(Artikel ini ditulis oleh Dr. Zulkifli Mohamad di harian Kosmo, 13 Januari 2007)Inilah kali pertama ASWARA (dulunya Akademi SeniKebangsaan,ASK) mempersembahkan teater muzika Melayu setelah 12 tahun penubuhannya. Kesuma, judul muzika ASWARA karya Zakaria Ariffin, gubahan muzik Ruslan Imam, Koreografi Joseph Gonzales dan arahan Rosminah Tahir ini menggembelingkan tenaga dari jabatan teater, tari, muzik dan penulisan. ASWARA mengadakan ujibakat terbuka kepada pelajar-pelajar dari semua jabatan pada bulan September 2006 sebelum menampilkan 40 orang pemain dan 20 orang pemuzik termasuk pengarah muziknya, Ruslan Imam.
"Idea untuk mengadakan teater muzika bersama semua jabatan lahir pada hujung tahun 2005," ujar Rosminah Tahir, yang sebelum ini mengarah Muzika Hang Li Po dan Lantai T.Pinkie di Istana budaya, Kuala Lumpur. Zakaria Ariffin penulis skrip muzika bangsawan Siti Zubaidah yang pernah memenangi S.E.A Write Award dan menjadi panel skrip muzika Tun Perak arahan Dr Hatta azad Khan mengakui cerita Kesuma yang dihasilkannya sepuluh tahun lalu diberi nafas baru untuk pementasan ASWARA.
Kesuma mengisahkan kehidupan manusia yang mencari makan di pinggir Jalan Melayu Masjid India di Kuala Lumpur, pertembungan budaya antara generasi yang bernafaskan tradisi Melayu lama dengan generasi Melayu baru yang hanyut dalam arus globalisasi. Ia turut mengupas keresahan hidup seorang gadis kaya, Kesuma dan pergolakan jiwa seorang tua yang merantau, Ismail Raja Gondang yang tidak dapat menerima hakikat yang anaknya sudah meninggal dunia. Kesuma yang penuh rasa kemanusiaan menemui kebahagiaannya bersama sekelompok manusia di pinggir jalan.
Muzika Kesuma juga menampilkan sebuah cerita yang berlatar belakangkan kehidupan manusia Kuala Lumpur yang kaya dan yang miskin yang penuh rasa prejudis antara mereka. Kita sebagai seorang penonton muzikal seperti sudah terdidik dengan tatacara sesebuah muzikal, apalagi apabila kita dipertontonkan dengan teater muzikal di Malaysia. Terima kasih Istana Budaya, kerana telah membawa kita menyaksikan pelbagai bentuk muzika dari luar negara dan juga dari dalam negeri. Kita juga bertuah kerana berada di negara yang tidak jauh dari Singapura hanya RM100 pulang-balik dengan bas ekspress yang bersungguh-sungguh menempatkan seninya di persada dunia melalui Esplanade. Dengan tiket penerbangan Malaysia juga, kita boleh terbang ke Sydney atau ke London untuk menonton muzikal-muzikal barat. Pendek kata kita sudah mulai celik tentang muzikal. Kekuatan utama sesebuah muzikal atau muzika terletak pada gubahan muziknya, lagu yang terngiang-ngiang di teling, ceritanya yang menarik, persembahannya yang memukau serta simbolika perlambangan yang kental yang boleh menjadi sesuatu imej yang terbayang-bayang di mata penonton, walaupun setelah keluar dari panggung.
