Tuesday, December 26, 2006

MERRY X'MAS JOSEPH

Dia teman sekerja dan seperti abang saya, teman gosip dan teman aspirasi! Gelombang yang sama dan tetapi citarasanya lebih tinggi. Yang pasti kami menggemari Ipoh White Coffee jenama yang sama. Merry X'Mas brader! You Got the will and the spirit - What makes you go more further! Yes Brader your face look longer!

Juga untuk Sagaya, Jessica, Louis, James, Janet, Barat........ dan yang sewaktu dengannya.

KESUMA 24 DIS 06 - CUTI Daaa

Mulai hari ini (24hb) hingga 1hb tiada latihan Kesuma. Saya ingat hari ini nak rehat bersama keluarga setelah menyiapkan bahan untuk buku program sehingga 4.00pagi (sampai tidur di ofis). Apa tidaknya isteri saya dari malam tadi sehingga tengahari tadi menelefon saya dan akhirnya mengambil saya di ofis untuk 'lunch' sama-sama dengan anak-anak. Kesian mereka. Tetapi itu menggembirakan Aish dan Rhea!

Tetapi saya lupa yang semalam (23hb) saya dah minta Eijat untuk confirm dengan Yem untuk adakan discussion pasal set. Bila Eijat call saya petang tadi dan bagitahu 10.30 malam jumpa di D'Classic, Taman Cahaya barulah saya mengeluh yang hari ini masih ada kerja. Kadang kala saya sangat kesian dengan Eijat, dari seorang pereka set terpaksa pula membawa watak Ismail dan akhirnya kedua-dua sekali dibawanya. Nampak sangat dia kepenatan. Tapi knowing him, dia tidak pernah mengecewakan dan tidak sanggup berkata 'NO' kepada kerja.

Jam 10.30 kami berjanji jumpa di restoran itu dan apabila saya tiba, sudah kelihatan Eijat, Yem dan Mie. Beberapa minit kemudian Tomoe turut serta bersama rakan serumahnya. Lupalah pulak kepentingan Tomoe tentang hal teknikal ini. Biasalah kalau dah jumpa Yem, macam-macam cerita dan dia memang orang yang gemar bercerita.

Dari produksi Kesuma sehingalah kami menggeledah cerita di balik tabir Ali Baba, kelukaan Yem dengan IB, keseronokan bekerja 7 tahun dahulu dan dicampur aduk dengan perkembangan semasa produksi ASK. Aduh jauh sekali kami merentas masa. Bagusnya berbincang dengan Yem, dia berada dikerusi macam-macam. dari kacamata seorang kontraktor, designer sehinggalah seorang buruh kecil. Idea dan pendapatnya memang merangsang kerja kami. Tomoe memberi pandangan dari POV seorang teknikal dan saya menambah itu itu. Ada beberapa cadangan supaya set nampak unity dan hal ini kami terlupa termasuklah Eijat yang memang nampak penat dan hampir hilang fokus (dalam kepala dah jadi Ismail!). Akhirnya kami dapat idea yang sesuai hampir jam 2.00 pagi.

Saturday, December 23, 2006

KESUMA 23 DIS 06


Malam ini adalah persembahan work in progress to musical 'Kesuma', satu persembahan khusus untuk media. Sepanjang persembahan, rasanya lain pula yang ditunjukkan oleh para pelakon. Mereka bersemangat dan menjaga tempo dengan baik. Saya pun naik hairan. Tetapi inilah kebiasaanya pelajar ASWARA, 'never let you down' and always waiting for performance barulah nak tunjukkan yang sebenar. Walaupun begitu ada juga yang tidak buat sperti yang sepatutnya dan terkial-kial mencari diri wataknya apabila telah lari daripada panduan.
Hal ini bukan lagi kerja kami yang di belakang tabir dan pelakon harus peka dengan kehendak kemahuan watak yang dibawa dan tidak boleh terbawa-bawa dengan keseronokan bermain atau kesukaan penonton. Saya selaku voice over untuk malam tadi hanya melihat permainan mereka dari sudut atas dan saya dapat lihat bagaimana watak Ben dan Linda menguasai lakonan dan meninggalkan Kesuma dan Burn yang masih mencari.
Rupanya di balik show ada bermacam kejadian, si Amirul dah macam kambing hitam terguling-guling apabila que tak sampai ataupun lambat apatah lagi semasa selepas intermission para pelakon tidak mengendahkan arahan petugas pentas dan Q-master. Saya yang di atas pun jadi geram!
Selesai persembahan, saya bertemu beberapa orang yang hadir menonton, nyatanya di wajah mereka tiada kebosanan cuma memberi komen tentang bebrapa kelemahan khususnya jalan cerita, watak utama yang lemah dan aspek sinografi yang kurang membantu. Bagi saya, baguslah kerana ini baru pra-tonton jadi ada masa lagi untuk diperbaiki sebelum hari persembahan yang sebenar.
Saya masuk ke ET dan ulasan terakhir kak Ros sebelum cuti diberikan. Katanya malam ini permainan memuaskan walaupun terdapat kekurangan di sana sini. Kak Ros melihat reaksi penonton yang menghayati cerita dan berada di dalam situasi yang sepatutnya. Amri masih belum berpuas hati dengan penguasaan vokal pelakon khususnya Kesuma yang kurang tenaga apabila menggunakan 'head-tone'. Seperti biasa Joseph mengulas dan Sherry mengatur jadual seterusnya. dalam sibuk melayan persembhan pada malam ini, telefon saya menerima pesanan beberapa kali dan apabila dibuka nyatanya dari Cik Norizah - Huuuuuh!

DATIN SERI DI ASWARA

10.00pagi segala persiapan dibuat dengan rapi. dari susun atur kerusi, latihan persembahan sehinggalah latihan penyampaian sijil. Berurusan dengan kanak-kanak kita tidak boleh memberitahu sahaja tetapi ia kena pakai 'bangun kena buat' supaya kesemua deria mereka sedar dan jelas. Jam 12.00 tengahari raptai selesai dan semua orang bersedia untuk acara petang. Saya yang bertindak sebagai pengarah persembahan turut risau apatah lagi pada masa yang saya saya juga akan bertindak sebagai MC. Tetapi nasib baik saya dibantu Adika dan beberapa orang yang lain. Kushee sebagai pegawai projek turut ke hulu ke hilir memastikan persiapan berjalan lancar. 3.00 petang dean kelihatan indah dan teratur dan yang bertugas semua mengambil position. Sekali-sekala saya rasa seronok bekerja dengan para peserta yang menunjukkan komitmen yang tinggi. Saya lihat En.Omar awal lagi sudah ada dan sebaik nampak kelibat saya terus dia panggil dan bertanya itu ini termasuklah kepada Kushee tentang kenapa tiada 'speech' dan rupa bentuk cenderamata untuk YBhg Datin. Akhirnya semua itu selesai dengan baik. 3.45 petang YBhg Dato' Zakiah Ahmad(KSU) tiba dan disambut oleh En.Omar dan beberapa orang pegawai.
Jam 4.00ptg YBhg Datin Seri tiba dan disambut oleh hingar Tak Lempung dan diserikan dengan persembahan silat oleh Pak wahid (Saudara YB Menteri) dan barisan anak-anak randai. Ada sesuatu yang dibisikkan oleh YBhg Datin Seri Kepada En Omar tentang sambutan yang ditampilkan oleh para peserta. Kelihatan Tuan Hj Johari (TKP Istana Budaya) turut hadir sama.
Pak Wahid membuka langkah menyambut ketibaan YBhg Datin Seri Masnah Rais. Rupanya Pak Wahid saudara terdekat YB Menteri. Datin Seri bagai terpegun dengan sambutan yang diberikan.
Persembahan oleh Peserta Bengkel kemahiran Muzik Violin di bawah bimbingan Ayeshah Hassan, Wong In Nuen dan Nik Shareen Nik Hisham. Dalam tempoh 8 hari para peserta yang pertama kali menggesek violin sudah mampu mempersembahkan lagu.
Ini pula salah satu tarian yang dibengkelkan. Tarian Layang Mas dibimbing pleh Muslimah saptuang dan Gloria ak Patie. Para peserta adalah dari Kelab Kebudayaan Sri Perdana, Kuantan. Selain Layang Mas, tarian zapin, endang dan bidayuh turut dibengkelkan.
Acara bermula dengan lancar sekali dan Datin Seri tersenyum dan memberi tepukan apabila saya buka aluan dengan ungkapan indah. Memang sama seperti suaminya YB Menteri, sangat appreciate dengan bahasa indah. Acara silih berganti dan nyatanya Datin Seri genbira pada petang itu walaupun ada kesilapan kecil di situ sini namun ianya terlindung dek acara santai itu. 5.30 petang majlis selesai dan rupanya YB Menteri yang datang mengambil Datin Seri. How happy they are and how I wish.....

