saya dibesarkan di persekitaran yang semuanya adalah orang Melayu. Jadi, secara tidak langsung ia telah mendedahkan saya kepada seni dan budaya di Kelantan terutama wayang kulit.

“Sehingga saya sanggup belajar untuk mengukir patung wayang kulit seawal sembilan tahun daripada daun Medang. Semakin saya meningkat usia, minat itu terus bercambah sehingga saya berusia 14 tahun apabila ketika itu saya mula mempelajari muzik tradisional di bawah didikan Hashim Isa atau Pakcik Asin,” kata Pakchu kepada The Rakyat Post sewaktu dihubungi, baru-baru ini.
Menyambung bicaranya, Pakchu yang turut dipanggil dengan nama Melayu, Syafie itu sempat berkongsi pengalamannya bagaimana dia sanggup bersusah-payah untuk menonton persembahan wayang kulit yang diketuai oleh tok dalang ternama seperti Karim Parido dan Dollah Baju Merah.

Bukan itu sahaja, seandainya dia mendapat perkhabaran tentang mana-mana persembahan wayang kulit di Kelantan, dia akan pastikan untuk tidak ketinggalan menontonnya.


Eyo Hock Seng atau lebih dikenali sebagai Pakchu merupakan satu-satunya tok dalang berbangsa Cina yang terus aktif membuat persembahan wayang kulit di Kelantan. – Foto Aswara

“Daripada setiap persembahan yang saya tonton, saya akan membuat pemerhatian dan belajar secara perlahan-lahan kerana setiap persembahan yang saya tonton itu adalah proses pembelajaran.
“Semua itu telah membuka mata dan minda saya untuk mengetahui lebih lanjut tentang dalang, patung, kelir dan muzik yang merupakan nadi utama dalam setiap persembahan wayang kulit,” kata Pakchu yang dilahirkan pada tahun 1955 ini panjang lebar.

Hasil daripada minatnya itu jugalah, Pakchu berjaya menubuhkan kumpulan wayang kulitnya sendiri yang diberi nama Sri Campuran sejak tahun 1977 dan terus aktif sehingga ke hari ini.

Menariknya, kumpulan itu turut dianggotai seramai 28 orang yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan Siam yang membolehkan mereka membuat persembahan wayang kulit dan dikir barat.

Untuk itu, secara eksklusifnya, Pakchu akan membuat persembahan Angin Wayang di bawah program Gema Seni Tradisional anjuran Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA), Akademi Seni dan Warisan Negara (Aswara), Kuala Lumpur.
Bakal mementaskan cerita yang berjudul Anak Kera Belira Sakti, pastinya ini adalah peluang terbaik buat pencinta seni dan budaya tradisional untuk menikmati sebuah persembahan yang akan memberikan pengalaman baharu khususnya kepada warga kota.

Dipersembahkan secara percuma, pastikan anda mengambil peluang ini dengan mengunjungi Dataran Aswara pukul 8.30 malam ini untuk melihat sendiri bagaimana seorang tok dalang berbangsa Cina mempersembahkan persembahan wayang kulit yang kini semakin jauh dipinggirkan dan dilupakan terutama generasi baharu.


Read more: http://bm.therakyatpost.com/buzz/2015/08/25/angin-wayang-tampilkan-tok-dalang-cina-ulung/#ixzz3jn9r923H

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...