Jom Kita Jadi Geng
Monday, March 30, 2015
Monday, March 9, 2015
HARUN SALIM BACHIK - Al Fatihah
Harun Salim Bachik (1959-2005) |
Ahad 8 Mac 2015, Sebutir lagi permata seni pergi meninggalkan kita. Harun Salim Bachik yang kita kenal sebagai pelakon komedi sebenarnya lebih dari sekadar itu. Beliau seorang seniman yang berkaliber, saya menonton lakonannya sejak di bangku sekolah. Keluarga Bachik memang melahirkan ramai anak-anak seni yang berbakat besar. Seingat saya, Allahyarham Harun bermula dengan drama-drama RTM kemudian mendaki popular setelah terlibat dalam drama bersiri seperti Rumah Kedai. Kehebatan beliau terserlah dalam lakonan serius dan nyanyian.
Kali terakhir saya bersua dengan beliau adalah pada mesyuarat agung SENIMAN 2013. Sewaktu mesyuarat itu, beliau membacakan satu ucapan yang panjang berbaur emosi ekoran pelbagai tuduhan dan usaha menjatuhkan beliau sebagai Presiden SENIMAN, yang akhirnya membawa persatuan itu ke mahkamah. Apa yang saya rasa, getir perasaannya sehingga tidak dapat memaafkan mereka yang memperlakukan hal demikian terhadap beliau. Itu ujian besar buat Allahyarham.
Petang semalam beliau pergi buat selama-lamanya. Kejutan buat Malaysia. Kita mula merasa betapa besar bakat yang dimiliki dan masih banyak perkara yang mahu kita cungkil daripada insan ini. Namun perkiraan Allah mengatasi
segalanya.
Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham Harun Salim Bachik. Jika ada kesilapan beliau, sama-sama kita maafkan. Semoga perjalanannya tenang menuju alam abadi.
Monday, March 2, 2015
ANUGERAH MeleTop 2015 - MACAM FUNFAIR
Harap lakonan Ayda Jebat meletup lepas ni sebagaimana anugerah dia dapat. |
Saya kira tulisan artikel di bawah ini menarik untuk dibaca dan kita renung semula akan keadaan yang bagaimana sedang melanda industri seni tanahair. Memang industri seni Malaysia tidak besar dan jangkauannya pun tidaklah luas. Cukup sekadar sampai ke Brunei dan cecah pada segelintir rakyat Singapura. Mahu masuk Indonesia pun macam suam-suam. Kalau di Hollywood atau di Korea Selatan sekalipun, jangkauan industrinya sangat mengagumkan melata ke seluruh dunia. Jadi tidak hairanlah bila kita tonton program-program hiburannya ada macam-macam. Hollywood 'toksah' cakaplah sebab ia macam induk kepada hedonisme ini. Jadi Hollywood atau USA menghidangkan banyak pilihan dari seni terbaik sehinggalah karya-karya yang meloyakan. Malah program yang disajikan mengikut sasaran khalayaknya juga sangat tinggi standardnya. Sama juga dengan program TV Korea Selatan, drama, filem, rancangan hiburan, realiti dan program majalahnya sangat menarik. Kalau tonton program masakan tradisionalnya, kita jadi lupa yang mereka sedang menggunakan bahan atau subjek yang bersifat local. Jadi sama ada Hollywood atau K-Pop, mereka membuktikan bahawa kualiti hidangan mereka sangat bermutu dan mereka tahu sasarannya di mana.
Apa masalah program TV kita? Hmmm tak ada masalah pun sebab semua nampak okay. Tiada industri filem lucah atau pun hal melampau seperti terrorism atau aksi bunuh yang dahsyat. Kira okaylah tu. Kalau setakat kisah hantu, mat rempit, cinta tiga segi, kisah suami pondan, suami tak perfect atau cerita selebriti jalan-jalan di red carpet. Semua itu sangat okay. Tak ada masalah pun. Pihak kerajaan pun tak larang apa pun. Jadi bila program-program tv yang sekarang ini banyak benar dijayakan oleh pelakon-pelakon komedi maka kira sangat okay. Sebab dek kerana mereka ada alat komedi maka hal-hal yang tidak sesuai seperti penggunaan perkataan kasar dan kurang sopan sangat dialu-alukan. Semua itu atas tiket komedi. Lalu bila adanya majlis anugerah yang pada hari ini rata-rata dikendalikan oleh juara-juara lawak maka ia jadi sangat 'hebat' di mata sesetengah pihak. Dan itulah standard industri kita hari ini. Akhirnya majlis-majlis itu jadi medan untuk kita saksikan aksi-aksi mereka.