KESUMA 22 DIS 06


Team teknikal telahpun masuk ke ET untuk persiapan penataan cahaya dan bunyi. Kerja-kerja diketuai oleh Tomoe sebagai Pengarah Teknikal manakala perekannya adalah Hafis dan Afiq. 7.30 malam adalah call time untuk semua orang bersedia bagi 'run through' namun atas kesulitan masa, dressrehersal diadakan bagi melihat kesesuaian cahaya dengan lampu.


Raptai malam ini tidak melibatkan set. Jam 8.15 malam para pelakon masih belum bersedia, sherry memanggil setiap pelakon. 8.30 malam masih ada yang belum bersiap. apabila babak pertama bermula, pelakon tampil dengan kostum yang tidak sesuai. menurut rosman, kostum yang ditetapkan tidak mahu dipakai pelakon kerana beralasan sukar untuk bergerak.


Tetapi mereka tidak faham dari sudut konsep dan imej di pentas. Sukar untuk diterima apabila pelajar seni persembahan lebih 'selfish' daripada kepentingan produksi. Kak Ros apalagi suaranya memanjat tinggi. setinggi-tingginya. Risau saya melihatnya bimbang kerana kakak ni bukan tidak ada penyakit. Tetapi itulah kak Ros pantang bekerja apabila masa yang diberi tidak digunakan baik.


Masalah teknikal memang ketara kurangnya dan kelemahan itu menggandakan 'stress' ahli-ahli produksi. Bunyi clip mic mengaum begitu kuat sekali dan adakalnya macam ada perang. Memang malam ini macam semuanya tidak bersedia. Saya, Joseph dan rakan produksi yang lain berada di tempat audien dan memerhati cara kerja kak Ros.

SUSUR SENI MENYUSUR LALU

Hari ini, 22 Dis 2006, raptai bagi persediaan Majlis penutup dan penyampaian sijil pada esok hari. Berbeza sungguh saya melihat kesungguhan peserta berbanding hari kedua saya memerhati mereka. Nampak benar mereka bersungguh-sungguh mempelajari selok belok dalam permainan randai.
Majlis Penutup akan dihadiri oleh YBhg Dati Masnah rais, Isteri kepada YB Menteri. Persiapan pentas dan teknikla di buat dengan penuh rapi. Hari ini para peserta mengambil latihan di ruang Dewan Orkestra dan kerja-kerja banyak kepada penyesuaian ruang persembahan.
Sebenarnya Susur Seni ini bukan sahaja randai tetapi melibatkan bengkel kemahiran violin dan seni tari. Para peserta dari Sek Keb Terian, Kuala Klawang, Sek Men keb. Lui Barat, Jempol dan kelab kebudayaan dan kesenian Sri Perdana Kuantan. Dewan Orkestra disusun dengan memberikan ruang persembahan yang besar khusus untuk tarian dan randai manakala persembahan violin akan dipersembahkan di pentas.
Orang-orang kuat Sususr Seni seperti Kushee dan kak Ros turut hadir untuk raptai jam 3.00 petang. Sebenarnya jam 10.00 pagi kami telahpun mengadakan mesyuarat dengan semua jawatankuasa untuk mendapatkan makluman dan status terakhir persiapan untuk majlis esok. Saya bertindak sebagai Pengarah persembahan dan turut selaku Pengacara. Di bawah jawatankuasa saya, Adika Zainal menjadi orang yang 'loyal'.

Thursday, December 21, 2006

KESUMA 21 DIS 06

Latihan cuma pada malam sahaja. Malam ini saya mengambil latihan yang melibatkan Rakan Burn, Rakan Jack, Gadis Kampung Baru, Ismail dan Husin. Ramai yang masih penat dengan konvo. Khususnya mereka yang terlibat di dalam upacara terutama Sherry (dahlah demam!) Namun latihan tetap diteruskan. Ada perkembangan di kalangan pelakon dan mereka memberikan gambaran bahawa sudah ada pemahaman dan menjaga tempo. Saya masih berhadapan masalah dengan karakter Burn, cara Zainal membawakannya seperti ada yang tidak kena atau tak jumpa sesuatu dari dirinya untuk Burn. Mungkin cara dialognya atau gerak badannya atau mungkin juga dia tidak faham akting? Saya tak tahu nak jawab. Jika dibandingkan dengan Akmal yang membawakan Ben, rasanya Akmal lebih sukar kerana karakter kasar Ben bukanlah sifat semulajadi Akmal tetapi cara Akmal boleh diterima walau ada kelemahannya. Tapi Zainal saya tak jumpa punca. Dalam rakan Jack pula ia jadi kontras antara
Jack dan 2 pengikutnya. Si Hazwan sukar membuka kunci badannya. Dia kata tak nak jadi orang yang banyak bergerak namun yang jadi adalah patung yang hanya kepalanya sahaja bergerak dengan mimik yang begitu ketara. Susahnya di sini adalah 'level of acting' berbeza dan tidak ada masa yang cukup untuk latih lakon. Eijat, Salehuddin, CT Katijah berada pada kelompok yang berbeza dengan yang lain, dan di dalam kelompok lain itu saya lihat ada
pula kelompok-kelompok akting yang berjarak. Saya tetap ingatkan kepada pelakon agar jangan terlalu fikirkan bloking. Bloking yang ditetapkan, ikut sahaja namun motivasi untuk bergerak kepada bloking itu perlu ada. Ia tidak boleh dibuat tanpa motivasi. Adika telefon dan katanya Kesuma dah masuk ET namun kerja untuk lighting tidak dapat dibuat kerana tiada teknikal dan mengikut makluman jadual hanya maklum untuk bump-in set sahaja, habis tu tidak ada juruteknik yang bertugas? Takkanlah untuk gunakan bilik control pun perlu dibuat surat yang berbeza sedangkan kebenaran masuk ET sudah diberi? Apa guna ET kalau tidak boleh guna teknikal? Ini bermakna Kesuma bekerja di ET tanpa kawalan seorang juruteknik? Inilah masalah apabila antara unit tidak membantu dan cuba memahami tuntutan kerja produksi. Yang terlihat jelas sekali adalah team produksi harus melihat beberapa aspek iaitu kreatif, artistik, management, logistik dan banyak lagi dan terpaksa pula berkompromi dengan sikap kerja unit teknikal ASWARA yang lebih ke arah menjadikan unit teknikal sebagai sebuah unit sokongan dan pembekal bukannya satu unit yang sepakat menghasilkan kreativiti. Nampaknya sampai bila-bila ASWARA tidak boleh mengharapkan jurutekniknya menyumbang kepada kerja kreatif. Jadi, saya meminta Adika melakukan apa sahaja kerja bump-in sementara kerja-kerja teknikal dibuat esok walaupun saya faham bahawa masa bukan lagi dipihak Kesuma. Latihan Kesuma selesai hampir jam 11.20 malam.

