Saya terjebak dalam teater ini. Bunyi macam dahsyat sekali, macam jatuh dalam lembah atau terlibat dalam kancah dosa. Tapi sebenarnya itulah dosa Erma Fatima dan Abang Joe (KP IB) yang berjaya menangkap saya di saat akhir sebelum pementasan. Memang saya ketahui Bahayanya Wanita dipentaskan di Singapura dan akan dipentaskan di Istana Budaya di penghujung Ogos. Saya tahu dan anggap sahaja ia akan berlangsung seperti biasa.
Tapi pada tanggal 15 Ogos (Jumaat) satu mesej Whatsapp masuk .
Bunyinya "Salam dik, free tak next week di IB, Kak Erma ajak berlakon Bahayanya Wanita watak pak joko...show 20 til 24 rhsal monday"
Saya jawab "haha...watak jawa tu"
Beberapa mesej bertukar yang tak perlu saya catatkan, di mana pada awalnya saya keberatan kerana tempoh masa dan watak lelaki Jawa yang saya anggap saya takkan selesa dan tak bersedia. Tambah-tambah saya fikir saya tak mahu dek kerana saya, produksi jadi masalah. Al maklumlah semua orang dah latihan lama. Tapi memang Abang Joe hebat macam salesman yang handal, ada ayat-ayatnya membuat saya kata OK dan saya kata "Mmmm ok ler bang demi abangku".
Bila dikata 20 September persembahan dan latihan 18 September, makanya saya ada dua hari untuk latihan. Tunggu Jumaat ke Sabtu ke Ahad ke Isnin skrip belum saya terima walhal janjinya akan di email Jumaat. Haiiihhhhhhhh....
Jadi pagi Isnin itu saya ke pejabat dan hadir mesyuarat di Japan Foundation dan anggap sahaja, Erma sudah ada pelakon ganti. Tapi waktu makan tengahari di Puteri Brickfields, saya semak telefon ada mesej dari Erma. Saya telefonnya dan dia akan emailkan skrip. Mak Oiii!!! hari isnin baru saya dapat skrip. Berapa jam untuk saya baca dan hafal dialog, latihannya petang!. Tapi Erma kata, hari ini (isnin) tak ada latihan. Latihan esok (Selasa jam 5.00 petang) dan malamnya full run di pentas. Saya terduduk sekejap. Makan tengahari rasa tak tertelan. Menu pun saya salah pilih. Saya duduk hitung waktu dan jadual saya menjelang latihan petang Selasa. Ternyata saya tidak cukup waktu untuk baca skrip.
Tiba petang Selasa, saya lewat ke latihan, lebih kurang jam 6.00 petang kerana dari pejabat. Nasib saya baik bekerja dengan Penolong Pengarah, Rashid yang juga bekas pelajar saya serta artis budaya senior Istana Budaya yang memang tip-top daripada segi komitmen dan kami selalu bekerjasama. Masa itulah saya mahu memahami skrip, dialog dan aksi. Saya perlu peka dengan que yang diberi.
Malam, terus di pentas pada jam 8.30. Kerja gila!!! Saya belum pernah buat teater begini, Ini bukan budaya teater yang sihat. Kami buat run-thru dan saya perlu pick-up arahan secepatnya. Saya tidak boleh mencuba dan memilih lagi. Saya hanya perlu set kan watak bagaimana, gaya dan perwatakannya tidak terlalu internal. Semuanya extrovert. Itu lebih baik apatah lagi Bahayanya Wanita genre satira. Saya ada lesen untuk adlib dan improvise. Siapa tidak gementar bila di pentas semua A-Star aktor, dengan dialog dan aksi yang memang sudah melekat dengan wataknya, sedang saya masih pusing-pusing mahu tentukan karakter.
Memang malam itu saya stress! Kepala hampir migrain! kenapa? Kerana hanya badan saya yang bermain tapi otak saya menolak, tidak setuju dan seolah tidak merelakan aksi-aksi yang saya buat. Ia lebih sekadar melaksanakan lakonan demi melancarkan"Runthrough'. Tapi Erma bijak, tidak demanding, kata-katanya beri motivasi, saya pasti Erma tahu keadaan saya yang 'tertekan' dengan tugasan itu. Sebenarnya nasib saya sama dengan Zulin Aziz dan Meor Mohd. Kami cuma diperuntukkan latihan 2 jam menuju 'runthrough'.
Add caption |
Malam 20 hb dan persembahan-persembahan seterusnya, saya selesakan diri dengan watak. Cari lopong-lopong yang boleh saya isi supaya tidak seperti buat-buat. Saya mahu Masjoko itu saya. Nyata sukar. Itu sebenarnya teater, kenapa latihan perlu panjang kerana pelakon harus mesrakan diri dengan wataknya. dia harus menjadi watak bukan membawa diri-sendiri ke pentas. Kalau di luar dan di atas pentas adalah orang yang sama, maka itulah sebenarnya si pemain. Dia tidak langsung berlakon. Dia hanya melontar dialog dengan perangainya sendiri.
Memang saya akui, hari ini orang tidak lagi bezakan jenis medium. Lakon tetap lakon. Lakon Lawak atau TV atau Filem atau Pentas. Kita boleh lihat seorang pelakon itu cara mainannya sama sahaja. Ia seperti langsung tiada homework, tiada usaha dari si pelakon, Walhal setiap medium yang saya sebut menuntut pendekatan yang berbeza. Atau mungkin kerana itulah kesukaan khalayak hari ini. Khalayak suka hiburan, yang ringan-ringan sahaja. Khalayak tak mahu apa yang mereka suka, berubah-ubah. Jadi tidak hairanlah bila ramai pelakon (termasuk pelajar ASWARA) bila berlakon di pentas, segan untuk membuka mulut dan melontarkan suara. Dan lebih malang lagi bila disiplin itu dibuat oleh pelakon yang sudah establish.
Jadi yang sakit adalah pelakon seperti saya. Sakit dalam kehendak sendiri.
Terima kasih Abang Joe dan Erma Fatima.