Jauh benar kita merentas masa dan cara mengendalikan acara, dari zaman Zainal Alam, Taufik Latiff ke zaman Wan Zaleha Radzi dan Mahadzir Lokman ke zaman Azwan Ali, Aznil Hj. Nawawi, Afdlin Shauki dan Bob Lokman hinggalah hari ini kita saksikan majlis kendalian Zizan Razak dan AC Mizal. Anehnya kita selalu merujuk dan melihat contoh-contoh penganjuran acara yang hebat, malangnya kita suka meniru acara-acara picisan. Sekali-sekala gelak ketawa itu seronok tapi sepanjang masa nak suruh khalayak gelak, itu monyet sarkas namanya.
Bacalah ulasan Roslan Hanafi, ada sesuatu yang cuba beliau lemparkan. Memang bukan mudah untuk pihak yang terlibat menerima. Namun dalam keadaan dunia tidak berbatas, bangsa semakin celaru identitinya dan pihak berwajib tidak mampu lagi mengawal hidangan di kaca TV, kesedaran kapitalis industri dalam membentuk bangsa Malaysia haruslah tinggi. Para selebriti akan terima sahaja pekerjaan demi 'rezeki halal' katanya maka soal peranan, soal imej dan khalayak yang menonton dengan seluruh pancaindera kurang diambil kira.
INIKAH SAJIAN PEMIKIRAN GENERASI MUDA?
oleh Roslan Hanafi - Mingguan Malaysia 1 Mac 2015
Umur
saya pada relatifnya masih muda, dalam kelompok awal 30-an. Saya selalu membaca
tanggapan bahawa orang muda seusia dengan saya menggemari hiburan dan gaya
hidup yang urban dan malas berfikir. Walaupun tanggapan itu tidak disertai
dengan fakta dan kajian akademik, saya setuju generasi muda memang suka dengan
hiburan dan gaya hidup urban. Tetapi saya tidak setuju dengan dakwaan generasi
muda malas berfikir. Bagi saya, itu bukan kerana individu itu generasi muda.
Orangh tua pun ada yang malas berfikir. Sebab itulah program televisyen untuk
orang malas berfikir bertambah banyak.
Bagi
saya menganggap generasi muda menggemari hiburan adalah terlalu umum. Memang
benar kami menggemari hiburan tetapi hiburan yang bagaimana? Adalah silap kalau
mengkelaskan generasi muda menggemari hiburan yang bertaraf rendah, menghina
intelektual dan menyuburkan hedonisme. Saya percaya kalau generasi muda dilihat
semudah itu, sebenarnya ini sangat tidak adil kepada mereka. Sikit sahaja yang
gemar hiburan membodohkan diri, selebihnya tidak.
Barangkali
disebabkan pandangan umum generasi muda suka hiburan sedemikian, maka stesen
televisyen belumba-lumba menurunkan taraf intelektual program hiburan hingga
serendah-rendahnya. Salah satunya lahir program hiburan MeleTop (ejaan pun
sengaja disilapkan) di Astro. Baru-baru ini program MeleTop memberi anugerah
kepada artis dalam majlis yang spektakular. Dari aspek produksi, saya melihat
sudah boleh diangkat ke taraf antarabangsa. Tetapi itu kulit bukan isi.
Maaflah
kalau tulisan saya tidak sehebat wartawan hiburan yang membuat liputan
penganjuran acara MeleTop itu minggu lalu. Tetapi saya percaya kemampuan saya
melihat jauh lebih ke dalam, bukan menyapu lapisan luar sahaja. Daripada
sebahagian besar tulisan itu, kebimbangan saya ialah wartawan hiburan pun turut
larut dalam kancah hedonisme yang menjadi ancaman utama generasi muda. Mereka
kembirikan keazaman untuk berfikir di luar kotak apabila tidak ada tulisan yang
analitikal.
Hingga
tulisan ini dihasilkan, saya belum membaca lagi ulasan yang "luar
biasa" mengenai acara MeleTop. Saya faham laras bahasa penulisan hiburan,
itu bukan masalahnya. Yang dipersoalkan ialah pemikiran. Tetapi apabila memuji
MeleTop secara melulu, saya fikir ini bukan satu sikap yang bertanggungjawab
terutama kepada generasi muda.