HARI KONVOKESYEN KE 6 ASWARA

Langit cerah di Kampus ASWARA, wajah-wajah yang hadir bermandi kegembiraan. Setelah tiga tahun menunggu akhirnya impian mereka terlaksana. Kalau mengalirpun air mata hari ini, ia bukanlah kehampaan namun kegembiraan. Sejak tahun 2004 Majlis Konvokesyen ASWARA tertangguh (tidak jelas sebabnya) dan hari ini telah menghimpunkan 134 orang lulusan. Buat pertama kali Panggung Eksperimen, ASWARA menyaksikan upacara Konvokesyen dan buat pertama kali juga Kampus ASWARA menghimpunkan graduan dan ibubapa paling ramai. Pada konvokesyen yang lalu, hanya 19 orang graduan diraikan dan nyatanya ia berbeza dengan hari ini. Acara berjalan dengan lancar tanpa ada penangguhan. YB Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri KEKKWA menepati waktu majlis dengan tiba pada jam 9.45 pagi dan jam 10.00 pagi Perarakan Graduan mula masuk dewan. Saya sebagai pengurus pentas melihat perjalanan upacara lancar dan teratur (mungkin ada sedikit kecacatan di luar pengetahuan saya). Para petugas menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi. Ibubapa dan tetamu yang hadir kelihatan gembira dan berpuas hati dengan layanan petugas. Dada saya sebak tatkala En Ramlan (Ketua Jabatan) menyebut nama Allahyarhamah Mardiana Rahbini dan diwakili oleh En Rahbini. Terus wajahnya terbayang di mata saya dan membayangkan seorang gadis manis, sopan dan amat bekerjasama dengan aktiviti ASWARA telah pergi buat selamanya tanpa sempat melangkah ke pentas upacara. Terus hati saya berka " Kalaulah tahun 2005 ada konvo tentu impiannya sempat terlaksana" Namun itu semua ketentuan Nya. Setelah selesai upacara, para graduan dan ahli perarakan utama ke Dewan Orkestra untuk sesi fotografi namun selari dengan persiapan menyusun graduan untuk fotografi, YB Menteri bertemu wartawan dan melayan soalan dan pertanyaan. Jelasnya karisma YB Menteri memperlihatkan keyakinannya memimpin sebuah kementerian ke arah terbaik dan dihormati oleh warga Malaysia. Sambil melihat persediaan fotografi, saya berdiri hampir dengan dua orang jurugambar akhbar (saya tidak pasti) dan mencuri dengar sesuatu yang menarik bunyinya " Saya rasa inilah konvokesyen yang terbaik, teratur, 'grand' dan paling menarik. ASWARA memang menyusun dan mengatur acara sehingga memudahkan kerja kita kalau dibanding dengan universiti lain...hancur!" saya senyum puas bila itu yang keluar daripada mulut orang yang selalu menghadiri majlis dan nyatanya dia berkata bukan kepada saya tetapi rakannya.


GAMBAR-GAMBAR INI MENCERITAKAN SEGALANYA












ANTARA YANG TERBAIK

Sabihah Abdul Wahid - Penerima Anugerah Ketua Pengarah 2006 dan Pelajar Terbaik Muzik 2006

Arbaiah Ahmad Nadzri - Pelajar Terbaik Teater 2004


Shariffah Mariam Syed Abdullah - Pelajar Terbaik Teater 2006

Mohd Yunus Ismail - Pelajar Terbaik Tari 2006

Harapan saya semoga lulusan ASWARA beroleh kejayaan di masa hadapan. Ingatlah segulung Diploma bukanlah penhujung pencarian ilmu anda, ia adalah tapak pemula kepada pendakian yang sebenarnya. Bukalah mata, timbang-timbanglah kerana itu semua tunggak dan tongkah kepada kejayaan. TAHNIAH!

Wednesday, December 20, 2006

KESUMA 20 DIS 06

Hari ini tumpuan lebih kepada upacara konvokesyen. Latihan Kesuma hanya di ambil daripada waktu senggang daripada latihan konvo. Team Kesuma tetap berusaha mencuri waktu demi mendapatkan kualiti yang baik untuk persembahan. Jam 2.00 petang Kak Ros dan Joseph menggabungkan pelakon dan korus serta kumpulan muzik tradisional. Saya tiada kesempatan melihat latihan kerana menumpukan kepada teks MC Konvo dan persiapannya. apabilan malam jam 8.00 malam, saya dan Kema mengambil latihan, nyatanya jam 8.30 latihan belum dapat dimulakan, sementara menunggu saya perhatikan Ajude (SM Muzik) sedang berlatih dengan Ashaniza(penyanyi latar) untuk lagu-lagu dalam kesuma. Tanpa jurulatih mereka tekun membaca notasi gubahan lagu-lagu itu. Saya puji sikap Ajude yang mengatur masanya untuk membaiki dan mendapatkan kebaikan kepada kerjanya. Saya tetap sabarkan diri mungkin mereka memandang mudah apabila bekerja dengan saya dan kema.
Tetapi sebenarnya beginilah sikap kita pelakon teater Melayu atau mungkin sikap kita orang Malaysia, apabila tidak bengkeng maka tak takut dan tak endah dengan disiplin padahal aspek itu sebenarnya mengganggu produksi khususnya pembaziran masa dan tenaga mereka yang menunggu apatah lagi jika yang tidak mengendah itu belum tentu bagusnya bila bermain. Sherry pun dah gundah dengan disiplin pelakon, katanya "Bukan Chekem saja mereka macam ni, Kak Ros pun kena tunggu" Kalau begitu memang mereka bermasalah. Latihan dimulakan ketika jam sudah menunjukkan hampir jam 9.oo malam. Saya tidak menyergah atau membentak kerana saya tahu saya akan mengambil masa untuk berleter sahaja jadi saya teruskan latihan dengan memperincikan lakonan tanpa mengubah block-block yang ditetapkan oleh
pengarah. apa yang yang tekankan adalah lebih kepada binaan tempo, dinamik, momentum, motivasi, intension dan asas-asas dalam lakon. saya tidak menafikan ramai pelakon di dalam produksi ini masih mentah dan asas lagi gaya lakonnya. maka hal itulah perlu saya rawat agar ia tidak ketara di dalam babak dan membantu kerja pengarah di dalam merangkai cerita. Apabila saya dekati lakonan mereka nyatanya mereka lemah, gambaran pertama yang mereka dapat itu yang diberi tanpa cubaan-cubaan lain, Hazwan datang kepada saya dan meminta pandangan tentang apa yang sepatutnya dia lakukan untuk tidak kelihatan seperti seorang gangster yang tipikal sifatnya atau salah gesturenya. Berat juga, saya cuba tetapi ia bukan kerja satu hari. Apa yang boleh saya beri pada hari ini adalah pemahaman kepada sifat ruang, adegan dan situasi itu. Memang ada kerumitan di dalam membentuk Hazwan, dia seolah mengunci fizikalnya maka itulah jadinya. Malam ini sempat kami merawat 2-3 adegan yang melibatkan Burn dan rakan, jack dan rakan dan ibu Kesuma. Di akhir latihan saya mengulas tentang pentingnya masa apabila latihan poket kerana ia lebih terperinci dan berulang dan menuntut masa yang lebih. Saya minta mereka memegang kepada apa yang diperolehi bukanlah kepada cara atau gaya atau aturan yang saya aturkan tetapi memegang kepada inspirasi dari cerita di dalam adegan itu.

SIRIH PULANG KE GAGANG

Seawal pagi, kampus ASWARA seperti ada majlis perhimpunan alumni, ada yang berpelukan gembira berbual mesra, ada yang datang dengan gaya berbeza, ada yang lebih matang percakapannya. Mereka seolah-olah seperti berada di dalam satu majlis ramah mesra atau perhimpunan anak-anak rantau. Hari ini seperti acara 'Sirih pulang ke gagang' , mereka bertanya khabar, ada yang mempamerkan gaya yang ekonomi malah ada yang bergaya ekslusif. Itulah anak-anak kelahiran ASK dahulunyan kini kita menyebutnya sebagai lulusan ASWARA. Di wajah mereka terpancar kegembiraan, kegembiraan bukan kerana mereka kini tamat pengajian tetapi riak mereka menggambarkan mereka berada di kampung halaman. Negeri yang mendewasa dan mematangkan mereka - ASK!
Hari ini adalah raptai penuh konvokesyen melibatkan bakal lulusan ASWARA, kumpulan muzik, persembahan tarian dan semua elemen di dalam sebuah upacara konvokesyen. ASWARA seperti berhari raya. Di tangan mereka digendong sebungkus plastik berisi jubah konvokesyen. Nyatanya rasa bangga itu ada di hati mereka. Saya yang mengamati mereka dan pernah melalui saat indah seperti itu, cukup terharu dan melayan sahaja kegembiraan mereka. Namun ada jua wajah-wajah yang amat mesra dan rapat dengan ASWARA walaupun telah tamat pengajiannya.
Di semua sudut di kampus ini, ada sahaja orang bekerja. Dari memasang khemah, mencucuk bunga menghias dewan sehinggalah kepada kerja mencuci setiap lantai dan mengetip mesej-mesej kecil. Meriah sekali, itu sahaja gambarannya. Namun kemeriahan itu tidaklah seperti besarnya sebuah konvokesyen sepertimana di kampus universiti ulung seperti UM atau lain IPT, tetapi cukup untuk sebuah kampus dan sebuah sekolah kecil yang unik sifatnya ini.
Pada upacara ini, saya bertugas sebagai pengurus pentas/floor manager yang perlu memastikan kelancaran upacara. Namun keutamaan latihan hari bukan sekadar kelancaran upacara tetapi kerumitan lebih terserlah untuk menyusun atur, memberi penerangan, melatih cara ke pentas dan mendapatkan que yang betul bagi setiap pergerakan. Aduh rumit sekali untuk 'merajakan' para lulusan ini. Awal pagi lagi saya perlu memastikan biduanda, pembawa diploma, MC, pembaca doa berada di sekitar saya. Selesai raptai, bakal graduan masih sibuk mendapatkan jubah konvo dan semestinya bertemu muka denagn rakan, ya lah macam-macam dah jadi daripada seorang penari, pemuzik, pelajar ijazah, pegawai, usahawan sehinggalah seorang inspektor polis. Bila saya renungkan luas sekali skop kerja yang dilangkaui oleh lulusan ASWARA ini.
Petang Jam 4.00, En Omar mahu melihat persembahan muzik dan tarian. Joseph tentunya sibuk menyusun penari, Kak Ros membantu semua aspek, Cik Eyjah 'upacara leader' lagilah sibuk, En Mod tenang dan bergaya dan di kesempatan itu juga beberapa pindaan terakhir dibuat demi memastikan keindahan esok hari. Apapun saya ucapkan TAHNIAH DAN SELAMAT BERGAYA UNTUK KONVO!