Ruslan Imam, bukanlah orang baru dalam dunia muzik di Malaysia. Dahulunya begitu aktif dalam penerbitan album-album, termasuklah album David Gomes dan Junji Delfino, serta persembahan muzik moden, jazz, orkestra RTM serta Melayu Asli. Beliau juga pernah menjayakan Konsert Irama Tanah Pusaka di Istana Budaya. Kini beliau banyak menumpukan perhatian kepada pengajaran muzik kepada generasi muda. Kesuma menmapilkan 19 buah lagu antaranya Bismillah, Kuala Lumpur, Mama Burger Papa Burger, Kembara Raja Gondang, Suara Kesuma, Pujuk Kesuma, Buat Apa Jadi Kaya dan lain-lain. Yang menariknya kesemua lirik-lirik lagu dipaparkan di dalam buku cenderamata yang mahal rupanya itu, menjadi penawar setelah kita terkial-kial cuba mendengar lirik lagu yang disampaikan dalam persembahan. Kita akhirnya menikmati lirik lagunya sepulangnya kita daripada menonton persembahan. Muzika Kesuma sememangnya mempunyai masalah sebutan dalam persembahan nyanyiannya bukan hanya kerana pemainnya yang tidak berpengalaman sebagai pelakon dan penyanyi, tetapi juga kerana ketiadaan rekaan teknikal dan bunyi. Ia seterusnya menghasilkan bunyi bising pada mikrofonnya, tiada imbangan bunyi antara muzik dan nyanyian serta nyanyian yang tenggelam dalammkelantangan muziknya, walaupun para pemain sudah berserabut dengan mikrofon di mulut dan earfon di telinga.
Hakikatnya, kita sudah harus menerima yang kebanyakkan persembahan muzikal di abad ke-21 ini sudah menggunakan muzik rakaman siap kemudian ditambah dengan beberapa alat muzik yang dimainkan secara live seperti drum, seruling, gendang, rebab, gitar serta kumpulan vokal. Begitu juga dengan mikrofon kecil yang terjulur di mulut, yang tidak lagi menuntut para pemain muzikal untuk mempunyai suara yang lantang, mereka hanya perlu pandai menyanyi dan mempunyai suara. Nasib baiklah lagu-lagu yang digubah Ruslan Imam agak merdu didengar dan menarik melodinya, kita seperti terhibur dengan pelbagai gelagat anak muda yang bermain, menari dan menyanyi. Terima kasih juga kepada Rosminah kerana babak-babaknya agak pendek dan tidak berjela-jela banyak dialog. Mujur juga kita ada pelakon handalan Sharul Mizad yang menjadi tonggak utama, Shukor Ibrahim dengan nyanyian yang jelas senikatanya, Mohd Tarmizi dengan lakonannya yang bersahaja, dua gadis Kampung Baru yang gatal, atuk dan nenek yang girang serta gangstre Jack dan dua rakannya yang penuh gaya. Mardiana Alwi yang membawa watak Kesuma, walaupun boleh menyanyi masih terlalu kaku dalam lakonan dan gerak-gerinya, tetapi dengan bakat dan rupa yang ada serta kesungguhan, beliau mampu mencipta masa depan yang gemilang.
Kesuma boleh saja menjadi sebuah muzika Melayu yang menggabungkan elemen koreografi tarian moden dan tarian tradisi, malangnya tarian modennya masih dibelenggu tarian-tarian dari West Side Story serta tarian iringan Hiburan Minggu Ini. Tarian Mengadap Rebab yang ditampilkan sewaktu Pak Ismail jatuh sakit menjadi janggal dan klise apabila rakan-rakan Burn dan kesuma turut menari bersama. Alangkah indahnya kalau hanya Pak Ismail yang nampak kehadiran para puteri Mak Yong.Syabas kepada ASWARA kerana berjaya mementaskan sebuah muzika dalam masa tiga bulan. Kita faham yang pakaian anak muda di kota tidak mudah untuk dikonsepkan, walaupun ia dapat dibeli di mana-mana. Tidak mengapalah juga kalau pakaian dua gadis Kampung Baru kelihatannya seperti perempuan-perempuan kelab malam, tetapi solekan yang berlebihan di panggung eksperimental menjadi sangat tidak sesuai untuk pementasan kerana berada dalam jarak yang dekat dengan penonton.
Pakaian-pakaian Kesuma, yang menjadi tunjang kepada muzika ini harus difikirkan perwatakan dan kesinambungannya, rekaan kostum bukan sekadar memilih fesyen dan warna terbaru di pasaran. Yang pelik juga kita tidak melihat sesuatu yang amat digilai dan tidak dapat lekang dari anak muda di kota, tidak seorangpun dari mereka yang menggunakan telefon bimbit! Tapi mungkin inilah kelopok generasi muda yang cintakan tradisi Melayu yang kental!
Dr.Zulkifli ialah seorang aktivis dan perunding seni budaya,aktif bersama Svarnabhumi Studio dan Arts Exchange in Asia (AXiA)