Saya
cuba meluangkan masa di depan televisyen untuk menonton program yang disasarkan
kepada khalayak yang segenerasi saya. Anugerah MeleTop yang saya tonton bertali
arus dengan persoalan, "Inikah sajian kepada generasi saya". Bolehlah
dijadikan satu kajian kes tentang rendahnya nilai pemikiran dalam program yang
disasarkan kepada generasi muda.
Kalau
dilihat bab pengacara majlis pun sudah cukup menunjukkan rendahnya pemikiran
pelawak-pelawak kita. Seni bagi mereka adalah terloncat-loncat dan
terkinja-kinja di atas pentas. Sedarkah apa yang mereka lakukan di atas pentas
mencerminkan tahap pemikiran kepada umum? Artis yang boleh dipuji seperti
Neelofa dan Siti Nurhaliza juga terseret dalam program yang memberikan
tanggapan salah terhadap generasi muda.
Artis
atau pelawak yang “suka bagai nak gila” apabila menerima Anugerah Meletop itu
memang sudah dijangka. Ini kerana lingkungan alam fikir mereka sempit dan
kecil. Tidak hairanlah mereka seolah-olah menjulang trofi Anugerah Meletop
seperti trofi Oscar di Anugerah Academy. Bagi mereka ini pencapaian terlalu
besar. Itu menunjukkan kualiti yang ada kepada sebahagian artis yang dijadikan
umpan untuk menaikkan penarafan (rating) program hiburan tempatan. Kalaulah
Anugerah Meletop pun mereka gembira bagai nak gila, tidak tahulah saya gagasan
masa depan mereka.
Adalah
tidak tepat dan tidak adil membuat kesimpulan mudah bahawa generasi muda
menggemari corak hiburan dan gelagat para artis seperti yang ditunjukkan dalam
program Anugerah MeleTop. Buktinya saya bukanlah tergolong dalam kelompok
generasi muda yang bercita rasa terlalu tinggi. Cita rasa saya terhadap hiburan
adalah pada paras orang kebanyakan yang lain. Tetapi saya menolak hiburan
begini. Maknanya orang lain juga sama.
Oleh
kerana itu para artis harus mempertingkatkan nilai dalam persembahan. Mereka
tidak boleh selesa dengan program hiburan bercita rasa rendah. Ini bukan tanda
aras kejayaan. Saya melihat penyusutan nilai pemikiran generasi muda makin
ketara dalam dunia hiburan.
Sudah
pasti kita semua sangat bimbang dengan senario yang menyelubungi generasi muda
hari ini. Tentulah tidak munasabah untuk ditanya peranan program seperti
Anugerah MeleTop, Melodi dan sebagainya dalam konteks pembinaan negara oleh
generasi muda. Tetapi pada masa yang sama tentulah tidak wajar kita membiarkan
kerosakan-kerosakan dilakukan ke atas generasi muda dengan alasan ada
segelintir merelakan mereka dirosakkan dan diperbodohkan.
Saya
bukan dengan sengaja menyasarkan kritikan kepada MeleTop sahaja tetapi ini
salah satu contoh sikap kesengajaan stesen televisyen dalam konteks membina
generasi muda. Malah banyak program hiburan lain yang menyumbang kepada
kerendahan nilai pemikiran generasi muda. Tidak sepatutnya hiburan dipisahkan
terus daripada citra seni. Malangnya hiburan kita terlalu nipis seninya
sekalipun para artis secara bawah sedar mengaku diri sebagai anak seni.
Saya
percaya pengamal media dan stesen televisyen mempunyai keupayaan untuk mengubah
keadaan yang semakin tenat ini. Sudah tentu kita semua tidak mahu generasi muda
yang akan menggalas tanggungjawab membina negara menjadi mangsa kepada sajian
hiburan yang tidak membina.
Perkara
ini akan membuatkan mereka berada dalam dunia asing yang selesa sedangkan
realiti adalah sebaliknya. Kakak-kakak dan abang-abang wartawan hiburan boleh
menyuntikkan perubahan. Gunakanlah pena di tangan untuk mengubah masa depan
anak bangsa.
-
See more at: http://www.utusan.com.my/hiburan/inikah-sajian-pemikiran-generasi-muda-1.64969#sthash.yPdIVixS.dpuf
Subscribe to:
Posts (Atom)