Tuesday, December 19, 2006

KESUMA 19 DIS 06

Kak Ros berbeza malam ini, ketika mengulas setelah selesai latihan. Katanya bagus! ada peningkatan cuma pelakon perlu peka dan menjaga kesinambungan emosi dan aksi antara babak ke babak. Memang betul kerana ia begitu penting di dalam merangkai dan membina graf cerita. apatah lagi sebuah muzikal yang akan terputus-putus dengan lagu dan ianya amat merbahaya sekiranya pelakon gagal menyatukannya menjadi satu arus cerita yang tidak 'jerking'. Malam ini juga, Kak Ros menetap dan memberi gambaran mengenai latar ruang dan masa agar pelakon peka dengan aksi ketika dan di mana mereka berlakun. Sebenarnya hal ini adalah asas bagi seorang mengenal lakon dan ianya tidak boleh diasingkan daripada interpretasi. Tetapi dengan pelakon yang muda-muda begini saya pun jadi 'curious' dan takut dengan tafsiran mereka. Apakah mereka ada tafsiran dan pemahaman sendiri? Semasa latihan tadi pun, Kak Ros tidak banyak menegur cuma ada sekali dua hentakan tangannya apabila pelakon tak jaga tempo atau blocking salah. Malam ini, latihan disertakan dengan pemuzik tradisional jadi babak/adegan Ismail tidaklah sunyi. Kerja Kak Ros menetap dan memasukkan iringan muzik rebab dan tradisional dalam babak nampak teratur dan jelas. Sambil itu juga, Kak Ros menerangkan agar pelakon faham mengapa terdapat beberapa adegan ada elemen atau aksi tidak natural ditetapkan contohnya semasa adegan Ismail masuk dengan lagu 'Mencari Putera' dan Rakan Burn membentuk bulatan kecil dalam keadaan duduk, itu kerana untuk menyuntik elemen teater tradisional dan kerana muzikal ini asimilasi moden dan tradisional maka bentuk-bentuk itu harus kelihatan dan dimesrakan supaya ianya tidak kelihatan tiada keseimbangan. Saya bersetuju dengan pilihan Kak Ros.Joseph yang sepanjang latihan pada malam ini lebih banyak memerhati dan sepanjang itu juga saya berada dalam kelompok Joseph dan Kema. Adakalanya kami melahirkan rasa kurang puashati dengan cara lakonan pelakon maka kami lakon dan melahirkan emosi di pinggir ruang lakon dengan usaha membincangkan cara dan interpretasi yang betul. Maka kerana itulah saya merasakan seolah-olah kami lebih lara daripada Ismail. Tetapi ia sangat tidak membosankan memerhati pembaharuan dan peningkatan pelakon cuma Joseph mengulas " Work a little bit and give more volume on singing".Pak Nasir mencadangkan agar muzik finale semasa pelakon di dalam arena di masukkan lagu 'berjalan-jalan' nyanyian Ismail. Esok Kesuma tiada latihan pagi kerana tumpuan kepada raptai konvo manakala sebelah malam Kak Ros dan Joseph tidak ada, oleh itu saya dan Kema akan mengambil latihan untuk pelakon karakter sahaja.

TIADA DALIH


Sebaik perbincangan dengan Joseph mengenai jenis tarian untuk majlis konvo, saya telefon Rosman untuk memaklumkan keperluan kostume supaya dapat dia 'set his mind' dan agihkan kerja unit kostume. Seperti biasa Rosman tak berdalih dengan saya dan mengerti apa sahaja boleh berlaku apabila bekerja dengan KEKKWA. Saya panggil Rosman ke ET dan apabila hadir saya minta dia rujuk pecahan dengan Akmal. Rosman minta dibincang di bilik kostume sementara Joseph memberi penerangan kepada pelajar. Saya turun ke bilik kostume dan maklum jenis tarian. Beberapa minit kemudian Hazra (pelajar Tari 3) pun datang dan memberi pecahan kepada Ema. Selesai hal itu, Rosman terima panggilan telefon dan Kak Mun rupanya sedang menuju ke ASWARA untuk diskus mengenai kostum Kesuma dan mengambil ukuran pemuzik.
Elok sangat Kak Mun ada semasa saya ada di situ sebab saya perlu 'clear' kan hal-hal perolehan Kesuma. Kami adakan perbincangan sambil Kak Mun mengambil ukuran para pemuzik. Petang itu anak-anak Kak Mun turut serta. Kata Kak Mun " Insya Allah kostume yang perlu untuk 23hb ada". Lega saya mendengarnya.

KONVO DAH DEKAT


Jam 10.00 pagi hampir semua staff ASWARA berkumpul di Dewan Orkestra untuk menjalankan raptai perarakan Konvo sebagai persediaan bagi raptai esok hari. En Omar Awang pun turut serta memerhati raptai. sebelum raptai bermula En Omar memberitahu beberapa perkara khususnya komitmen dan penglibatan kakitangan ASWARA di dalam Konvokesyen tidak kira di peringkat mana jawatannya. Cik Eyjah (TKP Aswara) mengepalai latihan dengan menerangkan duduk atur upacara. Semasa sedang diberi penerangan telefon En Omar berdering dan panggilan itu datangnya dari pejabat KSU minta En Omar datang untuk memberi penerangan mengenai upacara. En Omar meminta Cik Eyjah ikut serta. Latihan pagi itu diketuai oleh Tn Hj Mod Zaky (En Mod). Latihan berjalan seperti biasa walaupun terdapat kekurangan khususnya tiada cukup alat, orang yang sepatutnya tiada dan teks belum lengkap. Maka jadilah latihan itu serba kekurangan.

Petang, selesai pertemuan En Omar dan Cik Eyjah dengan KSU, satu pertemuan dengan anchor team konvo diadakan dan beberapa perubahan perlu dilakukan. Petang jam 4.00, En Omar memanggil semua yang terlibat ke ET untuk melihat sekali lagi raptai. Namun perjalanan latihan tak jadi beres kerana teks untuk En Omar tiada, lagu negaraku dan budi bahasa tiada dan beberapa lagi. apa yang dapat dilakukan hanyalah flow dan jangkaan masa yang diambil semasa penyampaian diploma. Rupanya dalam upacara ini, Dato' KSU mengarahkan agar diselitkan satu persembahan bagi memeriahkan majlis, maka diarahkan persembahan tari selama 10 minit. Terus Joseph bisik kepada saya untuk bincangkan apa jenis tarian yang sesuai dipersembahkan. Selesai latihan kami duduk dan kami putuskan lima jenis tarian iaitu Ngajat Induk, Jatiswaram, Kipas Cina, Layang Mas dan Zapin. Kami bersetuju agar tarian itu dipersembahkan oleh semua dancers dan highlight akan diberi kepada kumpulan utama yang menari setiap tarian. Yang penting sepanjang 10 minit itu semua penari memenuhi ruang ET. This is the first time ada show tarian dalam upacara konvo. Something new and we'll see people's reaction later. Hopefully its good and suit for asolumn occasion.

