Upacara menghadap rebab dalam persembahan makyung.
Tahun 2005 Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengiktiraf kesenian tradisional makyung sebagai khazanah dunia. Sejak itu juga beberapa pihak di negara ini juga berusaha menyelamatkan makyung daripada kepupusan hingga tahun 2015 dan persembahan terbaru di Akademi Seni dan Warisan Negara (Aswara) pada 13 Mei lalu.
Ini pengiktirafan UNESCO, bukan calang-calang pertubuhan yang memberi pengiktirafan bertaraf dunia. Ertinya makyung dan kesenian tradisi kita yang bertaraf dunia telah memberi tamadun Melayu kepada dunia. Pengiktirafan ini sangat besar dalam konteks mengantarabangsakan nilai-nilai setempat dalam kesenian tradisi.
Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara) pula bukan sebarang pusat pengajian tinggi di negara ini. Malah inilah satu-satunya "universiti seni" yang memberikan pengkhususan kepada bidang seni. Di Aswara pula diwujudkan Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) telah dipersembahkan program makyung sebagai pembukaan bagi program siri Gema Seni Tradisional Aswara.
PuTRA di bawah pimpinan Ketua Program, Nik Mustapha Nik Salleh, telah membawa adiguru makyung suami isteri, Wan Midin Wan Majid dan Nisah Mamat dari Kampung Gabus, To’ Uban, Pasir Mas, Kelantan untuk membimbing persembahan Dewa Muda seasli yang mungkin. Ini bertepatan dengan konsep pengajaran dan pembelajaran di PutRA yang menekankan konsep berguru di mana amali lebih banyak daripada teori.
Bergabung
Beberapa tokoh lain seperti Che Mat Jusoh, tenaga pengajar di Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) bergabung dengan adiguru di Aswara Che Mohd Nasir Yusoff (Pak Nasir) serta bekas mahasiswa Aswara turut sebangsal.
Bangsal pentasnya terbuka seperti membuat persembahan di padang lapang di mana penontonnya melimpah-ruah. Semua pelakon dan pemuziknya duduk di bawah satu bangsal yang ada lelangit dan karangan bunga melur serta pisang lemak manisnya. Bermulalah gesekan rebab, paluan gendang dan diikuti dengan mengadap rebab sebagai petanda kemulian tata-tertib kita.
Sebuah kerajaan yang ada istana, raja, dayang-dayang serta pengasuh setia, padang, kolam, kijang berserta pertarungan dan hujan ributnya dibangunkan set dan latar di dalam kotak fikiran penonton. Penonton tetap rawan dengan Dewa Muda, terhibur dengan lelucon Peran tanpa pertukaran kostum dan pencahayaan.
Ada cabaran utama yang perlu ditangani oleh PuTRA. Pertama, kalau dahulu persembahan makyung memakan masa beberapa malam, bagaimana hendak dipendekkan sekitar 90 hingga 120 minit? Ini memandangkan jadual hidup harian manusia di negara ini sudah berubah. Kedua, bagaimana hendak mendapat dana kerajaan agar persembahan dari segi artistik dan keaslian setaraf dengan pengiktirafan dunia kepada makyung untuk memberi ilmu kepada pelapis dan adigurunya dapat hidup seperti orang lain?
Saya percaya kalau di negara di mana seni dan budaya menjadi keutamaan dalam hidup, pengiktirafan seperti yang diberikan kepada makyung sudah cukup membuatkan seniman-senimannya boleh hidup dengan menumpukan sepenuh masa terhadap kerja seni, bukannya pagi ke laut atau ke ladang untuk menyara keluarga dan malam untuk memperkasakan seni. Tetapi seniman makyung tidak begitu, hidup mereka sama sahaja.
Dengan erti kata lain banyak cabaran supaya khazanah bangsa tidak pupus dalam kemelut politik dan ekonomi negara yang tidak menentu ini. Saya percaya tiada jalan pintas untuk PuTRA selain kesedaran semua pihak berserta usaha yang berterusan. Saya sangat yakin dengan konsep yang diutarakan oleh PuTRA iaitu berguru.
Maknanya pelajar yang mengikuti pembelajaran di PuTRA apabila tamat pengajian tidak mungkin akan menjadi pegawai kerajaan dalam bidang pentadbiran kerana ilmu dan kepakarannya sebagai seorang seniman. Melahirkan seniman seni tradisional menjadi matlamat utama PuTRA.
Persoalan saya, di luar konteks PuTRA, sesudah 15 tahun makyung mendapat pengiktirafan UNESCO, apakah yang kita lakukan untuk memakna dan meraikan pengiktirafan setinggi itu kepada kesenian tradisional kita? Adakah birokrat seni dan budaya kita menyedari bahawa tindakan kita agak perlahan untuk mengambil peluang daripada nilai yang diberikan oleh badan dunia seperti UNESCO itu?