Saya harus memuji Joseph, sebaik sahaja habis perbincangan, berderu pelajar tari masuk ke ET dan apabila saya tanya "ada apa" katanya "sir panggil". Wow mereka begitu bekerjasama dan support the head. I salute.

LUPALAH NAMRON!

Saya terserempak dengan Namron dan pada masa itu juga saya bertanya
"tak melawat blog saya ke?". Dia jawab sudah dan terus saya terperasan yang sepanjang saya menulis di blog ini, saya tidak pernah mengucapkan terima kasih kepada Namron di atas bantuannya memperkenalkan kepada saya cara menyediakan sebuah blog. Di sini saya harus rakam jutaan terima kasih kepada beliau. Kalau bukan dia entah hari ini pun belum tentu saya ada halaman sendiri.

TERIMA KASIH BANYAK-BANYAK NAMRON!

Monday, December 18, 2006

KESUMA 18 DIS 06


Lain sekali tone suara Kak Ros apabila menutup latihan malam ini. Down. Mungkin ikhtiarnya untuk mendapatkan kesungguhan daripada pemain belum tercapai. Berulang kali sejak latihan pertama, selalu diingatkan agar fokus dalam lakonan tidak kira walau apa peranan pun. Tapi dia orang macam batu. Geram betul jadinya. Katanya"improvisasi, imaginasi dan spotaneous itu penting dalam teater, itu yang menjadikan lakonan terisi". Joseph disisi saya mengiakannya. "Kalau awak tidak bermain-main, bersungguh-sungguh mungkin kita tak run sampai 1jam 45 minit" , "Bayangkan seorang gelak main-satu saat hilang, di sana terlupa line - satu saat hilang, jikalau 30 orang yang buat begitu bukankah kita hilang banyak minit?", "jadi apabila saya minta fokus, serius berlatih bermakna saya minta tumpuan dan keseriusan dan awakpun dengan sendiri dapat menganggar dan merancang energy awak semasa bermain". Kak Ros tegas lagi dalam nada yang dalam.
Joseph menyambut "Masalah kamu semua adalah selalu meletakkan kerja kamu kepada orang lain, 'Takpalah aku tak nyanyi sebab orang lain dah nyanyi' itu memang selalu ada, Saya tak tahu apa yang awak fikirkan tetapi setiap kali you buat gerak ada yang buat tidak habis" Joseph membentak. Seperti selalu nada Joseph tegas. Dia menambah lagi " Sila berikan ekspresi yang sepatutnya kamu beri, tunjukkan sekarang supaya kita tahu ianya sesuai atau tidak. Saya tidak tahu sama ada awak semua hafal atau tidak lirik lagu tetap yang saya nampak ada yang tidak menyanyi. Contohnya tarian 'Kuala Lumpur', ia agak agresif terutama semasa melompat kamu kena nyanyi dan itu harus dilatih jangan harapkan penyanyi latar sahaja". Joseph macam dah muak nak beritahu berulang kali. Kemudian dia cuit saya "You rasa ada mana-mana koreografi yang perlu saya tambah?" dia tanya dan saya jawab "saya rasa dah okay, cuma you detailkan kepada beberapa gerak supaya lebih nampakkan energy dan makna".

Amri, guru vokal turut serta malam ini dan katanya " memang ada masalah key dengan demo lagu tetapi semasa latihan kamu kena lepaskan suara biar pecah atau sumbang. Saya boleh maafkan kalau orang itu sakit atau suara serak tetapi mereka yang sihat perlulah berikan kesungguhan. Saya perhatikan lakonan dah boleh, gerak dah cantik cuma nyanyian sahaja masih lemah".
Kak Ros menambah lagi " saya nak tanya, di mana skrip anda semua?" itu dia soalan cepu mas. Kak Ros dah memanjat tonasinya. Memang ada sesuatu dan saya jeling Kema, Kema pandang saya. Kami dah dapat rasa bahang Kak Ros. " Walaupun ini produksi, kamu kena ingat yang ini adalah learning process, saya tak nampak pun bila masuk latihan ada antara kamu membuat catatan, sebelum latihan pun tidak ada". Kan saya dah kata cikgu tetap cikgu. Tambahnya lagi " Kamu kena catat supaya kamu tahu apa perubahan dan belajar dari produksi ini. Apabila skrip diberi kita kena lihat bagaiman kerja membongkarnya dilakukan. Ini proses. lainlah kalau awak masuk dah cukup dan sedia kebolehannya macam Mr Joseph, Che Kem, saya atau Kema atau yang dah lulus" Memang ini yang saya jangkakan dari mulut bekas guru ini. Dia menambah lagi "Saya nak tengok skrip kamu esok dan saya nak bagi hadiah skrip siapa yang paling bersih" memang cukup garam gulanya ditambah lagi cilinya.
Kema menyambung "Esok latihan jam 10.00 pagi dan saya minta be punctual, jangan ada yang lambat. Esok jangan lupa bawakan kostum yang diminta", Sherry sambung " esok jam 10.00 pagi " Zainal minta jam 11.00 pagi. Sherry pintas "kalau saya kata jam 10.00 jam 11.00 ada yang datang, kalau jam 11.00 jam berapa nak mula? " jadi esok latihan jam 10.00 untuk warm-up dan exercise, Pukul 2.00 Pak nasir nak run through untuk dapatkan Q muzik tradisional, Sir nak ambil jam 4.00 dan malam macam biasa". Sherry tamatkan maklumannya. Seperti biasa sesi malam diakhiri dengan salaman.
Sebelum itu, Petang tadi kumpulan muzik tradisional mula masuk latihan. Mereka diketuai oleh Pak Nasir. Ketika itu juga saya ambil Eijat untuk pocket. Sedang asyik menyuntik elemen makyung dalam gerak dan intonasi Eijat, Ajude (ASM Muzik) masuk dan bagitahu Pak Nasir perlukan Eijat untuk vokal tradisi. Saya lepaskan Eijat dan saya panggil CT Katijah dan Yusman. Kema ikut serta. Saya menambah sedikit gesture khususnya watak Atuk yang nampak masih malu atau tidak meyakinkan. Saya detailkan act n react agar tidaklah Yusman dibayangi oleh CT. Sedang elok saya ambil mereka Zainal pass by the studio lalu ditangkap Kema. Serta merta juga Mardiana turut ditangkap masuk ke studio untuk menggenapkan karakter bagi babak 4 itu.

Serentak dengan latihan itu, di Balckbox, rupanya ada En Roslan Imam (Pengarah Muzik) pun ada, dia memerhati dan aspek perkusi dalam lagu 'Mama Papa Burger', di situ juga Joseph sedang mengambil kelas untuk korus dan dari jauh saya dengar bebelnya kepada Fairol dan Rabiatul "Stop! Stop! saya nak bagi lecture 2 minit. Inilah masalahnya, kita sepatutnya melangkah ke hadapan tetapi kita melangkah ke belakang sebab ada orang seperti kamu yang tak datang. you are wasting my time, sebab kamu tak datang saya kena betulkan kamu padahal kamu sepatutnya ulangkaji apa yang tertinggal" memang itu Joseph dan tidak pernah puas.
Sedang saya menyiapkan tulisan ini, Rosman telefon bertanyakan saya bilakah perlu untuk duduk dan perhatikan balik keperluan kostum bagi preview 23 Dis 2006. Yang mana satu nak disediakan. Saya cadangkan agar lihat dahulu kostum yang dibawa pelakon, jika yang boleh dipakai untuk 23hb kita guna dahulu, masa agak suntuk untuk menyediakan kostum kerana tumpuan kepada konvo. Aduhai Rozy.

KESUMA 17 DIS 06



Ini memang penyakit! pada Jumaat lalu sudah diingatkan kepada pelakon bahawa hari Ahad latihan jam 3.00petang sehingga malam, sesiapa yang bermasalah sila maklum paad SM, nyatanya berapa kerat sahaja yang maklumkan. Hasilnya hari Ahad ada lagi pelakon yang tidak hadir. Sebenarnya ini masalah dalam produksi, bukan ASWARA sahaja tetapi di mana-mana walaupun di Istana Budaya dan KL Pac. Yang menjadi kegusaran adalah kerana kita di sekolah seni, pelajar dah berhelah dan tidak memikirkan tentang keperluan teraju produksi. Selagi ada sikap ahli dalam produksi yang merasakan tanggung jawab mereka sekadar peranan mereka maka selagi itulah sistem dalam produksi tidak lancar. Membuat produksi bermakna ahlinya adalah stakeholders yang punya peranan yang sama penting. Saya jadi bingung apabila ada di antara rakan kita yang tidak mementingkan itu dan bagi mereka aksi dan sambutan di pentas itu sebenarnya nilai sebuah produksi.

Pada Jumaat lepas, saya ingatkan Joseph bahawa Sabtu tiada latihan dan hari Ahad latihan dari petang sehingga malam, 'saya mungkin latihan sampai petang sahaja sebab malam saya ada aktiviti penting' ujar Joseph kepada saya, maka saya kata tidak mengapalah asalkan seksyennya okay. Tetapi sebaik saya masuk ke Blackbox dan duduk di sisi kerusinya dia bisikkan 'saya cancel aktiviti malam ni, rasa tak sedap hati nak tinggalkan latihan sejak baca you punya blog pasal zainal'. Saya sambut dengan gelak dan terus katakan bahawa saya tak maksudkan begitu. Jauh di sudut hati saya terpempan dengan statement itu. Beza sungguh orang lama dengan budak-budak jagung tu.

Kema ke hulu hilir tak sedap hati dengan karenah pelakon yang padanya agak lemah interpretasinya, saya pun jadi serba salah kerana itu kerja saya dan dia. apabila datang latihan malam, Kak Ros menuju kepada kerja-kerja merangkai dan menetapkan idea produksi. Jadinya, saya dengan Kema dah tak sedap hati apatah lagi melihat Zainal yang ada habit yang kurang sesuai dengan karakternya, watak ismail yang tenggelam di celah aksi korus dan ditambah lagi pelakon pembantu yang tidak melihat tempo dan dinamik dalam lakonan. Saya bisikkan pada Kema agar kita cari ruang lain untuk pocket. Kema setuju. Dalam tak sedar itu, semasa babak Ibu Kesuma muncul saya alihkan blocking lalu Kak Ros kata 'biarlah dia kat tengah' rupanya Kak Ros dah tetapkan blockingnya. Sedang saya perhatikan Kak Ros dan membantu susun atur pelakon, Joseph asyik melayan lagu 'Pulanglah Kesuma'- '...bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tak dilanda gelombang...' Memang semua lagu Kesuma sedap, catchy dan ada kualiti.
Esok Kak Ros kata nak ambil lakon untuk rakan Jack, Rakan Burn, kesuma dan Ismail. Latihan bersurai dan ketika itu saya mencari Rosman dan Kak Mun, rupanya kak Mun dah balik selepas selesai mengambil measurement pelakon.

MISS DIRECTOR

Saya akan menulis mengenai beberapa orang personaliti yang menarik sepanjang Kesuma berjalan. Tidak kiralah walau apa peranan dia sekalipun. Eloklah saya mulakan dengan Kak Ros, sebab dia adalah kepala kejayaan Kesuma. Semasa di dalam latihan katanya "Babak ke babak perlu dijaga kesinambungannya agar ia membentuk satu cerita, sebuah muzikal. Kita tidak mahu persembahan ini hanya sekadar sebuah persembahan nyanyian" .
Saya suka memerhatikan cara pengarahan Kak Ros yang 'tolerate' tetapi sebagai pelakon, mereka harus peka dengan perubahan dan apa yang ditetapkan oleh pengarah. Tetapi lumrah manusia selalunya perlu diingat-ingatkan, jadi semasa diingat-ingatkan itulah maka 'key' suara Kak Ros jadi tinggi dan semua mula menikus dan takut bila sepatutnya adlib atau bersuara. Lucu juga. Saya yang biasa dengan cara Kak Ros mungkin dapat meneka di mana dan bila Kak Ros bertegas. Tapi kita sebagai mereka yang bekerja dengan pengarah wanita seperti Kak Ros yang bersistem, sendiri perlu adjust dan sesuaikan dangan kaedahnya.
Saya rasa kebengkengan Kak Ros reda sedikit untuk produksi ini berbanding pengalaman saya dalam T-Pinkie, mungkin ada beberapa sebab, pelakonnya adalah student dan bekas student yang mudah akur dan senang menurut, produksi ini melibatkan banyak seksyen dan Kak Ros perlu tolerate dengan keperluan bagi seksyen-seksyen lain seperti muzik dan tari, kefahaman Kak Ros akan kesusahan pelakon melakukan banyak perkara khususnya soal nyanyian, tari dan lakon serta Kak Ros dikelilingi oleh mereka yang sedia berganding seperti Kema, Joseph, Rosman, Eijat, Tomoe, Sherry dan ramai lagi. Namun kami akui ketegasan dan kebengkengan Kak Ros itu kerana itu apabila ada sesuatu dari pandangan kami merasakan kurang sesuai untuk Kesuma begitu berat sekali untuk keluar dari mulut dan kami akan saling suruh menyuru "Youlah yang cakap!". Apatah lagi sepanjang latihan ini, yang di luar stage lebih berekspresi. Mana tidaknya semasa Kak Ros memikirkan tentang interpretasi pelakon tiba-tiba kaki Joseph 'point' dengan ekspresi sedih! Thats so musical!

Sunday, December 17, 2006

BILA ANAK BERANDAI


Pabila melihat kanak-kanak melakukan sesuatu, apa yang terfikir di minda saya adalah kejujuran. Apatah lagi bila melihat mereka sedang bermain-main dengan gerak randai, mereka buat tetapi saya tahu fikiran mereka mencari-cari kefahaman dan pengertian tentang apa yang mereka lakukan. Memang di peringkat itu, mereka banyak diberi, diberi dan diberi. Kadangkala saya terfikir bilakah pula masanya mereka nak memahami dan aplikasikan mengikut pengertian dan persepsi mereka. Sejak punyai anak kecil apatah lagi anak yang super aktif, saya jadi mudah faham dan cuba adapt dengan kenakalan anak-anak kecil. Bukan kerana mereka itu nakal tetapi itulah mereka. Mereka sedang mencari minat dan kecenderungan dan akhirnya meletakkan di mana diri mereka.
Apabila saya melihat Jamaliah dan D Boy mengendalikan bengkel, dengan sendiri saya terfikir apakah pendekatan atau kaedah itu sesuai? Mereka takut atau mereka berdisiplin? Mereka takut maka mereka ikut? Mereka diam kerena memahami itu seharusnya di dalam bengkel? Sepanjang di studio itu fikiran saya melayang dan melayang dan mencari apa yang kurangnya? Bila saya memerhati tika mengambil foto, mereka buat tapi mata mereka berlari, jauh dan kecil! Kanak-kanak itu macam mengandaikan yang lain. Mungkin silap saya kerana lihat mereka dan kaitkan dengan anak saya yang selalu fikirkan enjoy sambil bermain!

Keep up your good job Jamaliah, Nabila and D Boy!

PAMERAN JABATAN TEATER

Tiba di Bilik Seminar 4, ruang pameran Jabatan Teater terus saya di sapa oleh Juhara yang sedang membega-begakan pakaian di badan patung. Di satu sudut lain Eliz sedang memakaikan pakaian bangsawan di salah satu patung. Beberapa orang pelajar jabatan turut serta termasuk Ecah, Yusman, CT Katijah, Iefiz, Imran, Sarah dan beberapa orang lagi. Pameran itu telah mereka pecahkan kepada beberapa sudut mengikut produksi. Kenapa produksi? kenapa tidak modul? Mungkin itu lebih senang dan mudah untuk mendapatkan bahan pameran. Jadi dipecahkan pameran kepada teater bangsawan, teater klasik, teater tradisional dan teater kanak-kanak. Jika dilihat pada susun aturnya, agak menarik dengan hiasan kostum, set dan props serta beberapa hiasan yang digantung bagi disesuaikan dengan konsep dan jenis teater, menarik sekali. Saya mencadangkan agar penerangan mengenai pembelajaran di bawah jabatan dan jenis-jenis teater diberikan dan diletakkan dalam bentuk yang informatif. Beberapa himpunan kerja-kerja pelajar turut akan dipamerkan. Saya usulkan kepada Rosman, Juhara dan Hazirin agar lakaran make-up dan kostume serta replika set dalam pembelajaran diletakkan di suatu sudut.
Farid dengan Maziah turut muncul dan membantu atur letak pameran. Zuzairi datang dan merungut dan bimbang tentang lain-lain jabatan yang belum memulakan susun atur. Apa boleh saya katakan, lagipun cara arahan dan makluman kepada jabatan pun tidak begitu jelas apatah lagi tidak semua jabatan sesuai untuk membuat pameran sebesar bilik seminar. Rosman datang kepada saya dan memaklumkan bahawa dia akan menyediakan informasi yang dicadangkan dan setiap hari dan waktu akan diletakkan petugas yang terdiri daripada pelajar jabatan. Ketika saya tinggalkan bilik itu saya lihat Juhara dan pelajar tekun memasukkan buluh pada kostume 'Mak Kerangka Udang', Eliz menyusun aksesori bangsawan, Ema dan Hazirin mengusung kotak-kotak masuk ke bilik. Susah juga kalau alat untuk display tidak cukup! GOOD WORK TEAM!

3 IN 1


Ada tiga program yang berlaku dan saya terlibat, sebenarnya apa sahaja di ASWARA ini saya terlibat sama ada langsung ataupun tidak langsung. Memang itupun peranan warganya. Tetapi keterlibatan saya dalam program pada hari ini adalah di bawah Jabatan Teater ASWARA. Sebaik tiba di ASWARA saya ke Bengkel Sususr Seni, kemudian saya tinjau persiapan pameran jabatan teater untuk konvo dan baru saya masuk latihan Kesuma. Janji saya dengan famili terpaksa dilupakan sementara. Selesai konvo dan Kesuma pada 23 Disember barulah lega sikit.

ROSMAN, KAK MUN,YEM & SAYA

Semalam 16 Dis (sabtu) Kesuma tiada latihan, sekitar jam 9.00 pagi Yem telefon memaklumkan kepada saya bahawa kesulitannya untuk memberi khidmat memasang dan menyediakan set bagi Kesuma. Aduh berat sekali rasanya, bukanlah tidak ada orang lain lagi-ramai, tetapi saya harus memikirkan pembekal yang mampu dengan speksifikasi set yang diperlukan, cadangan memanggil Yem pun adalah kepakarannya di dalam menyediakan moveable set dan anggaran peruntukan ayang ada, nampaknya saya kena bincangkan dengan Eijat dan Along Hazirin, mana tahu mereka ada cadangan lain. Sebaik sahaja selesai dengan Yem, line masih panas, telefon saya berdering lagi dan kali ini Rosman pula, dengan tertib Rosman beritahu bahawa appointment dengan Kak Mun jam 12.00 tengahari, maknanya 'lunch' sekalilah tu! Yalah dah lama tak jumpa Kak Mun, paling akhir saya bekerja dengan Kak Mun adalah untuk Randai Puti Nilam Sari Disember 2005. Senang sekali.

Lebih kurang jam 12.30 tengahari saya tiba di The Mall dan Rosman pun sudah ada. Lebih sejam Kak Mun tak muncul juga, tapi chat saya dengan Rosman seperti selalu tak pernah surut, macam-macam topik dan yang banyaknya mengenai produksi Kesuma. Nida beberapa kali call, yalah pagi tadipun dia merungut sebab hari cutipun saya masih ada kerja. Rungutannya sebenarnya senang reda mungkin kerana dia pun punyai latar kerja dalam produksi juga. 1.45 petang Kak Mun tiba dan terus kami lunch. di hujung sesi kami mulakan dengan tujuan berjumpa, Rosman mulakan dengan konsep dan idea, saya tegaskan dengan kak Mun bahawa costume banyak yang ready made, yang perlu tailor cuma enam pasang karakter dan 20 orang pemuzik. Rosman mengeluarkan sketchnya dan menerangkan satu persatu daripada segi detail watak. Melalui pengamatan saya, memang Rosman commited dengan bidangnya, apatah lagi bekerja dengan Kak Mun yang punyai hampir 30 tahun pengalaman dalam seni. Saya banyak memerhati dan memberi input mengenai hal keperluan pengurusan produksi. Kak Mun nampak tidak risau walaupun jumlah costume yang perlu dibekalkan agak banyak, katanya dia sedang menyiapkan kostume yang ditempah oleh JKKN untuk dihantar ke luar negara. Kami tamatkan perbincangan dan akan bertemu semula di latihan produksi esok 17 Dis (ahad), Kak Mun akan dapatkan measurement pelakon. Saya sempat singgah di ASWARA melihat Hazirin dan budak-budak teater siapkan pameran sempena konvo. Adusss!

Saturday, December 16, 2006

KONVOKESYEN KE 6 ASWARA

Setelah tiga tahun menunggu akhirnya impian seramai 134 orang lulusan menjadi kenyataan dan ASWARA bakal melengkapi sifatnya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi dengan menganjurkan Konvokesyen ke 6 ASWARA yang akan berlangsung pada 21 Dis 2006 di Panggung Eksperimen, ASWARA. Dianggarkan seramai 500 orang akan memenuhi ET pada hari bersejarah itu nanti. Konvokesyen ke 6 ini akan menghimpunkan lulusan bagi tahun 2004, 2005 dan 2006. Kerja-kerja persiapan sedang rancak berjalan bagi memastikan hari tersebut penuh indah.
Sempena Hari Konvokesyen, ASWARA turut menganjurkan hari terbuka ASWARA bermula 18 - 21 Disember dan bermacam-macam acara yang menarik telah disusun termasuklah gerai jualan cenderamata, makanan, bunga dan sebagainya. Selain itu terdapat juga pameran 12 tahun ASWARA, pameran 5 jabatan pengajian, persembahan kesenian dan banyak lagi.
JEMPUTLAH DATANG KE ASWARA 18 - 21 DISEMBER 2006

Friday, December 15, 2006

KESUMA 15 DIS 06


Hari ini, latihan banyak ditumpukan kepada membersihkan blocking dan in-out pelakon. beginilah kalau produksi ramai sangat orang, pening kepala dibuatnya, namun inilah kerja kreatif. dari jam 10.00 pagi, Joseph mengendalikan kelas untuk kumpulan korus. Joseph banyak menitik beratkan stail dan detail yang diperlukan oleh Cik Ros sama ada ianya bersifat literal ataupun sebaliknya. Kerja berat tu. Kema dengan Eijat adakan pocket kelas di ruang berbeza.

Sebelum saya ke masjid untuk Jumaat, saya didatangi oleh Zainal Shek, di wajahnya ada seperti kekesalan kerana 'skip' daripada latihan Kesuma. Saya yang selalu berhadapan dengan pelakon dan pelajar yang beralasan mendengar sahaja. bagi pelakon seperti Zainal saya tidak boleh menegur secara keras, pengalaman dia harus dilayan dengan bijaksana. Saya tidak marahinya tetapi cuma cuba membuka cara berfikirnya agar dia melihat Kesuma ini satu peluang yang tidak boleh disia-siakan. Saya lebih senang memberi pandangan bukan nasihat kerana bagi saya, pandangan adalah persepsi dalaman individu tetapi nasihat itu percakapan dari luar dan dalam individu yang bercakap. Itu berat, silap haribulan kita yang sesat. Semoga Zainal bertimbang-timbang.

Jam 2.30 petang Cik Ros adakan latihan untuk pelakon berwatak sahaja. Risau juga melihatnya apabila ada pelakon masih lemah soal blockingnya apatah lagi jika diminta ekspresi dan emosinya. Saya tidak ke latihan kerana mengendalikan perasmian Bengkel Susur Seni. Sekitar jam 5.30 petang, saya ikut serta Cik Ros bersama Eijat mendapatkan 'alunan' emosi dalam lagu 'Mencari Putera' yang sesuai. Sukar mendapatkannya, mungkin kerana Eijat bukan seorang pemain makyung apatah lagi kelemahannya mengalun lagu dalam lenggok dan air makyung. Sukar sekali. Ia betul-betul sukar.

Cik Ros tingggalkan Eijat dengan saya dan Kema, saya mengambil kepercayaan itu untuk mengatur blocking yang sesuai bagi babak Ismail (Eijat) dan Husin (Syukor). Bila berhadapan Syukor, baru saya sedari bahawa Syukor adalah seorang pelakon yang naif, terlalu jujur dengan arahan. Jadi saya perlu memberi contoh atau mengatur gerak sebagai panduan. Ada peningkatan. Malamnya, Rosman dan Eliza pun hadir sama bagi memerhati keperluan kostum dan tatarias, manakala latihan lebih fokus kepada menggabungkan semua babak bagi memudahkan kerja mengawal konsep, linkage antara babak dan melihat rangkaian dan kaitan babak ke babak. Masa tidak cukup untuk membaiki dan mengatur pelakon. Masa yang ada cukup untuk menggabung babak sahaja. Tetapi di dalam kesuntukan itu, asas 'curtain call' telah ditetapkan. Jam 10.20 malam tiba-tiba Zainal muncul!

SELAMAT DATANG ORANG JELEBU


12.30 tengahari, seramai 40 orang ahli rombongan dari dua buah sekolah dari daerah Jelebu dan Jempol Negeri Sembilan tiba di kampus ASWARA. Ketibaan disambut oleh urusetia Bengkel Susur Seni yang diketuai oleh YM Raja Noor Sheela (Penyelaras Jabatan Muzik). Mereka akan menginap di asrama pelajar ASWARA dan semestinya kampus ini sebagai pusat kegiatan sepanjang bengkel berlangsung. Pada jam 3.00 petang acara perasmian bengkel berlangsung. Sementara menunggu Tuan Hj Mod Zaky Din (Timbalan Ketua Pengarah ASWARA), para peserta dihidangkan dengan tayangan video Randai Puti Nilam Sari. Tayangan ini bertujuan mendekatkan peserta dengan bentuk teater yang akan dipelajari sepanjang bengkel. Upacara perasmian bengkel turut dihadiri oleh Ketua Jabatan iaitu Cik Rosminah dan Tuan Hj Zainal serta beberapa pegawai ASWARA.

Setelah selesai acara perasmian, satu taklimat mengenai bengkel telah diberi oleh YM Raja Noorsheela (Kushee), di dalam sesi ini para peserta telah diberi penerangan mengenai tujuan dan pendekatan bengkel, peserta juga diberi peluang untuk bertanya dan memberi cadangan. Di dalam sesi tersebut, Kushee turut memaklumkan bahawa peserta akan dibawa menonton dua buah teater iaitu teater kanak-kanak Ali Baba di Istana Budaya dan Teater 'Kesuma' di ASWARA. Nyatanya bengkel ini bukan sekadar memberi bimbingan mengenai teater randai dan teknik permainan violin malah turut mendedahkan peserta kepada seni persembahan profesional.

Thursday, December 14, 2006

KESUMA 14 DIS 06

Semalam latihan Kesuma selesai pada jam 11.00 malam. hampir setiap hari begitulah latihannya, dari jam 10.00 pagi sehinggalah malam. beberapa perkara yang ditekankan oleh pengarah dan pengarah tari khususnya mengenai gerak dan lakon. Susah juga bila menangani pelajar sekolah seni yang punya ragam bakat berbeza dan disatukan dalam sebuah produksi.
Malam tadi Kak Ros bertanyakan bagaimana rasa dan perasaan pelakon apabila mereka memainkan watak-watak itu, ada macam-macam jawapan dan pastinya ramai yang diam dari berpendapat. Kak Ros menegaskan bahawa ada bezanya di antara lakon muzikal dengan lakon untuk teater lain ataupun di dalam tarian. Pemain tidak boleh hilang fokus atau tidak memegang kepada asas 'act' and 'react'.
Joseph pula mengingatkan bahawa sebagai korus, pelakon tidak hanya bertanggungjawab kepada tarian, blocking dan gerak sahaja tetapi ia harus 'deliver' emosi, konsentrasi dan aware/alert dengan apa yang sedang berlangsung di pentas.

Saya ada juga menegur tentang tabiat pelakon apabila tidak berdialog, mereka sering membuat lakonan 'mime' di mana ianya tidak sesuai untuk muzikal. Khususnya penari yang terikut dengan style lakon dalam tari. Amri (guru vokal) belum berpuas hati dengan cara penyampaian, teknik dan stail belum muncul apatah lagi nak dikeluarkan emosi kepada khalayak. aduh berat sekali! Sherry (SM) memaklumkan jadual untuk hari Jumaat dan seperti biasa Kema akan mengambil latihan membantu kerja kreatif Kak Ros dan Joseph. Sebenarnya, selain latihan, di satu sudut ada perbincangan bagi team sinografi yang diketuai oleh Hamzah (Anjah) dan disertai oleh Tomoe, Azli, Hafiz, Hazirin, Sherry dan Adika.

MUZIKA 'KESUMA' 5-9 JAN 2006

Teater Muzika 'KESUMA' akan dipentaskan di ASWARA mulai 5 - 9 Januari 2007. kini sedang giat menjalani latihan. Pengarahnya adalah Rosminah Tahir, Joseph Gonzales (Pengarah Tari), Zakaria Ariffin (Penulis Skrip), Sinografer (Hamzah Tahir) dan ramai lagi. Kesuma akan dijayakan oleh pelajar dan lulusan ASWARA antaranya Eijat, Mardiana Alwi, Sallehuddin Abu Bakar, Zainal Sagkif Shek, Sabihah Abdul Wahid dan ramai lagi. Kesuma adalah merupakan cubaan pertama ASWARA mementaskan sebuah muzikal sejak 12 tahun ditubuhkan. Ia adalah sebagai persediaan sebelum pengajian teater Muzikal diperkenalkan kepada pelajar mulai sesi akademik 2007. Apa yang menarik mengenai muzika ini adalah ia sebuah muzika yang menggabungkan tradisional dan kontemporari serta bagaimana KL dilihat daripada sudut pandangan yang berbeza. (Poster yang dipaparkan adalah cadangan sahaja)


ASWARA ke Bandung






Hari ini, 11.30 pagi seramai lebih kurang 30 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan ASWARA telah berangkat ke Bandung, Indonesia bagi menyertai program Titian Budaya. Penyertaan selama 5 hari itu telah diketuai oleh Ketua Pengarah ASWARA, Encik Omar Awang, Encik Zakaria Ariffin dan Puan Balkis Omar. Selain bertujuan untuk mempromosi kebudyaan Malaysia, ASWARA juga berharap dapat memperkenalkan ia sebagai sebuah sekolah seni melalui persembahan dan pameran pendidikan. Program ini adalah disokong kuat oleh YB Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri KEKKWA dan kerana itu ianya disertai oleh kesemua agensi di bawah kementeriannya.
Harapannya semoga ASWARA dapat membina jaringan kerjasama dengan institusi kesenian di sana, khususnya sekolah seni seperti STSI dan Institut Kesenian.

Wednesday, December 13, 2006

Bengkel Susur Seni

ASWARA akan menganjurkan Bengkel Susur Seni mulai 15 - 23 Disember 2006 dan akan melibatkan tiga jabatan iaitu Teater, Muzik dan Tari. Sempena dengan musim cuti persekolahan ini, para pelajar dari daerah Jelebu dan Jempol Negeri Sembilan dan Kuantan Pahang akan menjadi peserta kepada bengkel ini. Tujuan murni yang diilhamkan oleh ASWARA ini mendapat kerjasama yang baik oleh pihak YB Menteri KEKKWA dan YB Dato' Maznah (Exco kebudayaan Pahang).
Saya bertanggungjawab di dalam menyelaras bengkel randai di mana pesertanya seramai 20 orang dan akan dipecahkan kepada bidang muzik dan gerak/lakon. Saya akan dibantu oleh dua orang pelajar ASWARA iaiatu Fauzuly (D Boy) dan Nabila serta Jamaliah (graduan Teater). bagi saya, tugas ini tidaklah berat memandangkan saya punya pengalaman di dalam menjayakan produksi randai dan menyertai gerak asas silat randai jadi ianya bolehlah disifatkan sebagai satu kesukaan saya juga.

Tuesday, December 12, 2006

Apa ada di ASWARA


Ada sesuatu yang berlaku di ASWARA,
sedang giat berjalan.
Tunggu sahaja untuk
saya ceritakan.

SELAMAT DATANG


selamat datang. Sudah lama saya mencari peluang untuk mempunyai sebuah laman seperti ini dan hari ini peluang itu datang. Gambar ini begitu memberi erti, bukan kerana penarinya tetapi pengertian tarian itu di dalam persembahan tradisional makyung. Ianya adalah satu pembukaan atau pengenalan kepada seni itu. Jadi sayapun begitu, ingin meraikan anda semua kerana sudi singgah ke laman ini. Terima kasih.